Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,054
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6

“Assalamualaikum,” Fareez menegur Qarina.

“Waalaikumussalam. Nak ke mana pagi-pagi ni?” tegur Qarina.

“Tak ke mana pun. Saya minta maaflah atas kata-kata mama saya petang semalam,” Fareez meminta maaf di atas gurauan mamanya.

“Tak ada apa lah. Saya tak kisah. Saya tak boleh lama-lama ni. Jangan lupa datang kerja awal sikit esok. Saya pergi dulu,” Qarina meminta diri. Bahaya lama-lama di sini, mana tahu kalau-kalau Fatimah muncul. Lagi parah, silap hari bulan boleh pula orang tua itu bertanya hantaran berapa ribu. Bukan boleh di kira sangat.

“Insya-ALLAH. Terima kasih ye Cik Qarina.”

“Sama-sama. Assalamualaikum,” Qarina kemudian terus melangkah laju. Pura-pura hendak cepat, padahal masa masih lagi awal. Fareez hanya melihat lengok Qarina. Nampak cantik dengan suit pejabat yang berwarna merah jambu, kena dengan kulit putihnya.

“Sembang apa dengan Qarina tu?” tiba-tiba suara Fatimah menerjah.

“Mama ni, kejutkan orang sahajalah. Tak ada pun. Dia pesan suruh ke tempat kerja awal sikit esok,” geram Fareez dengan sikap mamanya.

“Tanya pun marah?”

“Jadi, berjiranlah dengan mamat poyo tu? Lepas ni bolehlah datang kerja sekali,” Fatin mengusik. Dari tadi Qarina sibuk bercerita tentang Fareez yang kini telah menjadi jirannya secara tidak sengaja.

“Jimat duit minyak saya kan?” sengaja Qarina melayan usikan Fatin.

“Pagi-pagi dah menyembang?” Firhad menegur.

“Bos! Tak lah mana ada sembang-sembang. Kami tengah bincang hal kerja. Dah siap ke laporan tu Fatin?” Qarina pura-pura bertanya.

“Er,, tinggal sikit aje lagi,” jawab Fatin.

“Laporan apa? Laporan mamat poyo? Tadi saya dengan ada perkataan mamat poyo?” serkap Firhad.

“Iya ke? Bos salah dengar kot. Saya nak pergi fotastat surat ni dulu. Assalamualaikum,” tiba-tiba Fatin mendapat idea untuk melarikan diri dari Firhad. Dia kemudiannya membawa sekeping surat yang ada di atas meja dan melenggok pergi. Tinggallah Qarina sendiri.

“Awak? Tak ada-apa nak fotostat ke?” Qarina mati akal. Dia tersenyum, nampaknya terkantoi juga dia akhirnya.

“Sebenarnya kami tengah cerita fasal jurutera baru tu. Fareez Aiman,” akhirnya Qarina mengakuinya.

“Kenapa dengan dia? Poyo sangat ke dia tu?”

“Tak lah, dia berjiran dengan saya sekarang ni. Itu yang saya ceritakan pada Fatin.”

“Iya ke? Kenapa tak beritahu saya, yang sebelah rumah Qarina ada kosong?”

“Kenapa?” tanya Qarina. Naik seram dia dengan sikap Firhad.

“Kalau saya tahu, saya nak pindah kat situ, boleh kita berjiran. Jangan rapat sangat dengan dia tau,” pesan Firhad.

“Kenapa?”

“Saya cemburu,” kata Firhad dengan selamba. Dia kemudiannya mengeyitkan mata kepada Qarina sebelum meninggalkan Qarina. Terkejut Qarina menerima kenyitan dari Firhad. Mukanya merah seperti udang kena bakar.

“Tolong tengokkan Fareez ni ye Qarina. Makcik ni bukannya apa, ini kali pertama dia berjauhan dari makcik dan pakcik,” kata Fatimah. Mukanya muram. Fareez mengaru kepalaya. Malu dengan sikap mamanya. Lebih-lebih lah pulak.

“Insya-ALLAH makcik,” Qarina terpaksa mengaku.

“Nanti senang-senang datang la Kuala Lumpur. Datang ke rumah makcik. Balik dengan Fareez pun tak apa. Qarina pun jaga diri elok-elok ye, terima kasihlah sebab sudi layan makcik ni.”

“Sudahlah tu mama. Nanti kena tinggal bas pulak. Bas pukul 7.30 ni,” Fareez mengingatkan.

“Iyalah, makcik balik dulu ye. Jangan lupa senang-senang telefon makcik. Kalau Fareez buat perangai pun telefon makcik, beritahu makcik.”

“Insya-ALLAH makcik, balik elok-elok ye.”

“Bilalah orang tu ni nak berangkat ni. Aku nak masuk dah ni.”Lega rasanya di dalam hati bila Fatimah akhirnya melangkah meninggalkan pangsapuri itu.

Qarina mendengar seperti rumah sebelah di buka. Dia melihat ke arah jam dinding di rumahnya. Sudah menjangkau ke jam 8.30 malam. Mungkin Fareez sudah pulang ke rumah. Dia merebahkan badannya di katil. Keempukkan tilam berjenama Vono benar-benar merehatkan badannya. Dia melayan perasaannya sambil mendengar muzik. Tenang dan damai. Namun kedamaiannya itu tidak lama. Ketenangannya di ganggu dengan suara orang menekan loceng rumahnya. Dia sudah mengagak pasti Fareez. Dengan malas dia menuju juga ke pintu.

