Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,087
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 17

“Qarina apa khabar?” Mariam bertanya kepada Qarina. Sejak dari tadi dia dengan sabar menunggu kehadiran kakaknya bersama-sama dengan Qarina.

“Sihat. Makcik sihat?” Qarina pula bertanya. Mariam menganggukkan kepalanya. Hampir 10 tahun dia tidak berjumpa dengan Qarina. Ternyata gadis itu tidak banyak berubah. Susuk tubuh, senyuman dan suara masih sama. Cuma yang berbeza adalah penampilannya. Makin bergaya dan manis.

“Alhamdullilah, makcik sihat. Lama kita jumpa kan Qina. Kenapa Qina langsung tak hubungi makcik,” sambung Mariam lagi. Qarina kehilangan kata-kata, bagaimana hendak dia jelaskan kepada orang tua itu, anaknya telah meninggalkan luka yang terlalu dalam.

“Qina? Kau kenal dengan Qarina ke Mariam?” soal Fatimah, hairan juga dia melihat adiknya segera mendapatkan Qarina bukan dirinya seperti selalu.

“Kalau Qarina ini, memang aku kenal sangat,” Mariam mengakuinya.

“Lah, kenapa tak beritahu? Lupa lah pulak, Qarina kan satu sekolah dengan Iqram. Mestilah kau kenal kan,” teka Fatimah.

“Dulu Qina ni rapat dengan Iqram, hampir-hampir nak jadi menantu aku,” kata Mariam lagi. Semakin terbeliak mata Fatimah mendengar pengakuan dari adiknya.

“Er, Kak Ina sihat makcik?” terus sahaja Qarina memotong kata-kata Mariam dengan bertanyakan Qarina. Mana tahu kalau-kalau bergaduh pulak orang tua ini kerana berebutkan dia untuk dijadikan menantu. Tak fasal-fasal jadi berita hangat pula.

“Sihat, sekejap ye, makcik panggilkan dia,” Mariam pergi mendapatkan anaknya.

“Betul ke Qarina memang rapat dengan Iqram dulu, sampai menantu-menantu ni? Memang kenal rapat dengan keluarga Iqram?” Fatimah mula bertanya, tidak enak mendengar khabar yang diberitahu oleh adiknya sebentar tadi.

“Mama, cerita tu dah lama. Masa tu Qarina sekolah lagi, cinta monyet. Masa tu tengah galak lah tu,” Fareez menyampuk. Kasihan pula dia melihat Qarina yang terkebil-kebil cuba mencari jawapan kepada pertanyaan mamanya.

“Mak Teh pernah cerita kat Mama, yang Iqram masih lagi ingat pada kekasih lama dia. Jangan-jangan pada Qarina tak?” Fatimah mula menyerkap.

“Hish mama ni. Ada cakap macam tu pulak, nasib baik Balqis tak dengar. Kalau tak mahu disergahnya Qarina kat sini juga. Mama, kan kami tengah bercinta ni, janganlah mama cakap macam tu,” cepat sahaja tangan Fareez mencapai tangan Qarina.

“Hish, pegang-pegang pulak dah. Ini yang mama tak suka ni. Kalau begitu cepat-cepat sikit kahwin. Jangan tunggu lama-lama. Tak senang hati mama nanti. Boleh ke Qarina?” Qarina hanya mampu memberikan senyuman.

“Memang orang tua ni dah kemaruk nak bermenantu ni. Macam mana aku buat ni,”Qarina merungut sendiri.

Hati Iqram menjadi semakin panas apabila dia melihat kemesraan Qarina di samping keluarganya. Rata-rata mereka amat senang dengan bekas buah hatinya itu. Paling dia bengang adalah sikap romantis Fareez. Memang sakit jiwanya.

“Sakit hati?” Balqis bertanya dengan sinis. Dari riak muka suaminya, dia tahu apa yang sedang bermain di dalam minda dan hati Iqram. Dari tadi dia memerhatikan tingkah Iqram, sikit pun tidak beralih dari melihat Qarina dari jauh.

