Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
219,086
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

“Saya sengaja datang awal dua hari, maklumlah nak tengok juga keadan syarikat ni. Lagipun saya nak mencari rumah sewa,” Fareez menyatakan tujuannya kepada Qarina. Sepatutnya dua hari lagi dia akan memulakan tugas tetapi sengaja dia datang awal. Mama dan papanya ditinggalkan di hotel.

“Kenapa tidak bekerja di Kuala Lumpur sahaja, rasanya pasaran kat sana lagi luas berbanding di sini?” Qarina bertanya.

“Saja, nak timba ilmu di tempat orang. Lagipun bukan ke orang-orang tua berkata, jauh berjalan luas pemandangan. Tapi saya tak lah jalan kaki, saya naik kereta jadi pemandangan tu tak lah luas sangat,” seloroh Fareez. Qarina tersenyum sumbing.

“Encik Fareez dah dapat rumah sewa?” di dalam hati Qarina berdoa agar lelaki di hadapannya itu sudah punyai tempat tinggal. Kalau tidak, susah juga mana tahu disebabkan tiada tempat tinggal maka dia tidak mahu bekerja di syarikat ini. Terpaksalah dia mengiklankan lagi jawatan kosong di akhbar.

“Belum lagi, itu yang sedang saya cari tu. Puan ada tempat yang boleh disyorkan pada saya?”

“Puan? tua sangat ke aku ni. Huh,” marah Qarina di dalam hati, namun dia sempat juga memberikan senyuman yang kurang manis.

“Er, rasanya tak ada kot. Cuba Encik Fareez pergi ke agensi perumahan. Mana tahu ada rumah kosong yang hendak di sewakan,” Qarina memberikan cadangan. Fareez menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan cadangan dari Qarina.

“Mari saya bawa Encik Fareez jumpa dengan Encik Firhad.”

“Elok sangat lah tu.”

Nasib baik dia dah balik, kalau tidak mahu tercabut kepala saya. Banyak songeh lah mamat tu,” gerutu Qarina, Fatin yang mendengarnya asyik ketawa.

“Gelak? Pening tau kepala saya. Macam mana boleh lepas temu duga? Hairan betul saya.”

“Perasaan Cik Qina aje kot, saya tengok okey aje. Macam padan aje dengan Cik Qina. Walaupun dia tu gelap, Cik Qina putih. Tapi bila berjalan bersama nampak aura tu,” usik Fatin.

“Tolong sikit. Budak-budak tu. Baru mencecah 26 tahun. Tengoklah penampilan dia, ala-ala K-Pop. Budak-budak aje pakai macam tu. Berjalan dengan dia, dah macam tahi cicak, hitam putih.”

“Cik Qina, tak baik tau. Hensem lah tu, hitam manis. Ada lesung pipit lagi. Susah tau nak cari orang kulit hitam manis ada lesung pipit. Yang ada lesung batu sahaja,” balas Fatin. Qarina menjuihkan bibir kecilnya.

“Poyo aje budak tu,” tokok Qarina lagi. Nampak sangat dia tidak berkenan dengan Fareez.

“Elleh, poyo konon. Sekarang ni poyo lah, esok dah cinta setengah mati hilanglah poyonya,” ujar Fatin. Qarina hanya tersengih sahaja.

Ketenteraman Qarina terganggu dek kerana bunyi bising di sebelah rumah. Setahunya rumah itu sudah berbulan tidak berpenghuni. Qarina bangun dari duduknya, suara televisyen di perlahankan. Dia menuju ke pintu, cuba mengintai dari lubang kecil yang ada di pintu. Namum penglihatannya terbatas, bukan apa dia sekadar ingin tahu apa yang berlaku. Dia kemudiannya membuka pintu dengan perlahan, berpura-pura menyusun kasut yang bersepah di hadapan rumahnya.

“Hello,” seorang perempuan tua mengucapkan hello kepadanya. Qarina yang agak terkejut sekadar melemparkan senyuman.

