Sudah
tiga pusingan Fareez berlari mengelilingi Taman Botani. Qarina hanya mampu
menghabiskan satu pusingan, sudah lama dia tidak beriadah. Sekali-sekala terasa
penatnya. Peluh membasahi wajah Fareez, termengah-mengah dia. Qarina
menghulurkan air mineral kepada suaminya, kasihan pula melihat Fareez yang
tercungap-cungap keletihan.
“Rehat dulu boleh tak, penatlah,”
kata Fareez. Dia terus duduk di sebelah isterinya.
“Siapa suruh lari sampai tiga
pusingan kalau dah tahu badan tu tak larat,” jawab Qarina.
“Penat-penat macam ni kalau ada
orang tolong picitkan bagus jugak.”
“Tak apa lah nanti kita pergi rumah
urut, nak?”
“Habis tu yang kat sebelah ni, tak
kan tak boleh tolong urutkan?” Qarina mencebik.
“Pagi tadi bukan main lagi, nak jadi
isteri yang baik. Abang minta tolong picit pun dah cebik,” sambung Fareez lagi.
“Em, gelilah. Dah badan peluh-peluh.
Nak suruh orang picit pulak, tak kuasa den,” jawab Qarina. Dia bingkas sahaja
bangun.
“Nak pergi mana pulak tu? Abang tak
habis rehat lagi lah.”
“Jom lah pergi makan. Lagi satu,
janganlah bahasakan diri tu abang. Cair tahi telingalah,” jawab Qarina dan
terus melangkah. Fareez mengelengkan kepala. Susah betul nak faham orang yang
tiada pendirian macam Qarina. Pagi kata lain, petang kata lain.
Mereka berdua hanya memesan makanan
yang sama. Roti canai kosong, kuah banjir. Qarina menyuapkan roti canai yang
telah pun dipotong kecil-kecil, lembut dan perlahan. Fareez sesekali menjeling
ke arah isterinya. Telefonnya berbunyi, Fareez mengerutkan dahi, berbelah bagi
sama ada hendak menjawab atau tidak panggilan telefon itu. Sudahnya dia
membiarkan sahaja.
“Siapa telefon, kenapa tak jawab?” Qarina
bertanya.
“Iqram. Malas nak layan mamat ni.”
Qarina terdiam. Mendengar nama
Iqram, seleranya patah. Untuk apa lagi Iqram menghubungi Fareez setelah apa
yang dikatakan olehnya.
“Kenapa ni?”
“Hilang selera,” balas Qarina.
“Janganlah macam ni. Kita dan kahwin
kan, Iqram tu sepupu saya. Suka atau tidak, dia jadi ahli keluarga awak. Suatu
hari nanti, awak terpaksa jugak berdepan dengan dia,” pujuk Fareez. Macam
menipu diri sendiri pula dia rasakan. Kalau boleh dia tidak mahu Qarina
berjumpa dengan Iqram, dia bimbang andai Qarina gagal melupakan cintanya pada
Iqram.
Telefon berdering lagi, kali ini
Fareez menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,” jawab Fareez
sambil mengeyitkan mata kepada Qarina.
“Waalaikumusallam. Fareez aku ada
kat Penang ni. Aku ingat nak ke rumah kau. Aku sorang aje ni. Ada kerja di sini.”
“Iya ke? Aku tak ada kat rumah
sekarang ni, Aku tengah makan ni.”
“Kau ada kat mana?”
“Kat kedai makan lah. Kat mana lagi?” Qarina mengelengkan kepala. Yakin dia
yang Iqram kini berada di Pulau Pinang.
“Aku tahu lah, tapi kat mana. Aku
ada kat Vistana Hotel.”
“Er, aku ada di Kayu Nasi
Kandar,” serba salah Fareez di buatnya.
Dia tahu Qarina pasti marah.
“Dekatlah, tunggu nanti aku datang.”
Qarina menarik muka, nampak sangat
Fareez kalah dengan Iqram, Bukan dia tidak tahu kisah dia dengan Iqram.
“Janganlah marah, baik buruk pun dia
tetap sepupu saya,” Fareez cuba memujuk isterinya. Qarina tetap dengan mukanya
yang masam. Sepatah pun dia tidak menjawab kata-kata Fareez. Kalau boleh dia
hendak membahasakan dirinya ‘abang’. Tapi setelah dia melihat Qarina gelak
sakan dia membatalkan hajatnya itu, mungkin belum sampai lagi masanya untuk Qarina
memanggilnya abang.
Iqram terus menarik kerusi lalu duduk
di sebelah Fareez.
“Aku dengar cerita kau dah kahwin?”
Iqram bertanya. Qarina berpura-pura tidak mendengar. Fareez menganggukkan
kepalanya.
“Tak jemput aku pun. Mak aku cakap
tak ada kenduri apa pun? Kenapa?”
“Nak buat juga kendurinya, tapi tak
tahu bila. Insya-ALLAH nanti dah tetap tarikh, aku jemput lah. Kenapa Balqis
tak ikut?”
“Balqis sibuk dengan kedai pengantin
dia lah.”
‘Habis dah makan? Kalau dah habis,
jom balik lah. Sakit kepala,” Qarina bersuara. Melihat Iqram membangkitkan
pelbagai rasa di dalam hatinya. Marah dan rindu, bercampur- baur.
“Em, aku kena balik dulu. Lagipun Qarina
tak berapa nak sihat. Kau macam mana?”
“Okey, tak apa. Aku nak duduk di
hotel aje. Esok aku ada kerja. Tak apalah, aku hanya nak jumpa kau aje.”
