Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,085
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

Fareez Aiman membaca surat yang baru diterimanya dengan bersungguh-sungguh. Tidak sia-sia dia menghantar resume dan menghadiri temu duga nun jauh di utara Semenanjung Malaysia. Dapat juga dia tawaran untuk bekerja di Setia Holdings. Memang sengaja dia ingin mencuba nasib di negeri orang. Asyik duduk di bawah celah ketiak emak sahaja, sesekali dia perlu juga keluar dari kepompong selesanya.

“Tak payahlah kerja sampai ke Pulau Pinang tu Reez, nanti mama tanyakan kawan mama. Mana tahu ada kerja kosong,” kata Fatimah kepada anak terunanya. Dua lagi anaknya telah pun beranak-pinak. Fareez satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Dari kecil memang dia sentiasa manjakan anak terunanya ini.

“Nak kerja apa? Tukang masak? Mama kawan mama tu semuanya geng tukang masak. Tak kan Reez pun nak duduk kat dapur jugak kot,” bangkang Fareez.

“Tak kan mama nak suruh anak mama yang hensem, macho ni duduk kat dapur. Ada-ada sahaja Reez ni. Kerja kat sini ye,” Fatimah memujuk.

“Kak Long ada kat Sabah, ikut suami. Kak Ngah ada di Melaka. Reez pun nak tinggalkan mama. Tak kesian pada mama dengan papa ke?” pujuk Fatimah lagi.

“Mama ni, sebab kesian pada mama dengan papa lah maka Reez nak berhijrah. Sampai bila mama nak jaga makan minum Reez. Kali ni biarlah Reez berdikari. Boring lah, sekali-sekali nak jugak masuk disko, nak juga rasa balik lewat malam. Ini tidak pukul 9 aje dah terpacak dalam rumah.”

“Itu yang mama marah tu. Sebab tu yang mama tak kasi Reez keluar dari rumah ni. Belum keluar lagi ni dah ada cita-cita nak buat jahat. Esok-esok kalau dah duduk sendiri, siap bawak balik perempuan lagi. Dah, koyak aje surat tawaran tu. Kerja kat sini dah. Kalau dah tak ada kerja sangat, biar mama bagi elaun kat Fareez. Sebulan seratus ringgit, cukup?” suara Fatimah mula lantang, jika tadi dia memujuk anaknya dengan lemah-lembut kini semuanya sudah terbalik. Bukan itu sahaja, tangannya cepat sahaja mencubit paha anak terunanya.

“Hish, mama ni. Orang main-main aje lah. Tangan macam ketam. Sikit-sikit cubit, sikit-sikit cubit,” Fareez mengosok pahanya yang terasa sakit akibat dicubit oleh Fatimah.

“Padan dengan muka Reez. Dah tahu mama macam tu, kenapa cakap nak ke disco. Awak ni pun Cikgu Timah, sampai bila awak nak kongkong anak teruna awak ni. Biarlah dia belajar hidup sendiri kat tempat orang. Kalau anak perempuan tak apa lah jugak. Ini anak jantan. Nak duduk celah ketiak awak sahaja. Esok kalau dia dah berbini, tak kan nak ikutkan telunjuk awak sahaja,” tegur Hussain kepada isterinya. Mereka berdua sama-sama bekas guru besar pencen.

“Abang ni, suka sangat lah tegur saya kalau saya tengah nasihatkan anak-anak. Saya buat untuk kebaikan dia orang. Fareez ni seluar dalam dia pun saya yang masih basuhkan, siap lipat lagi. Macam mana dia nak hidup sendiri kat tempat orang? Makan minum dia siapa yang nak jaga? Tak kan hari-hari dia nak makan nasi kandar kot. Nanti terpaut dengan anak tauke nasi kandar tu macam mana?,” omel Fatimah tidak henti-henti.

“Okeylah tu, hari-hari makan percuma. Mama pulak, mana tahu boleh besarkan lagi perniagaan katering mama. Tambah lagi satu menu. Nasi kandar dari penang,” Fareez mengusik.

“Lepas tu jangan lupa carikan papa, anak mami yang cantik. Asyik makan ikan singgang, asam pedas. Sekali-sekala nak juga rasa makan kari, papedom,” Hussain menokok kata-kata anaknya.

“Anak dengan bapak sama sahaja. Dua-dua suka sakitkan hati mama kan. Nak sangat makan kari, esok mama buat. Kita tengok, siapa punya kari paling sedap. Mama buat ke atau mamak nasi kandar tu buat lagi sedap.”

Fareez menghampiri mamanya, bahu Fatimah di pegang sambil dia berkata, “mestilah kari mamak tu yang sedap.”

Fatimah terus mencubit lengan anaknya. Hussain hanya ketawa. Selepas ini sunyi sepilah rumahnya kalau Fareez memang nekad untuk menerima tawaran kerja di Pulau Pinang.