“Ada apa Encik Fareez?” Qarina bertanya, nadanya sengaja ditekankan sedikit agar Fareez tahu dia sedang enak berehat dan rehatnya telah diganggu.

“Saya nak minta maaf kalau-kalau sikap keluarga saya menganggu Cik Qarina.”

“Tak ada apalah. Saya sebenarnya sedang berehat, jadi kalau tak ada apa-apa perkara yang penting, saya masuk dulu. Kita jumpa di pejabat esok,” Qarina berterus-terang.

“Okey, saya cuma tak nak Cik Qarina salah faham dengan kata-kata emak saya tu. Pergilah berehat. Lagipun dengan usia Cik Qarina ni, memang kena berehat banyak kan. Assalamualaikum,” sinis sahaja kata-kata dari Fareez. Bukan sengaja tetapi sudah begitu sikapnya, kata-katanya sentiasa sahaja sinis.

Terkulat-kulat Qarina mendengar kata-kata dari mulut Fareez. Marah? Tidak, dia tidak marah cuma tergamam sahaja. Sikit pun dia tidak menduga Fareez akan berkata sedemikian.

“Betul ke apa yang aku dengar tadi?” tanya Qarina pada dirinya sendiri. Dia masih berada di hadapan pintu rumahnya. Terkebil-kebil dia melihat sahaja Fareez yang sudah pun hilang dari pandangannya.

Suasana di pejabat agak sibuk, maklumlah ada kakitangan baru, jurutera pula. Agaknya kalau setakat yang melapur diri berjawatan pembantu am, pasti sambutannya tidak semeriah ini. Qarina hanya menjadi penonton, sikit pun dia tidak menyapa Fareez. Sekadar berbalas senyuman, Fareez pun begitu juga. Sembangnya hanya pada dua tiga orang kerani pentadbiran yang muda belia.

“Cik Qina, kenapa menyorok dalam bilik aje? Makan hati ke tengok jiran bermesra dengan awek-awek kat luar tu?” Fatin memang suka mengusik.

“Nak termuntah saya Fatin. Takat budak poyo macam tu saya tak hairanlah Fatin. Banyak lagi perkara penting yang saya kena fikirkan. Lagipun, yang nak sambut sangat dia tu kenapa? Budak baru nak kenal dunia tu Fatin,” jawab Qarina.

“Peramah betullah dia tu Cik Qina. Habis semua orang ditegurnya, sampai mat bangla tukang sapu pun dia tegur. Baguslahkan Cik Qina,” puji Fatin.

“Baguslah kalau macam tu. Ini tidak. Baru bergelar jurutera dah berlagak gila. Okeylah tu, jangan sembang aje pandai, buat kerja ke laut aje. Nanti kecoh pulak Vincent tu,” ujar Qarina.

“Assalamualaikum, Cik Qarina. Boleh saya masuk ke?”

“Panjang umur dia Cik Qina, sebut-sebut dah terpacul depan pintu,” kata Fatin perlahan.

“Encik Fareez, jemputlah masuk,” Qarina mempelawa. Fatin kemudiannya mengambil fail yang berwarna merah jambu lalu dia pun melangkah keluar. Sempat dia melemparkan senyuman buat Fareez.

“Macam mana dengan pejabat baru? Suka?” tanya Qarina.

“Boleh lah, lama dah ke Cik Qarina kerja kat syarikat ni?” soal Fareez.

“Baru aje, tapi syarikat ni tak ada masalah buat masa sekarang. Untuk hari yang akan datang, tak pasti pula saya. Kenapa? Encik Fareez takut?”

“Hish, tak payahlah berencik dengan saya, rasa macam pelik lah pulak. Panggil saja Fareez, kalau Cik Qarina muda dari saya bolehlah panggil Abang Fareez.”

“Ya Allah mamat ni, boleh selamba badak aje dia susun ayat dia. Ingat aku ni tua sangat ke?”

“Kalau macam tu, panggil saya Kak Qarina. Elok sikitkan, kena berbudi bahasa pada yang tua,” ujar Qarina yang cuba menahan rasa benggangnya.

“Betul jugak tu. Jadi, petang ni kita makan sekali nak. Kak Qarina belanja saya makan.”

“Poyonya mamat ni.”

“Alahai, petang ni akak tak bolehlah dik, akak ada perjumpaan kelab,” Qarina mengelak. Hatinya bertambah bungkam. Sudahlah dipanggil kakak, di suruh pula belanja. Memang hampeh lah jejaka di hadapannya. Mujurlah bukan kategori lelaki idaman Malaya.

“Ada perjumpaan warga emas ke?”

Qarina mengarukan tapak tangannya. Harus makan penampar jugak mamat poyo ni, desir hati Qarina.

“Taklah, perjumpaan dengan kekasih hati,” Qarina menipu. Dia kemudiannya berpura-pura membelek fail di hadapannya, menunjukkan yang dia mempunyai kerja yang perlu diselesaikan. Fareez faham, lalu dia meminta diri. Lega rasa hati Qarina.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.