Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,093
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11

Mulutyang mula menebal itu di rasakan begitu pedih lagi. Kali ini alahannya semakin teruk, merebak hingga ke muka dan kepalanya merasa berdenyut-denyut. Sakit yang amat sangat. Air matanya mula mengalir laju, mujurlah hari ini bukan hari bekerja. Dia melihat ke arah jam di dindingnya. Kalau diikutkan sudah sampai masanya untuk dia keluar makan bersama-sama dengan Fareez, Balqis dan Iqram. Tidak, dia tidak sanggup untuk keluar dari rumahnya dalam keadaan yang begini, hendak bertutur sepatah dua perkataan pun terasa sakit, inikan pula hendak bergurau senda dengan mereka.

Fareez berada di hadapan pintu rumah Qarina, sudah dua kali loceng rumah itu ditekan malangnya Qarina masih lagi belum keluar. Entah bersolek sakan, maklumlah hendak jumpa dengan kekasih lama. Hati Fareez rasa macam hendak terbakar. Semalaman dia gagal melelapkan mata, fikirannya melayang-layang kepada Qarina, kemudian rasa cemburu timbul ketika wajah Iqram muncul di depan mata. Entah mabuk apa yang melanda dirinya, dia tidak tahu. Iqram sudah dua kali menelefonnya mengingatkan tentang pertemuan mereka pagi ini. Fareez bercadang ingin membawa mereka menikmati roti canai di Argyll Road. Lokasi roti canai yang menjadi tumpuan selain di Transfer Road.

Fareez cuba menahan gelaknya, sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Dia terpaksa mengecilkan matanya dari menahan gelak.

“Kenapa?” kemudian Fareez terus ketawa. Muka Qarina seperti disengat tebuan, bengkak. Mukanya nampak ganjil, besar. Bibirnya pula sudah macam bibir negro. Tidak pernah dia bayangkan muka comel Qarina sebegini.

Hati Qarina menjadi sakit, sudahlah dia terpaksa menanggung sakit sebab alahan ketam, kali ini hatinya pula sakit kerana mendengar gelak Fareez. Dia tidak menjawab, sebaliknya terus masuk ke dalam rumah.

“Qarina, bukak lah pintu. Maaflah, terkejut sahaja tadi,” jerit Fareez. Qarina memekakkan telinganya. Biarlah Fareez terjerit-jerit di luar sana, padan dengan mukanya semua ini kerana dia.

“Qarina, tolonglah bukak pintu ni,” jerit Fareez lagi, dia turut menekan loceng. Qarina mengelengkan kepalanya, memang Fareez ini tidak mengenal erti putus asa. Kalau dibiarkan mahu jahanam juga loceng rumahnya, Qarina akhirnya mengalah. Dia membuka kembali pintu rumahnya, kali ini dia turut membuka pintu pagar.

“Hei, kenapa jadi macam ni? Iqram dengan Balqis tengah tunggu kita tu, dah siap ke?”

“ Nak hegi ane hengam huke hengkak ni?” (Nak pergi mana dengan muka bengkak ni.) susah payah Qarina cuba bertutur. Apa lagi, makin kuat gelak Fareez. Qarina bertambah-tambah sakit hati, dia terus menarik kembali pintu pagar rumahnya, namun Fareez lagi tangkas dia menahan pintu pagar besi itu dengan tangannya.

“Maaflah, tak faham awak cakap apa,” pujuk Fareez namun wajahnya tetap melukiskan perasan ingin ketawa sakan. Air mata Qarina mengalir, bukan sebab sakit yang ditanggungnya tetapi dek kerana sakit hati melihat wajah Fareez yang sedang cuba menahan gelaknya. Hiba pula di hati Fareez apabila melihat air mata yang mengalir di pipi Qarina.

“Sakit ke?” tanya Fareez. Qarina menganggukkan kepala umpana anak-anak kecil.

“Kita pergi hospital,” Qarina mengelengkan kepala. Hospital? Maaflah tempat itu memang takut untuk dijejaki.

“Tak kan nak biar macam ni. Dah macam beruk sarkas sahaja,” kata Fareez. Qarina menarik baju Fareez, tergamak Fareez menyamakan dia dengan beruk sarkas.

“Kita tak payah jumpa mereka, kita pergi hospital,” ajak Fareez. Qarina masih mengelengkan kepalanya.

“Kalau awak tak nak ikut saya, saya pikul awak, nak? Awak kecik aje ni,” ugut Fareez. Rasanya tidak ada masalah untuk dia mendukung Qarina yang rasanya berat pun tidak sampai 50 kilogram itu.

“oheylah,” (okeylah.) akhirnya Qarina mengalah, bukan boleh dikira sangat dengan mamat poyo ni.

