Qarina
mengemaskan bilik tetamunya. Sudah tiga hari dia bergelar isteri Fareez. Hari
ini adalah hari pertama mereka akan tinggal di pangsapuri miliknya. Fareez
sudah pun memulangkan kunci rumah kepada agen. Duit depositnya hangus kerana
dia tidak tinggal selama setahun. Fatimah dan Hussain sudah pulang ke Kuala
Lumpur dengan menaiki pesawat Air Asia di Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas.
Banyak kata-kata nasihat yang ditinggalkan oleh Fatimah kepadanya. Fareez yang
keluar dari tadi, masih juga belum pulang. Sudahlah barangnya banyak, di longgok
macam itu sahaja. Sempat dia menelefon Zahid bertanyakan tentang keluarganya
yang lain. Nampaknya keadaan masih lagi sama.
“Assalamualaikum,” Fareez tiba
dengan membawa satu kotak hadiah yang cantik.
“Waalaikumussalam. Masuklah.” Pelawa
Qarina. Pelik pula bila melihat Fareez masuk ke rumahnya.
“Barang-barang ni nak letak kat
mana?” tanya Qarina.
“Letak kat mana? Ini kan baju saya,
letak dalam almari baju lah. Tak kan nak letak dalam peti ais kot.”
“Alahai
dah mula dah perangai poyo dia ni.”
“Saya
bukannya bodoh sangat pun nak letak baju awak ni dalam peti ais,” jawab Qarina.
Sebetulnya malu pula dia dengan soalannya tadi. Nama pun baju, haruslah
tempatnya dalam almari. Lagi mahu tanya ke?
“Qarina, saya nak beri sesuatu pada awak.”
Qarina ketawa, Fareez menarik muka.
“Peliklah wei, tapi nak buat macam
mana, dah suami bagi. Terima kasih,” jawab Qarina sambil ketawa lagi.
“Psyco
dia dah datang.”
“Tudung?”
terkejut Qarina menerima hadiah dari suaminya. Sehelai tudung yang berwarna
jingga.
“Saya nak awak bertudung mulai hari
ini.”
“Tapi..”
“Tak baik ingkar cakap suami. Nanti
masuk neraka,” mendengarkan semua itu Qarina merasa kecut. Main ugut-ugut pula,
mana aci.
Sudah
pukul 1.00 pagi mereka berdua masih lagi sibuk mengemas saki-baki barang yang
ada.
“Penat lah,” Fareez melunjurkan
kakinya.
“Er.. sila turunkan kaki ye.
Pantanglah kalau kaki ada kat atas ni,” tegur Qarina.
“Iya ke? Maaf lah ye. Saya selalu
macam ni. Awak lapar tak, saya lapar lah. Jom kita pergi makan.”
“Malam dah ni. Saya nak tidur, dah
lupa ke esok kita kena kerja. Ni kat tempat kerja macam mana?”
“Macam mana apanya?”
“Ialah, hubungan kita ni.”
“Kenapa pulak, bukan hubungan kita
tak sah. Sah di sisi agama dan undang-undang.”
“Senang aje awak bercakap. Habis tu
kita nak buat macam mana? Masuk pejabat terus beritahu, Minta perhatian semua,
ini ada satu makluman. Saya dan Fareez dah kahwin. Maksud awak macam tu?”
Fareez mendiamkan diri.
“Kenapa diam? Tak ada idea.”
Fareez terus mendiamkan diri, dia
bangun dari duduknya dan terus masuk ke bilik.
“Hey, awak nak ke mana tu?” tanya Qarina,
menonong sahaja Fareez masuk ke kamarnya.
“Tidur, mengantuklah,” kata Fareez
sambil mengeyitkan matanya.
“Hey, tolonglah. Awak tidak
dibenarkan masuk bilik tu. Yang tu bilik saya. Huh, suka hati sahaja nak menempek masuk ke bilik orang,” marah Qarina.
Namun Fareez berpura-pura tidak mendengarnya. Dia tetap melangkah masuk ke
kamar milik Qarina.
“Macam mana ni, aku nak tidur kat
mana? Suka hati dia aje lah,” Qarina merungut.
“Tak payahlah takut, saya tak akan
apa-apakan awak. Lagipun, kalau saya nak buat apa-apa pun tak pe, bukannya
haram pun,” ujar Fareez. Qarina merenungnya. Boleh percaya ke dengan mamat ni?
