Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,087
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 19

Sejak dari tadi tiada suara yang keluar dari dalam kereta. Yang kedengaran adalah suara juruhabah radio dan kadangkala suara Qarina yang menunjukkan jalan. Memang cari nahas. Fareez langsung tidak berani bersuara. Fatimah mukanya masam mencuka, yang agak manis mukanya hanyalah Hussain. Qarina langsung tidak berkesempatan untuk berbincang dengan Fareez.

Sementara itu di rumah Qarina suasana agak kecoh. Kamal sedang mengasah parang. Dari tadi dia asyik membebel. Zahid langsung tidak berani menegur apatah lagi Alina. Semuanya cuak apabila melihat Kamal yang sudah seperti hilang akal. Semuaya gara-gara Qarina.

“Patutlah dia menolak hasrat keluarga aku, rupanya ada lelaki lain. Memang nak kena budak ni,” jelas kedengaran suara Kamal.

“Macam mana ni Zahid, mak takut lah,” Alina memegang tangan anak sulungnya.

“Memang cari nahaslah budak Qina ni. Yang mak pun satu, lain kali tanya abah dulu. Tak pun jangan beri izin. Kan dah parah ni,” kata Zahid kepada emaknya. Bukan niat hendak menderhaka tetapi semuanya berpunca dari emaknya.

“Sabarlah mak. Apa pun kita tunggu Qarina balik. Kan abah cakap keluarga Fareez nak datang sekali. Nak menghantar Qarina balik,” Maria cuba menyedapkan hati Alina.

“Yang tu lah yang mak tengah risaukan ni. Abah kau bukan betul sangat, nanti di takeknya kepala budak tu, jadi kes lain pulak. Hish, budak Qarina ni menyusahkan orang betullah.” Maria mengarukan kepalanya, mati akal dia dibuatnya.

Tepat jam 12 tengah malam barulah Qarina tiba bersama-sama dengan keluarga Fareez. Matanya bengkak, sepanjang malam dia hanya menangis. Fatimah dari tadi asyik mendiamkan diri. Entah marah padanya atau marah pada abahnya.

“Inilah rumah saya. Jemputlah semua,” pelawa Qarina. Dia kemudiannya memberikan salam. Pintu rumah di buka, kelihatan semua keluarganya ada di situ termasuklah dua kakaknya bersama-sama dengan suami masing-masing. Malunya bukan kepalang.

“Assalamualaikum,” Hussain memberi salam. Dia kemudiannya menghulurkan tangan untuk bersalam dengan tuan rumah. Teringin juga dia melihat wajah lelaki yang mengatakan keluarganya tidak beradat itu.

“Jemputlah masuk,” Zahid mengambil alih tugas sebagai tuan rumah. Abahnya masih lagi belum keluar dari bilik. Entah apa yang sedang dibuatnya pun Zahid tidak pasti.

“Saya Fareez.”

“Oh, ini lah Fareez,” kata Zahid sambil menjeling ke arah adiknya. Kalau di ikutkan hati, memang makan penamparlah adiknya itu. Qarina hanya menundukkan kepalanya.

“Yang mana satu Fareez?” terus sahaja Kamal bertanya. Aduhai, macam orang gasar sahaja, langsung tidak menghormati tetamu yang bertandang ke rumah.

“Ini anak awak, kami dah pulangkan. Periksalah, mana tahu kot-kot ada yang tercalar,” sindir Fatimah.

“Cikgu Timah,” panggil Hussain perlahan.

“Kau sini Qina. Kau ni memang dah gatal?” tengking Kamal tanpa mempedulikan tetamunya. Qarina terus menundukkan kepalanya. Farrez hanya melihat. Melihat kebisuan Qarina Kamal bertambah panas. Laju sahaja dia mendapatkan Qarina, kepala Qarina ditunjalnya.

“Abahnya,” panggil Alina. Malu dia dengan sikap suaminya.

“Awak diam. Kalau tak kerana awak bagi muka sangat kat budak ni tak jadi macam ni, Kalau kau gatal sangat nak berlaki, beritahu aku. Jangan ikut orang macam ni,” marah Kamal.

“Abah, Qina...” kata-kata Qarina mati di situ. Bagaimana hendak dia menerangkan perkara yang sebenarnya kepada Kamal.

“Menjawab. Menjawab,” Kamal terus menengking. Kali ini cepat sahaja tangannya mengenai badan Qarina.

“Pakcik, apa yang pakcik buat ni?” tanya Fareez.

