Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,083
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

Sudahtiga bulan Fareez bergelar jurutera di Setia Holdings. Dia senang diterima oleh kakitangan syrikat itu, mungkin dek kerana keramahan mulutnya dan dia juga seorang yang sering boleh dibawa bergurau. Hanya Qarina yang kadangkala makan hati dengan gurauan Fareez yang sering kala mencalar hati. Namun dia seboleh-bolehnya bersikap profesional. Tidak mahu menunjukkan kepada semua yang dia memang berbulu dengan mamat poyo itu. Langsung tidak tahu menghargai hati wanita andartu sepertinya. Biasalah budak-budak, hanya itu sahaja yang tinggal untuk Qarina fikirkan tatkala mendengar gurauan ‘kejam’ oleh Fareez.

Qarina membelek kalender kalau diikutkan, minggu ini mungkin Balqis dan suaminya akan sampai ke Pulau Pinang. Dia tidak berani membaca e-mail, malah e-mailnya sudah lama tidak di buka. Biarlah ia bersawang dia laman web, nama pun laman sesawang.

“Kak, bos suruh akak temankan saya pergi site,” Fareez memberitahunya.

“Apa barang pulak aku kena ikut kau pergi tapak? Tak pernah pun aku ikut jurutera ke tapak pembinaan,” marah Qarina. Sudahlah hatinya gundah . Di saat-saat hendak melayan lara jiwanya, mamat poyo ini pula yang datang membawa berita.

“Entah, mana saya tahu kak. Bos suruh bawak akak. Dia tunggu kat site .”

Qarina menghempaskan pensilnya.

“Bila?” akhirnya Qarina mengalah, mungkin ada perkara yang perlu dibincangkan oleh Firhad. Dia cuba berfikiran positif.

“Sekaranglah, tak kan malam nanti kot. Kalau malam-malam sah orang cakap kita pergi bercinta. Betul tak?”

“Kau ni kan ada sahaja jawapan kau kan. Semuanya nyakitkan hati aku,” marah Qarina, namun dia hanya mampu meluahkannya sendirian. Tidak berani diluahkan di hadapan Fareez. Bimbang andai ada sahaja jawapan yang bakal diberikan oleh Fareez. Hubungannya dengan Fareez memang berlainan jika hendak dibandingkan dengan hubungannya dengan Fatimah, mama Fareez. Nampaknya memang Fareez mengikut tingkah mamanya, main cakap ikut suka mulut sahaja. Antara kategori ibu mertua yang bukan pilihan hatinya.

“Kita pergi dengan kereta akak lah. Kereta saya tak ada minyak,” sambung Fareez lagi.

“Kau ni memang suka pekena akak lah Fareez. Nasib baik kau muda dari akak tau, kalau kau sama umur dengan akak, tak pun tua dari akak. Memang dah lama akak ‘reject’ kau. Langsung tak ada dalam senarai,” Qarina yang sudah tidak menahan sabarnya mula menyembur.

“Kenapa pula kak, Nabi Muhammad pun jadi pilihan Khatijah untuk dijadikan suami. Umur kita bukan beza sangat pun. Akak kalau nak jadi awek saya pun boleh. Nanti saya bagi borang, tapi nama akak ke belakang sikit lah kalau nak dibandingkan dengan awek-awek yang kat luar tu.”

“Nabi Muhammad lelaki pilihan. Bukan macam kau. Kau yang ado.”

“Hish, kak. Akak tak kenal lagi saya ni macam mana. Jejaka idaman Malaya. Kot kalau akak kenal, makan hati akak kalau saya yang ‘reject’ akak,” selamba sahaja kata-kata yang diberikan oleh Fareez.

“Sekarang ni pun aku dah makan hati dengan kau,” bisik Qarina perlahan.

“Saya suka tengok akak marah. Akak ni marah, tapi suka tunjuk-tunjuk tak marah. Itu yang saya suka tu. Naib baik akak ni berumur dari saya, kalau tak dah lama saya ambik akak jadi kekasih hati saya,” usik Fareez lagi.

“Malas akak nak layan kau. Jom kita pergi. Nanti mengamuk pula bos tu. Dah lah kau tu belum disahkan jawatan lagi,” Qarina mengalah, makin lama dilayan bertambah merana jiwa nuraninya.