Iqram cuba tersenyum, dia tidak mahu Balqis tahu apa yang ada di dalam jiwanya. Dia mahu menggunakan Balqis untuk terus menyakiti Qarina. Dia tahu, Qarina memang sengaja ingin menyakiti hatinya, dia yakin Qarina ingin membalas dendam dengan apa yang telah dilakukan olehnya dahulu. Iqram menghampiri isterinya, tangan Balqis digemgamnnya.

“Sakit hati? Naik menyampah tengok perempuan penipu macam dia. Padan dengan muka Fareez. Tapi tak lama tu, tak lama lagi makan hati lah Fareez tu,” jawab Iqram. Balqis sekadar memberikan satu senyuman sindir. Dia tahu apa yang dikatakan oleh Iqram tidak sama apa yang dia rasa. Tetapi sekurang-kurangnya kini kasih Iqram terhadap Qarina sudah bertukar benci. Itu yang dia mahu.

“Iqram, jom lah datang sini. Banyak kerja nak di buat ini,” jerit Fareez sambil tangannya melambai-lambai ke arah pasangan itu.

“Tu sengaja nak sakitkan lagi hati aku lah tu,” kata Iqram di dalam hati. Namun kakinya tetap melangkah ke arah Fareez. Dia sudah tidak boleh mengelak, perlu juga bersama-sama dengan sepupu yang semakin jauh di hatinya. Jika bukan kerana Fareez pasti keputusan Qarina berlainan. Silap-silap ini akan menjadi majlisnya.

“Nah ambik ni Balqis. Tak kan nak datang tengok sahaja,” kata Fareez sambil memberikan sebakul bunga telur untuk diagihkan kepada tetamu yang datang.

Iqram sengaja mengambil tempat berhampiran dengan Qarina, ingin dia melihat bagaimana gelagat Qarina. Ternyata Qarina serba tidak kena duduknya.

“Bila kau nak kahwin dengan Fareez?” tanya Iqram kepada Qarina. Mukanya nampak bersahaja. Qarina sekadar tersenyum, walaupun hatinya memang bungkam dengan pertanyaan dari Iqram. Sengaja dia bertanya di hadapan keluarganya.

“Tak lama lagi, sabar aje. Nanti aku buat kenduri aku panggillah kau, jadi pengapit aku,” Fareez menjawab bagi pihak Qarina. Dia tahu niat sebenar Iqram.

“Baguslah, jangan kau makan hati pulak lepas ni. Perempuan bukan boleh percaya sangat. Jauh di mata jauh di hati. Aku masak sangat dengan perempuan macam. Perempuan macam ini boleh pergi jauh dari hati aku,” balas Iqram. Mukanya tidak semena-mena bertukar watak, mula menjadi masam dan merah. Seolah-olah sedang marah, Qarina yang mendengarnya hanya tertunduk. Dia tahu kata-kata itu ditujukan untuknya.

“Insya-ALLAH. Kalau aku makan hati pun tak apa. Bagus untuk tambah darah. Jangan sakit hati dahlah,” jawab Fareez. Mereka yang ada hanya mendengar dengan pandangan yang penuh kehairanan.

“Baguslah kalau macam tu Fareez. Jangan tunggu lama-lama tau. Qarina ni dah masuk 30 tahun. Kesian kat dia. Tak kan kau nak tunggu lama-lama kot?” Balqis menyampuk. Mereka yang kini mengalih pandangan ke arah Qarina yang masih lagi tertunduk.

“Kau tak nak fikir masak-masak ke Fareez? Qarina ni sama baya dengan kami. Kalau Mak Long nak tahu, Qarina ni satu kelas dengan kami dulu. Boleh tahan jugak ligatnya,” kata Iqram, Bangga rasanya kerana sudah dapat memalukan Qarina di hadapan sanak-saudaranya.

“Hish, perempuan tua tak apa. Pandai jaga suami. Untung kau Fareez,” Mak Long bersuara, entah ikhlas entah memperlinya.

