Fareez
Aiman membaca surat yang baru diterimanya dengan bersungguh-sungguh. Tidak
sia-sia dia menghantar resume dan menghadiri temu duga nun jauh di utara
Semenanjung Malaysia. Dapat juga dia tawaran untuk bekerja di Setia Holdings.
Memang sengaja dia ingin mencuba nasib di negeri orang. Asyik duduk di bawah celah
ketiak emak sahaja, sesekali dia perlu juga keluar dari kepompong selesanya.
“Tak payahlah kerja sampai ke Pulau
Pinang tu Reez, nanti mama tanyakan
kawan mama. Mana tahu ada kerja kosong,” kata Fatimah kepada anak terunanya.
Dua lagi anaknya telah pun beranak-pinak. Fareez satu-satunya anak lelaki dalam
keluarga. Dari kecil memang dia sentiasa manjakan anak terunanya ini.
“Nak kerja apa? Tukang masak? Mama
kawan mama tu semuanya geng tukang masak. Tak kan Reez pun nak duduk kat dapur
jugak kot,” bangkang Fareez.
“Tak kan mama nak suruh anak mama
yang hensem, macho ni duduk kat dapur. Ada-ada sahaja Reez ni. Kerja kat sini
ye,” Fatimah memujuk.
“Kak Long ada kat Sabah, ikut suami.
Kak Ngah ada di Melaka. Reez pun nak tinggalkan mama. Tak kesian pada mama
dengan papa ke?” pujuk Fatimah lagi.
“Mama ni, sebab kesian pada mama
dengan papa lah maka Reez nak berhijrah. Sampai bila mama nak jaga makan minum Reez.
Kali ni biarlah Reez berdikari. Boring lah, sekali-sekali nak jugak masuk
disko, nak juga rasa balik lewat malam. Ini tidak pukul 9 aje dah terpacak
dalam rumah.”
“Itu yang mama marah tu. Sebab tu
yang mama tak kasi Reez keluar dari rumah ni. Belum keluar lagi ni dah ada
cita-cita nak buat jahat. Esok-esok kalau dah duduk sendiri, siap bawak balik
perempuan lagi. Dah, koyak aje surat tawaran tu. Kerja kat sini dah. Kalau dah
tak ada kerja sangat, biar mama bagi elaun kat Fareez. Sebulan seratus ringgit,
cukup?” suara Fatimah mula lantang, jika tadi dia memujuk anaknya dengan
lemah-lembut kini semuanya sudah terbalik. Bukan itu sahaja, tangannya cepat
sahaja mencubit paha anak terunanya.
“Hish, mama ni. Orang main-main aje
lah. Tangan macam ketam. Sikit-sikit cubit, sikit-sikit cubit,” Fareez mengosok
pahanya yang terasa sakit akibat dicubit oleh Fatimah.
“Padan dengan muka Reez. Dah tahu
mama macam tu, kenapa cakap nak ke disco. Awak ni pun Cikgu Timah, sampai bila
awak nak kongkong anak teruna awak ni. Biarlah dia belajar hidup sendiri kat
tempat orang. Kalau anak perempuan tak apa lah jugak. Ini anak jantan. Nak
duduk celah ketiak awak sahaja. Esok kalau dia dah berbini, tak kan nak ikutkan
telunjuk awak sahaja,” tegur Hussain kepada isterinya. Mereka berdua sama-sama
bekas guru besar pencen.
“Abang ni, suka sangat lah tegur
saya kalau saya tengah nasihatkan anak-anak. Saya buat untuk kebaikan dia
orang. Fareez ni seluar dalam dia pun saya yang masih basuhkan, siap lipat
lagi. Macam mana dia nak hidup sendiri kat tempat orang? Makan minum dia siapa
yang nak jaga? Tak kan hari-hari dia nak makan nasi kandar kot. Nanti terpaut
dengan anak tauke nasi kandar tu macam mana?,” omel Fatimah tidak henti-henti.
“Okeylah tu, hari-hari makan
percuma. Mama pulak, mana tahu boleh besarkan lagi perniagaan katering mama.
Tambah lagi satu menu. Nasi kandar dari penang,” Fareez mengusik.
“Lepas tu jangan lupa carikan papa,
anak mami yang cantik. Asyik makan ikan singgang, asam pedas. Sekali-sekala nak
juga rasa makan kari, papedom,” Hussain menokok kata-kata anaknya.
“Anak dengan bapak sama sahaja.
Dua-dua suka sakitkan hati mama kan. Nak sangat makan kari, esok mama buat.
Kita tengok, siapa punya kari paling sedap. Mama buat ke atau mamak nasi kandar
tu buat lagi sedap.”
Fareez menghampiri mamanya, bahu
Fatimah di pegang sambil dia berkata, “mestilah kari mamak tu yang sedap.”
Fatimah terus mencubit lengan
anaknya. Hussain hanya ketawa. Selepas ini sunyi sepilah rumahnya kalau Fareez
memang nekad untuk menerima tawaran kerja di Pulau Pinang.