“Macam mana Qarina, awak rasa kita perlu tambah tak kerani untuk site tu. Banyak sangat pekerja kat situ. Saya rasa Mahdi tak boleh nak buat lah kalau sendirian,” Firhad menyatakan pendapatnya.

“Ikut suka bos lah,” jawab Qarina bersahaja. Ingatkan ada kes besar yang memerlukan perhatian dari dia. Tidak sampai lima minit dia sampai di tapak pembinaan itu, Firhad mengajak dia dan Fareez untuk makan di Vistana Hotel. Puas dia memberikan alasan, tetapi Firhad tetap mendesak. Tambahan pula Si Fareez dengan muka tidak malunya terus memujuk. Dia akhirnya mengalah. Dia memandu sendirian, Fareez menumpang Firhad.

“Kalau setakat ikut suka hati bos, tak payahlah susah payah bawa Kak Qarina,” sampuk Fareez.

“Kau makan aje lah, cakap banyak pula,” jeling Qarina. Firhad tersenyum, aduhai senyumannya memang kalah Aaron Aziz. Mahu naik lumpuh jantung Qarina. Sedang enak mereka membalas senyuman, telefon Firhad berdering. Air muka Firhad segera berubah tatkala dia membaca sesuatu di skrin telefon pintar miliknya.

“Saya minta diri dulu. Qarina makan dengam Fareez aje. Orang rumah saya ada hal,” akui Firhad, sempat dia melihat ke arah Qarina. Qarina berpura-pura tidak mendengar. Berat rasanya untuk melihat Firhad pergi menemui isterinya.

“Tak apa bos, saya tak kisah. Lagipun kalau saya tak makan, nanti rugi pula duit bos,” jawab Fareez. Qarina mengelengkan kepalanya. Nampaknya lama lagilah dia kena melayan kerenah mamat poyo yang sedang melahap. Entah berapa minggu dia tidak makan, dia pun tak pasti.

“Akak tak makan ke?” tegur Fareez, bila dilihatnya Qarina tidak bangun untuk mengambil makanan.

“Tengok kau makan pun akak kenyang Fareez.”

“Rugi kak, memang bestlah makan kat sini,” puji Fareez.

“Mana tak best, makan free,” jawab Qarina.

“Tahu tak apa.”

Qarina terasa lapar pula apabila dia melihat Fareez makan dengan bersunguh-sungguh. Dia bangun.

“Akak nak pergi mana tu?” tanya Fareez.

“Nak ambil popia. Terliur pulak tengok kau makan,” jawab Qarina.

“Duduklah, saya pergi ambil,” Fareez bangun.

“Akak nak apa lagi?”

“Popia aje, nak tunjuk ‘gentleman’ lah tu,” tuduh Qarina.

“Nak layan princess,” jawab Fareez. Qarina tergelak. Pandai juga budak ni ambik hati aku.

Qarina?” Balqis menegur. Dari tadi matanya tertumpu pada pasangan yang berada di hadapannya. Dia yakin itu Qarina. Sudah banyak kali dia menghantar e-mail kepada Qarina, tetapi tidak di balas. Dia tahu Qarina pasti makan hati mendengar khabar berita darinya.

“Balqis?” Qarina terpaku. Kecilnya Pulau Pinang. Betulah macam kata orang, Pi mai pi mai tang tu juga.

“La, banyak kali aku hantar e-mail kat kau. Kenapa tak jawab? Aku rindu sangat nak jumpa dengan kau,” kata Balqis. Mereka kemudiannya berpelukkan.

“Aku terlupa password. Sebab tu tak boleh bukak e-mail tu,” tipu Qarina. Huh, kenapa kat sini juga aku jumpa dengan kau, bisik hati Qarina.

“Iqram ada kat sana. Kau dengan suami ke?” Balqis bertanya.

“Er, tak lah aku tak kahwin lagi,” jawab Qarina. Jawapan yang menjerat lehernya.

“Iya ke? Bahaya tu,” Balqis bergurau. Maksudnya begitu dalam. Qarina tahu apa yang dimaksudkan oleh Balqis.

