“Qarina
apa khabar?” Mariam bertanya kepada Qarina. Sejak dari tadi dia dengan sabar
menunggu kehadiran kakaknya bersama-sama dengan Qarina.
“Sihat. Makcik sihat?” Qarina pula
bertanya. Mariam menganggukkan kepalanya. Hampir 10 tahun dia tidak berjumpa
dengan Qarina. Ternyata gadis itu tidak banyak berubah. Susuk tubuh, senyuman
dan suara masih sama. Cuma yang berbeza adalah penampilannya. Makin bergaya dan
manis.
“Alhamdullilah, makcik sihat. Lama
kita jumpa kan Qina. Kenapa Qina langsung tak hubungi makcik,” sambung Mariam
lagi. Qarina kehilangan kata-kata, bagaimana hendak dia jelaskan kepada orang
tua itu, anaknya telah meninggalkan luka yang terlalu dalam.
“Qina? Kau kenal dengan Qarina ke
Mariam?” soal Fatimah, hairan juga dia melihat adiknya segera mendapatkan Qarina
bukan dirinya seperti selalu.
“Kalau Qarina ini, memang aku kenal
sangat,” Mariam mengakuinya.
“Lah, kenapa tak beritahu? Lupa lah
pulak, Qarina kan satu sekolah dengan Iqram. Mestilah kau kenal kan,” teka
Fatimah.
“Dulu Qina ni rapat dengan Iqram,
hampir-hampir nak jadi menantu aku,” kata Mariam lagi. Semakin terbeliak mata
Fatimah mendengar pengakuan dari adiknya.
“Er, Kak Ina sihat makcik?” terus
sahaja Qarina memotong kata-kata Mariam dengan bertanyakan Qarina. Mana tahu
kalau-kalau bergaduh pulak orang tua ini kerana berebutkan dia untuk dijadikan
menantu. Tak fasal-fasal jadi berita hangat pula.
“Sihat, sekejap ye, makcik
panggilkan dia,” Mariam pergi mendapatkan anaknya.
“Betul ke Qarina memang rapat dengan
Iqram dulu, sampai menantu-menantu ni? Memang kenal rapat dengan keluarga
Iqram?” Fatimah mula bertanya, tidak enak mendengar khabar yang diberitahu oleh
adiknya sebentar tadi.
“Mama, cerita tu dah lama. Masa tu Qarina
sekolah lagi, cinta monyet. Masa tu tengah galak lah tu,” Fareez menyampuk.
Kasihan pula dia melihat Qarina yang terkebil-kebil cuba mencari jawapan kepada
pertanyaan mamanya.
“Mak Teh pernah cerita kat Mama,
yang Iqram masih lagi ingat pada kekasih lama dia. Jangan-jangan pada Qarina
tak?” Fatimah mula menyerkap.
“Hish mama ni. Ada cakap macam tu
pulak, nasib baik Balqis tak dengar. Kalau tak mahu disergahnya Qarina kat sini
juga. Mama, kan kami tengah bercinta ni, janganlah mama cakap macam tu,” cepat
sahaja tangan Fareez mencapai tangan Qarina.
“Hish, pegang-pegang pulak dah. Ini
yang mama tak suka ni. Kalau begitu cepat-cepat sikit kahwin. Jangan tunggu
lama-lama. Tak senang hati mama nanti. Boleh ke Qarina?” Qarina hanya mampu
memberikan senyuman.
“Memang
orang tua ni dah kemaruk nak bermenantu ni. Macam mana aku buat ni,”Qarina
merungut sendiri.
Hati
Iqram menjadi semakin panas apabila dia melihat kemesraan Qarina di samping
keluarganya. Rata-rata mereka amat senang dengan bekas buah hatinya itu. Paling
dia bengang adalah sikap romantis Fareez. Memang sakit jiwanya.
“Sakit hati?” Balqis bertanya dengan
sinis. Dari riak muka suaminya, dia tahu apa yang sedang bermain di dalam minda
dan hati Iqram. Dari tadi dia memerhatikan tingkah Iqram, sikit pun tidak
beralih dari melihat Qarina dari jauh.
