Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,067
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

Qarina mengosokkan kedua-dua belah bahunya. Angin malam itu benar-benar membuatkan badannya sejuk. Dia melihat ke arah bulan yang bersinar cemerlang. Mujur ada bulan dapat lah juga dia menikmati malam yang indah ini. Dia melihat ke arah Balqis dan Iqram yang bergandingan menyusuri pantai. Romantis. Perkara yang selalu diidamkannya suatu ketika dahulu, memaut lengan Iqram. Qarina mengeluh.

“Kenapa ni?” tanya Fareez. Dari tadi dia setia di sebelah Qarina walaupun Qarina langsung tidak mengendahkannya.

“Makan hati,” jawab Qarina bersahaja.

“Bagus makan hati tu, boleh tambah darah. Bagus untuk kesihatan.”

“Mamat ni memang tak ada perasaan ke? Aku tengah layan jiwa lara ni, boleh dia buat lawak tak empuk kat sini.”Marah Qarina di dalam hatinya sendiri. Dia tidak menjawab, malas untuk melayan kata-kata dari Fareez.

“Janganlah macam ni. Dia orang tu gembira aje. Kenapa pula nak kena makan hati, sepatutnya awak kena tunjukkan pada mereka berdua yang awak bahagia dengan saya. Bukan bermasam durja macam ni. Nanti mereka syak pula yang kita ni menipu, nak mereka tahu ke?”

Qarina diam.

“Yang lepas tu lepas lah. Buat apa nak dikenang-kenang. Lagipun cinta dinasor tu. Dinosor pun dah lama pupus. Sudah-sudahlah makan hati, bukalah pintu hati tu pada orang lain. Orang yang awak tunggu selama ini asyik berkepit sahaja dengan isteri dia. Tengok tu, siap main tendang-tendang ombak lagi,” Fareez kemudiannya menunjukkan kepada Qarina aksi Iqram dan Balqis.

“Kalau boleh dibuang dah lama saya buang jauh dari hati saya. Masalahnya semakin saya ingin lupa semakin kerap rasa itu hadir. Semakin saya menjauhkan diri, dia datang pula. Awak tak akan faham Fareez. Kisah saya dengan dia terlalu rumit.”

“Awak sahaja yang merumitkan keadaan. Benda senang sahaja. Dah putuskan, nak buat apa lagi? Buka hati awak pada yang lain,” nasihat Fareez. Dia pun bukan pandai sangat bab-bab cinta ini. Memang tiada pengalaman. Hidupnya di atur oleh mamanya. Hingga tiada masa untuk dia kenal dengan gadis di luar sana. Percaya atau tidak, sudah 26 tahun usianya hingga kini dia langsung tidak kenal apa erti cinta. Dia tidak pernah merindui sesorang kecuali mamanya. Itu pun ketika dia di tahan wad kerana demam denggi.

“Sejuknya malam ni, sampai bila kita nak duduk kat sini?” Qarina mengalihkan tajuk perbualan.

“Lari dari topik pulak. Kenapa? Takut nak terima kenyataan?”

“Kenyataan apa?” tanya Qarina. Mamat poyo ni tukar karektor pulak ke? Dari mamat poyo ke mat romeo?

“Kenyataan yang Iqram benar-benar bahagia dengan Balqis?”

“Baguslah kalau dia bahagia dengan isteri dia, dik. Ada akak kisah?” kata Qarina.

“AKAK? Hello, kita dalam mood bercinta ni tau. Bukan dalam mood adik kakak ye,” Fareez mengingatkan Qarina. Dia selesa begini. Qarina lebih lembut dan tersusun kata-katanya, lebih ayu di matanya. Qarina ketawa, menampakkan barisan gigi putihnya. Fareez terus merenung ke arah wajah manis milik Qarina.

