Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,056
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12

Fareez terpaksa juga mengambil Iqram di hotel setelah berkali-kali Iqram menghubunginya. Muka Iqram masam mencuka, hairan juga Fareez melihat hanya sepupunya sahaja yang menunggunya di hadapan hotel, langsung dia tidak melihat kelibat Balqis di situ.

“Balqis mana?” Fareez bertanya.

“Ada kat bilik, sakit kepala. Biarkanlah dia. Qarina macam mana?” tanya Iqram perlahan.

“Kena tahan. Ada kat wad. Ini pun aku keluar beli barang untuk dia,” ujar Fareez.

“Sakit apa dia tu? Semalam elok aje.” Serba salah Fareez sama ada hendak memberitahu kepada Iqram tentang Qarina.

“Alahan ketam ke?” duga Iqram, dia yakin itu puncanya. Bukan dia tidak kenal dengan Qarina, walaupun bertahun mereka tidak berjumpa tetapi dia yakin Qarina tetap orang yang sama, orang yang dia cintai dulu, kini dan selamanya. Fareez menganggukkan kepalanya. Tiada guna untuk dia menipu Iqram.

“Kau tak tahu ke yang dia alah pada ketam?”

“Tak, dia tak pernah cakap.” Akui Fareez.

“Berapa lama kau kenal dia?” Iqram bertanya, dia merasakan yang Qarina sekadar ingin menyakiti hatinya. Kalau benar begitu, maknanya dia mempunyai peluang untuk memiliki Qarina sekali lagi.

“Kenapa kau tanya?” Fareez menjadi tidak sedap hati dengan Iqram.

“Saja nak tahu.”

“Lamalah juga untuk aku kenal hati dan budinya. Mungkin tak selama kau kenal dia, tapi aku senang dengan dia,” Fareez membuat pengakuan, rasanya itu jawapan selamat dan terbaik buat masa ini.

Iqram mendiamkan diri. Mujurlah ini sepupunya kalau tidak entah apa yang bakal berlaku. Cemburu? Memang dia cemburu. Kenapa harus Fareez sepupunya yang mendampingi Qarina. Kenapa bukan sahaja orang lain. Kalau orang lain, pasti ditariknya tangan Qarina, langsung dia tidak akan peduli. Tetapi berani ke dia berbuat begitu di hadapan isterinya? Mahu mengamuknya Balqis di situ juga.


Fareez dan Iqram tiba ketika Qarina usai mandi. Dia mengenakan baju wad yang berwarna biru tua. Bengkak di mukanya semakin berkurangan.

“Assalamualaikum,” Fareez memberi salam, dia meletakkan barang-barang yang dibelinya. Mug termos dan juga milo 3 in 1. Ada juga satu tin biskut kering.

“Tak tahu nak beli apa,” jujur pengakuan dari Fareez.

“Qina okey dah ke?” soal Iqram.

Qina? Sudah lama dia tidak mendengar orang memanggilnya dengan nama itu. Hanya Iqram dan keluarganya serta teman rapat sewaktu dia bersekolah sahaja yang memanggilnya Qina. Rasa rindu semakin menerjah hatinya, sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu.

Qarina menganggukkan kepala, matanya tetap mencari kelibat Balqis. Kalau Balqis mendengar Izram memanggilnya dengan nama Qina mahu dihamunnya Iqram di saat ini.

“Balqis tak datang, dia sakit kepala,” Iqram memberitahu setelah dia melihat Qarina yang tercangak-cangak seolah-olah mencari sesuatu.

“Makan lagi ketam. Dah tak boleh makan nak makan jugak,” kata Iqram. Terkebil-kebil sahaja Fareez mendengarnya. Naik berdesing juga telinganya.

Qarina menjadi semakin sebak mendengarnya. Suara itu, kata-kata itu terlalu lama dirinduinya. Dia dengan segera memusingkan badannya, tidak mahu terus berhadapan dengan Iqram. Kenapalah hati mendera jiwanya sebegitu, aduhai pedihnya rasa cinta pada Iqram. Kenapa bertahun-tahun dia gagal melupakan lelaki yang sudah pun menjadi milik orang.

Iqram semakin berani menghampiri Qarina, dia semakin yakin kasih antara mereka masih ada, masih jelas.

“Qina,” panggil Iqram dengan lembut, suaranya bergetaran. Qarina sedikit pun tidak menoleh, tidak menyahut.