“Ialah, mana tak untung,” sampuk yang lain. Kemudian ada yang ketawa perlahan. Fareez hanya melihat ke arah Qarina yang sudah merah padam mukanya. Dia tahu Qarina terasa dengan usikan dan kata-kata dari sanak saudaranya. Rasa bersalah pula kerana membawa Qarina ke majlis ini. Bukan dia tidak tahu mulut sanak-saudaranya. Mengalahkan sembilu bisanya, kalau tidak tahan mahu bergolok berparang.

“Asalkan hati baik cukup, tahu hormat orang tua. Bukan macam sesetengah orang, penuh dengan dengki,” Fatimah menyampuk, sejak dari tadi dia sudah bengang dengan kata-kata yang ditujukan pada Qarina. Apa salahnya kalau Qarina tua sedikit dari Fareez? Tetapi kenapa Iqram dan Balqis sengaja mengungkitkan hal itu di hadapan sanak-saudaranya.

“Betul tu Mak Lang. Bertuah kau Qarina, dapat bakal mak mertua macam ni. Kau ingat senang ke nak terima menantu yang tua dari anak dia. Kalau aku, entahlah. Susah lah nak terima. Kau kira beruntung tau. Kahwinlah cepat sikit, nanti Fareez jumpa yang lebih muda dari kau, tak kahwin lah kau,” sindir Iqram. Kali ini Qarina sudah tidak dapat menahan sabarnya, mujurlah dia kini di rumah keluarga Fareez. Dia tidak mahu memalukan Fareez dan keluarganya.

“Maaf,” kata Qarina sebelum dia bangun dari duduknya. Riak mukanya jelas menunjukkan perasaannya. Tergamak Iqram memalukan dia di hadapan semua yang ada. Buat seketika dia merasakan semakin tidak mengenali lelaki yang bertakta di hatinya selama ini. Iqram menundukkan kepalanya, dia tahu Qarina terasa dengan bicaranya sebentar tadi, namun apa kan daya, rasa marahnya kini mengambil alih rasa kasih terhadap gadis itu.

Fareez mengekori Qarina yang meluru ke luar ke halaman rumah.

“Qarina,” panggil Fareez.

“Puas hati? Kau puas hati dengar apa yang Iqram cakap?” marah Qarina. Fareez mendiamkan diri terus membiarkan Qarina bersuara. Dia tahu Qarina sedang marah. Rasa bersalah pula kerana memaksa Qarina mengikutnya pulang ke kampung semata-mata untuk memuaskan hati mamanya.

“Saya minta maaf Qarina,” kata Fareez setelah membiarkan hampir lima minit Qarina berleter.

“Aku nak balik,” kata Qarina dengan ringkas.

“Lepas makan kita balik ye,” pujuk Fareez. Dia tahu Qarina sedang menahan air matanya.

“Kau nak tunggu Iqram terus memalukan aku? Kau dengan sepupu kau sama sahaja tau. Aku tak tahu apa salah aku pada kau, sampai kau nak buat aku macam ni.”

“Apa salah saya pada awak Qarina, yang awak marahkan saya ni. Saya tak sangka Iqram akan cakap macam tu. Niat saya nak ajak awak ke sini, sebab nak kenalkan awak pada keluarga saya.”

“Aku rasa antara kau dengan dia, aku lagi gila? Memang aku gila sebab sanggup ikut kau,” kali ini Qarina marah pada dirinya sendiri. Aduh, kenapalah dia bodoh sangat kerana sanggup untuk memenuhi harapan Fareez.

“Qarina, saya dah tolong awak tau. Sebab awak, keluarga saya dah tahu yang saya tengah bercinta sakan dengan awak sekarang ni. Awak tak fikir ke, kalau tak kerana saya mungkin awak dah musnahkan perkahwinan Balqis dengan Iqram. Awak gunakan saya untuk sakitkan hati Iqram, bila saya minta awak berlakon jadi buah hati saya sebab saya tak nak mama saya sibuk carikan jodoh untuk saya awak nak blah macam tu sahaja. Awak ingat saya yang suruh Iqram sakitkan hati awak ke? Yang awak nak marah-marahkan saya ni? Apasal bengap sangat awak ni, dengan lakonan kita, bukan saya aje selamat awak pun boleh sakitkan hati Iqram sebab dia tinggalkan awak.”