“Saya ni melayulah makcik,” bisik hati kecil Qarina.

“Apa khabar? Saya punya anak, baru pindah sini. Kita K.L punya orang.” Qarina hampir tergelak apabila mendengar suara perempuan tua itu berbicara dengannya dalam telo orang Cina. Tetapi dia tetap membuka pintu pagar yang kira-kira satu kaki jaraknya dari pintu rumah pangsapuri yang di belinya setahun yang lepas.

Qarina menghulurkan tangannya bersalaman dengan wanita yang agak berumur itu.

“Saya orang Melayu makcik,” jawab Qarina sambil cuba menahan tawanya.

“Awak ni Melayu dengan cina dah tak kenal ke?” lelaki tu yang ada di sebelah wanita itu bersuara.

“Lah. Melayu rupanya. Maaflah, makcik ingatkan cina. Dah lah putih, muka pun macam cina,” wanita itu turut tergelak.

“Tak apa, selalu jadi macam tu,” jawab Qarina.

“Kalau bertudung nampaklah jugak melayu,” kata wanita itu lagi. Tersengih sahaja Qarina mendengarnya.

“Hek elleh orang tua ni. Sempat lagi perli aku. Boleh tahan ni, kalau jadi mak mertua aku harus hangitlah aku kena rebus,”terdetik di hati Qarina.

“Makcik baru pindah sini?” tegur Qarina.

“Bukan makcik, tapi anak makcik. Anak ni dah lama ke tinggal kat pangsapuri ni? Tak ada apa-apa masalah ke? Lupa pulak, makcik ni Fatimah. Yang ni suami makcik, Hussain.” Fatimah memperkenalkan dirinya dan suaminya kepada Qarina.

“Saya Qarina. Dah setahun lebih saya tinggal kat sini, setakat ni memang tak ada masalah. Insya-ALLAH,” jawab Qarina.

“Qarina? Sedap nama tu. Sesuai dengan tuannya. Suami kerja?” Hussain mengelengkan kepala. Memang sikap isterinya begitu, terlebih ramah.

“Er, saya tak kahwin lagi makcik,” akui Qarina.

“Iya ke? Tak apa lah, muda lagi. Kerja dulu, simpan duit banyak-banyak. Sekarang ni bukan senang nak cari suami yang baik. Bukan macam zaman makcik muda-muda dulu.”

“Iyalah,” angguk Qarina. Aduhai, memang terlebih ramah orang tua ni.

“Jemputlah masuk, pakcik makcik,” pelawa Qarina. Rasanya tidak manis pula jika dia tidak menjemput orang tua itu masuk. Maklumlah, orang tua mana boleh berdiri lama-lama. Mujurlah rumahnya tersusun rapi kalau tidak macam tongkang pecah sahaja hiasan dalaman rumahnya.

“Tak apa lah, kami ni nak tunggu anak kami. Tengah angkat barang kat bawah tu. Terima kasih ye Qarina,” tolak Fatimah dengan baik.

“Tak apa, masuklah dulu. Tak kan nak berdiri kat sini. Lagipun kita boleh nampak kalau dia lalu kat depan ni. Masuklah, makcik, pakcik,” bersungguh-sungguh Qarina mempelawa orang tua itu. Entah kenapa melihat kepada Hussain, hatinya teringat kepada ayahnya di kampung. Gerak geri dan caranya seakan-akan ayahnya.

Fatimah memandang kepada suaminya. Apabila melihat suaminya menganggukkan kepala dia turut mengangguk.

“Tak menyusahkan Qarina ke?” serba-salah Fatimah dibuatnya.

“Hish, tak adalah makcik. Lagipun rumah saya ni lama tak terima tetamu. Jemputlah masuk, tapi rumah orang bujang, tak meriah mana pun,” Qarina merendahkan diri. Dia dengan segera masuk ke dalam dengan diekori oleh Fatimah. Hussain hanya menunggu di luar, mungkin dia segan.

