Qarina
mengetap bibirnya, dia tidak berupaya untuk menolak perkahwinannya ini setelah
Alina merayu padanya. Mungkin juga ini jalan terbaik untuk dia keluar dari
kepompong ayahnya sendiri. Dia mengesat air matanya. Menangis air mata darah
pun tiada gunanya. Sebentar lagi dia akan ke rumah Fareez yang kini sudah
bergelar suami. Kenapa kejam sangat kisah hidupnya. Dari kecil dia selalu
dimusuhi oleh ayahnya sendiri. Ada sahaja salahnya. Hingga dia membawa diri.
Usia 13 tahun dia sudah berjauhan dari keluarga. Dia memang tidak serasi dengan
ayahnya. Itu kata emak, tapi malam semalam membuktikan segala-galanya. Ayahnya
terus mengherdik, terus tetap tidak mahu menerima salahnya. Yang paling dia
tidak tahan apabila ayahnya turut sangsi kepada kehormatannya. Perasaan benci
pada ayahnya mula memakan hatinya sendiri.
Selesai upacara akad nikah yang
hanya dihadiri oleh abang dan ayahnya serta Hussain dan Fatimah dia kini sah
bergelar isteri. Isteri kepada mamat poyo. Ayahnya terus pulang ke rumah,
langsung tidak hiraukan dia. Dia hanya mampu melihat langkah ayahnya.
“Fareez, makcik dan pakcik. Maafkan
saya dan keluarga saya,” Zahid bersuara.
“Tak apa lah Zahid. Nak buat
macam mana dah nasib Si Fareez dapat
bapa mertua macam tu,” sindir Fatimah. Walaupun berat hatinya untuk mengizinkan
Fareez berkahwin dengan Qarina namun dia terpaksa menurut. Cuma yang menjadi
masalah sekarang ini bagaimana hendak dia memberitahu keluarganya, memberitahu
kepada kawan-kawannya tentang perkahwinan anak bongsunya itu.
“Zahid, kenapa abah benci aku? Sejak
dari kecil abah tak pernah layan aku dengan baik. Tak macam abah layan Ilah
dengan Fina. Aku anak angkat dia ke?” luluh hati Qarina sewaktu meluahkan
kata-kata itu.
“Kau jangan cakap macam tu Qina.
Abah sayangkan anak-anak dia. Nak salahkan dia pun tak boleh, dia tak macam
kita. Fikiran dia masih lagi kekampungan. Kau pun salah juga, kalau selalu
ingkar dengan kata-kata dia. Kau tak tahu dia selalu risaukan kau. Kau aje yang
tak faham, tak pernah untuk cuba faham abah. Kita ini anak, salah ke betul ke
kita tetap anak dia. Kau jangan lupa tu Qina. Marah dia, sayang dia tak sama
dengan orang lain. Tapi dia berkorban macam-macam untuk kita. Kau harapan dia,
tapi tak endahkan dia. Pernah kau telefon bertanya khabar? Pernah kau tunggu
dia balik dari ladang sebelum kau pulang ke asrama? Tak pernah Qina. Kau jangan
lupa, dia larang kau duduk asrama tapi kau sendiri yang pergi. Kau yang jarakkan
diri kau dengan dia. Segala keputusan kau buat sendiri tanpa kau fikir hati dan
perasaan dia. Lepas ni kau balik lah ke rumah, jaga hati dia. Dia dah tua Qina.
Entah esok atau lusa ALLAH akan menjemput dia. Ingat pesan aku, cukuplah buat
dia marah,” panjang lebar kata-kata dari Zahid buat adiknya.
“Saya balik dulu pakcik, makcik.
Fareez kau jaga Qina elok-elok. Nanti bila marah abah dah reda, bawalah Qina
pulang ke sini. Kesian pada mak.”
Qarina hanya melihat langkah
abangnya. Entah bagaimana hendak dia tempuhi hari-hari yang mendatang. Apatah
lagi kini dia bergelar isteri kepada Fareez. Perkara yang langsung tidak di
duga olehnya. Ini bermakna dia semakin dekat dengan Iqram.
Kereta
yang dipandu Fareez meluncur laju meninggalkan Pahang dan mula memasuki lebuh
raya persekutuan. Fatimah sudah mahu bercakap dengan Qarina. Hussain sesekali
menyampuk sepatah kata dua untuk memujuk menantunya. Qarina kadang-kadang
tersenyum sedih sekadar hendak menunjukkan reaksi positif di atas kata-kata
nasihat dari Fatimah dan Hussain.