“Tak apa, aku tak kacau hak orang,” sindir Qarina.

“Banyak ni sahaja yang ada,” tiba-tiba Fareez menjelma. Qarina langsung tidak berfikir panjang. Ini peluangnya. Untuk menunjukkan kepada Balqis yang dia sudah berpunya. Bukan hanya kepada Balqis malah kepada Iqram juga.

“Em, tak apa lah. Ni pun dah cukup. Fareez kenalkan, kawan saya, Balqis,” Qarina segera menarik baju Fareez.

“Balqis, ini bakal tunang aku. Fareez Aiman,” Qarina memperkenalkan. Fareez terkejut. Mujur tiada sebarang makanan di dalam mulut jika tidak harus semuanya tersembur keluar setelah mendengar pengakuan maut dari Qarina.

“Fareez?”

“Balqis?”

“Balqis?” kali ini Qarina yang terkejut maut.

“Qarina, alahai kecilnya dunia ni. Kalau ini bakal tunang kau, maknanya kita akan jadi satu keluarga lah.”

“A’ hanya itu yang mampu keluar dari mulut Qarina.

“Macam mana boleh jadi macam ni?”

“Qarina,” hati Qarina bertambah rawan setelah mendengar suara yang dirinduinya selama ini. Suara itu sama seperti dulu. Suara yang pernah memanggil namanya dengan manja dan penuh dengan kasih sayang.

“Iqram,” jawab Qarina. Air matanya cuba ditahan. Walau bertahun masa berlalu, bertahun dia cuba merawat luka yang ditinggalkan Iqram. Akhirnya dia akur, hatinya masih mendambakan lelaki itu. Dia tidak berani menoleh, tidak mahu untuk terus menatap wajah Iqram.

“Iqram, kan saya dah cakap, kita pasti jumpa dengan Qarina. Awak aje yang tak percaya. Bukan Qarina sahaja, kita juga jumpa dengan bakal tunang Qarina, teka siapa?” ujar Balqis. Dia tahu perasaan suaminya dan Qarina tetapi berpura tidak faham. Sengaja dia ingin perkenalkan siapa bakal tunang Qarina kepada suaminya. Biar suaminya makan hati.

“Iqram,” Fareez bersuara.

“Fareez? Kau buat apa kat sini?” tanya Iqram. Dia ingin melihat siapa yang berjaya mengantikan tempatnya di hati Qarina.

“Iqram, inilah bakal tunang Qarina. Fareez, anak Mak Lang Timah. Sepupu kita,” Balqis memberitahu hal itu kepada Iqram.

“Fareez?” Iqram seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Setahunya sepupunya itu lebih muda dari mereka. Lebih kurang empat tahun.

“Kau buat apa kat sini? Kau kenal..” belum sempat Fareez bertanya Qarina mengambil tas tangannya. Dia pergi. Hatinya sakit. Dia ingin menyakiti hati Iqram dengan mengaku Fareez bakal tunangnya, tetapi perkara yang lain pula berlaku. Fareez sepupu Iqram? Memang padan pun, patutlah perangai Fareez lain macam. Patutlah sikap Fareez mengingatkan dia pada Iqram, rupanya mereka ada pertalian darah.

“Qarina? Dia bekas buah hati Iqram,” kata Balqis.

“Balqis!”

“Aku tak ada apa dengan dia. Kawan sekolah aje. Kau buat apa kat sini, Fareez?”

“Aku kerja kat sini. Kerja dengan Qarina.”

“Kawan kerja ke? Kenapa dia mengaku bakal tunang?” sinis suara Balqis.

“Err, going to be,” jawab Fareez.

“Alahai kenapa pulak dah aku yang nak kena menipu ni.”Bisik hati Fareez. Dia seperti hendak menghantukkan kepalanya.

“Aku tak tahu pun kau kerja kat sini,” ujar Iqram. Namun nampak jelas matanya melilau mencari sesuatu. Mungkin mencari kelibat Qarina.

“Okeylah, Iqram. Aku gerak dulu. Nanti dia tunggu aku pulak,” Fareez meminta diri. Dia mengambil telefon bimbitnya, didailnya nombor Qarina.

