Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,093
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 25

Sudah tiga pusingan Fareez berlari mengelilingi Taman Botani. Qarina hanya mampu menghabiskan satu pusingan, sudah lama dia tidak beriadah. Sekali-sekala terasa penatnya. Peluh membasahi wajah Fareez, termengah-mengah dia. Qarina menghulurkan air mineral kepada suaminya, kasihan pula melihat Fareez yang tercungap-cungap keletihan.

“Rehat dulu boleh tak, penatlah,” kata Fareez. Dia terus duduk di sebelah isterinya.

“Siapa suruh lari sampai tiga pusingan kalau dah tahu badan tu tak larat,” jawab Qarina.

“Penat-penat macam ni kalau ada orang tolong picitkan bagus jugak.”

“Tak apa lah nanti kita pergi rumah urut, nak?”

“Habis tu yang kat sebelah ni, tak kan tak boleh tolong urutkan?” Qarina mencebik.

“Pagi tadi bukan main lagi, nak jadi isteri yang baik. Abang minta tolong picit pun dah cebik,” sambung Fareez lagi.

“Em, gelilah. Dah badan peluh-peluh. Nak suruh orang picit pulak, tak kuasa den,” jawab Qarina. Dia bingkas sahaja bangun.

“Nak pergi mana pulak tu? Abang tak habis rehat lagi lah.”

“Jom lah pergi makan. Lagi satu, janganlah bahasakan diri tu abang. Cair tahi telingalah,” jawab Qarina dan terus melangkah. Fareez mengelengkan kepala. Susah betul nak faham orang yang tiada pendirian macam Qarina. Pagi kata lain, petang kata lain.

Mereka berdua hanya memesan makanan yang sama. Roti canai kosong, kuah banjir. Qarina menyuapkan roti canai yang telah pun dipotong kecil-kecil, lembut dan perlahan. Fareez sesekali menjeling ke arah isterinya. Telefonnya berbunyi, Fareez mengerutkan dahi, berbelah bagi sama ada hendak menjawab atau tidak panggilan telefon itu. Sudahnya dia membiarkan sahaja.

“Siapa telefon, kenapa tak jawab?” Qarina bertanya.

“Iqram. Malas nak layan mamat ni.”

Qarina terdiam. Mendengar nama Iqram, seleranya patah. Untuk apa lagi Iqram menghubungi Fareez setelah apa yang dikatakan olehnya.

“Kenapa ni?”

“Hilang selera,” balas Qarina.

“Janganlah macam ni. Kita dan kahwin kan, Iqram tu sepupu saya. Suka atau tidak, dia jadi ahli keluarga awak. Suatu hari nanti, awak terpaksa jugak berdepan dengan dia,” pujuk Fareez. Macam menipu diri sendiri pula dia rasakan. Kalau boleh dia tidak mahu Qarina berjumpa dengan Iqram, dia bimbang andai Qarina gagal melupakan cintanya pada Iqram.

Telefon berdering lagi, kali ini Fareez menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum,” jawab Fareez sambil mengeyitkan mata kepada Qarina.

“Waalaikumusallam. Fareez aku ada kat Penang ni. Aku ingat nak ke rumah kau. Aku sorang aje ni. Ada kerja di sini.”

“Iya ke? Aku tak ada kat rumah sekarang ni, Aku tengah makan ni.”

“Kau ada kat mana?”

“Kat kedai makan lah. Kat mana lagi?” Qarina mengelengkan kepala. Yakin dia yang Iqram kini berada di Pulau Pinang.

“Aku tahu lah, tapi kat mana. Aku ada kat Vistana Hotel.”

“Er, aku ada di Kayu Nasi Kandar,” serba salah Fareez di buatnya. Dia tahu Qarina pasti marah.

“Dekatlah, tunggu nanti aku datang.”

Qarina menarik muka, nampak sangat Fareez kalah dengan Iqram, Bukan dia tidak tahu kisah dia dengan Iqram.

“Janganlah marah, baik buruk pun dia tetap sepupu saya,” Fareez cuba memujuk isterinya. Qarina tetap dengan mukanya yang masam. Sepatah pun dia tidak menjawab kata-kata Fareez. Kalau boleh dia hendak membahasakan dirinya ‘abang’. Tapi setelah dia melihat Qarina gelak sakan dia membatalkan hajatnya itu, mungkin belum sampai lagi masanya untuk Qarina memanggilnya abang.

Iqram terus menarik kerusi lalu duduk di sebelah Fareez.

“Aku dengar cerita kau dah kahwin?” Iqram bertanya. Qarina berpura-pura tidak mendengar. Fareez menganggukkan kepalanya.

“Tak jemput aku pun. Mak aku cakap tak ada kenduri apa pun? Kenapa?”

“Nak buat juga kendurinya, tapi tak tahu bila. Insya-ALLAH nanti dah tetap tarikh, aku jemput lah. Kenapa Balqis tak ikut?”

“Balqis sibuk dengan kedai pengantin dia lah.”

‘Habis dah makan? Kalau dah habis, jom balik lah. Sakit kepala,” Qarina bersuara. Melihat Iqram membangkitkan pelbagai rasa di dalam hatinya. Marah dan rindu, bercampur- baur.

“Em, aku kena balik dulu. Lagipun Qarina tak berapa nak sihat. Kau macam mana?”

“Okey, tak apa. Aku nak duduk di hotel aje. Esok aku ada kerja. Tak apalah, aku hanya nak jumpa kau aje.”

