Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,057
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

Terkial-kial Mariam mencari nombor telefon bimbit adiknya. Dia hanya mahu pastikan adakah benar apa yang dikatakan oleh Balqis tadi. Andai benar, entah apa yang harus dikatakan, kasihan juga dia melihat anaknya. Pasti makan hati apabila melihat Qarina di samping Fareez. Baru dia tahu macam mana perasaan Qarina sewaktu Iqram membuat keputusan untuk bersama dengan Balqis.

“Assalamualaikum Mah, ni aku ni Yam,” Mariam memperkenalkan dirinya.

“Waalaikumussalam, Yam. Sihat ke?”

“Sihat Mah. Saja aje aku menelefon ni, lama tak dengar cerita fasal kau dan anak-anak.”

“Iya ke? Aku sihat. Ialah, dah tua-tua macam ni lah. Anak-anak semua duduk jauh.”

“Duduk jauh? Fareez ke mana?”

“Fareez kerja di Penang sekarang Yam. Tinggal aku dengan Abang Hussain aje kat rumah ni. Apa Iqram tak beritahu?” soal Fatimah. Dia pasti Mariam pasti sudah tahu tentang berita Fareez tetapi sengaja buat-buat tidak tahu.

“Iqram? Balik rumah pun dengan muncung 14. Balqis ada beritahu aku yang dia junpa Fareez tapi tak pula diceritakan fasal Fareez kerja di sana. Aku ingatkan Fareez saja jumpa kawan dia di sana,” kata Mariam.

“Tak adalah Yam. Dia dah kerja di sana. Aku dah melarang tapi dia tergedik juga nak kerja kat sana. Nak kata apa kan,” Fatimah memberitahu.

“Aku nak tanya sikit, betul ke Balqis beritahu aku yang Fareez nak bertunang?”

“Fareez ada juga beritahu, tapi tak pasti lagi lah Yam. Tapi jangan kau susah hati, ada rezeki nanti aku jemputlah kau anak-beranak,” kata Fatimah dengan senyuman yang meleret terukir di bibirnya.

“Jadi kau kenallah dengan bakal tunang Si Fareez tu? Orang mana?”

“Em, orang Pahang aje.. Ala bagilah mereka kenal hati budi dulu.”

“Siapa nama budak perempuan tu?” terus sahaja Mariam bertanya.

“Beritahu nama pun bukan kau kenal Yam. Namanya Qarina, dah berumur sikit. Sama baya dengan Iqram kalau tak salah aku, tapi kecil molek orangnya. Baik pekertinya, berkenan jugalah aku menengoknya,” puji Fatimah. Mariam menarik nafas, nampaknya memang makan hatilah Iqram.

“Baguslah kalau macam tu. Ialah, tapi kau tak kisah ke? Ialah Fareez 26 tahun kan sama dengan Si Ikin tu. Kalau sebaya dengan Iqram maknanya dah 30 tahun lah,” kata Mariam.

“Kalau dah berkenan, tolak tepi itu semua. Aku tak kisah Yam, janji boleh jaga Si Fareez tu, dia tu kepala otak bukan betul sangat pun, tak kan kau tak tahu kot. Lagipun budak Qarina tu nampak macam budak sekolah pun ada. Putih orangnya, aku ingatkan anak cina mana rupanya Melayu. Kecil aje orangnya Yam. Dengan Fareez rasanya paras bahunya tingginya,” cerita Fatimah dengan panjang lebar. Bangga sungguh dia yang ingin bermenantukan Qarina.

“Tak apa lah Mah, aku letak telefon dulu. Nanti kenduri kahwin anak Lijah bulan depan bawak bakal menantu tu sekali, bolehlah kenal-kenal,” cadang Mariam.

“Betul jugak tu. Nantilah aku beritahu Fareez. Darah tinggi kau macam mana?”

“Okeylah, aku tak makan dah masin-masin sekarang. Takut kena stroke, tak apalah Mah, aku nak masak dah ni. Nanti anak-anak balik, kebulur semuanya. Assalamualaikum, kirim salam pada Hussain ye.”

“Mak telefon siapa tu?” tanya Salina kepada emaknya. Dari tadi ralit sungguh bersembang hingga tidak nampak dia yang baru pulang dari kerja. Di luar rumah dia melihat kereta milik adiknya ada di perkarangan rumah.

“Dengan Mak Lang Timah. Awal kau balik hari ini Ina?” tanya Mariam kepada anak sulungnya yang sudah kematian suami empat tahun yang lalu.