Qarina membiarkan Fatimah menikmati permandangan di dalam rumahnya, dia ke dapur untuk membancuh minuman. Tidak lama kemudian dia keluar dengan membawa sedulang minuman panas.

“Jemputlah minum,” pelawa Qarina.

“Pandai budak ni, berkenan pulak aku,” hati Fatimah berbisik.

“Buat susah-susah Qarina sahaja,” kata Fatimah, namun tangannya dengan segera mencapai secawan milo panas. Lega rasanya, dari tadi asyik meneguk air liur sahaja.

“Mama mana papa?” Fareez bertanya. Peluh mula menerpa keluar, penat mengangkat barang-barangnya. Esok ada pula acara marathon membeli barangan. Kalau boleh dia mahu rumahnya cukup lengkap, macam rumah mamanya.

“Ada kat dalam,” Hussain bersuara perlahan, sambil mulutnya dimuncungkan menunjukkan kedudukan Fatimah sekarang ini.

“Punyalah cepat. Hish, mama ni terlebih ramah. Kita tak kenal lagi orang tu macam mana, sibuk aje dia nak bertandang,” marah Fareez.

“Biarlah dia, lagi pun kesian pula papa tengok dia, asyik berdiri kat sini. Reez pun punya lama nak ambil barang. Kunci rumah mana?” tanya Hussain.

Fareez menghulurkan segugus kunci rumah kepada ayahnya sambil matanya sempat melirik ke dalam rumah sebelah.

“Qarina duduk dengan siapa?” Fatimah mula menjalankan penyiasatan tidak rasminya.

“Saya duduk seorang aje. Senang sikit, duduk ramai-ramai ni banyak kerenahnya,” jawab Qarina.

“Iya lah kan. Duduk ramai-ramai banyak pula ceritanya. Eh, mana pulak mereka ni? Dari tadi tak masuk-masuk lagi, sekejap ye makcik pergi panggil,” Fatimah bangun sebentar untuk memanggil anak dan suaminya.

“Reez panggil papa. Tuan rumah jemput masuk, tak baik orang dah siapkan minum tu,” panggil Fatimah kepada anak terunanya.

“Hish, mama ni, tak malu ke? Minum kat rumah orang pulak, kita tak kenal dia lah,” marah Fareez. Susah betul punyai mama yang terlebih ramah.

“Dah dia jemput. Lagipun dia kan bakal jiran kamu, senanglah sikit hati mama. Tak lah susah hati sangat, bolehlah mama pasang pengitip kat sini. Barulah Reez beringat sikit. Dah, jangan nak bertekak kat sini, panggilkan papa, kamu pun ke sini juga. Dengan jiran tetangga kena lah beramah mesra jangan jadi kera sumbang. Esok sakit deman, jiran juga yang nak menolong. Mama dan papa jauh,” leter Fatimah.

“Iyalah, iyalah,” jawab Fareez dengan perasaan yang bungkam. Fatimah masuk kembali ke dalam rumah Qarina dengan muka yang selamba.

“Kejap lagi mereka datanglah tu. Qarina memang orang sini?”

“Tak, saya kerja kat sini. Dulu saya belajar di USM. Habis belajar kerja kat sini. Rasa seronok pula duduk kat pulau ni.”

“Buah hati orang sini kot,” Fatimah menduga. Qarina hanya tersengih.

“Assalamualaikum,” Hussain memberi salam, di belakangnya kelihatan Fareez yang sedang menundukkan kepalanya.

“Waalaikumussalam, jemputlah masuk pakcik,” jawab Qarina sambil mempelawa tetamunya. Selajur itu Fareez turut mendongakkan kepalanya.

“Puan Qarina?” Fareez menegur.

“Hish, Reez ni. Cik Qarina lah. Tak kahwin lagi ni. Eh, tapi macam mana Reez boleh kenal?” tegur Fatimah. Hairan juga dia bila anaknya mengenali Qarina.

“Fareez Aiman. Buat apa kat sini?” Qarina terperanjat bila melihat Fareez di belakang Hussain.