Qarina mengesat saki baki air mata yang telah mengalir membasahi pipi gebunya. Fareez berada di sebelah hanya diam seribu bahasa. Qarina memandu laju menyusuri jalan menuju ke Taman Belia. Fareez tidak membantah walaupun hatinya melonjak-lonjak ingin mengetahui kenapa Qarina mengaku dia sebagai bakal tunangnya.

Lima belas minit mereka hanya membisu.

“Maaf,” akhirnya Qarina memecahkan kebisuan antara mereka.

“Sebab?”

“Sebab tinggalkan kau tadi. Akak tak nak buat apa”

“Kalau saya tak telefon akak tadi, naya aje kena naik bas rapid,” Fareez cuba berseloroh. Qarina cuba ketawa, tetapi nampak sangat janggal. Kemudian Qarina melepaskan ikatan rambutnya, Fareez melihat. Hari ini dia melihat Qarina dari sudut yang lain. Melihat air mata Qarina, melihat cara Qarina mengesat air matanya membuatkan hatinya tersentak, betapa lembutnya hati gadis itu.

“Kenapa mengaku saya sebagai tunang?” Fareez terus bertanya.

“Akak minta maaf. Akak sebenarnya...” kata-kata Qarina mati di situ.

“Akak tak tahu Fareez sepupu Iqram. Akak minta maaf. Tak guna nak cakap apa. Dia pun dah tahu siapa kita kan.”

“Akak memang ada hubungan dengan Iqram? Balqis tahu?”

“Cerita lama Dik, cerita dah basi.”

“Jangan panggil adik lah, naik geli saya,” ujar Fareez. Dari gerak geri Qarina, Iqram dan Balqis dia tahu ada kisah antara mereka bertiga. Qarina menarik nafas yang panjang. Nampaknya terpaksa juga dia berhadapan dengan situasi ini. Mesej telefon bimbit Fareez berbunyi.

“Qarina okey ke Fareez?” Fareez membaca mesej dari sepupunya. Sengaja dia membaca dengan kuat.

“Nak suruh saya jawab apa?” tanya Fareez.

“Jawab aje, dia okey. Lepas tu suruh dia pergi mampus,” kata Qarina.

“Tak kan saya nak cakap macam tu kot. Tahu tak mulut Balqis tu macam mana? Lepas ni kecoh lah satu famili, saya bercinta dengan bekas awek Iqram,” kata Fareez.

“Akak minta maaf Fareez. Akak tak bermaksud macam tu. Fareez beritahu kat dia, yang akak tipu sahaja. Kenapa lah akak ni bodoh sangat tadi,” marah Qarina pada dirinya sendiri.

“Masalahnya saya termengaku tadi. Saya pun panik, bila akak cakap saya bakal tunang akak. Naib baik akak ni kira cun jugak, kecil molek. Kalau tak, mahu menangis saya kat situ. Dah lah makan tak kenyang,” luah Fareez.

“Yang kau mengaku kenapa? Sakitlah dengan kau ni,” Qarina mula naik angin. Fareez tidak menjawab dia pun hairan kenapa dia mengakui dengan apa yang disampaikan oleh Qarina kepada Balqis dan Iqram.

Belum sempat dia menyambung kata-kata Qarina, telefonnya berbunyi.

“Alamak kak, mama saya telefon. Jangan-jangan Balqis dah beritahu pada orang tua tu tak?” Fareez semakin mengelabah, bukan boleh dikira sangat mulut tempayan milik Balqis.

“Habis tu nak buat apa?” Qarina turut tidak menentu. Inilah yang dikatakan orang, lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Fareez terpaksa menjawab setelah dua kali panggilan dari mamanya dibiarkan begitu sahaja.

“Assalamualaikum mama,” Fareez memberi salam.

“Kau ada hubungan dengan Qarina ke?” Fatimah terus menyerbu. Sebentar tadi Balqis menelefonnya memberitahu yang dia terserempak dengan Fareez dan bakal tunangnya. Terkejut juga dia apabila mendengar hal itu, setahunya anaknya hingga kini langsung tidak maklumkan apa-apa pada dia. Dan bila Balqis menyebut nama Qarina, hatinya sedikit lega. Entah kenapa, dia memang senang dengan Qarina. Sikapnya matang, suka tersenyum dan yang paling penting sanggup melayan kerenahnya, sanggup mendengar keluhan hati tuanya.