“Qarina tak bersalah. Saya yang paksa dia ikut saya,” sambung Fareez lagi.

“Kau jangan masuk campur. Ini anak aku. Bini kau ke dia ni? Terima kasih sebab menghantar anak aku balik. Sekarang nampak pintu tu?”

“Encik tak payahlah nak menghalau kami. Kami cuma nak menghantar anak encik sahaja. Kami balik dulu, assalamualaikum,” Hussain cuba menahan marahnya. Tidak pernah dia berjumpa dengan orang sebiadap ini.

“Baguslah. Tapi ingat kalau anak aku ada apa-apa. Aku cari kau,” katanya sambil menunjukkan ke arah Fareez.

“Carilah, tapi awak jangan susah hati. Anak awak selamat dengan anak kita. Dengan anak orang lain tak tahulah pulak,” sampuk Fatimah.

“Kau dengar tu Qina? Depan-depan kau dia boleh cakap macam tu. Itulah bodoh sangat. Bagi belajar pun tak boleh fikir.” Dengan segera Kamal terus menarik lengan Qarina. Qarina hanya menurut. Sedikit pun dia tidak membantah. Dia tahu pasti teruk dia akan dikerjakan oleh abahnya.

Hussain sudah tidak betah untuk tinggal lebih lama di dalam rumah itu. Terus sahaja dia mengajak isteri dan anaknya pulang.

“Encik, maafkan saya dengan kelakuan suami saya,” Alina memohon maaf. Malunya bukan kepalang.

“Tak apa lah. Nak buat macam mana, dah nasib dapat suami macam tu,” kata Fatimah. Tidak harus dia marah pada keluarga Qarina dek kerana sikap ayah Qarina.

“Malu saya dengan keluarga Puan. Tapi ialah..” Alina menyapu air matanya.

“Maafkan kami pakcik, makcik, Fareez. Terima kasih kerana menghantar Qarina pulang. Entahlah, abah kami memang macam tu. Selepas ini teruklah Qarina dikerjakan.”

“Kenapa dibiarkan? Salah tu, lagipun bukan salah Qarina,” Hussain menyatakan pendapatnya. Dalam dunia maju ini masih ada lagi manusia yang menggunakan kekerasan.

“Pakcik tak faham keadaan keluarga kami. Abah tu macam diktaktor, sebab itu Qarina memang tak duduk sini. Dari tingkatan satu lagi dia dah duduk asrama, jauh dari abah. Dia memang berani kalau dia betul tapi rasanya malam ini dia terpaksa tahanlah. Abah memang pantang dengan kelakuan macam. Bukan dia tak kenal dengan abah dia.”

“Maafkan saya bang, makcik.”

“Tak apa lah Fareez, cuma kalau boleh janganlah berhubung dengan Qarina lagi. Makcik minta tolong dengan Fareez.”

“Mujurlah kita tak sempat berbesan dengan orang macam ni,” Fatimah bersuara.

“Entahlah, tapi saya rasa tak sedap hati. Kesian Qarina. Awaklah yang beria-ia sangat nak mengajak dia ke majlis tu. Kalau tak kerana awak, semua ini tak terjadi,” kali ini Hussain memarahi isterinya.

“Saya berkenan pada Qarina tu. Tapi, dah jadi macam ni. Cari lain aje lah Fareez. Kau tak takut ke dapat bapa mertua macam singa. Tak tahu adat pulak tu.”

Fareez hanya mendiamkan diri. Masih terbayang di matanya wajah kelu Qarina. Apakah nasib Qarina ketika ini.

“Reez, kenapa ni? Lupakanlah Qarina tu. Nak buat macam mana?”

Adakah Qarina sedang di pukul oleh ayahnya? Aduhai, macam tidak percaya pula gadis yang disangka cakap banyak dan ceria menerima nasib begini. Tidak semena-mena dia membuat pusingan U, mujurlah kenderaan lain tiada ketika ini. Menjerit-jerit Fatimah dengan tindakan anaknya.

“Kau ni kenapa? Dah gila?” marah Fatimah.

“Reez nak ke mana ni?” tanya Hussain yang turut terkejut dengan tindakan anaknya.

“Ke rumah Qarina,” jawab Fareez. Dia nekad, dia sekali-kali tidak akan meninggalkan Qarina ketika ini. Dia akan bertanggungjawab. Kalau hendak dibelasahpun dia sanggup.

