Sejak
dari tadi tiada suara yang keluar dari dalam kereta. Yang kedengaran adalah
suara juruhabah radio dan kadangkala suara Qarina yang menunjukkan jalan.
Memang cari nahas. Fareez langsung tidak berani bersuara. Fatimah mukanya masam
mencuka, yang agak manis mukanya hanyalah Hussain. Qarina langsung tidak
berkesempatan untuk berbincang dengan Fareez.
Sementara itu di rumah Qarina suasana
agak kecoh. Kamal sedang mengasah parang. Dari tadi dia asyik membebel. Zahid
langsung tidak berani menegur apatah lagi Alina. Semuanya cuak apabila melihat
Kamal yang sudah seperti hilang akal. Semuaya gara-gara Qarina.
“Patutlah dia menolak hasrat
keluarga aku, rupanya ada lelaki lain. Memang nak kena budak ni,” jelas
kedengaran suara Kamal.
“Macam mana ni Zahid, mak takut
lah,” Alina memegang tangan anak sulungnya.
“Memang cari nahaslah budak Qina ni.
Yang mak pun satu, lain kali tanya abah dulu. Tak pun jangan beri izin. Kan dah
parah ni,” kata Zahid kepada emaknya. Bukan niat hendak menderhaka tetapi
semuanya berpunca dari emaknya.
“Sabarlah mak. Apa pun kita tunggu Qarina
balik. Kan abah cakap keluarga Fareez nak datang sekali. Nak menghantar Qarina
balik,” Maria cuba menyedapkan hati Alina.
“Yang tu lah yang mak tengah
risaukan ni. Abah kau bukan betul sangat, nanti di takeknya kepala budak tu,
jadi kes lain pulak. Hish, budak Qarina ni menyusahkan orang betullah.” Maria
mengarukan kepalanya, mati akal dia dibuatnya.
Tepat jam 12 tengah malam barulah Qarina
tiba bersama-sama dengan keluarga Fareez. Matanya bengkak, sepanjang malam dia
hanya menangis. Fatimah dari tadi asyik mendiamkan diri. Entah marah padanya
atau marah pada abahnya.
“Inilah rumah saya. Jemputlah
semua,” pelawa Qarina. Dia kemudiannya memberikan salam. Pintu rumah di buka,
kelihatan semua keluarganya ada di situ termasuklah dua kakaknya bersama-sama
dengan suami masing-masing. Malunya bukan kepalang.
“Assalamualaikum,” Hussain memberi
salam. Dia kemudiannya menghulurkan tangan untuk bersalam dengan tuan rumah.
Teringin juga dia melihat wajah lelaki yang mengatakan keluarganya tidak
beradat itu.
“Jemputlah masuk,” Zahid mengambil
alih tugas sebagai tuan rumah. Abahnya masih lagi belum keluar dari bilik.
Entah apa yang sedang dibuatnya pun Zahid tidak pasti.
“Saya Fareez.”
“Oh, ini lah Fareez,” kata Zahid
sambil menjeling ke arah adiknya. Kalau di ikutkan hati, memang makan
penamparlah adiknya itu. Qarina hanya menundukkan kepalanya.
“Yang mana satu Fareez?” terus
sahaja Kamal bertanya. Aduhai, macam orang gasar sahaja, langsung tidak
menghormati tetamu yang bertandang ke
rumah.
“Ini anak awak, kami dah pulangkan.
Periksalah, mana tahu kot-kot ada yang tercalar,” sindir Fatimah.
“Cikgu Timah,” panggil Hussain
perlahan.
“Kau sini Qina. Kau ni memang dah
gatal?” tengking Kamal tanpa mempedulikan tetamunya. Qarina terus menundukkan
kepalanya. Farrez hanya melihat. Melihat
kebisuan Qarina Kamal bertambah panas. Laju sahaja dia mendapatkan Qarina,
kepala Qarina ditunjalnya.
“Abahnya,” panggil Alina. Malu dia
dengan sikap suaminya.
“Awak diam. Kalau tak kerana awak
bagi muka sangat kat budak ni tak jadi macam ni, Kalau kau gatal sangat nak
berlaki, beritahu aku. Jangan ikut orang macam ni,” marah Kamal.
“Abah, Qina...” kata-kata Qarina
mati di situ. Bagaimana hendak dia menerangkan perkara yang sebenarnya kepada
Kamal.
“Menjawab. Menjawab,” Kamal terus
menengking. Kali ini cepat sahaja tangannya mengenai badan Qarina.
“Pakcik, apa yang pakcik buat ni?”
tanya Fareez.
