Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,057
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 18

Abahnya, saya nak cakap sikit ni,” kata Alina dengan hati yang berdebar-debar. Rasa bersalah pula jika dia tidak menceritakan hal yang sebenarnya kepada Kamal. Jika perkara buruk yang berlaku kepada Qarina, pasti dia yang akan disalahkan kerana memberi keizinan.

“Apa hal?” Kamal bertanya sambil meletakkan cangkul di tepi pangkin. Air kopi yang masih panas di tiup perlahan.

“Er, ada hal saya nak beritahu, tapi abahnya jangan marah-marah pulak,” Alina berkata lagi, ada nada risau di dalam kata-katanya. Tambahan pula sejak dari tadi dia cuba menghubungi Qarina namun Qarina tidak menjawab panggilan darinya. Dia merenung ke wajah suaminya, walaupun suaminya bukanlah bekas tentera tetapi Kamal seorang yang garang dan panas baran. Pantang silap sikit, habis dimarahinya. Ada lah satu dua barang yang menjadi mangsanya. Anak-anak tiada seorang pun yang berani menganggkat muka ketika berbicara dengannya, apatah lagi hendak membangkang kata-katanya.

“Awak cakap dulu. Cakapnya belum,” jawab Kamal. Dihirupnya kopi yang masih panas itu dengan perlahan. Setitik dua peluh yang mengalir di wajahnya hanya di lap dengan telapak tangan.

“Qarina.”

“Ada apa dengan Qarina?” tanya Kamal lagi.

“Er, dia mengikut kawan dia ke rumah kenduri di Jerantut,” perlahan sahaja suara Alina.

“Habis, apa ke hal nya. Selalu dia ke mana-mana tak pernah pula awak beritahu saya. Dia tak balik sini?”

“Er, er, dengar cerita dia memang nak balik sini, tapi...” kata Alina mati di situ.

“Kenapa pula? Dah dia nak balik, baliklah. Nanti saya sembelih ayam betina tu. Dia suka makan ayam kampung. Lama dia tak balik sini. Ada dekat 6 bulan. Dia tak marahkan saya?” tanya Kamal. Dia tahu Qarina merajuk setelah dia memarahi Qarina kerana tidak mahu menerima rombongan merisik dari adiknya.

“Tak, dia tak marah. Cuma..”

“Cuma apanya. Awak ni ada sembunyikan apa dari saya?” Kamal dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

“Macam mana ni?” Alina mengarukan kepalanya, memikirkan bagaimana cara yang terbaik untuk dia memberitahu Kamal tentang Qarina.

“Alina, cuba awak beritahu saya, apa ke halnya,” suara Kamal agak meninggi. Geram dia dengan sikap isterinya, mahu bercerita tetapi tersekat-sekat pula ceritanya.

“Malam kelmarin, ada yang menelefon beritahu saya nak bawa Qarina ke majlis kenduri kahwin. Kawan Qarina dengan emaknya yang menelefon.”

“Kawan Qarina? Lelaki ke perempuan?” Muka Kamal mula berubah.

“Le.. laki.”

“Lelaki? Awak izinkan anak awak ke rumah kenduri dengan budak lelaki? Kawan apa macam tu sampai nak minta izin awak. Qarina duduk kat sana tu, entah dah biasa keluar dengan lelaki, sebab tu saya tak beri izin untuk dia tinggal di Pulau Pinang tu, tapi awak yang beria-ia sangat. Awak nak suruh anak awak tu rosak? Awak cerita dengan saya sekarang?” kali ini Kamal sudah naik hantu, dibalingnya cangkul yang ada di sebelahnya.

“Fareez tu katanya kawan Qarina, dia telefon saya minta izin nak bawa Qarina ke kampung. Saya tak izinkan, tapi mak Si Fareez tu pulak yang menelefon. Saya ni serba-salah.”

“Awak ni betullah bengap, mana awak tahu yang itu mak dia? Jangan-jangan perempuan dia upah ke, awak boleh beri izin untuk dia mengikut budak tu? Awak ni memang betullah, menyusahkan orang,” tengking Kamal, terkulat-kulat Alina mendengar jerkahan dari suaminya.

“Awak dah hubungi Qina?” sambung Kamal lagi. Mukanya merah padam kerana menahan amarahnya.

“Dah, tapi tak dapat,” Alina memberitahu, dia pasti suaminya lagi akan bertambah marah.

“Memang tak boleh harap. Emak dengan anak sama sahaja. Suka menyusahkan aku. Ingatkan kita balik penat-penat boleh merehatkan badan. Alina, awak dengar sini, kalau jadi apa-apa pada Qarina, semuanya itu salah awak. Salah awak.” Terhembur keluar air mata yang cuba ditahan oleh Alina tatkala mendengar kata-kata suaminya.

Kamal mengambil telefon bimbitnya, dia cuba mendail nombor telefon Qarina. Malangnya telefon Qarina di matikan. Dia terus menyumpah, geram dengan tindakan Qarina dan Alina.