“Memang comel lah minah ni. Aduh, nasib baik lah kau ni tua dari aku. Kalau tak dah lama aku masuk minang. Memang kau ada semua yang aku nak. Comel, manja, berdikari, survivor, cakap banyak dan yang paling best kau ni tahan lawak. Kenapa Iqram tu bodoh sangat sia-siakan orang macam kau. Kalau aku dapat kau, nyamuk pun aku tak bagi hisap darah kau,” Fareez merenung Qarina. Mungkin kerana suasana malam, mungkin kerana cahaya bulan atau juga mungkin kerana hati lelakinya semakin di curi Qarina jadi dia melihat Qarina amat berlainan sekali.

“Ni fasal tengok macam ni?” marah Qarina, gundah jiwanya kerana ditatap Fareez sebegitu rupa. Kecamuk hatinya. Fareez tersenyum, menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Manis.

“Kenapa, bukan kena bayar pun. Benda free tak kan tak boleh tengok?” jawab Fareez bersahaja.

“Bukan tak boleh tengok, nanti jatuh cinta. Siapa yang susah akak jugak, nak kena cari bomoh buat ubat pembenci.”

“Kalau jatuh cinta pun, apa salahnya. Alang-alang dah main-main kita bercinta teruslah,” Fareez menduga, ingin melihat reaksi Qarina. Qarina ketawa.

“Kau ni jangan mimpilah Fareez. Kalau tak kerana Balqis dan Iqram tak kuasa akak nak berawak, ber saya dengan kau ni. Kau sedar tau,kau ni jenis mamat poyo. Tahu tak poyo tu apa?” kata Qarina sambil ketawa.

“Alah, sekarang ni poyo lah. Kalau dah jatuh cinta esok, hilang poyonya,” balas Fareez.

“Hek elleh, mamat poyo dia panggil aku. Macam ini punya hensem, kategori Brad Pitt ni,” Fareez memuji dirinya sendiri.

“Masam aje ni? Marah ke?” tegur Qarina, namun masih lagi dengan gelaknya.

“Ialah, agak-agak lah. Muka idaman Malaya ni, janganlah cakap mamat poyo. Bagai ditusuk sembilu tau,” Fareez merajuk.

“Alahai, merajuk pula buah hati saya ni. Elelelele,” pujuk Qarina.

“Nak pujuk tu biarlah ikhlas, ni pujuk apa. Siap gelak lagi.”

“Okey, akak minta maaf. Akak main-main aje lah. Bukan mamat poyo, mat skema, boleh?” gelak Qarina lagi.

“Gelak, gelak? Andartu memang macam ni.”

“Aik, lain macam aje ni. Andartu-andartu perlahan sikit, nanti bukan akak aje, puntianak kat sini pun turut sama maki kat kau,” suara Qarina berlainan sedikit nadanya, kali ini ketawanya hilang.

“Tahu marah. Mulai malam ini saya tak nak panggil awak kakak. Awak pula jangan bahasakan diri kakak. Nanti tersasul depan mereka. No more aku, no more kau. Boleh?”

“Kau ni mabuk laut ke apa? Dua hari aje mereka kat sini. Bukan untuk selama-lamanya,” ujat Qarina.

“Tahu. Tapi saya memang tak nak panggil akak. Suka hati lah. Lagipun umur kita bukan jarak sangat pun.”

“Ha. Dah jatuh hati lah tu,” usik Qarina.

“Mana ada.”

“Elleh, cover line. Jatuh cinta dengan akak kan?”

“Mana ada.”

“Malu nak ngaku lah tu. Jatuh cinta dengan akak ek,” usik Qarina lagi. Suka dia melihat wajah manis Fareez yang tersipu-sipu malu.

“Mana ada,” kali ini suara Fareez semakin kuat. Qarina tidak menjawab, sebaliknya dia terus ketawa.

“Gelak ni kenapa?” tanya Fareez, malu dia di usik Qarina.

“Tak ada apa lah,” jawab Qarina namun dia terus ketawa.