“Qarina tak bersalah. Saya yang
paksa dia ikut saya,” sambung Fareez lagi.
“Kau jangan masuk campur. Ini anak
aku. Bini kau ke dia ni? Terima kasih sebab menghantar anak aku balik. Sekarang
nampak pintu tu?”
“Encik tak payahlah nak menghalau
kami. Kami cuma nak menghantar anak encik sahaja. Kami balik dulu,
assalamualaikum,” Hussain cuba menahan marahnya. Tidak pernah dia berjumpa
dengan orang sebiadap ini.
“Baguslah. Tapi ingat kalau anak aku
ada apa-apa. Aku cari kau,” katanya sambil menunjukkan ke arah Fareez.
“Carilah, tapi awak jangan susah
hati. Anak awak selamat dengan anak kita. Dengan anak orang lain tak tahulah
pulak,” sampuk Fatimah.
“Kau dengar tu Qina? Depan-depan kau
dia boleh cakap macam tu. Itulah bodoh sangat. Bagi belajar pun tak boleh
fikir.” Dengan segera Kamal terus menarik lengan Qarina. Qarina hanya menurut.
Sedikit pun dia tidak membantah. Dia tahu pasti teruk dia akan dikerjakan oleh
abahnya.
Hussain sudah tidak betah untuk
tinggal lebih lama di dalam rumah itu. Terus sahaja dia mengajak isteri dan
anaknya pulang.
“Encik, maafkan saya dengan kelakuan
suami saya,” Alina memohon maaf. Malunya bukan kepalang.
“Tak apa lah. Nak buat macam mana,
dah nasib dapat suami macam tu,” kata Fatimah. Tidak harus dia marah pada
keluarga Qarina dek kerana sikap ayah Qarina.
“Malu saya dengan keluarga Puan.
Tapi ialah..” Alina menyapu air matanya.
“Maafkan kami pakcik, makcik,
Fareez. Terima kasih kerana menghantar Qarina pulang. Entahlah, abah kami
memang macam tu. Selepas ini teruklah Qarina dikerjakan.”
“Kenapa dibiarkan? Salah tu, lagipun
bukan salah Qarina,” Hussain menyatakan pendapatnya. Dalam dunia maju ini masih
ada lagi manusia yang menggunakan kekerasan.
“Pakcik tak faham keadaan keluarga
kami. Abah tu macam diktaktor, sebab itu Qarina memang tak duduk sini. Dari
tingkatan satu lagi dia dah duduk asrama, jauh dari abah. Dia memang berani
kalau dia betul tapi rasanya malam ini dia terpaksa tahanlah. Abah memang
pantang dengan kelakuan macam. Bukan dia tak kenal dengan abah dia.”
“Maafkan saya bang, makcik.”
“Tak apa lah Fareez, cuma kalau
boleh janganlah berhubung dengan Qarina lagi. Makcik minta tolong dengan
Fareez.”
“Mujurlah kita tak sempat berbesan
dengan orang macam ni,” Fatimah bersuara.
“Entahlah, tapi saya rasa tak sedap
hati. Kesian Qarina. Awaklah yang beria-ia sangat nak mengajak dia ke majlis
tu. Kalau tak kerana awak, semua ini tak terjadi,” kali ini Hussain memarahi
isterinya.
“Saya berkenan pada Qarina tu. Tapi,
dah jadi macam ni. Cari lain aje lah Fareez. Kau tak takut ke dapat bapa mertua
macam singa. Tak tahu adat pulak tu.”
Fareez hanya mendiamkan diri. Masih
terbayang di matanya wajah kelu Qarina. Apakah nasib Qarina ketika ini.
“Reez, kenapa ni? Lupakanlah Qarina
tu. Nak buat macam mana?”
Adakah Qarina sedang di pukul oleh
ayahnya? Aduhai, macam tidak percaya pula gadis yang disangka cakap banyak dan
ceria menerima nasib begini. Tidak semena-mena dia membuat pusingan U, mujurlah
kenderaan lain tiada ketika ini. Menjerit-jerit Fatimah dengan tindakan
anaknya.
“Kau ni kenapa? Dah gila?” marah
Fatimah.
“Reez nak ke mana ni?” tanya Hussain yang turut
terkejut dengan tindakan anaknya.
“Ke rumah Qarina,” jawab Fareez. Dia
nekad, dia sekali-kali tidak akan meninggalkan Qarina ketika ini. Dia akan
bertanggungjawab. Kalau hendak dibelasahpun dia sanggup.