“Masuklah dulu Qarina,” Fatimah
mengajak menantunya. Puas dia memikirkan bagaimana hendak memberitahu
anak-anaknya tentang perkahwinan segera Fareez. Qarina mengikut langkah
mertuanya.
“Mandilah dulu Qarina. Bilik Fareez
di hujung sana.”
“Saya rasa lebih baik saya ke bilik
tamu sahaja pakcik,” jawab Qarina. Serba tidak kena dia.
“Kalau dah itu kata Qarina, tak
apalah. Fareez tunjukkan bilik tamu untuk Qarina. Papa dengan mama nak masuk
bilik dulu.”
“Pakcik saya minta maaf sebab menyusahkan
keluarga ini. Saya akan fikirkan jalan lain untuk selesaikan masalah ni.”
“Qarina, macam ini lah. Qarina
mandi, dalam bilik tu rasanya ada telekong. Solat dulu. Minta petunjuk dari
DIA. Ini semua aturan alam, sudah ditentukan sejak dari azali. Kita terina
dengan redha. Itu jalan yang sebaiknya,” kata-kata terakhir Qarina sebelum
Hussain meninggalkannya.
“Qarina,” panggil Fareez dengan
lembut. Qarina masih tidak mengangkat mukanya. Terus sahaja dia merenung lantai
marmar yang berwarna putih berbintik hitam.
“Dalam almari ni, sudah ada tuala
dan telekong. Kiblat mengadap sebelah sana.” Qarina terus menundukkan
kepalanya. Fareez keluar dari kamar itu, pintu di tutup perlahan. Mungkin Qarina mahu menyendiri.
“Macam mana ni bang? Macam mana saya
nak beritahu pada Ika dan Hanim? Pada saudara mara kita? Pada kawan-kawan saya.
Ya ALLAH dah tua-tua macam ni, masih ada lagi dugaan yang perlu kita tempuh,”
Fatimah merungut.
“Cikgu Timah, kita jangan fikir
macam tu. Ini semua ketentuan. Kita buat kenduri kahwin, buat kecil-kecil
sahaja. Itu yang afdal. Sekadar memberitahu yang Fareez sudah pun berkahwin.”
“Awak cakap senang lah. Awak tahu
tak, itulah satu-satunya anak lelaki kita. Saya bukan tak suka pada Qarina,
malah memang saya berhajat nak jadikan dia menantu rumah ini. Lembut dan baik
orangnya. Tapi bukan begini caranya. Cara ini seolah-olah anak kita dah buat
jahat padanya. Macam kena paksa kahwin.”
Hussain merengus perlahan. Benar
juga dengan apa yang dikatakan oleh isterinya. Perkahwinan yang tergesa-gesa
seperti macam sedang menyembunyikan sesuatu. Sesutu yang buruk yang telah
dilakukan oleh anaknya. Mereka semua tidak tahu, perkahwinan ini adalah untuk
menyelamatkan Qarina dari terus dihina dan diherdik oleh ayahnya sendiri.
Tambahan pula memang salah keluarganya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Kamal
memang keterlaluan. Mungkin benar kata-kata Alina, Kamal sebenarnya marah pada Qarina
kerana menolak pinangan dari anak saudaranya. Kebetulan pula ada Fareez, maka
Fareez dikatakan penyebabnya. Yang Si Fareez pun satu, sanggup dia menipu
keluarganya sendiri. Nak sangat menipu, sudahnya memang dia terus terikat
dengan Qarina. Dalam ikatan yang sah.
“Apa yang ada malam ni? Awak nak
masak ke? Atau nak beli lauk aje. Kalau nak beli bungkus, saya nak telefon Cik
Limah. Minta dia bungkuskan nasi, nanti saya terus pergi ambil.”
“Ikut suka awaklah, hilang selera
saya nak makan. Ada lagi rupanya lelaki seperti ayah Qarina tu. Kolot,” ujar
Fatimah lagi.
“Kita tak boleh salahkan dia Cikgu
Timah. Pertama sebagai ayah, kita patut minta kebenaran dia.”
“Betul, tapi tak kan lah sampai nak
membunuh anak sendiri. Sekurang-kurangnya hormatlah kita sebagai tetamu. Nasib
baik Fareez tu nak juga dia terima Qarina. Kalau lelaki lain, dengan sikap
ayahnya begitu. Kirim salam sahaja lah,” sambung Fatimah lagi.
“Entahlah, mungkin dia memang macam
tu. Panas baran orangnya, mungkin Qarina ni jenis yang suka menjawab, suka
membantah.”
“Kalau saya dapat bapak macam tu, saya
akan bantah juga. Tak kan nak diamkan sahaja. Kalau kecil lagi tak apa lah
juga. Ini dah besar panjang. Macam manalah isteri dia tanggung semua ini.”