“Maaflah Iqram. Nanti kita jumpa lain. Kejap ye, aku pergi bayar ni.”

“Kau sengaja nak sakitkan hati aku kan?” kata Iqram kepada Qarina sejurus Fareez meninggalkan dia di meja bersama dengan Qarina. Qarina tidak menjawab, sebaliknya dia memandang ke arah lain. Malas hendak melayan Iqram.

“Kenapa buat macam ni Qina? Dah lupa pada kasih kita?”

“Iqram, siapa yang terlebih dahulu lupa pada janji kita? Aku atau kau? Kau bahagia dengan Balqis. Salah ke kalau aku juga nak bahagia? Kau nak aku terus menangis sebab ditinggalkan kau? Kisah kita dah jadi sejarah Iqram. Aku bahagia dengan Fareez.”

“Kenapa dengan dia, kau sengajakan nak tunjukkan pada aku? Aku masih sayangkan kau Qina. Sekali pun aku tak pernah lupakan kau. Aku tak bahagia dengan Balqis, kerana aku masih cintakan kau. Maafkan aku Qina. Kita masih ada lagi masa untuk kita betulkan semuanya. Kita kembali seperti dulu. Kita lupakan apa yang berlaku.”

“Kau nak lupakan apa yang berlaku? Kau tak akan tinggalkan Balqis, itu yang aku pasti. Iqram, kau tinggalkan Balqis, baru aku akan lupakan apa yang berlaku. Faham,” Qarina bersuara, wajahnya seakan-akan mengejek-ejek Iqram. Yakin sangat dia, perkara itu pasti tidak akan berlaku. Iqram tidak mungkin akan memilihnya berbanding Balqis. Semua itu telah terbukti, jika tidak pasti dia yang berada di sebelah Iqram. Qarina merenung tepat ke wajah Iqram. Kenapa begitu sukar melepaskan kenangan yang lalu.

“Kalau aku tinggalkan Balqis, kau akan kembali pada aku? Kalau itu yang kau nak, aku akan tinggalkan dia. Selepas itu kau tuntut cerai dengan Fareez. Kita akan bersama selepas itu,” cadang Iqram.

“Iqram. Kau dah gila ke? Kau ingat aku ni perempuan jenis apa ha? Gila,” Qarina bingkas bangun menuju ke arah suaminya yang masih lagi berdiri di hadapan kaunter menunggu giliran untuk membayar.

“Kenapa?” tanya Fareez.

“Tak ada apa,” dalih Qarina. Bagai tidak percaya dengan apa yang dilafazkan oleh Iqram. Kini dia sudah nampak hikmah di sebalik perkahwinanannya dengan Fareez, hikmah di sebalik kelukaan yang ditinggalkan oleh Iqram. Lelaki jenis apa yang sanggup berkata begitu, gila. Apa dia ingat aku cinta dia separuh mati ke? Benar, cintanya pernah separuh mati, tapi itu dulu. Sekarang dia sedang belajar untuk menyintai Fareez.

Usai membayar, Fareez mendapatkan sepupunya.

“Jumpa lagi Iqram. Kirim salam pada Balqis.”

“Insya-ALLAH,” jawab Iqram. Entah ikhlas atau tidak hanya ALLAH sahaja yang tahu. Qarina sengaja memegang tangan suaminya. Jelas sekali yang dia ingin menunjukkan yang sekali-kali tidak akan meninggalkan Fareez untuk Iqram. Fareez hairan, rasanya inilah kali pertama Qarina memegang tangannya seerat ini. Matanya menjeling, nampak wajah kecewa milik Iqram. Yakin dia yang masih ada kasih antara mereka. Dia tahu Qarina hanya mahu membuatkan Iqram cemburu.

“Apa yang disembangkan dengan Iqram tadi?”

“Tak ada apalah.” Jawab Qarina dengan ringkas.

“Tak kan tak ada apa kot. Saya tengok macam bertih jagung aje mulut Iqram. Dari jauh dah nampak dia terkumat-kamit aje. Macam tengah baca jampi aje.” Qarina tidak menjawab. Tidak tahu bagaimana hendak menceritakan tentang apa yang dikatakan oleh Iqram kepadanya.

“Kenapa ni? Ingat cerita lama tu.”

“Kalau ingat pun kenapa?” duga Qarina.

“Ingat pun tak apa, nak buat macam mana. Cinta pertama,” jawab Fareez dengan lemah. Macam merajuk pun ada.

“Eleh, cinta pertama mungkin tidak semanis cinta terakhir,” Qarina cuba memujuk suaminya. Tangan Fareez digengamnya. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi merah, malu dengan gelagatnya sendiri. Di hatinya, dia berdoa agar dia boleh terus melupakan Iqram.

“Iya ke?” baru nampak ceria kembali wajah Fareez.

Iqram memandang gelagat Fareez dan Qarina dari jauh. Kemesraan mereka benar-benar membakar hatinya. Geram dan panas. Melihat wajah Qarina yang manis bertudung menambahkan lagi rasa cemburunya. Macam mana Fareez dapat mengubah Qarina, adakah ada cinta antara mereka? Tidak, dia yakin. Qarina hanya cinta padanya. Cinta Qarina padanya tidak berubah walau kini Qarina bersama dengan Fareez. Cinta Qarina adalah sekuat cintanya pada gadis itu. Itu yang diyakini Iqram. Sepenuh hati dia berpegang pada cinta itu.

Previous: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.