“Anak awak ni dah gila lah, macam dah tak ada perempuan lain. Patah balik, mama tak hingin lah nak berbesan dengan orang gasar tu,” arah Fatimah. Walaupun hatinya benar-benar terpaut pada Qarina namun sikap bapa Qarina membuatkan hatinya sakit.

“Diamlah awak. Dari tadi bercakap sahaja, apa tak lenguh ke mulut awak tu Cikgu Timah? Ini semua awak yang punya angkara,” marah Hussain. Seperti anaknya, dia juga tidak sanggup untuk meninggalkan Qarina di tangan lelaki seperti Kamal.

Dari jauh kelihatan terang benderang kawasan rumah Qarina. Riuh rendah, seolah-olah ada yang sedang menyabarkan seseorang. Fareez terpaksa memberhentikan keretanya agak jauh.

“Balik, mama cakap,” marah Fatimah.

“Mama, tak patut kita buat macam ni pada Qarina. Ini semua salah Reez.”

“Biarkan mama kau sendiri kat sini. Bukan berani sangat dia tu, ni kawasan kampung, silap-silap adalah yang meneman dia nanti. Jom kita, papa nampak macam riuh sahaja kat rumah Qarina.”

Fatimah yang mendengar kata-kata suaminya mula merasa tidak sedap hati. Dengan segera dia meluru keluar. Hish, takut juga dia mana tahu ada hantu di kampung ini.

“Sabarlah Mal,” pujuk seorang lelaki yang berusia.

“Macam mana aku nak sabar. Memang mati aku kerja kan budak ni. Dah mengikut orang satu fasal, aku suruh dia kahwin dia tak nak.”

Kelihatan Alina sedang menangis di hujung sana. Zahid sedang memegang lengan ayahnya. Qarina sedang terjelepok duduk di atas tanah, kelihatan darah keluar dari bibirnya. Terkejut Fareez melihatnya.

“Ya ALLAH, Qarina.” Dengan segera Fareez mendapatkan Qarina yang sedang menangis teresak-esak.

“Astaqfirullahalazim, apa dah jadi ni?” tidak sampai 15 minit dia meninggalkan rumah ini, Qarina sudah bertukar seperti kain buruk. Fatimah dengan segera mendapatkan Qarina.

“Pakcik, apa yang pakcik dah buat ini?” Fareez sudah tidak mengenal tua muda. Dia menengking Kamal. Buat pertama kali, ada yang berani bersuara di hadapannya. Kamal mula hilang pertimbangan sekali lagi.

“Kurang ajar budak ini. Bukan ke aku dah halau kamu semua? Pergi balik, ini anak aku, keluarga aku. Kau jangan nak masuk campur.”

“Saya tahu, tapi tak kan sampai nak bunuh dia. Apa salah dia?”

“Tak salah kau cakap? Kau yang buat dia macam ni. Kau tahu tak fasal kau anak aku tak nak kahwin dengan orang lain. Kau usung dia ke sana sini,”

“Abah. Bukan sebab dia abah,” Qarina bersuara lemah.

“Kau tengok tu. Menjawab lagi budak ni,” marah Kamal kepada Qarina. Dia cuba mencapai kayu yang ada.

“Abah! Cukuplah tu, abah nak buat sampai Qina mati ke?” Zahid mula bersuara lantang.

“Kau pun nak menentang aku?”

“Kamal, kau ni dari muda sampai ke tua tak habis dengan baran kau. Kau nak bunuh anak kau ke? Salah apa yang besar sangat dia buat?” lelaki tua itu bersuara, tidak padan dengan usianya. Suaranya lantang.

“Teh tahu tak, dia ikut budak ni. Sebab tu dia tolak pinangan yang saya pilih untuk dia. Entah dah rosak budak ini kita tak tahu,” tuduh Kamal.

“Astaqfirullahalazim. Janganlah tudah dia macam tu. Kau ni memang dah gilalah Kamal. Tak kan kau tak kenal anak kau.”

“Teh, aku hormat pada Teh. Jangan sampai hilang hormat aku pada Teh. Teh jangan nak masuk campur dalam urusan keluarga aku.”

“Mal, aku bukan nak masuk campur. Tapi Qarina ni dah dewasa. Masa kecil-kecil bolehlah kau hentam budak ni. Dia dah besar panjang, dah kerja. Tak kan kau nak guna cara yang sama untuk mengajar anak. Kau tak malu ke pada orang kampung. Kau nak semua orang tahu?”

Kamal diam, namun tidak lama. Sebentar sahaja, kemudian barannya datang kembali.