Iqram cuba tersenyum, dia tidak mahu
Balqis tahu apa yang ada di dalam jiwanya. Dia mahu menggunakan Balqis untuk
terus menyakiti Qarina. Dia tahu, Qarina memang sengaja ingin menyakiti
hatinya, dia yakin Qarina ingin membalas dendam dengan apa yang telah dilakukan
olehnya dahulu. Iqram menghampiri isterinya, tangan Balqis digemgamnnya.
“Sakit hati? Naik menyampah tengok
perempuan penipu macam dia. Padan dengan muka Fareez. Tapi tak lama tu, tak
lama lagi makan hati lah Fareez tu,” jawab Iqram. Balqis sekadar memberikan
satu senyuman sindir. Dia tahu apa yang dikatakan oleh Iqram tidak sama apa
yang dia rasa. Tetapi sekurang-kurangnya kini kasih Iqram terhadap Qarina sudah
bertukar benci. Itu yang dia mahu.
“Iqram, jom lah datang sini. Banyak
kerja nak di buat ini,” jerit Fareez sambil tangannya melambai-lambai ke arah
pasangan itu.
“Tu
sengaja nak sakitkan lagi hati aku lah tu,” kata Iqram di dalam hati. Namun
kakinya tetap melangkah ke arah Fareez. Dia sudah tidak boleh mengelak, perlu
juga bersama-sama dengan sepupu yang semakin jauh di hatinya. Jika bukan kerana
Fareez pasti keputusan Qarina berlainan. Silap-silap ini akan menjadi
majlisnya.
“Nah ambik ni Balqis. Tak kan nak
datang tengok sahaja,” kata Fareez sambil memberikan sebakul bunga telur untuk
diagihkan kepada tetamu yang datang.
Iqram sengaja mengambil tempat
berhampiran dengan Qarina, ingin dia melihat bagaimana gelagat Qarina. Ternyata
Qarina serba tidak kena duduknya.
“Bila kau nak kahwin dengan Fareez?”
tanya Iqram kepada Qarina. Mukanya nampak bersahaja. Qarina sekadar tersenyum,
walaupun hatinya memang bungkam dengan pertanyaan dari Iqram. Sengaja dia
bertanya di hadapan keluarganya.
“Tak lama lagi, sabar aje. Nanti aku
buat kenduri aku panggillah kau, jadi pengapit aku,” Fareez menjawab bagi pihak
Qarina. Dia tahu niat sebenar Iqram.
“Baguslah, jangan kau makan hati
pulak lepas ni. Perempuan bukan boleh percaya sangat. Jauh di mata jauh di
hati. Aku masak sangat dengan perempuan macam. Perempuan macam ini boleh pergi
jauh dari hati aku,” balas Iqram. Mukanya tidak semena-mena bertukar watak,
mula menjadi masam dan merah. Seolah-olah sedang marah, Qarina yang
mendengarnya hanya tertunduk. Dia tahu kata-kata itu ditujukan untuknya.
“Insya-ALLAH. Kalau aku makan hati
pun tak apa. Bagus untuk tambah darah. Jangan sakit hati dahlah,” jawab Fareez.
Mereka yang ada hanya mendengar dengan pandangan yang penuh kehairanan.
“Baguslah kalau macam tu Fareez.
Jangan tunggu lama-lama tau. Qarina ni dah masuk 30 tahun. Kesian kat dia. Tak
kan kau nak tunggu lama-lama kot?” Balqis menyampuk. Mereka yang kini mengalih
pandangan ke arah Qarina yang masih lagi tertunduk.
“Kau tak nak fikir masak-masak ke Fareez? Qarina ni
sama baya dengan kami. Kalau Mak Long nak tahu, Qarina ni satu kelas dengan
kami dulu. Boleh tahan jugak ligatnya,” kata Iqram, Bangga rasanya kerana sudah
dapat memalukan Qarina di hadapan sanak-saudaranya.
“Hish, perempuan tua tak apa. Pandai
jaga suami. Untung kau Fareez,” Mak Long bersuara, entah ikhlas entah
memperlinya.