“Jomlah masuk, esok pagi dah nak pergi
kerja,” terus sahaja Fareez menarik tangan isterinya. Qarina terpaksa menurut,
ini kali pertama dia akan tidur sekatil dengan seorang lelaki.
Mata tidak mampu dilelapkan walau
untuk sesaat. Hatinya sentiasa berdebar-debar. Dia hanya mampu mendengar dengkuran
Fareez. Geram dan rimas. Dia memerlukan kedamaian kalau hendak melelapkan mata.
Namun adanya Fareez di sebelahnya dengan dengkur mengalahkan harimau itu
menyebabkan Qarina bertambah rimas. Puas dia mnegalih-ngalihkan badannnya,
sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Memang Fareez tidak mengapa-apakannya tetapi
telah menganggu lenanya dengan dengkuran. Aduh, pening lah kalau macam ni.
Jam
loceng segera di tekan, bimbang akan menganggu lena Qarina. Fareez
mengeyeh-ngeyehkan matanya. Dia merenung ke wajah Qarina yang sedang lena
keletihan. Polos sahaja wajah itu. Fareez tersenyum sendiri, bagaikan tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya. Air liur basi yang meleleh keluar, pasti Qarina
benar-benar terlena. Dia bangun dan mencapai tisu yang berada di atas almari
solek. Di lapnya air lir basi itu dengan perlahan, bimbang Qarina akan terjaga.
“Hey, buat apa ni?” Qarina tesentak,
apabila dia merasakan ada yang menyentuhnya.
“Lap air liur basi, meleleh-leleh.
Kalau himpun buat air jampi pun boleh,” jawab Fareez. Selamba badak sahaja
ayat-ayat yang keluar dari mulutnya.
“Mana ada air liur basi,” kata Qarina
dambil mengelap mulutnya.
“Biasalah tu kalau air liur nasi
meleleh. Boleh buat peta harta karun,” kata Fareez lagi.
“Dia ni kan...” Qarina semakin marah.
Dia mengambil bantal dan menekup mukanya.
“Alamak,
malunya aku...” kata Qarina di dalam hati.
“Sudahlah tu tidur, bawak-bawak
bangunlah pulak. Dah pukul berapa dah
ni. Nanti lambat pulak,” Fareez menarik selimut yang sedang membaluti
isterinya.
“Janganlah, mengantuk tau. Dah lah
tidur lambat,” marah Qarina. Dia menarik kembali selimut itu.
“Jomlah kita mandi, kita solat subuh
sama-sama. Berkat tau,” Fareez menarik kembali.
“Hish, dia ni,” Qarina terpaksa
mengalah. Aduh, dia bukannya alim sangat. Solatnya pun kadang-kadang. Kalau ada
masalah sahaja dia baru teringat untuk menunaikan solat. Malunya rasa apabila
Fareez mengajaknya menunaikan solat subuh. Nampak aje poyo mamat ni, bisik hati
Qarina. Untuk mengelakkan rasa malunya dia berpura-pura marah. Marah kerana
Fareez menganggunya. Terus sahaja dia masuk ke kamar mandi yang memang ada di
dalam biliknya itu.
Selesai mandi dengan pantas, Qarina
mencari telekong. Entah dia mana dia meletakkan dia pun tidak tahu.
“Cari apa?” tanya Fareez sambil meletakkan
kopiah di atas kepalanya.
“Er,”
“Nah, ambil ni. Hantaran kahwin,”
usik Fareez. Dia menyerahkan telekong yang berwarna putih bersih dan bersulam
merah jambu kepada Qarina. Telekong yang baru dibelinya semalam. Sengaja dia
tidak memberikannya kepada Qarina. Tersentak Qarina melihat pemberian dari
Fareez.
“Jom saya jadi imam awak jadi
makmum,” Fareez kemudiannya menghamparkan sejadah. Semakin terkedu Qarina di
buatnya. Namun dia tetap mengikut.
“Qina, saya tahu saya bukannya
lelaki pilihan. Jauh sekali lelaki yang menjadi idaman awak. Saya tahu awak
masih mengharapkan Iqram. Cinta pertama memang tak boleh dilupakan. Saya tak
salahkan awak. Awak juga bukan wanita pilihan saya. Tapi jodoh kita sudah
tertulis. Tiada cinta antara kita, tapi kalau diberi peluang, cinta itu pasti
datang. Saya sedar, saya ni mamat poyo aje di mata awak. Awak pula sekadar anak
dara tua di mata saya.”