“Aku memang tak puas hati dengan budak ni Teh. Dua anak perempuan aku tak ada yang perangai macam ni. Dari kecil sampai besar suka membangkang aku. Suka buat perkara yang aku tak suka. Aku memang pantang kalau anak dara aku ikut orang lelaki. Ini semua salah kau Alina,” kali ini marahnya merebak kepada Alina.

“Abah, mak tak salah. Qina yang salah,” Qarina bersuara. Dia tidak mahu emaknya menerima tamparan disebabkan kesalahannya. Memang itu salahnya kerana akur dengan permintaan Fareez. Tetapi di saat itu juga dia marah pada Fareez kerana mulut Fareezlah ini semua terjadi.

“Kau memang suka malukan aku kan? Patutlah kau tak nak terima pinangan Saiful. Malu aku kau tahu tak? Kau cakap tak bersedia, tapi kau ikut lelaki ni. Kau memang sengajakan? Nak bagi aku sakit hati. Kau cakap, kau tak ada apa-apa dengan lelaki, tapi kau ikut dia? Kau ingat kalau apa-apa berlaku pada kau, dia nak bertanggungjawab?”

Fareez mendengar dengan renungan yang tajam. Qarina masih lagi terjelepok di situ. Mama dan papanya hanya menjadi pemerhati. Kenapa kejam sangat Kamal? Bukan kesalahan besar yang dilakukan oleh Qarina sehingga begini dia dihukum.

“Pakcik, bukan salah Qarina. Saya yang memaksa dia. Tak patut apa yang pakcik buat pada dia. Dia bukan lagi budak kecil, dah 30 tahun pun. Dia ada hak untuk hidup dia,” tegas suara Fareez.

“Itu kata kau. Selagi dia tidak kahwin, dia adalah bawah tanggungjawab aku. Aku ayah dia. Kau ada hal apa nak mengajar aku. Aku tak libas kau pun dah cukup baik tau. Sekarang kau bawa keluarga keluar dari tanah aku. Qarina anak aku. Fasal kau semua ni terjadi. Encik, aku nak tanya. Kau ada anak perempuan? Macam mana kau rasa kalau anak kau ikut leleki balik ke rumah keluarga dia tanpa pengetahuan kau. Macam mana? Kau nak sambut dengan kompang ke kau nak sambut dia dengan parang?” kali ini Kamal bertanya kepada Hussain.

“Encik Kamal, saya minta maaf. Tapi tak patut Encik Kamal buat Qarina macam ni,” Hussain bersuara.

“Abahnya, saya tahu awak bukan marah Qina sebab ini. Tapi awak marah sebab dia tolak pinangan anak saudara awak kan? Itu yang awak marah sangat,” kali ini Alina mula bersuara. Sudah lama dia menahan rasa geramnya terhadap Kamal.

“Awak sedar tak anak dara awak sudah 30 tahun. Salah ke kalau aku sebagai ayah dia, cuba cari jodoh untuk dia? Aku tak marah kalau dia tolak, tapi aku marah sebab dia mencemarkan maruah aku dengan mengikut lelaki ini. Lelaki yang aku tak kenal, yang aku tak tahu asal-usulnya,” tengking Kamal.

“Encik Kamal, saya rasa awak ni ada penyakit jiwa tahu tak? Fareez, jom kita balik,” Fatimah berkata sambil menarik lengan anaknya.

“Kau tengok, kau tengok Qina. Mereka dah nak balik. Pergi balik. Aku tahu macam mana nak mengajar keluarga aku. Kau jangan jumpa lagi anak aku.”

Fareez mengetap bibirnya. Dia tahu Kamal mempunyai hak ke atas Qarina. Tetapi bukan sebegini Qarina harus di layan. Fareez melihat ke wajah Qarina. Lain benar dengan Qarina yang di kenalnya. Lemah dan longlai.

“Pakcik, saya akan bertanggungjawab. Andai perbuatan saya yang hanya membawa Qarina berjumpa dengan keluarga saya salah di mata pakcik, saya akan kahwin dengan dia,” tegas suara Fareez. Dia nekad dengan apa yang dikatakannya.

“Kau dah gila ke Fareez? Apa yang kau cuba buat ni?” marah Qarina. Tidak habis-habis Fareez menyusahkan dia.

“Kau nak kahwin dengan dia? Kau tahu tak, dia beritahu aku yang dia tak ada perasaan pada kau. Dia beritahu aku yang dia tolong kau sahaja. Sekarang ni siapa yang menipu. Kau ke dia Qina?” Kamal menjadi bertambah berang.