“Eloklah tu gelak malam-malam hari, kat tepi pantai pulak tu. Tu kawan awak panggil,” kata Fareez.

“Siapa?”

“Puntianak. Dia ajak awak lepak sekali kat atas pokok rhu tu. Elok lah kawan dengan dia. Rambut tu bagi mengerbang sikit, muka dah ala-ala dah.”

Qarina terus memukul bahu Fareez bertubi-tubi. Gelaknya hilang.

“Mulut macam longkang. Malam-malam buta macam ni, jagalah sikit,” marah Qarina.

“Okey,okey,” Fareez cuba mengelak, namun bahunya tetap menjadi mangsa tas tangan Qarina.

“Kenapa? Cemburu?” Balqis bertanya kepada suaminya. Dari jauh mereka melihat akan kemesraan Qarina dan Fareez. Penuh gelak tawa. Iqram mendiamkan diri. Malas dia hendak bertekak dengan Balqis. Dari tadi dia hanya menurut kehendak Balqis, dia tahu Balqis sengaja ingin menunjuk-nunjuk di hadapan Qarina betapa bahagianya mereka. Sedangkan hanya ALLAH yang tahu, dia dan Balqis memang tidak sehaluan. Sejak dari dahulu lagi, jika tidak kerana Balqis mengugutnya untuk membunuh diri, pasti dia sudah lama meninggalkan Balqis.
“Awak tengok sendirikan, betapa bahagianya buah hati awak dengan kekasih dia, kenapa awak tak boleh terima? Kenapa harus terus ingatkan dia. Saya kat sini ada, sentiasa ada, sejak dari dulu, tapi awak tak pernah hiraukan kan saya,” luah hati Balqis.

“Awak merepek apa ni Balqis? Dia bahagia itu hak dia. Kita ni tak bahagia bukan salah dia, bukan salah awak. Tapi kita memang tak boleh bahagia. Awak aje yang tak boleh terima. Antara kita memang tiada sefahaman Balqis,” jawab Iqram. Matanya masih tidak putus melihat kemesraan antara Fareez dan Qarina. Macam mana Qarina boleh jatuh hati dengan pemuda seperti Fareez. Bukan dia tidak tahu, malah seluruh familinya tahu yang Fareez ini jenis yang gila-gila. Matang? Jauh sekali. Dia akui bukan sukar untuk menyintai gadis seperti Qarina. Semuanya ada pada gadis itu, serba sempurna, serba sederhana.

Balqis hanya melihat suaminya yang terus merenung Qarina dari jauh. Hatinya sebak, pelbagai cara dia gunakan untuk memikat Iqram. Dulu Iqram sanggup meninggalkan Qarina untuk dirinya, dia tahu Qarina kecewa dia tahu Qarina merana. Tetapi dia tidak sanggup kehilangan Iqram. Cintanya pada Iqram cinta tersimpul mati, tidak mampu dileraikan lagi.

“Jom kita balik, saya sakit kepala. Melayan kerenah awak,” marah Iqram.

“Sakit kepala melayan kerenah saya atau sakit kepala melihat Fareez di sisi Qarina?” sinis sahaja pertanyaan dari Balqis. Iqram menjeling. Dua-dua menyakitkan hatiya, Balqis dan Qarina.

“Dah habis berjalan?” tanya Qarina kepada Balqis.

“Penat dah kaki ini melangkah,” jawab Balqis.

“Apa kata kita pergi pekena pasembor di Padang Kota Lama?” cadang Fareez.

“Makan lagi ke?” Qarina menyoal.

“Tadi dia juga cakap nak makan pasembor,” Qarina mengerutkan dahinya, seingatnya tidak pula dia mengatakan yang dia ingin menikmati pasembor.

“Boleh jugak,” Iqram menjawab. Dia ingin terus bersama Qarina walaupun antara mereka berdua ada Fareez dan Balqis.

“Jom,” kata Fareez.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.