“Eh,
eh mamat ni. Memang poyo betullah. Aku sikit punya serius aje dengar kata-kata
dia. Dalam serius sempat lagi mengata aku,” Qarina merungut di dalam hati.
“Jadi kita beri peluang pada
hubungan kita ini. Saya terima seadanya awak, walaupun awak tua dari saya.”
“Tak payahlah cakap banyak kali.
Saya tahulah saya ni tua dari awak. Terima kasih sebab terima perempuan tua
macam ni saya. Saya pun terima mamat poyo macam awak ni seadanya. Tapi, saya
nak kita rahsiakan dulu dari teman sepejabat kita.”
“Sebab?” tanya Fareez.
“Sebabnya saya tak nak ada yang mati
terkejut bila dengan berita perkahwinan kita.”
“Agaknya siapa yang mati terkejut?”
soal Fareez.
“Adalah. Budak-budak praktikal yang
selalu ushar awak tu. Lagipun nanti jatuh pulak saham awak, kahwin dengan
perempuan tua seperti saya ni.”
“Sampai bila?”
“Tengoklah macam mana,” jawab Qarina
dengan selamba.
“Okey, jangan sampai awak terlupa
yang awak tu isteri saya. Keluar makan hanya dengan saya, biar orang cakap kita
bercinta. Boleh gitu?”
“Tengoklah dulu macam mana? Tapi
kalau kita tak boleh nak bersama macam mana? Kalau memang sah-sah tiada kasih
antara kita macam mana?”
“Biar masa yang tentukan. Biar ALLAH
yang putuskan apa yang terbaik buat kita,” ujar Fareez.
Qarina menarik nafas dengan panjang.
Matanya merenung tepat ke wajah Fareez, jelas kematangan lelaki itu ketika ini.
“Main tenung-tenung pulak, nanti jatuh
cinta,” usik Fareez. Qarina dengan segera mengalihkan pandangannya. Aduh,
malunya.
Qarina
mengenakan kemeja berwarna hitam dan seluar panjang yang berwarna kelabu.
Rambutnya dibiarkan mengerbang.
“Pakai macam ni aje?” tegur Fareez.
“Kenapa pulak, selalu macam ni apa?”
jawab Qarina. Selalunya dia akan bersarapan di rumah tetapi hari ini dek kerana
Fareez dia terpaksa meninggalkan amalannya.
“Tudung mana? Kan saya beritahu awak
saya nak awak pakai tudung.”
“Ini yang tak suka ni. Jangan suruh
pakai tudung boleh tak? Kalau saya nak pakai pun biar dari hati saya sendiri,
bukan kena paksa,” marah Qarina.
“Ha, ingkar cakap suami. Masuk
neraka nanti. Susah payah saya belikan tudung. Petang ni pun saya nak belikan
lagi tudung kat awak. Saya tak nak tanggung dosa kering. Dah, pergi pakai
tudung.”
“Awak tahu tak, tudung yang awak
belikan tu warna jingga. Awak ingat sesuai ke dengan baju saya ni?”
“Apa pulak tak sesuai, ada renda
warna hitam apa. Pakailah blazer warna hitam. Dah, pergi masuk pakai tudung. Kalau
tidak, sijil nikah kita tu, saya fotostat bagi kat staff. Nak macam tu?” ugut
Fareez. Suka dia melihat muka Qarina yang merah padam.
“Huh,” Qarina merengus. Tetapi dia
tetap melangkah masuk ke dalam biliknya kembali. Tidak lama kemudian dia keluar
dengan memakai baju kurung potongan Pahang. Rasanya baju itu yang secocok
dengan tudung hadiah daripada suaminya.
“Pakai baju kurung?” tanya Fareez.
Terasa macam Qarina memperlinya sahaja.
“Iya bang. Itu pun sebab tak ada
jubah dalam almari saya. Kalau tak saya pakai jubah hari ni bang,” sindir Qarina.
Fareez hanya tersenyum.
“Guna satu kereta sahaja tau. Guna
kereta awak. Jimat sikit duit saya,” sempat lagi Fareez bersuara walaupun dia
tahu Qarina sedang marah padanya.