“Maafkan saya,” kata Iqram lagi.

“Maafkan saya kerana pernah tinggalkan Qina. Saya menyesal. Saya tak fikir panjang,” Iqram bersuara lagi.

“Ahem,” Fareez berdehem. Hish, apa dia tunggul kayu ke kat sini. Bukan ke dia dengan Qarina sedang bercinta sekarang. Suka-suka hati sahaja Iqram meluahkan rasa, di hadapannya pula tu.

Qarina seolah-olah baru tersedar ketika mendengar deheman dari Fareez. Terlalu jauh dia mengharap. Iqram yang pernah melukakan hatinya, walaupun hingga kini dia masih sayangkan Iqram, namun dia pernah melafazkan janji. Sekali janji di buat tidak akan di mungkirinya lagi. Dia perlu berdepan dengan cintanya, untuk dirinya.

“Sudahlah Iqram, aku dah lama lupakan apa yang berlalu antara kita,” Qarina tidak jujur. Kata-kata itu tidak diluahkannya. Dia terpaksa menulis di atas kertas. Mujurlah dia mendapat kekuatan, rasanya kekuatan itu datangnya dari Fareez yang kini ada di sebelahnya.

“Aku maafkan kau. Tak payahlah kita ungkit apa yang berlaku antara kita dahulu. Itu semua cinta monyet sahaja. Lagipun kau dah bahagia dengan Balqis, dan aku dah bahagia dengan Fareez. Kita sama-sama bahagia, tiada apa yang perlu dikatakan lagi, yang perlu dikesalkan lagi,” tulis Qarina lagi. Mujurlah dia hanya meluahkannya dengan menulis. Kata-kata yang ditulisnya memang tidak mampu untuk diluahkan. Namun nampak sangat ketidakikhlasannya tatkala menuliskan kata-kata itu. Fareez sekadar membacanya sedikit pun dia tidak percaya dengan apa yang dilafazkan Qarina.

“Qina , awak tak boleh tipu saya,” Iqram terus bersuara. Qarina hanya tersenyum hambar.

“Iqram, kita dah ada kehidupan masing-masing.”

“Qina, awak buat macam ni sebab nak balas dendam kan? Sebab saya tinggalkan awak? Saya minta maaf. Saya janji saya akan jadi milik awak seorang, maafkan saya,” Iqram mendesak.

“Iqram, agak-agaklah. Aku ada kat sini ni. Kau ni cakap macam aku ada kat seberang laut sahaja,” Fareez mula bersuara. Dari tadi hanya dia yang menjadi penonton drama swasta sahaja.

“Kau diam Fareez. Ini urusan aku dengan dia,” Iqram sudah terlupa siapa Fareez.

“Iqram. Aku tahu ini urusan kau dengan dia. Tapi agak-agak lah, kau tu suami orang. Qarina ni buah hati aku,” Fareez terbawa-bawa dengan wataknya. Dia benar-benar rasa marah mendengar kata-kata dari Iqram. Qarina terus memandang kepada Fareez. Biar betul mamat poyo ni.

“Fareez aku masih sedar lagi siapa aku. Aku tak nak Qarina buat kesilapan sebagai mana yang telah aku lakukan. Kau tengok aku dengan Balqis macam mana?” Iqram mempertahankan tindakannya.

“Iqram, kalau kau ada masalah dengan Balqis, selesaikan dengan dia. Jangan cuba babitkan Qarina,” suara Fareez sudah agak tegang.

Iqram meluru ke arah Fareez, baju Fareez dicekaknya. Qarina menjerit, dia dengan segera melompat dari katil mendapatkan kedua-duanya.

“Sudah, Iqram tolong pergi dari sini. Kau yang tinggalkan aku, kau yang putuskan semua hubungan kita. Tolonglah Iqram,” rayu Qarina. Walaupun susah dia terpaksa juga bersuara. Mujurlah tuturnya sudah semakin jelas.

“Aku dah minta maaf Qarina, apa lagi yang kau nak. Kalau kau nak suruh aku lepaskan Balqis aku sanggup asalkan kita dapat bersama macam dulu. Katalah apa sahaja, cinta kita bukan cinta biasa Qarina. Sayang aku pada kau, kau cinta pertama aku. Hingga ke saat ini aku tak pernah lupakan kau. Aku menyesal dengan keputusan aku ketika itu. Aku muda, mentah untuk menilai semuanya. 10 tahun aku menyesali keputusan aku, tolong kembali Qarina,” pujuk Iqram.