“Apa?” Fareez tidak faham.

“Ohey,” kali ini suara Qarina semakin kuat, namun masih belum jelas tuturnya.

“Okey?” Qarina menganggukkan kepalanya.

Fareez memandu dengan cermat, matanya menjeling ke arah Qarina yang hanya mengenakan tracksuit dan t-shirt pooh. Sebiji macam budak sekolah.

“Kita nak pergi GH ke atau ke mana?” tanya Fareez, terlupa pula dia untuk bertanya.

Qarina mengambil telefon bimbitnya, dengan segera dia terus menaip lokasi hospital yang mahu di tuju.

“Oh, Hospital Pinang. Kita boleh jumpa dengan Iqram dulu lah,” Fareez mengusik lagi.

Sekali lagi tas tangan Qarina mengenai bahu Fareez.

“Minta kad pengenalan isteri encik,” minta kerani yang bertugas. Fareez tersenyum, mujurlah Qarina tiada di sini. Kalau tidak mahu diseranahnya kerani comel itu.

“Sekejap ye,” Fareez kemudiannya melambai ke arah Qarina. Qarina menghampiri kaunter, kelihatan dua tiga orang yang sedang memerhatikannya sambil tersenyum. Lawak sangat kot muka dia.

“Minta i.c,” Fareez meminta kad pengenalan Qarina. Qarina tidak banyak songeh kali ini, mungkin kerana dia sedang menanggung kesakitan maka tidak banyak kerenah olehnya.

“Comel gambar, ni zaman muda lah ni,” komen Fareez ketika melihat gambar Qarina di dalam kad pengenalan. Qarina buat tidak tahu sahaja malas dia hendak melayan otak Fareez ketika ini. Petugas di kaunter itu seolah-olah sedang menahan ketawanya.

“Duduk dulu ye,” kata petugas kaunter itu sambil menyerahkan kembali kad pengenalan bersama-sama dengan nombor giliran kepada Fareez.

“Jom kita duduk kat hujung tu,” Fareez mengajak Qarina ke tempat yang di tujunya.

“Kalau dah tahu tak boleh makan ketam, kenapa makan jugak semalam,” leter Fareez, Qarina menjeling. Dia memujuk hatinya supaya terus bersabar. Kalau tidak kerana mulutnya yang bengkak itu ingin sahaja dia mengetuk kepala Fareez biar dia ingat siapa yang terlebih dahulu menyuruh dia makan isi ketam itu.

“Saja nak tunjuk kebal depan Iqram? Sudahnya diri sendiri yang menangung sakit. Lain kali jangan bermain dengan ego, kelak terbakar diri sendiri,” tokok Fareez lagi.

“Cakap banyak pula mat poyo ni. Hilang aku terbakar, silap-silap kau yang aku bakar,” marah Qarina di dalam hatinya. Memang panaslah dengan mat poyo ni.

“Ni pun bekas buah hati telefon, macam mana? Nak jawab apa?” Qarina buat-buat bodoh, biarlah Fareez yang menanggungnya sendiri.

“Assalamualaikum,” Fareez memberi salam.

“Waalaikumussalam, ada kat mana ni?” tanya Iqram.

“Ada kat hospital, bawa Qarina,” Fareez terus memberitahu Iqram. Qarina mula menarik muka.

“La, kenapa? Hospital mana?” suara Iqram berbaur gundah.

“Nanti aku beritahu, nombor dia naik dah ni aku nak bawak dia masuk,” terus Fareez mematikan talian. Qarina melihat angka giliranya dengan angka yang tertera di skrin bilik doktor, nampak sangat Fareez menipu Iqram. Fareez buat tidak tahu sahaja, dia terus bermain permainan di telefon Samsung SIII yang baru di belinya. Qarina mengambil masa itu menjeling ke arah Fareez.

“Caring juga mamat poyo ni,”bisiknya sendiri. Dia menjeling lagi, kali ini dia melihat Fareez yang agak serius menatap telefon bimbitnya. Wajah yang hitam manis dan dihiasi lesung pipit di sebelah pipinya mula menarik matanya untuk terus ditatapnya. Fareez agak tinggi orangnya. Kalau berdiri di sebelah, dia hanya di takat bahu Fareez. Sama tinggi dengan Iqram. Rambutnya di potong pendek kemas. Badannya sedang-sedang sahaja, tidak gemuk dan tidak juga terlalu kurus.

“Ha, nak tengok-tengok aje lah, jangan main jeling-jeling. Nanti jatuh cinta tak tahu,” kata Fareez namun matanya tetap sahaja melihat skrin telefon bimbitnya. Qarina dengan segera mengalihkan pandangannya.