“Tak banyak kerja mak. Apa khabar Mak Lang? Iqram ada balik?”
“Mak Lang kau sihat. Iqram? Ada dalam bilik. Balik dengan Balqis,” beritahu Mariam.

“Aik, Balqis ada balik. Apa mimpinya, selalu Iqram balik sendiri sahaja,” kata Salina lagi, dia memang tidak berapa kamceng dengan adik iparnya itu.

“Em,” jawab Mariam dengan ringkas.

Salina terus menuju ke dapur, tekak yang haus harus di isi dengan minuman sejuk, baru terasa segar.

“Mak bakar sampah ke?” Salina bertanya sebelum dia meneguk air, dia masih lagi dapat melihat saki-baki apa yang ada.

“Bukan mak, tapi Iqram.”

“Iqram bakar sampah? Apa mimpi budak tu?” tanya Salina kehairanan. Bukan dia tidak kenal dengan Iqram, jangankan hendak membakar sampah, nak pegang penyapu pun malas.

“Mimpi apa? Makan hati. Di bakarnya semua barang-barang yang Qarina bagi,” cerita Mariam.

“Baru sekarang nak bakar? Bukan dulu dia cakap, jangan buang barang dalam kotak tu. Apa mimpi pulak baru sekarang nak bakar. Takut bini lah tu,” tuduh Salina. Dia tahu bagaimana perasaan adiknya terhadap Qarina.

“Tak baik tuduh Balqis. Baru-baru ni mereka ke Pulau Pinang, terjumpa dengan Qarina.”

“Qarina? Iya ke? Lama tak dengar cerita tentang dia. Habis tu, kenapa dia nak makan hati pulak? Masa dia kahwin dengan Balqis, tak fikir ke yang Qarina tu makan hati ke tidak. Dengan kawan baik dia pulak tu. Qarina dah kahwin?”

“Belum. Tapi nak bertunang dah, itu yang Iqram makan hati sangat tu.”

“Baguslah tu. Kenapa dia nak makan hati? Biarkan Qarina tu nak bertunang ke nak kahwin ke? Kenapa nak marah? Dia nak suruh Qarina tu tunggu dia?” marah Salina. Tak faham sungguh dengan perangai adiknya itu.

“Masalahnya Qarina tu nak bertunang dengan Fareez anak Mak Lang Timah. Itu yang mak tanya pada Mak Lang tadi.” Hampir tersembur minuman yang ada di dalam mulut Salina.

“Dengan Si Fareez ke? Biar betul mak, Fareez tu bukan sebaya dengan Ikin ke?”

“Mak Lang pun setuju.”

“Nampaknya bukan Iqram aje makan hati, Ikin makan hati jugak, Dia kan suka pada Fareez,” Salina berkata.

“Jangan lupa Balqis pun makan hati juga,” Mariam menyambung. Kemudian dia mengeluh, malang nasib anaknya kalau Fareez dan Qarina jadi berkahwin. Dia tahu Iqram masih sayang pada Qarina dan anak bongsunya pula sejak dari dulu memang suka pada Fareez. Kalau ada kenduri kahwin pasti Fareez dan Ikin akan dipaduk-padukkan orang. Masa mengisi borang UPU dulu, Fareez yang nasihatkan Ikin supaya mengikuti kursus perguruan dan Ikin mengikut sahaja apa yang dikatakan Fareez.

“Mak tak beritahu Mak Lang, yang kita kenal dengan Qarina?”

“Tak lah Ina, tak sanggup mak. Dengar suara Mak Lang kamu tu, cerianya bukan main. Tapi mak teringin sangat nak jumpa dengan Qarina. Lama tak jumpa dengan dia. Sejak Iqram kahwin hanya sekali sahaja dia telefon mak, menangis-nangis dia.”

“Ialah, kesian dia. Ina pun tahu mak. Fareez dengan Iqram bukan tak banyak bezanya,warna kulit sama, muka pun ada iras-iras. Perangai pun lebih kurang. Agaknya sebab itulah Qarina terpikat pada Fareez kot. Kalau dah jodoh mereka pun biarkanlah.”

“Mak tak kisah, tapi Iqram tu lah. Mak tengok dah lain macam aje. Tadi gelas sampai berkecai dibalingnya. Habis gambar-gambar Qarina dibakarnya,” adu Mariam.

“Gelaklah si Balqis tu.” Mariam menjeling ke arah anaknya, mujurlah Balqis ada di dalam bilik bersama-sama dengan Iqram kalau tidak muncung lagilah mulut Si Balqis tu.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.