“Ialah, mana tak untung,” sampuk
yang lain. Kemudian ada yang ketawa perlahan. Fareez hanya melihat ke arah Qarina
yang sudah merah padam mukanya. Dia tahu Qarina terasa dengan usikan dan
kata-kata dari sanak saudaranya. Rasa bersalah pula kerana membawa Qarina ke
majlis ini. Bukan dia tidak tahu mulut sanak-saudaranya. Mengalahkan sembilu
bisanya, kalau tidak tahan mahu bergolok berparang.
“Asalkan hati baik cukup, tahu
hormat orang tua. Bukan macam sesetengah orang, penuh dengan dengki,” Fatimah
menyampuk, sejak dari tadi dia sudah bengang dengan kata-kata yang ditujukan
pada Qarina. Apa salahnya kalau Qarina tua sedikit dari Fareez? Tetapi kenapa
Iqram dan Balqis sengaja mengungkitkan hal itu di hadapan sanak-saudaranya.
“Betul tu Mak Lang. Bertuah kau Qarina,
dapat bakal mak mertua macam ni. Kau ingat senang ke nak terima menantu yang
tua dari anak dia. Kalau aku, entahlah. Susah lah nak terima. Kau kira
beruntung tau. Kahwinlah cepat sikit, nanti Fareez jumpa yang lebih muda dari
kau, tak kahwin lah kau,” sindir Iqram. Kali ini Qarina sudah tidak dapat
menahan sabarnya, mujurlah dia kini di rumah keluarga Fareez. Dia tidak mahu
memalukan Fareez dan keluarganya.
“Maaf,” kata Qarina sebelum dia
bangun dari duduknya. Riak mukanya jelas menunjukkan perasaannya. Tergamak
Iqram memalukan dia di hadapan semua yang ada. Buat seketika dia merasakan
semakin tidak mengenali lelaki yang bertakta di hatinya selama ini. Iqram menundukkan kepalanya, dia tahu Qarina
terasa dengan bicaranya sebentar tadi, namun apa kan daya, rasa marahnya kini mengambil
alih rasa kasih terhadap gadis itu.
Fareez mengekori Qarina yang meluru
ke luar ke halaman rumah.
“Qarina,” panggil Fareez.
“Puas hati? Kau puas hati dengar apa
yang Iqram cakap?” marah Qarina. Fareez mendiamkan diri terus membiarkan Qarina
bersuara. Dia tahu Qarina sedang marah. Rasa bersalah pula kerana memaksa Qarina
mengikutnya pulang ke kampung semata-mata untuk memuaskan hati mamanya.
“Saya minta maaf Qarina,” kata
Fareez setelah membiarkan hampir lima minit Qarina berleter.
“Aku nak balik,” kata Qarina dengan
ringkas.
“Lepas makan kita balik ye,” pujuk
Fareez. Dia tahu Qarina sedang menahan air matanya.
“Kau nak tunggu Iqram terus
memalukan aku? Kau dengan sepupu kau sama sahaja tau. Aku tak tahu apa salah
aku pada kau, sampai kau nak buat aku macam ni.”
“Apa salah saya pada awak Qarina,
yang awak marahkan saya ni. Saya tak sangka Iqram akan cakap macam tu. Niat
saya nak ajak awak ke sini, sebab nak kenalkan awak pada keluarga saya.”
“Aku rasa antara kau dengan dia, aku
lagi gila? Memang aku gila sebab sanggup ikut kau,” kali ini Qarina marah pada
dirinya sendiri. Aduh, kenapalah dia bodoh sangat kerana sanggup untuk memenuhi
harapan Fareez.
“Qarina, saya dah tolong awak tau.
Sebab awak, keluarga saya dah tahu yang saya tengah bercinta sakan dengan awak
sekarang ni. Awak tak fikir ke, kalau tak kerana saya mungkin awak dah
musnahkan perkahwinan Balqis dengan Iqram. Awak gunakan saya untuk sakitkan
hati Iqram, bila saya minta awak berlakon jadi buah hati saya sebab saya tak
nak mama saya sibuk carikan jodoh untuk saya awak nak blah macam tu sahaja.