Fareez melihat ke arah Qarina. Dia tidak menyangkal apa yang dikatakan oleh Kamal. Kemudian pandangannya berubah ke arah Fatimah yang sudah tidak tahu hujung pangkalnya.

“Abah, hal kecil sahaja dah jadi besar. Zahid tak tahu apa yang tak kena dengan abah ni. Selama ini kami anak-anak tak pernah bantah kata abah. Hitam kata abah kami hanya menurut. Tetapi ini dah keterlaluan. Qina dah mengaku salah, cukuplah tu. Apa lagi yang abah marahkan sangat ni.”

“Kau anak-anak tak tahu perasaan aku. Kau tak tahu tidur malam aku tak lena selagi dia ni tak kahwin. Kalau dia duduk di sini tidak mengapa, ini tidak, Jauh dari mata aku. Aku marah, aku pukul kau cakap aku tak sayang. Aku orang kampung dah tua, kau orang semua sudah mula membelakangkan aku. Kau tahu tak adik kau tu anak dara, apa yang di buat di sana kita tak tahu. Kau tengok dia, dari bertudung sekarang bogel kepalanya. Apa nak jadi ni. Kau nak adik kau jadi macam anak Man, anak Lijah. Duduk bandar, balik-balik perut bunting tapi tak berlaki. Hari ini dia berani ikut lelaki ini ke rumah keluarga dia, untuk apa? Untuk seronok.”

“Abah, dia hanya pergi ke rumah kahwin aje. Bukan ke mana pun. Itu pun keluarga Fareez ikut sama.”

“Orang bandar, aku ni orang kampung. Maju macam mana pun dunia ini. Aku tetap orang kampung. Aku tak boleh terima apa yang adik kau buat. Memang aku marah sebab dia tolak pinangan Saiful, tapi aku lagi marah kalau dia tak jaga maruah dia. Perempuan mana yang ada maruah kalau dah sanggup ikut lelaki balik rumah? Ini yang kita tahu, yang kita tak tahu?” Kamal tetap berpendiran teguh dengan perbuatannya. Sedikit pun tiada rasa bersalah.

“Saya tetap akan mengambil Qarina sebagai isteri saya. Saya tak boleh biarkan dia terus jadi mangsa keadaan macam ni. Tapi pakcik dah silap menilai anak sendiri.”

“Kalau kau nak jugak, tak pa. Malam ini jugak aku kahwinkan kau dengan dia,” Kamal rasa tercabar dengan kata-kata dari Fareez.

“Fareez, mama tak setuju. Mama tak nak,” pekik Fatimah. Fareez terus sahaja mengajak mama dan papanya ke hujung halaman. Ada perkara yang perlu dia jelaskan pada mereka.

“Mama, Qarina jadi macam ni sebab Fareez. Sebenarnya Fareez langsung tak bercinta dengan dia. Tapi Fareez yang suruh sebab Fareez tak tahan dengan mama yang asyik nak carikan jodoh untuk Fareez. Mama, biar Fareez yang buat keputusan. Papa, tolonglah. Fareez tak boleh tengok Qarina macam ni. Kalau Fareez tak keluarkan dia dari kepompong ayahnya, lagi teruk dia dikerjakan. Fareez puncanya. Kalau kita tak telefon keluarga dia, pasti tidak jadi begini.”

“Jadi selama ni Fareez tipu mama. Sejak bila anak mama jadi penipu. Mama tak pernah paksa Fareez ? Mama hanya carikan sahaja sebab mama tahu anak mama tak pernah kenal mana-mana perempuan. Kenapa Fareez tak pernah beritahu mama, kenapa kena tipu mama?” jelas terukir di wajah Fatimah kekecewaan.

“Betullah apa yang Qarina beritahu pada Kamal? Kenapa Fareez buat macam ni Boleh ke terima Qarina? Cinta ke Qarina pada Fareez? Fareez ada fikir? Jangan buat keputusan melulu,” nasihat Hussain kepada Fareez.

“Fareez tak boleh biarkan Qarina macam ni. Papa tak kasihan ke? Fareez tak sangka ada bapa yang sebegitu.”

Fatimah dan Hussain saling berpandangan.

“Kalau dah macam tu, papa serahkan pada Fareez, ini hidup Fareez. Tapi jangan Fareez menyesal suatu hari nanti. Fareez belum kenal dia secukupnya,” Hussain berkata lagi. Fareez hanya mampu menelan air liur, yang pasti keputusannya ini bakal menyelamatkan Qarina.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.