“Jadi ke Fareez nak ke Pulau Pinang tu?” Hussain bertanya.

“Apa pula tak jadinya, bukan ke abang yang beria-ia sangat suruh dia cari pengalaman kat tempat orang. Dia ikutlah nasihat abang tu,” sindir Fatimah. Tinggal seminggu lagi untuk dia bermesra dengan anaknya. Marah dengan nasihat suaminya.

“Baguslah, sampai bila kita nak jaga dia. Esok-esok kita dah meninggal macam mana? Sekurang-kurangnya masa kita ada ni lah, kita boleh tunjuk ajar dia. Bukan terus mengongkong dia. Kalau dia anak dara tak apa lah juga. Ini tidak, anak teruna. Sampai bila nak berkepit dengan awak sahaja, Cikgu Timah oi,” Hussain tetap teguh dengan nasihat yang telah diberikan kepada anak terunanya.

“Abang tak tahu, dia lah satu-satunya anak lelaki saya. Macam mana kalau dia terikut dengan perangai yang tak elok bang. Abang dengar sendirikan, apa dia beritahu kita hari tu. Dia nak belajar masuk ke disko, nak bawa perempuan balik ke rumah. Hati mana yang tak risau,” keluh Fatimah. Kali ini disertai dengan satu dua titis air mata yang cuba ditahan di tubir matanya.

“Saya faham, tapi kita berserah sahaja. Bukan kita tak didik dia dengan pengetahuan agama. Kita ajar dia, kita dah asuh dia. Rasanya dia boleh pertimbangan. Yang mana salah dan yang mana betul. Kalau nak buat jahat, tak payah tunggu duduk di sana. Kat mana-mana pun boleh buat jahat. Lagipun, tak kan awak tak kenal anak kita tu macam mana? Dulu dia pun berkawan juga dengan budak-budak rempit, tapi setakat berkawan ajalah tidak pula dia mengikut kerenah mereka. Dengan Si Saiful pun dia berkawan juga, tapi setakat itu sahaja. Tak lah dia sampai mengikut Si Saiful ke kelab malam. Kita kena beri kepercayaan pada dia Cikgu Timah. Beri peluang untuk dia tonjolkan potensi diri sendiri. Awak pun bekas cikgu, awak tahu potensi anak murid awak, tak kan potensi anak sendiri tak tahu pulak,” panjang lebar kata-kata dari bekas guru besar itu.

“Saya tahu. Tapi itulah, dah saya ni ibunya. Memang tugas ibu risaukan anak-anak. Nak buat macam mana? Arwah mak awak pun sama, bukan main susah lagi nak lepaskan awak ikut saya balik berhijrah ke kampung halaman saya. Duduk aje kat bandar ni. Kalau awak ikut nasihat saya duduk kat kampung saya kan bagus. Ada musim buah, bolehlah kita panggil anak cucu balik makan. Ini tidak, nak makan buah kena ke kedai Ah Seng, petik kat kedai dia sahaja. Tak merasa cucu saya ni nak berkebun, berladang. Maklumlah kahwin dengan orang bandar.”

“Awak ni makin tua, makin melalutlah Cikgu Timah. Awak nak makan buah apa, saya pergi tanam sekarang. Kalau tak kerana taman bunga awak yang kat depan tu, mesti penuh dengan pokok rambutan. Ini tidak, pantang ada tempat kosong mulalah nak tanam orkid, bunga raya dan macam-macam pokok bunga. Bukan boleh makan pun. Lepas tu nak salahkan saya. Awak tengok rumah Lebai Malik tu, penuh rumah dia dengan pokok rambutan, mempelam. Cuti sekolah sahaja penuh anak cucu balik ke rumahnya, panjat pokok rambutan. Kita tidak, anak cucu balik duduk aje mengadap bunga orkid awak tu.”

“Nak salahkan saya pulak?”

“Bukan nak salahkan awak, tapi awak jangan nak salahkan saya bila saya tak ikut awak balik ke kampung halaman awak. Bukan kita tak balik, dua tiga bulan sekali kita balik ke sana. Kalau awak nak balik ke sana juga. Saya tak kisah. Jom kita angkut barang-barang pindah ke sana. Tapi awak pula yang tak betah nanti. Mana nak berpersatuan, sanggup ke awak nak tinggalkan geng mengumpat awak tu. Bukan saya tak tahu, awak dengan Cik Senah Janda tu, kalau satu hari tak mengumpat hal orang, tak senang duduk di buatnya,” sindir Hussain kepada isterinya. Fatimah hanya mendiamkam diri.

“Assalamualaikum,” ada suara yang memberikan salam. Hussain menjenguk ke luar.

“Panjang umur, tu kawan seanggkatan awak dah sampai. Pergilah jemput,” Fatimah hanya menjeling, namun kakinya pantas sahaja mengatur langkah menuju ke pintu.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.