“Maaflah Iqram. Nanti kita jumpa
lain. Kejap ye, aku pergi bayar ni.”
“Kau sengaja nak sakitkan hati aku
kan?” kata Iqram kepada Qarina sejurus Fareez meninggalkan dia di meja bersama
dengan Qarina. Qarina tidak menjawab, sebaliknya dia memandang ke arah lain.
Malas hendak melayan Iqram.
“Kenapa buat macam ni Qina? Dah lupa
pada kasih kita?”
“Iqram, siapa yang terlebih dahulu
lupa pada janji kita? Aku atau kau? Kau bahagia dengan Balqis. Salah ke kalau aku
juga nak bahagia? Kau nak aku terus menangis sebab ditinggalkan kau? Kisah kita
dah jadi sejarah Iqram. Aku bahagia dengan Fareez.”
“Kenapa dengan dia, kau sengajakan
nak tunjukkan pada aku? Aku masih sayangkan kau Qina. Sekali pun aku tak pernah
lupakan kau. Aku tak bahagia dengan Balqis, kerana aku masih cintakan kau.
Maafkan aku Qina. Kita masih ada lagi masa untuk kita betulkan semuanya. Kita
kembali seperti dulu. Kita lupakan apa
yang berlaku.”
“Kau nak lupakan apa yang berlaku?
Kau tak akan tinggalkan Balqis, itu yang aku pasti. Iqram, kau tinggalkan
Balqis, baru aku akan lupakan apa yang berlaku. Faham,” Qarina bersuara,
wajahnya seakan-akan mengejek-ejek Iqram. Yakin sangat dia, perkara itu pasti
tidak akan berlaku. Iqram tidak mungkin akan memilihnya berbanding Balqis.
Semua itu telah terbukti, jika tidak pasti dia yang berada di sebelah Iqram. Qarina
merenung tepat ke wajah Iqram. Kenapa begitu sukar melepaskan kenangan yang
lalu.
“Kalau aku tinggalkan Balqis, kau
akan kembali pada aku? Kalau itu yang kau nak, aku akan tinggalkan dia. Selepas
itu kau tuntut cerai dengan Fareez. Kita akan bersama selepas itu,” cadang
Iqram.
“Iqram. Kau dah gila ke? Kau ingat
aku ni perempuan jenis apa ha? Gila,” Qarina bingkas bangun menuju ke arah
suaminya yang masih lagi berdiri di hadapan kaunter menunggu giliran untuk
membayar.
“Kenapa?” tanya Fareez.
“Tak ada apa,” dalih Qarina. Bagai
tidak percaya dengan apa yang dilafazkan oleh Iqram. Kini dia sudah nampak
hikmah di sebalik perkahwinanannya dengan Fareez, hikmah di sebalik kelukaan
yang ditinggalkan oleh Iqram. Lelaki jenis apa yang sanggup berkata begitu,
gila. Apa dia ingat aku cinta dia separuh mati ke? Benar, cintanya pernah
separuh mati, tapi itu dulu. Sekarang dia sedang belajar untuk menyintai Fareez.
Usai membayar, Fareez mendapatkan
sepupunya.
“Jumpa lagi Iqram. Kirim salam pada
Balqis.”
“Insya-ALLAH,” jawab Iqram. Entah
ikhlas atau tidak hanya ALLAH sahaja yang tahu. Qarina sengaja memegang tangan
suaminya. Jelas sekali yang dia ingin menunjukkan yang sekali-kali tidak akan
meninggalkan Fareez untuk Iqram. Fareez hairan, rasanya inilah kali pertama Qarina
memegang tangannya seerat ini. Matanya menjeling, nampak wajah kecewa milik Iqram. Yakin dia yang masih ada kasih
antara mereka. Dia tahu Qarina hanya mahu membuatkan Iqram cemburu.
“Apa yang disembangkan dengan Iqram
tadi?”
“Tak ada apalah.” Jawab Qarina
dengan ringkas.
“Tak kan tak ada apa kot. Saya
tengok macam bertih jagung aje mulut Iqram. Dari jauh dah nampak dia
terkumat-kamit aje. Macam tengah baca jampi aje.” Qarina tidak menjawab. Tidak
tahu bagaimana hendak menceritakan tentang apa yang dikatakan oleh Iqram
kepadanya.
“Kenapa ni? Ingat cerita lama tu.”
“Kalau ingat pun kenapa?” duga Qarina.
“Ingat pun tak apa, nak buat macam
mana. Cinta pertama,” jawab Fareez dengan lemah. Macam merajuk pun ada.
“Eleh, cinta pertama mungkin tidak
semanis cinta terakhir,” Qarina cuba memujuk suaminya. Tangan Fareez
digengamnya. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi merah, malu dengan gelagatnya
sendiri. Di hatinya, dia berdoa agar dia boleh terus melupakan Iqram.
“Iya ke?” baru nampak ceria kembali
wajah Fareez.
Iqram memandang gelagat Fareez dan Qarina
dari jauh. Kemesraan mereka benar-benar membakar hatinya. Geram dan panas.
Melihat wajah Qarina yang manis bertudung menambahkan lagi rasa cemburunya.
Macam mana Fareez dapat mengubah Qarina, adakah ada cinta antara mereka? Tidak,
dia yakin. Qarina hanya cinta padanya. Cinta Qarina padanya tidak berubah walau
kini Qarina bersama dengan Fareez. Cinta Qarina adalah sekuat cintanya pada
gadis itu. Itu yang diyakini Iqram. Sepenuh hati dia berpegang pada cinta itu.