Awak ingat saya yang suruh Iqram sakitkan hati awak ke? Yang awak nak
marah-marahkan saya ni? Apasal bengap sangat awak ni, dengan lakonan kita,
bukan saya aje selamat awak pun boleh sakitkan hati Iqram sebab dia tinggalkan
awak.”
“Masalahnya sekarang bukan hati
Iqram yang sakit, tapi hati aku. Fasal lakonan kita, kau jangan nak salahkan
aku. Aku dah suruh kau terus terang dengan mereka, tapi apa kau buat? Kau siap
mengaku lagi yang aku ni buah hati kau. Mama kau kat dalam dah siap canang yang
aku ni bakal menantu dia. Bukan takat keluarga kau aje, dengan keluarga aku
sekali tau,” marah Qarina.
“Habis nak buat macam mana?”
“Perkara senang, sekarang ni kita
beritahu pada keluarga kau perkara yang sebenarnya. Habis cerita,” jawab Qarina.
Pada hematnya itu jalan yang terbaik.
“Gila, tahu tak mama kat dalam sana
sibuk pertahankan awak tau. Awak nak hancurkan hati dia? Dia tengah seronok tu
tau. Awak tak fikir ke?” marah Fareez.
“Fareez. Lebih baik kita beritahu
dia sekarang makin lama makin parah jadinya. Silap-silap dia tempah pelamin,
katering. Lagi teruk tau.”
“Qarina, saya minta tolong dengan
awak, tolong sabar untuk hari ini sahaja. Lepas kenduri ni kita balik. Lepas tu
kita akan beritahu mama. Tolonglah,” Fareez memujuk.
“Kau tahu tak, kalau aku terus kat
sini, hati aku makin sakit tau,” Qarina masih lagi tidak berganjak dengan
keputusannya.
“Qarina, Fareez buat apa kat sini?”
Fatimah bertanya walaupun dia sudah mengagak kenapa Qarina keluar bersembunyi
di sini.
“Qarina terasa hati dengan Iqram dan
Balqis?”
“Er, tak ada lah makcik, saya ambil
angin sahaja kat sini. Panas sangat kat dalam tu,” Qarina menipu.
“Jangan dipedulikan sangat dengan
kata-kata Iqram tadi. Makcik nak tanya sikit, Qarina ni bergaduh dengan Iqram
ke?” terus Fatimah bertanya.
“Kami kawan baik masa sekolah dulu.
Balqis, isteri dia pun kawan baik saya. Tapi kami lama tak jumpa,” dalih Qarina
lagi, kali ini dia sempat menjeling ke arah Fareez.
“Tak payah nak sorok-sorok lah,
kalau mama nak tahu, dulu Qarina ni buah hati Iqram. Itu yang Iqram buat
perangai gila tu,” Fareez terus menceritakan hal yang sudah pun dapat diagak
oleh Fatimah.
“Makcik dah agak, itu kes cemburu
lah tu. Tak payahlah fikir sangat dengan apa yang dikatakan Iqram. Makcik dah
setuju Qarina jadi menantu makcik. Lepas ni kita jumpa keluarga Qarina, makcik
nak masuk meminang.”
“Makcik, saya rasa bagi peluang saya
dengan Fareez kenal satu sama lain. Lagipun kami baru kenal aje,” Qarina cuba
menolak dengan cara baik.
“Tak baik kawan lama-lama. Kalau
boleh makcik nak, kahwin aje minggu depan. Dah lah duduk dekat, kerja pula
sekali, tak manislah orang pandang,” balas Fatimah.
“Err, mama masuk dulu. Pengantin dah
nak sampai dah tu,” dengan segera Fareez terus memintas kata-kata mamanya.
“Kau dengar kan?” tanya Qarina
dengan mata yang bulat. Memang Fatimah sudah kemaruk untuk bermenantu.
“Nantilah kita fikirkan. Senyumlah
sikit, muka macam jeruk aje. Pakai kebaya macam ni nampak cantiklah, pegang
pipi sikit boleh?” usik Fareez. Entahlah, setiap saat yang berlalu dia
merasakan semakin sayang pada Qarina. Qarina terus melajukan langkahnya. Malas
dia hendak melayan Fareez yang poyo.