“Iqram. Tolong jangan buat aku macam ni. Baliklah pada Balqis, jangan beri peluang untuk Balqis terus jauhkan diri dari aku.”

“Sebab kau pernah berjanji dia kan, antara aku dengan dia, kau akan pilih dia. Betul apa yang dikatakan Balqis, kau hanya mahukan aku sebab kau dicabar. Aku tahu nilai aku di mata kau hanya satu tabik spring dari kawan-kawan kau kan. Kau guna aku secukupnya. Sampai satu tahap, kau serahkan aku pada Balqis, kawan baik kau. Hebat, sekarang pada Fareez pula kau akan lakukan. Sebab itu kau tak terima aku kan? Sebab dari dulu hingga sekarang hanya aku yang berpegang pada janji kau tulis di tepi pantai. Kau tak akan lupakan aku. Kau penipu Qarina, kau memang penipu. Aku hanyalah trofi kemenangan kau,” luah Iqram. Dia menepuk tangannya.

“Tahniah Qarina, hebat cinta kau pada aku.”

“Iqram,” luluh suara Qarina.

“Kau jaga-jaga Fareez. Kau tak kenal perempuan berbisa ini. Racun yang dia tinggalkan sampai ke detik ini masih terasa. Kau nak aku lupakan kau kan, baik. Aku akan lupakan kau. Mulai detik ini Qarina. Selama ini aku menyesal kerana meninggalkan kau. Sekarang aku sedar memang aku patut tinggalkan kau dulu.”

“Encik, sila keluar encik,” seorang pengawal keselamatan datang meminta Iqram keluar dari kamar persendirian itu. Mungkin ada jururawat yang melaporkan kejadian yang berlaku.

“Sebelum aku keluar, nah kau ambil balik ini. Terima kasih Fareez. Jangan sebab perempuan ini kita bermusuh, walau apa pun kau tetap sepupu aku. Sebagai sepupu aku nasihatkan kau jauhkan diri kau dari perempuan ini,” Iqram mengambil sekeping gambar Qarina yang masih lagi manis berpakaian sekolah. Dicampakkan gambar itu ke muka Qarina. Kemudian dia berlalu pergi.

“Iqram,” Qarina kemudiannya terduduk. Pedih hatinya mendengar kata-kata dari Iqram. Fareez mengambil gambar yang dicampakkan oleh Iqram sebentar tadi. Kasihan pula melihat keadaan Qarina sebegitu. Kalau betul apa yang dikatakan oleh Iqram ternyata Qarina bukan calang-calang perempuan. Perempuan berbisa.

“Qarina,” Fareez memanggil Qarina. Bahu Qarina di peganganya dengan niat untuk membawa Qarina kembali berehat di katilnya.

“Pergi, pergi dari sini,” kata Qarina.

“Jangan macam ni, muka tu dah tak berapa nak cantik. Menangis pula, bertambah-tambahlah buruk muka tu,” kata Fareez dengan selamba.

“Kau dengan sepupu kau tu sama sahaja, suka sakitkan hati aku. Pergi,” tengking Qarina dia langsung tidak mempedulikan jururawat yang berada di dalam biliknya.

“Okey, jangan lah marah-marah. Bawa bertenang, tarik nafas dalam-dalam. Okey dah ke? Tadi nak bercakap pun tak boleh. Sekarang ni dah siap main tengking-tengking pulak. Berkesan sungguh ubat tu. Atau dah baik bila tengok muka Iqram?” pujuk Fareez yang masih tidak berganjak.

Qarina memejamkan matanya, dia cuba bertenang. Sebolehnya dia mahu bersikap waras. Namun tidak berjaya, sebaik dia membuka mata dan dia melihat Fareez di hadapan matanya tersengih-sengih seolah-olah sedang memerlinya. Qarina tahu lelaki seperti Fareez tidak mudah mengaku kalah. Akhirnya dia yang terpaksa mengalah.

“Okey dah?” tanya Fareez bila dilihatnya Qarina yang sudah agak tenang. Qarina mendiamkan diri, tiada niat langsung untuk dia menjawab pertanyaan dari Fareez.

“Saya balik dulu, nak mandi,” beritahu Fareez. Qarina tetap mendiamkan diri. Fareez mengeluh, hish susah betul nak faham perangai andartu ni, bisik hati Fareez.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.