“Anak awak ni dah gila lah, macam
dah tak ada perempuan lain. Patah balik, mama tak hingin lah nak berbesan
dengan orang gasar tu,” arah Fatimah. Walaupun hatinya benar-benar terpaut pada
Qarina namun sikap bapa Qarina membuatkan hatinya sakit.
“Diamlah awak. Dari tadi bercakap
sahaja, apa tak lenguh ke mulut awak tu Cikgu Timah? Ini semua awak yang punya
angkara,” marah Hussain. Seperti anaknya, dia juga tidak sanggup untuk
meninggalkan Qarina di tangan lelaki seperti Kamal.
Dari
jauh kelihatan terang benderang kawasan rumah Qarina. Riuh rendah, seolah-olah
ada yang sedang menyabarkan seseorang. Fareez terpaksa memberhentikan keretanya
agak jauh.
“Balik, mama cakap,” marah Fatimah.
“Mama, tak patut kita buat macam ni
pada Qarina. Ini semua salah Reez.”
“Biarkan mama kau sendiri kat sini.
Bukan berani sangat dia tu, ni kawasan kampung, silap-silap adalah yang meneman
dia nanti. Jom kita, papa nampak macam riuh sahaja kat rumah Qarina.”
Fatimah yang mendengar kata-kata
suaminya mula merasa tidak sedap hati. Dengan segera dia meluru keluar. Hish,
takut juga dia mana tahu ada hantu di kampung ini.
“Sabarlah Mal,” pujuk seorang lelaki
yang berusia.
“Macam mana aku nak sabar. Memang
mati aku kerja kan budak ni. Dah mengikut orang satu fasal, aku suruh dia kahwin
dia tak nak.”
Kelihatan Alina sedang menangis di
hujung sana. Zahid sedang memegang lengan ayahnya. Qarina sedang terjelepok
duduk di atas tanah, kelihatan darah keluar dari bibirnya. Terkejut Fareez
melihatnya.
“Ya ALLAH, Qarina.” Dengan segera Fareez
mendapatkan Qarina yang sedang menangis teresak-esak.
“Astaqfirullahalazim, apa dah jadi
ni?” tidak sampai 15 minit dia meninggalkan rumah ini, Qarina sudah bertukar
seperti kain buruk. Fatimah dengan segera mendapatkan Qarina.
“Pakcik, apa yang pakcik dah buat
ini?” Fareez sudah tidak mengenal tua muda. Dia menengking Kamal. Buat pertama
kali, ada yang berani bersuara di hadapannya. Kamal mula hilang pertimbangan
sekali lagi.
“Kurang ajar budak ini. Bukan ke aku
dah halau kamu semua? Pergi balik, ini anak aku, keluarga aku. Kau jangan nak
masuk campur.”
“Saya tahu, tapi tak kan sampai nak
bunuh dia. Apa salah dia?”
“Tak salah kau cakap? Kau yang buat
dia macam ni. Kau tahu tak fasal kau anak aku tak nak kahwin dengan orang lain.
Kau usung dia ke sana sini,”
“Abah. Bukan sebab dia abah,” Qarina
bersuara lemah.
“Kau tengok tu. Menjawab lagi budak
ni,” marah Kamal kepada Qarina. Dia cuba mencapai kayu yang ada.
“Abah! Cukuplah tu, abah nak buat
sampai Qina mati ke?” Zahid mula bersuara lantang.
“Kau pun nak menentang aku?”
“Kamal, kau ni dari muda sampai ke
tua tak habis dengan baran kau. Kau nak bunuh anak kau ke? Salah apa yang besar
sangat dia buat?” lelaki tua itu bersuara, tidak padan dengan usianya. Suaranya
lantang.
“Teh tahu tak, dia ikut budak ni.
Sebab tu dia tolak pinangan yang saya pilih untuk dia. Entah dah rosak budak
ini kita tak tahu,” tuduh Kamal.
“Astaqfirullahalazim. Janganlah
tudah dia macam tu. Kau ni memang dah gilalah Kamal. Tak kan kau tak kenal anak
kau.”
“Teh, aku hormat pada Teh. Jangan
sampai hilang hormat aku pada Teh. Teh jangan nak masuk campur dalam urusan
keluarga aku.”
“Mal, aku bukan nak masuk campur.
Tapi Qarina ni dah dewasa. Masa kecil-kecil bolehlah kau hentam budak ni. Dia
dah besar panjang, dah kerja. Tak kan kau nak guna cara yang sama untuk
mengajar anak. Kau tak malu ke pada orang kampung. Kau nak semua orang tahu?”
Kamal diam, namun tidak lama.
Sebentar sahaja, kemudian barannya datang kembali.
