Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,051
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 23

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, mengusap lembut wajah Qarina. Dia termenung sendirian. Fareez keluar untuk membeli hidangan makan malam buat mereka berdua. Sudah sebulan lebih dia dan Fareez hidup sebagai suami isteri. Sepanjang waktu itu, Fareez tetap melayan kerenahnya yang kadang-kadang naik angin tidak menentu. Qarina menarik nafas yang panjang, rasa rindu pada keluarga mula terasa. Sudah lama dia tidak menghubungi emaknya. Rasa terkilan dengan Kamal masih lagi ada di dalam hati. Mujurlah ibu mertuanya seorang yang baik hati, selalu bertanya khabar tentang dirinya. Di dalam hati kecilnya terdetik rasa bersyukur kerana Fareez dan keluarganya menerima dia seadanya. Kakak Fareez turut selalu menghubunginya, walau tidak pernah bersua muka tetapi Qarina yakin mereka orang yang baik. Keluarganya langsung tidak pernah menghubunginya kecuali emaknya sendiri. Kakaknya langsung tidak bertanya khabar berita. Qarina maklum, dia sendiri memang tidak rapat dengan ahli keluarganya. Mereka hanya berhubungan jika ada hal, kalau tidak jangan haraplah mereka hendak menghubunginya. Biarlah, malas dia hendak fikir perihal mereka. Hanya Zahid sahaja yang mempertahankan dirinya, sedangkan kakaknya hanya memandangnya dengan sinis, merasakan yang dia benar-benar bersalah.

“Dari tadi duduk kat sini aje? Bukan nak bancuh air, basuh baju ke?” Qarina hanya tersengih-sengih mendengar suara Fareez. Apa nak jadi dengan hati ini dia pun tidak pasti, semakin hari semakin sayang pada Fareez. Rasanya kalau sehari tidak di usik oleh Fareez jiwanya seolah-olah mati.

“Malas, sakit tangan.”

“Logiknya alasan. Nak saya hidangkan ye, saya nak mandi. Awak nak solat isyak ke?” tanya Fareez.

Qarina berpura-pura tidak mendengar. Bukan dia tidak mahu untuk menunaikan rukum islam tapi memang dia tidak boleh untuk menunaikannya.

“Senyap aje ni kenapa? Dah solat ke belum? Kalau belum, jom lah kita solat sekali,” ajak Fareez. Hidupnya kini terasa lengkap dengan kehadiran Qarina.

“Tak boleh,” jawab Qarina. Mukanya merah menahan malu. Alahai kini dia terpaksa berkongsi rahsia dirinya dengan Fareez. Malu,malu,malu.

“Kenapa pulak tak boleh?” Fareez sengaja bertanya.

“Hish, dia ni tak belajar sains ke masa kat sekolah dulu?”

“Tak boleh tu tak boleh lah. Sudahlah,” marah Qarina.

“O... datang tut,tut ke? Patutlah naik angin aje,” kata Fareez. Qarina meregus kasar. Memang sakit hati dengan perangai Fareez yang kadang-kadang agak melampau lawaknya.

Usai makan Qarina kembali ke beranda, sengaja memandang langit yang terbentang luas.

“Kira bintang ke?”

“Tak lah kira awan,” jawab Qarina. Dug, dag jantungnya bila melihat Fareez yang mengenakan baju Melayu dan berkain pelikat. Nampak kacak di matanya, biar pun kulitnya tidak berapa cerah namun jelas ketampanannya. Fareez menarik bangku, mendekatkan diri. Qarina mengusap rambutnya. Selalunya Fareez akan mengadap televisyen, dia akan sendirian di sini. Tetapi malam ini Fareez berada di sebelahnya, serba salah Qarina di buatnya.

“Sampai bila kita nak sembunyikan perkahwinan kita dari teman pejabat?” Fareez bertanya. Rasanya sudah cukup terseksa dia kerana menyembunyikan hubungannya dengan Qarina. Pelik betul, kenapa nak disorokkan hal yang baik.

“Tengoklah dulu.”

“Saya cemburu tau tengok Firhad tu macam nak menyendel aje,” Fareez berterus terang. Qarina ketawa, tahu jugak dia rasa cemburu rupanya.

“Awak ni, dia kan dah kahwin. Saja aje nak mengatal.”

“Ialah sebab dia ingat awak ni bujang lagi kot. Sebab itu lah kita kena beritahu pada dia orang. Tak adalah orang yang nak salah sangka.”

“Nanti kita beritahu, tapi bukan sekarang. Sekarang ni saya tak bersedia lagi.”

Fareez mengeluh, namun tidak lama kemudian dia kembali tersenyum. Dia tahu tiada gunanya dia memaksa Qarina, dia bukannya jenis yang suka memaksa. Sehingga kini hubungan mereka begini, sekadar di atas kertas. Dia tidak akan memaksa Qarina untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri andai Qarina belum bersedia. Dia ingin memiliki cinta isterinya. Dia yakin cinta antara mereka harus di pupuk, di baja agar kekal buat selamanya. Baru dia sedar, dia romantis juga orangnya.

“Tak apalah, saya tak akan paksa. Cuma kalau dah lebih batas, jangan harap saya nak diamkan diri,” Fareez memberikan peringatan.

Fareez semakin menghampirkan dirinya dengan Qarina. Bila dia melihat Qarina tidak berginjak, dia memberanikan diri untuk memegang tangan Qarina. Qarina memalingkan mukanya, namun gengaman tangan Fareez tidak di tolak. Masing-masing tidak bersuara, membiarkan angin malam terus membawa mereka entah ke alam mana.

“Jom lah masuk, dah lewat ni. Esok pagi kita pergi jogging nak? Kita ke Taman Botani. Lepas tu, kita makan roti canai,” Qarina memberikan cadangan. Dia seolah-olah sudah bernekad untuk terus berada di sisi Fareez.

“Kalau orang nampak?” sengaja Fareez menduga.

“Emm, alah jiran, tak kan boleh nak jogging sama-sama,” jawab Qarina.

“Okeylah,” Fareez membalas dengan perasaan yang malas.

Mereka berdua bangun dari duduk, tangan mereka seolah-olah mula melekat. Mereka beriringan menuju ke bilik. Terkedu Qarina apabila Fareez mencium dahinya sebelum terus melelapkan mata. Alahai, kembang kuncup jantung Qarina. Perasaannya semakin berdebar ketika Fareez tiba-tiba sahaja mendakapnya. Tetapi dia tidak menolak. Malah membiarkan sahaja.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.