“Macam mana? Dapat?” Alina bertanya di dalam sendu. Hatinya menjadi semakin gusar, otaknya mula memikirkan perkara yang buruk berlaku kepada anak gadisnya.

“Tak dapat. Lain kali apa-apa beritahu pada saya. Jangan buat keputusan sendiri. Awak tengok ni, bila dah jadi macam ni siapa yang susah. Bukan awak seorang sahaja tau. Sekarang ni mana kita nak cari dia. Zahid mana?” Kamal bertanyakan anak lelakinya. Dua anak perempuannya telah pun berumah tangga. Zahid anak yang sulung dan Qarina anaknya yang bongsu.

“Zahid tak balik lagi,” jawab Alina.

“Awak telefon dia, suruh dia balik sekarang jugak,” arah Kamal. Dia mencapai tuala lalu menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

“Kita nak cari dia kat mana abah?” Zahid bertanya, dari tadi abahnya tidak berhenti dari membebel. Sekejap marahkan Qarina, sekejap marahkan emaknya yang dari tadi asyik menyapu air mata. Terkejut dia apabila diberitahu Qarina hilang kerana mengikut seorang lelaki. Dia sedikit pun tidak percaya, bukan dia tidak kenal dengan adiknya. Qarina bukanlah seorang gadis yang liar biar pun dia lah yang paling degil. Selalu membangkang kata-kata Kamal.

“Kita pergi Jerantut. Bukan jauh sangat dari Pekan ni. Aku tak kira, walau macam mana pun kita kena cari jugak Qarina. Budak ni memang dah melampau. Suruh kahwin tak nak, tapi gila mengikutkan lelaki. Entah ke mana dibawanya budak itu pun kita tak tahu. Talefon pun tak dapat. Ini mak kau punya pasallah ni. Pandai-pandai beri izin tanpa tanya aku. Awak ingat Alina, kalau jadi apa-apa pada Qarina, siap awak,” ugut Kamal.

“Sudahlah tu abah, kasihan pada mak. Dia pun tak sangka jadi macam ni,” Maria memujuk bapa mertuanya.

“Ialah abah. Lagipun kita nak cari dia kat mana? Mak ada nombor telefon budak tu?” tanya Zahid. Alina mengelengkan kepalanya.

“Kau tengok, macam mana aku tak marah, dah beri izin satu hal. Lain kali gunalah otak, sekarang ni kita nak buat macam mana? Hey, geram aku dengan mak kau ni,” suara Kamal semakin kuat. Maria mengosok belakang ibu mertuanya.

Zahid kemudiannya mengambil telefon bimbit emaknya.

“Ini nombor telefon siapa mak?”

“Entah, manalah emak tahu. Mak kan bodoh,” jawab Alina sambil mengesat air mata yang berlinang. Kecil benar hatinya dengan leteran dari Kamal. Langsung tidak menjaga maruahnya di hadapan anak-anak. Memang begitu sikapnya, kalau marah tidak kira tempat. Pernah dia ditengking di dalam pasar raya gara-gara tersilap mengambil barang. Baran Kamal memang sejak dari dulu. Siapa tak kenal dengan Kamal Bekeng? Gelaran yang diberikan kepada Kamal.

“Mungkin ini telefon Fareez kot. Zahid cuba hubungi dia,” Zahid terus sahaja menekan punat ‘panggilan’ di telefon Nokia itu. Kamal menunggu dengan perasaan yang berdebar, sempat dia berdoa di dalam hati agar anaknya itu selamat.

“Assalamualaikum,” Zahid memberi salam, dia tidak menunggu lama. Sekali deringan sahaja panggilannya sudah di jawab.

“Waalaikumussalam.”

“Encik Fareez ke ni?”

“Iya, saya. Ini siapa? Ini bukan nombor telefon emak Qarina ke?”

“Iya. Saya Zahid, abang Qarina. Encik Fareez ni ada kat mana? Saya cuba hubungi Qarina tapi tak dijawabnya,” kata Zahid. Hatinya merasa sedikit lega apabila mendengar suara Fareez. Buat seketika dia tahu adiknya itu selamat.

“Iya ke? Mungkin bateri dia habis kot. Nak cakap dengan dia ke?” Belum sempat Zahid menjawab pertanyaan dari Fareez, telefon bimbit itu segera dirampas oleh Kamal.

“Hello,”

“Iya saya,” Fareez kehairanan. Siapa pula ini, tadi lembut sahaja suaranya. Ini dah macam harimau lapar sahaja. Cuak juga hati lelakinya.

“Ini bapak Qarina. Anak aku mana? Suka-suka hati sahaja kau bawak anak dara aku. Mana dia? Kau jangan apa-apakan dia. Kau sentuh aje anak aku, sampai ke lubang cacing aku cari kau,” tengking Kamal. Memang ‘hangin’ lah dengan budak lelaki yang berani mengusung anak daranya.