“Awak tu patutnya bersyukur Cikgu
Timah, dapat suami saya ni. Kerja rumah saya tolong, sampai naik tocang awak,”
sempat lagi Hussain menyindir isterinya.
Usai
makan malam, semuanya berkumpul di ruang hadapan. Ada perkara yang ingin
disampaikan oleh Hussain. Lauk-pauk hanya sedikit sahaja yang luak,
masing-masing sudah kehilangan selera untuk menikmati makan malam. Walhal lauk
yang di hadapan mata memang menyelerakan, aroma tomyam yang masam-masam pedas
boleh membangkitkan selera. Malangnya selera penghuni di rumah itu rata-rata
telah mati.
“Fareez, Qarina. Papa nak tanya
jawab betul-betul. Kamu berdua ini ikhlas ke mendirikan rumah tangga. Jawab
dengan jujur.”
“Papa, saya ikhlas mengambil Qarina
sebagai isteri saya. Saya pilih dia sebab saya bertanggungjawab di atas apa
yang berlaku. Semuanya salah saya. Saya minta maaf pada mama dan papa kerana
membohongi papa dan mama. Kami memang tidak bercinta. Saya hanya minta tolong
dari Qarina agar berpura-pura menjadi kekasih saya. Pertama sebab saya tidak
bersedia lagi untuk berkahwin. Dah banyak kali saya terangkan pada mama, tapi
mama terus mendesak saya. Ada sahaja anak kawan mama, yang mama hendak kenalkan
pada saya. Dan yang ke dua saya tidak sanggup tengok keadaan Qarina. Saya kenal
dia sebagai seorang ceria, tabah tetapi malam tu dia lemah, longlai,” Fareez
menjawab dengan lembut tetapi tegas.
“Qarina?”
“Saya minta maaf, saya masih lagi
tidak dapat menerima perkahwinan ini. Ia berlaku tanpa saya duga. Saya tak
pernah impikan semua ini. Ini bagai mimpi. Yang saya tahu, saya terpaksa
melakukannya kerana sudah tidak tahan dengan abah. Kerana emak saya terus
merayu saya. Selama ini saya sentiasa lari dari dia. Semuan ini berpunca dari
saya. Saya yang terlebih dahulu meminta Fareez untuk berlakon sebagai kekasih
saya. Semuanya kerana Iqram, saya mahu dia rasa apa yang saya pernah rasa
sewaktu dia pergi dulu. Saya fikir dengan mengenalkan Fareez sebagai bakal
tunang saya, saya dapat buktikan yang selama ini saya bahagia tanpa dia. Saya
betul-betul tidak tahu yang Fareez adalah sepupu kepada Iqram. Setelah Balqis
memberitahu pada makcik, kami sudah tidak boleh berpatah balik. Saya tidak mahu
Iqram tahu yang saya masih sendiri, masih ingat padanya. Masih lagi sayang pada
dia. Saya tak nak dia tahu, saya tak nak Balqis tahu,” Qarina menangis.
“Jadi Qarina masih sayangkan Iqram?”
tanya Fatimah.
“Saya tak boleh jawab. Saya sendiri
sudah tak tahu jawabnya.”
“Apa yang akan berlaku selepas ini?
Tiada kasih antara kamu. Tiada cinta antara kamu. Bagaimana hendak melayarkan
bahtera kalau nahkoda hanya berpegang pada simpati, bila pengemudi masih ingat
jalan yang lain. Apa penyelesaiannya?” tanya Hussain.
“Redha. Qarina kerana redha, kena
terima takdir ini. Qarina, mama suka pada Qarina. Memang mama perlukan seorang
menantu seperti Qarina. Tetapi mama tak pernah terfikir anak mama akan
melangsungkan perkahwinan sebegini. Mama impikan pelamin yang indah, tetamu
yang datang. Nampaknya hasrat mama tak kesampaian. Tapi kita kena redha. Cinta
boleh datang selepas kahwin. Lagi manis. Mama mahu Qarina lupakan apa yang
berlaku. Tempuhi hidup baru, cuba cari cinta yang ada antara Qarina dan
Fareez.”
Qarina menarik nafas yang panjang,
redhakah dia dengan semua ini. Dengan Fareez? Lelaki yang lebih muda darinya.
Lelaki yang selalu memanggilnya kakak. Yang paling utama lelaki ini adalah
sepupu kepada Iqram, lelaki yang paling dicintainya. Qarina menekup mukanya
dengan telapak tangan, dia menangis. Kalau diiukutkan hati ingin dia meraung
sekuat hatinya.