“Jadi
ke Fareez nak ke Pulau Pinang tu?” Hussain bertanya.
“Apa pula tak jadinya, bukan ke
abang yang beria-ia sangat suruh dia cari pengalaman kat tempat orang. Dia
ikutlah nasihat abang tu,” sindir Fatimah. Tinggal seminggu lagi untuk dia
bermesra dengan anaknya. Marah dengan nasihat suaminya.
“Baguslah, sampai bila kita nak jaga
dia. Esok-esok kita dah meninggal macam mana? Sekurang-kurangnya masa kita ada
ni lah, kita boleh tunjuk ajar dia. Bukan terus mengongkong dia. Kalau dia anak
dara tak apa lah juga. Ini tidak, anak teruna. Sampai bila nak berkepit dengan
awak sahaja, Cikgu Timah oi,” Hussain tetap teguh dengan nasihat yang telah
diberikan kepada anak terunanya.
“Abang tak tahu, dia lah
satu-satunya anak lelaki saya. Macam mana kalau dia terikut dengan perangai
yang tak elok bang. Abang dengar sendirikan, apa dia beritahu kita hari tu. Dia
nak belajar masuk ke disko, nak bawa perempuan balik ke rumah. Hati mana yang
tak risau,” keluh Fatimah. Kali ini disertai dengan satu dua titis air mata
yang cuba ditahan di tubir matanya.
“Saya faham, tapi kita berserah
sahaja. Bukan kita tak didik dia dengan pengetahuan agama. Kita ajar dia, kita
dah asuh dia. Rasanya dia boleh pertimbangan. Yang mana salah dan yang mana
betul. Kalau nak buat jahat, tak payah tunggu duduk di sana. Kat mana-mana pun
boleh buat jahat. Lagipun, tak kan awak tak kenal anak kita tu macam mana? Dulu
dia pun berkawan juga dengan budak-budak rempit, tapi setakat berkawan ajalah
tidak pula dia mengikut kerenah mereka. Dengan Si Saiful pun dia berkawan juga,
tapi setakat itu sahaja. Tak lah dia sampai mengikut Si Saiful ke kelab malam.
Kita kena beri kepercayaan pada dia Cikgu Timah. Beri peluang untuk dia
tonjolkan potensi diri sendiri. Awak pun bekas cikgu, awak tahu potensi anak
murid awak, tak kan potensi anak sendiri tak tahu pulak,” panjang lebar kata-kata dari bekas guru besar
itu.
“Saya tahu. Tapi itulah, dah saya ni
ibunya. Memang tugas ibu risaukan anak-anak. Nak buat macam mana? Arwah mak
awak pun sama, bukan main susah lagi nak lepaskan awak ikut saya balik
berhijrah ke kampung halaman saya. Duduk aje kat bandar ni. Kalau awak ikut
nasihat saya duduk kat kampung saya kan bagus. Ada musim buah, bolehlah kita panggil
anak cucu balik makan. Ini tidak, nak makan buah kena ke kedai Ah Seng, petik
kat kedai dia sahaja. Tak merasa cucu saya ni nak berkebun, berladang.
Maklumlah kahwin dengan orang bandar.”
“Awak ni makin tua, makin melalutlah
Cikgu Timah. Awak nak makan buah apa, saya pergi tanam sekarang. Kalau tak
kerana taman bunga awak yang kat depan tu, mesti penuh dengan pokok rambutan.
Ini tidak, pantang ada tempat kosong mulalah nak tanam orkid, bunga raya dan
macam-macam pokok bunga. Bukan boleh
makan pun. Lepas tu nak salahkan saya. Awak tengok rumah Lebai Malik tu, penuh
rumah dia dengan pokok rambutan, mempelam. Cuti sekolah sahaja penuh anak cucu
balik ke rumahnya, panjat pokok rambutan. Kita tidak, anak cucu balik duduk aje
mengadap bunga orkid awak tu.”
“Nak salahkan saya pulak?”
“Bukan nak salahkan awak, tapi awak
jangan nak salahkan saya bila saya tak ikut awak balik ke kampung halaman awak.
Bukan kita tak balik, dua tiga bulan sekali kita balik ke sana. Kalau awak nak
balik ke sana juga. Saya tak kisah. Jom kita angkut barang-barang pindah ke
sana. Tapi awak pula yang tak betah nanti. Mana nak berpersatuan, sanggup ke
awak nak tinggalkan geng mengumpat awak
tu. Bukan saya tak tahu, awak dengan Cik Senah Janda tu, kalau satu hari tak
mengumpat hal orang, tak senang duduk di buatnya,” sindir Hussain kepada
isterinya. Fatimah hanya mendiamkam diri.
“Assalamualaikum,” ada suara yang
memberikan salam. Hussain menjenguk ke luar.
“Panjang umur, tu kawan seanggkatan
awak dah sampai. Pergilah jemput,” Fatimah hanya menjeling, namun kakinya
pantas sahaja mengatur langkah menuju ke pintu.