“Pak...pak..pakcik. Qarina ada. Saya tak ada niat nak apa-apakan dia. Kejap ye saya panggil dia,” tergagap-gagap Fareez. Kecut jantung, limpanya mendengar jerkahan bapa Qarina.

“Kalau macam nilah bakal bapa mertua aku. Mahu masak juga aku,”getus hatinya sendiri.

Fareez dengan segera mencari Qarina. Sekejap sahaja matanya sudah berjaya menangkap kelibat Qarina yang sedang berbual dengan mamanya. Dia terus berlari mendapatkan Qarina.

“Nah,” terus sahaja Fareez menghulurkan telefon bimbitnya kepada Qarina. Termangu-mangu Qarina apabila melihat reaksi Fareez yang nampak seperti baru bertemu dengan hantu.

“Apahal lak ni?” tanya Qarina dia masih tidak menyambut lagi telefon bimbit yang dihulurkan oleh Fareez.

“Ayah awak,” kata Fareez. Muka Qarina tiba-tiba sudah berubah menjadi pucat. Nasib baiklah tidak bertukar menjadi biru atau hijau. Kalau tidak sah-sah orang akan kata yang dia ini keturuanan Encik Hulk.

Qarina mengelengkan kepalanya. Dia tidak mahu menjawab panggilan itu. Memang dia keras kepala tetapi kalau dengan abahnya, harus kudung juga lah kepalanya. Fareez terus menghulurkan telefon itu. Fatimah yang ada terus mengambilnya.

“Assalamualaikum,” Fatimah memberi salam dengan lembut. Almaklumlah bakal besan.

“Ni siapa pulak ni?” tengking Kamal. Dia hendak bercakap dengan Qarina bukannya dengan perempuan yang bersuara lembut ini. Hampir 30 tahun dia membesarkan Qarina kenal sangat dia dengan suara Qarina yang manja.

“Eh, aku beri salam elok-elok. Dia main tengking-tengking lah pulak,”rungut Fatimah di dalam hatinya. Kalau ikutkan hati memang dia tengking balik suara di hujung sana, tetapi apa boleh buat, bakal besan. Kenalah berlembut.

“Saya ni Fatimah, emak Fareez.”

“Oh, anak awaklah yang sibuk mengusung anak aku. Awak tak tahu nak mengajar anak ke? Mana kau bawak anak aku?”

“Eh, eh. Bila pula anak kita bawak lari anak awak?” suara Fatimah kedengaran sedikit kuat. Fareez dan Qarina saling berpandangan.

“Orang kalau ada adat, datang masuk meminang. Bukan nak mengusung anak dara orang tak tentu hala. Apa awak ingat Qarina tu tak ada mak bapak?”

“Amboi, sedapnya bahasa orang kat sana. Awak ingat saya ni orang tak beradat ke? Saya dah minta kebenaran dari isteri awak tau. Isteri awak dah izinkan saya bawa anak dara awak.”

“Isteri aku bukan wali tau. Awak ingat anak aku tu apa? Anak kau dah usung dia merata-rata, jangan ingat aku nak diam. Kalau jadi apa-apa, siaplah dia.” Muka Fatimah bertukar merah ketika mendengar ugutan dari bapa Qarina.

“Anak kita tak buatnya benda yang tak senonoh pada anak awak. Kalau dia buat pun kita akan suruh dia bertanggungjawab. Awak ingat keluarga kita ni tak ada adat ke?”

“Memang keluarga awak tak beradat. Kalau jenis beradat tak jadilah cerita macam ni.”

“Sedapnya kata-kata awak, dari tadi kita iyakan aje.” Kali ini suara Fatimah semakin kuat. Hussain yang memandang dari jauh mula menuju ke arah isterinya yang sedang bercekak pinggang. Tahulah dia, pasti Fatimah sedang naik hantu, bukan dia tidak kenal isterinya itu.

“Awak ada kat mana? Aku datang nak ambil anak aku.”

“Tak payah, awak tunggu aje kat rumah awak tu. Panggil tok kadi. Nanti kita sampai rumah awak, nikahkah aje dia orang. Kita tahulah mengajar anak kita.” Terus sahaja Fatimah mematikan taliannya. Mukanya merah padam

“Kenapa ni Cikgu Timah oii, malu dek orang. Orang dok nengok aje lah,” kata Hussain.

“Sedapnya mulut dia. Cakap anak kita ni jenis tak bertanggungjawab. Cakap kita ni tak beradap. Apa? Dia ingat kita keturunan apa?”

“Awak ni, apa ni?” marah Hussain.

“Bakal besan awak itu lah. Sekarang saya tak kira, kita siap. Sekarang jugak kita pergi rumah Qarina.”

“Pergi rumah saya? Buat apa?” tanya Qarina.

“Buat apa lagi, kahwin lah,” jawab Fatimah. Dia terus berlalu.

“Apa? KAHWIN?” kata Qarina dan Fareez hampir serentak. Balqis dan Iqram yang baru sampai turut terlopong ketika mendengar perkataan ‘kahwin’.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.