Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,049
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

Balqis menunjukkan e-mail yang baru diterima kepada suaminya. Iqram tidak mengendahkannya. Malas dia hendak melayan kerenah Balqis yang semakin menyesakkan kepalanya.

“ Tak sabar nak jumpa dengan aku ke nak jumpa dengan suami aku ni,” kata Balqis.

“ Apa ni Qis? ” Iqram mula bersuara.

“ Marah? ”

Iqram meneruskan pemanduannya, memang dia sudah menduga sejak Balqis tahu kisahnya dengan Qarina, perang dingin terus bermula.

“ Kisah saya dengan dia, dah lama berlalu. Sekarang ni saya dah pun jadi suami awak, apa lagi yang mahu kan ni?” suara Iqram mula tegang.

“ Saya tahu awak masih sayangkan dia. Kalau tak awak tak simpan lagi gambar dia.”

“ Malas saya nak layan awak Balqis. Awak jangan kacau dia, dia tak ada kena mengena dalam hubungan kita.”

Balqis mendiamkan diri, pandanganya terus ke luar tingkap pacuan empat roda milik suaminya. Sudah sepuluh tahun dia melayari bahtera kehidupan sebagai isteri kepada Iqram. Lelaki yang telah menyebabkan hatinya berdegup kencang. Dia fikir, Iqram sudah mampu untuk melupakan Qarina tetapi minggu lepas dia terjumpa dengan gambar Qarina di dalam laci peribadi suaminya. Bukan setakat gambar, malah ada dua tiga cinta dari Qarina masih terpelihara. Hati siapa yang tidak parah. Bertahun-tahun telah berlalu namun Qarina masih di hati Iqram. Apa kurangnya dia. Balqis menyeka air mata kecewanya. Andai kata Iqram mempunyai hubungan dengan wanita lain, hatinya tidak separah ini. Ini tidak, Qarina juga di hati Iqram.

“ Saya tak kira, saya nak sambut juga ulang tahun perkahwinan kita di sana,” Balqis sudah tetap keputusannya.

“ Kenapa? Awak memang sengaja nak sakitkan hati dia? Apa lagi yang awak nak ni Balqis. Cukup-cukuplah tu, hubungan saya dengan dia dah lama putus,” kata Iqram lagi.

“ Putus? Encik Iqram, masa kita bertunang dulu pun, awak hubungi dia. Awak jangan ingat saya bodoh lah. Entah-entah sekarang ni memang ada skandal dengan dia. Sebab tu awak selalu ke Penang kan?” tuduh Balqis.

“ Awak jangan hendak main tuduh aje tau. Saya ke sana sebab kerja tau. Saya tak tahu pun yang dia ada kat sana, kalau awak tak beritahu saya. Sampai bila awak nak spekulasi pada saya dengan dia. Dia tu entah-entah bahagia dengan suami dia, mana awak tahu? Kita sahaja yang asyik bertelagah, tak kira siang malam.”

“ Tahu pun awak. Awak sedar tak puncanya hanya satu. Qarina. Selagi perempuan masih di dalam hati awak, sampai bila pun kita tidak akan bahagia,” bentak Balqis.

Iqram terdiam. Dia mengaku di dalam hati, hingga hari ini hatinya tidak mahu melupakan Qarina, insan pertama yang bertakhta di hati. Atas silapnya sendiri Qarina pergi membawa diri. Benarlah kata orang sukar melepaskan cinta pertama.

“Kenapa diam? Sebab betul apa yang saya katakan,” sindir Balqis lagi.

“Ikut suka hati awak lah,” akhirnya Iqram mengalah. Nampaknya tidur di bilik tamu lagi lah dia malam ini.

Balqis mencebikkan bibirnya. Kebisuan Iqram seolah-olah satu pengakuan. Pengakuan tentang apa yang di duganya. Hatinya bertambah walang. Sekali-kali dia tidak akan mengalah pada Qarina.

Qarina membelek kembali album lamanya. Album yang mengandungi gambar-gambar pada zaman persekolahnnya. Masih terbayang di ruang matanya, kelincahan dia dan teman-teman berlari dipersekitaran sekolah kerana mengejar lolipop. Walaupun ketika itu mereka semua bakal menduduki peperiksaan SPM namun perangai tetap mengalahkan budak-budak. Matanya terpaku kepada sekeping gambar. Gambar dia bersama-sama dengan bekas kekasih hatinya, Iqram. Qarina memejamkan matanya. Sudah hampir 13 tahun semuanya berlalu, namun kesannya masih ada hingga kini. Itu cinta pertamanya, walaupun sekadar cinta monyet cinta di alam persekolahan tetapi sakitnya sehingga ke detik ini. Apa khabar Iqram sekarang ini, mungkin sedang berbahagia dengan Balqis. Hatinya diburu cemburu. Cemburu pada Balqis yang kini berada di sisi Iqram, bukan dirinya. Sakitnya hati, tiada siapa yang tahu. Qarina membuka kotak yang terisi semua pemberian Iqram, semuanya di jaga dengan baik. Jangankan anai-anai semut pun tidak dibiarkan berada di dalam kotak berharganya. Ke mana sahaja dia pergi hanya kotak itu menjadi penemannya. Ibu dan ayahnya tahu betapa pentingnya kotak itu kepada Qarina, malah adik beradiknya juga tahu. Qarina memainkan peti lagu, asyik dan merdu sekali. Rasa rindu kepada Iqram datang lagi. Entahlah sakit apa yang ada di dalam jiwanya dia tidak tahu, yang pasti hingga ke saat ini hanya Iqram sahaja yang menjadi pengubatnya.

Iqram masih di dalam bilik bacaannya, sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan pada Qarina. Kisahnya dengan Qarina pernah menjadi bualan di kalangan teman-teman. Bahkan di kalangan guru-guru juga kisahnya turut diperkatakan. Mereka berdua satu kelas, ke mana sahaja mereka pasti berdua, ke kantin berdua, ke makmal berdua. Malah ke bilik kaunseling pun berdua. Kena marah dengan pengetua pun berdua. Iqram tersenyum lagi, indahnya waktu itu. Kali pertama dia mengenali cinta. Sikap Qarina yang gila-gila, kadang-kadang keanakkan itu benar-benar meruntuhkan jiwa remajanya ketika itu.

“Qina, saya rindukan awak,” bisik Iqram perlahan. Walaupun dia dan Qarina di lahirkan pada tahun yang sama, namun Qarina memangilnya abang. Biasalah, orang tengah bercinta. Dia mengimbas lagi, sejak bila kasihnya pada gadis itu berubah. Dia sedar Qarina kecewa, Qarina makan hati dek kerana perbuatannya. Begitu mudah dia melupakan kasih yang ada. Iqram melihat dipersekitaran biliknya, kosong dan sepi. Dengan Balqis dia mengakui ada sayang, tetapi sayangnya pada Balqis tidak seperti kasihnya pada Qarina.

“Qarina,” Iqram berbisik lagi. Ramai kawan-kawannya terkejut apabila dia memilih Balqis bukan Qarina. Sejak dia memilih Balqis, teman-teman rapatnya mula menjauhkan diri. Andai dapat di putarkan kembali masa yang berlalu, pasti Qarina yang menjadi isterinya.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.