“Aku memang tak puas hati dengan
budak ni Teh. Dua anak perempuan aku tak ada yang perangai macam ni. Dari kecil
sampai besar suka membangkang aku. Suka buat perkara yang aku tak suka. Aku
memang pantang kalau anak dara aku ikut orang lelaki. Ini semua salah kau
Alina,” kali ini marahnya merebak kepada Alina.
“Abah, mak tak salah. Qina yang
salah,” Qarina bersuara. Dia tidak mahu emaknya menerima tamparan disebabkan
kesalahannya. Memang itu salahnya kerana akur dengan permintaan Fareez. Tetapi
di saat itu juga dia marah pada Fareez kerana mulut Fareezlah ini semua
terjadi.
“Kau memang suka malukan aku kan?
Patutlah kau tak nak terima pinangan Saiful. Malu aku kau tahu tak? Kau cakap
tak bersedia, tapi kau ikut lelaki ni. Kau memang sengajakan? Nak bagi aku
sakit hati. Kau cakap, kau tak ada apa-apa dengan lelaki, tapi kau ikut dia?
Kau ingat kalau apa-apa berlaku pada kau, dia nak bertanggungjawab?”
Fareez mendengar dengan renungan
yang tajam. Qarina masih lagi terjelepok di situ. Mama dan papanya hanya
menjadi pemerhati. Kenapa kejam sangat Kamal? Bukan kesalahan besar yang
dilakukan oleh Qarina sehingga begini dia dihukum.
“Pakcik, bukan salah Qarina. Saya
yang memaksa dia. Tak patut apa yang pakcik buat pada dia. Dia bukan lagi budak
kecil, dah 30 tahun pun. Dia ada hak untuk hidup dia,” tegas suara Fareez.
“Itu kata kau. Selagi dia tidak
kahwin, dia adalah bawah tanggungjawab aku. Aku ayah dia. Kau ada hal apa nak
mengajar aku. Aku tak libas kau pun dah cukup baik tau. Sekarang kau bawa
keluarga keluar dari tanah aku. Qarina anak aku. Fasal kau semua ni terjadi.
Encik, aku nak tanya. Kau ada anak perempuan? Macam mana kau rasa kalau anak
kau ikut leleki balik ke rumah keluarga dia tanpa pengetahuan kau. Macam mana?
Kau nak sambut dengan kompang ke kau nak sambut dia dengan parang?” kali ini
Kamal bertanya kepada Hussain.
“Encik Kamal, saya minta maaf. Tapi
tak patut Encik Kamal buat Qarina macam ni,” Hussain bersuara.
“Abahnya, saya tahu awak bukan marah
Qina sebab ini. Tapi awak marah sebab dia tolak pinangan anak saudara awak kan?
Itu yang awak marah sangat,” kali ini Alina mula bersuara. Sudah lama dia
menahan rasa geramnya terhadap Kamal.
“Awak sedar tak anak dara awak sudah
30 tahun. Salah ke kalau aku sebagai ayah dia, cuba cari jodoh untuk dia? Aku
tak marah kalau dia tolak, tapi aku marah sebab dia mencemarkan maruah aku
dengan mengikut lelaki ini. Lelaki yang aku tak kenal, yang aku tak tahu
asal-usulnya,” tengking Kamal.
“Encik Kamal, saya rasa awak ni ada
penyakit jiwa tahu tak? Fareez, jom kita balik,” Fatimah berkata sambil menarik
lengan anaknya.
“Kau tengok, kau tengok Qina. Mereka
dah nak balik. Pergi balik. Aku tahu macam mana nak mengajar keluarga aku. Kau
jangan jumpa lagi anak aku.”
Fareez mengetap bibirnya. Dia tahu
Kamal mempunyai hak ke atas Qarina. Tetapi bukan sebegini Qarina harus di
layan. Fareez melihat ke wajah Qarina.
Lain benar dengan Qarina yang di kenalnya. Lemah dan longlai.
“Pakcik, saya akan bertanggungjawab.
Andai perbuatan saya yang hanya membawa Qarina berjumpa dengan keluarga saya
salah di mata pakcik, saya akan kahwin dengan dia,” tegas suara Fareez. Dia
nekad dengan apa yang dikatakannya.
“Kau dah gila ke Fareez? Apa yang
kau cuba buat ni?” marah Qarina. Tidak habis-habis Fareez menyusahkan dia.
“Kau nak kahwin dengan dia? Kau tahu
tak, dia beritahu aku yang dia tak ada perasaan pada kau. Dia beritahu aku yang
dia tolong kau sahaja. Sekarang ni siapa yang menipu. Kau ke dia Qina?” Kamal
menjadi bertambah berang.