“Hubungan apa pulak ni mama,” Fareez cuba berselindung.

“Tadi Reez ada jumpa dengan Balqis dengan Iqram ke? Balqis telefon mama, katanya dia terserempak dengan Reez. Katanya Reez dengan bakal tunang. Terkejut mama, nak,” cerita Fatimah.

“Bila dia sebut nama Qarina, mama pun mengaku aje lah. Mama pun berkenan dengan Qarina tu. Ada pendidikan, pandai ambil hati mama,” sambung Fatimah lagi.

“Mama ni, mana ada. Balqis tu main-main aje lah. Lagipun dia tu kan tua dari saya,” Fareez memperlahankan suaranya, bimbang jika-jika Qarina terdengar. Qarina menjeling.

“Hish, okey lah tu, Rita Rudaini dengan bekas suami dia tu pun lagi banyak beza. Lagipun mama rasa Mak Teh kamu dah tahu. Mesti Balqis beritahu dia, bila nak balik bincang?”

“Ya ALLAH mama ni. Sampai ke situ fikirnya. Okeylah, Reez ada kerja. Assalamualaikum,” dengar segera Fareez mematikan talian. Dia kemudiannya berpaling ke arah Qarina.

“Mampus,” kata Fareez.

“Mama kau dah tahu?” tanya Qarina.

“Ha, dia dah telefon. Hampehlah Balqis ni. Silap hari bulan pada mak mertua dia pun dia cerita. Huh,” marah Fareez.

“Habis tu mama kau cakap apa?”

“Cakap apa? Seronok dia nak dapat menantu,” jawab Fareez bersahaja.

“Seronok?” Qarina kehairanan. Aik, macam ni pun boleh seronok, fikirnya sendiri. Kemudian dia tersenyum.

“Ni sengih-sengih laksana kerang ni apa hal?” tegur Fareez.

“Kalau dah mama setuju, kita apa lagi, on aje lah,” kali ini Qarina mengusik Fareez. Selama ini dia selalu makan hati dengan lawak mamat poyo di hadapannya. Kali ini rasakan lawak maut darinya.

“Gila, tua tu. Tak nak lah saya kahwin dengan orang tua,” Fareez berkata tanpa mempedulikan perasaan Qarina.

“Kau cakap aku tua, kurang asam jawa punya budak,” Qarina terus memukul Fareez dengan tas tangannya.

“30 tahun, tua lah tu,” Fareez mempertahankan dirinya. Qarina menarik muka masam. Tidak pernah ada lelaki yang memanggilnya dengan gelaran tua.

“Iyalah, akak dah tua. Akak pun tak nak kahwinlah dengan kau, dah lah poyo, perangai macam budak-budak. Nama aje jurutera tapi tak matang langsung. Kau tengok kau punya pakaian. Ni budak-budak kolej aje pakai macam ni,” kata Qarina.

“Okeylah ni, orang muda pakai macam ni. Nak bandingkan saya dengan bos, mestilah macam langit dengan bumi. Dia tu dah senja, saya ni muda belia,” Fareez mempertahankan dirinya lagi.

“Dah, aku tak nak dengar benda-benda tu semua. Sekarang kau telefon mak kau, beritahu dia yang aku main-main aje tadi. Silap hari bulan mak kau dah tempah pelamin. Jangan-jangan siap dengan mak andam lagi. Maklumlah bukan senang nak dapat menantu macam akak ni tau.”

“Iyalah, tadi menangis bagai, sekarang ni garang. Memang perangai macam ek, suka tukar karektor?”

“Tadi tsunami. Sekarang dah reda. Kau selalu dengar taufan Katrina kan, jangan sampai taufan Qarina pula yang melanda.”

Qarina menghidupkan kembali enjin keretanya. Kalau tadi marahnya pada Balqis dan Iqram kini melarat pada Fareez pula yang secara terang-terangan suka mempermainkan hatinya.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.