“Saya menyewa kat sini. Tak sangka pulak Puan, opps maaf. Cik Qarina tinggal kat sini. Bukan ke pagi tadi Cik Qarina cakap tak ada rumah sewa. Padahal sebelah rumah Cik Qarina ni kosong,” kata Fareez.

“Memang saya tahu ada kosong, tapi tak tahu pula tuan rumah nak bagi sewa,” Qarina terpaksa menipu. Padahal memang dia tahu tuan rumah di sebelah ingin menyewakan rumah. Terpampang besar ‘FOR RENT’ di hadapan pintu.

“Iya ka? Rasanya tak cukup besar perkataan ‘FOR RENT’ kat depan tu?” perli Fareez.

“A’ah tak cukup besar, patutnya kena buat kain rentang besar sikit,” balas Qarina. Dia tahu Fareez sengaja memerli dia.

“Lupa pula, mama inilah Cik Qarina, pengurus pentadbiran kat tempat yang Reez nak kerja tu,” Fareez memberitahu mamanya.

“Iya ke? Macam ada jodoh aje,” dengan selamba ayat itu terpacul dari mulut Fatimah. Merah padam muka Qarina.

“Makcik ni bergurau jauh nampak. Saya ni dah tua, dah 30 tahun pun. Fareez ini seusia adik saya makcik,” dalih Qarina merendah diri. Memang dia tidak pernah menyembunyikan usianya. Tetapi tidak ramai yang percaya. Mungkin kerana rangkanya yang kecil menyebabkan dia nampak muda dari usia sebenarnya.

“Lah, nampak muda lagi. 30 tu sekadar angka. Makcik ni pun dah nak hampir 60 tahun. Tapi nampak macam 50 tahun aje,” Fatimah memuji dirinya sendiri.

“Alamak, lebih-lebihlah pulak orang tua ni. Kot iya pun nak buat aku menantu janganlah dengan budak bawah umur ni. Anak lain dah tak ada ke makcik oii,” desir hati Qarina. Tapi sempat lagi dia memberikan senyuman malu-malu kucing.

“Jemputlah minum pakcik, Fareez. Nanti sejuk pula air tu.”

Fareez dan Hussain mengambil tempat di sebelah Fatimah. Muka Fareez nampak jelas tidak selesa. Mungkin disebabkan oleh kata-kata emaknya.

“Jangan marahlah Qarina, makcik ni memang suka bergurau,” Hussain meminta maaf di atas kata-kata isterinya. Mana tahu kalau-kalau Qarina terasa. Mulut bekas guru besar bukan boleh diambil kira sangat.

“Tak ada apalah pakcik, saya ni kebal dengan gurauan macam tu,” Qarina menjawab.

Tidak sampai lima minit kemudian, Fareez dan keluarga memohon diri untuk pulang. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Qarina menghantar mereka hingga ke muka pintu. Walaupun berkali-kali di pelawa oleh Fatimah untuk ke rumah sewa Fareez namun ditolak dengan baik oleh Qarina.

“Mama ni kan kalau nak buat lawak pun, jangan lebih-lebih,” marah Fareez sejurus selepas mereka menutup pintu.

“Buat lawak apanya?” Fatimah buat-buat tidak faham.

“Iyalah, sampai ke bab jodoh pun nak buat lawak.”

“Apa salahnya, nama pun buat lawak. Yang Reez nak ambil seris sangat kenapa?”

“Mama, mama tahu tak dia tu pengurus kat tempat saya bekerja. Agak-agaklah kalau nak buat lawak pun.”

“Nak bergurau pun tak boleh. Mama tengok dia okey aje. Reez aje yang lebih-lebih. Dia tahulah mama bergurau. Bukan serius pun,” Fatimah terus mempertahankan dirinya.

“Sudahlah tu. Ni barang ni nak letak kat mana?” Hussain cuba menyelamatkan keadaan. Kalau dibiarkan bertambah parah. Nanti ada pula yang merajuk.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.