Adeh malunya aku, macam mana mamat ni boleh perasan ni.

Fareez melihat Qarina yang sedang mengesat air matanya. Tangan gebunya menjadi mangsa jarum. Dia terpaksa di tahan di wad kerana tahap alahanyan agak serius. Rasa menyesal pula kerana menyuruh Qarina makan isi ketam. Kalau dia tahu Qarina tidak boleh memakannya pasti dia tidak akan membenarkan Qarina menjamah makanan itu.

“Nak telefon mak dengan ayah ke?” tanya Fareez, Qarina mengelengkan kepala. Dia tidak mahu keluarganya tahu tentang keadaan dirinya. Kalau emaknya tahu pasti kelam kabut orang tua itu.

Telefon bimbitnya berbunyi, mesej dari Iqram. Sudah tiga kali Iqram menghantar mesej bertanya tentang keadaan Qarina, satu pun tidak di balasnya.

Menurut kata doktor, Qarina perlu ditahan sekurang-kurang tiga hari. Sebentar tadi dia telah mengambil ubat bagi menahan sakit dan gatal di muka.

Susahlah nak duduk dalam hospital ni. Baju tak ada.

Fareez membaca kata-kata yang ditulis oleh Qarina. Dia kini menggunakan kaedah menulis untuk bersuara. Ini kerana Fareez langsung tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Qarina. Bengkak di bibirnya semakin menjadi-jadi.

“Nanti saya belikan baju. Kena lah masuk wad baru boleh baik,” pujuk Fareez. Qarina mendiamkan diri, mungkin disebabkan ubat maka dia merasa sangat mengantuk.

“Tidurlah dulu, nanti saya datang balik. Nak makan apa tengah hari ni?”

Tak nak apa-apalah. Terima kasih ye Fareez.

“Sama-sama. Jaga diri. Nanti saya datang balik. Comel muka tu, macam yang duduk dalam sarkas aje,” sempat lagi dia mengusik Qarina.

Pergilah balik, menyakitkan hati aje.

Faris ketawa ketika membaca tulisan Qarina. Dia tidak bermaksud apa-apa sekadar ingin mengusik.


Iqram semakin tidak menentu duduknya, sejak mendapat khabar tentang Qarina dia bagaikan kucing yang hilang anak. Balqis semakin makan hati dengan sikap dan perhatian Iqram terhadap Qarina. Iqram semakin berani menunjukkan kasihnya kepada Qarina secara terang-terangan. Langsung tidak mempedulikan hati dan jiwanya, langsung tidak pedulikannya status sebagai suami kepada Balqis. Niatnya untuk menyakitkan hati Qarina tidak menjadi. Sebaliknya hatinya yang sakit. Balqis mengesat air mata kecewanya. Iqram perasan akan apa yang berlaku kepada Balqis, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sudah lama dia terpaksa menyimpan rasa bersalah kepada Qarina kerana mengecewakannya. Dia menyangka Qarina sudah berkahwin, sudah melupakannya. Namun setelah bertentang mata dengan Qarina dia yakin, dia masih di hati gadis itu. Selama ini mereka saling merindu.

“Balqis,” panggil Iqram perlahan. Dia sudah tidak mahu kehilangan Qarina sekali lagi.

“Apa?”

“Rasanya Fareez tak datang lagi, kita makan di hotel sahaja,” kata Iqram.

“Selera ke awak nak makan? Buah hati awak kan tengah sakit,” sindir Balqis.

“Dalam tempoh satu jam awak tak sakitkan hati saya boleh tak?”

“Saya sakitkan hati awak? Awak sedar tak, sikap awak pagi ini menyakitkan hati saya. Saya tahu awak susah hati sebab Qarina sakitkan? Iqram awak sedar tak, siapa Qarina? Siapa saya. Kalau awak sayangkan dia pun tolong jangan tunjuk perasaan awak tu di hadapan saya. Hormat sikit saya sebagai isteri awak,” marah Balqis. Dia sudah tidak mampu untuk menahan marahnya.

“Awak merepek apa ni Balqis?” suara Iqram sedikit perlahan, maklumlah memang dia bersalah pun.

“Awak jangan ingat saya bodohlah Iqram,” kata Balqis dengan segera dia mencapai tas tangannya lalu dilemparkan tepat ke muka Iqram. Iqram cuba menahan marahnya. Baran Balqis semakin menjadi. Dia terus membalingkan apa yang ada kepada Iqram. Iqram dengan segera keluar dari bilik itu, bukan takut tetapi dia tidak mahu hilang kawalan. Memang selalunya begitu, sudah lama dia makan hati dengan baran Balqis.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.