Fareez melihat ke arah Qarina. Dia
tidak menyangkal apa yang dikatakan oleh Kamal. Kemudian pandangannya berubah
ke arah Fatimah yang sudah tidak tahu hujung pangkalnya.
“Abah, hal kecil sahaja dah jadi
besar. Zahid tak tahu apa yang tak kena dengan abah ni. Selama ini kami
anak-anak tak pernah bantah kata abah. Hitam kata abah kami hanya menurut.
Tetapi ini dah keterlaluan. Qina dah mengaku salah, cukuplah tu. Apa lagi yang
abah marahkan sangat ni.”
“Kau anak-anak tak tahu perasaan
aku. Kau tak tahu tidur malam aku tak lena selagi dia ni tak kahwin. Kalau dia
duduk di sini tidak mengapa, ini tidak, Jauh dari mata aku. Aku marah, aku
pukul kau cakap aku tak sayang. Aku orang kampung dah tua, kau orang semua
sudah mula membelakangkan aku. Kau tahu tak adik kau tu anak dara, apa yang di
buat di sana kita tak tahu. Kau tengok dia, dari bertudung sekarang bogel
kepalanya. Apa nak jadi ni. Kau nak adik kau jadi macam anak Man, anak Lijah.
Duduk bandar, balik-balik perut bunting tapi tak berlaki. Hari ini dia berani
ikut lelaki ini ke rumah keluarga dia, untuk apa? Untuk seronok.”
“Abah, dia hanya pergi ke rumah
kahwin aje. Bukan ke mana pun. Itu pun keluarga Fareez ikut sama.”
“Orang bandar, aku ni orang kampung.
Maju macam mana pun dunia ini. Aku tetap orang kampung. Aku tak boleh terima
apa yang adik kau buat. Memang aku marah sebab dia tolak pinangan Saiful, tapi
aku lagi marah kalau dia tak jaga maruah dia. Perempuan mana yang ada maruah
kalau dah sanggup ikut lelaki balik rumah? Ini yang kita tahu, yang kita tak
tahu?” Kamal tetap berpendiran teguh dengan perbuatannya. Sedikit pun tiada
rasa bersalah.
“Saya tetap akan mengambil Qarina
sebagai isteri saya. Saya tak boleh biarkan dia terus jadi mangsa keadaan macam
ni. Tapi pakcik dah silap menilai anak sendiri.”
“Kalau kau nak jugak, tak pa. Malam
ini jugak aku kahwinkan kau dengan dia,” Kamal rasa tercabar dengan kata-kata
dari Fareez.
“Fareez, mama tak setuju. Mama tak
nak,” pekik Fatimah. Fareez terus sahaja mengajak mama dan papanya ke hujung
halaman. Ada perkara yang perlu dia jelaskan pada mereka.
“Mama, Qarina jadi macam ni sebab
Fareez. Sebenarnya Fareez langsung tak bercinta dengan dia. Tapi Fareez yang
suruh sebab Fareez tak tahan dengan mama yang asyik nak carikan jodoh untuk
Fareez. Mama, biar Fareez yang buat keputusan. Papa, tolonglah. Fareez tak
boleh tengok Qarina macam ni. Kalau Fareez tak keluarkan dia dari kepompong
ayahnya, lagi teruk dia dikerjakan. Fareez puncanya. Kalau kita tak telefon keluarga dia, pasti tidak jadi
begini.”
“Jadi selama ni Fareez tipu mama.
Sejak bila anak mama jadi penipu. Mama tak pernah paksa Fareez ? Mama hanya carikan sahaja
sebab mama tahu anak mama tak pernah kenal mana-mana perempuan. Kenapa Fareez
tak pernah beritahu mama, kenapa kena tipu mama?” jelas terukir di wajah
Fatimah kekecewaan.
“Betullah apa yang Qarina beritahu
pada Kamal? Kenapa Fareez buat macam ni Boleh ke terima Qarina? Cinta ke Qarina pada Fareez?
Fareez ada fikir? Jangan buat keputusan melulu,” nasihat Hussain kepada Fareez.
“Fareez tak boleh biarkan Qarina
macam ni. Papa tak kasihan ke? Fareez tak sangka ada bapa yang sebegitu.”
Fatimah dan Hussain saling
berpandangan.
“Kalau dah macam tu, papa serahkan
pada Fareez, ini hidup Fareez. Tapi jangan Fareez menyesal suatu hari nanti.
Fareez belum kenal dia secukupnya,” Hussain berkata lagi. Fareez hanya mampu
menelan air liur, yang pasti keputusannya ini bakal menyelamatkan Qarina.