“Masalahnya sekarang bukan hati Iqram yang sakit, tapi hati aku. Fasal lakonan kita, kau jangan nak salahkan aku. Aku dah suruh kau terus terang dengan mereka, tapi apa kau buat? Kau siap mengaku lagi yang aku ni buah hati kau. Mama kau kat dalam dah siap canang yang aku ni bakal menantu dia. Bukan takat keluarga kau aje, dengan keluarga aku sekali tau,” marah Qarina.

“Habis nak buat macam mana?”

“Perkara senang, sekarang ni kita beritahu pada keluarga kau perkara yang sebenarnya. Habis cerita,” jawab Qarina. Pada hematnya itu jalan yang terbaik.

“Gila, tahu tak mama kat dalam sana sibuk pertahankan awak tau. Awak nak hancurkan hati dia? Dia tengah seronok tu tau. Awak tak fikir ke?” marah Fareez.

“Fareez. Lebih baik kita beritahu dia sekarang makin lama makin parah jadinya. Silap-silap dia tempah pelamin, katering. Lagi teruk tau.”

“Qarina, saya minta tolong dengan awak, tolong sabar untuk hari ini sahaja. Lepas kenduri ni kita balik. Lepas tu kita akan beritahu mama. Tolonglah,” Fareez memujuk.

“Kau tahu tak, kalau aku terus kat sini, hati aku makin sakit tau,” Qarina masih lagi tidak berganjak dengan keputusannya.

“Qarina, Fareez buat apa kat sini?” Fatimah bertanya walaupun dia sudah mengagak kenapa Qarina keluar bersembunyi di sini.

“Qarina terasa hati dengan Iqram dan Balqis?”

“Er, tak ada lah makcik, saya ambil angin sahaja kat sini. Panas sangat kat dalam tu,” Qarina menipu.

“Jangan dipedulikan sangat dengan kata-kata Iqram tadi. Makcik nak tanya sikit, Qarina ni bergaduh dengan Iqram ke?” terus Fatimah bertanya.

“Kami kawan baik masa sekolah dulu. Balqis, isteri dia pun kawan baik saya. Tapi kami lama tak jumpa,” dalih Qarina lagi, kali ini dia sempat menjeling ke arah Fareez.

“Tak payah nak sorok-sorok lah, kalau mama nak tahu, dulu Qarina ni buah hati Iqram. Itu yang Iqram buat perangai gila tu,” Fareez terus menceritakan hal yang sudah pun dapat diagak oleh Fatimah.

“Makcik dah agak, itu kes cemburu lah tu. Tak payahlah fikir sangat dengan apa yang dikatakan Iqram. Makcik dah setuju Qarina jadi menantu makcik. Lepas ni kita jumpa keluarga Qarina, makcik nak masuk meminang.”

“Makcik, saya rasa bagi peluang saya dengan Fareez kenal satu sama lain. Lagipun kami baru kenal aje,” Qarina cuba menolak dengan cara baik.

“Tak baik kawan lama-lama. Kalau boleh makcik nak, kahwin aje minggu depan. Dah lah duduk dekat, kerja pula sekali, tak manislah orang pandang,” balas Fatimah.

“Err, mama masuk dulu. Pengantin dah nak sampai dah tu,” dengan segera Fareez terus memintas kata-kata mamanya.

“Kau dengar kan?” tanya Qarina dengan mata yang bulat. Memang Fatimah sudah kemaruk untuk bermenantu.

“Nantilah kita fikirkan. Senyumlah sikit, muka macam jeruk aje. Pakai kebaya macam ni nampak cantiklah, pegang pipi sikit boleh?” usik Fareez. Entahlah, setiap saat yang berlalu dia merasakan semakin sayang pada Qarina. Qarina terus melajukan langkahnya. Malas dia hendak melayan Fareez yang poyo.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.