Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
220,924
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
bab 16

Memang relaks jikalau kenduri menggunakan khidmat katerer. Tidak banyak tugasan yang perlu Hannah lakukan setelah semua persediaan diberikan kepada pihak katerer. Kenduri arwah dan doa selamat berjalan dengan lancar. Majlis tahlil yang diketuai oleh Tan Sri Ghazali juga disempurnakan dengan baik. Di dalam hati timbul juga rasa kagum di hati Hannah kepada Tan Sri Ghazali yang boleh mengepalai majlis tahlil itu walaupun Tan Sri Ghazali bukanlah seorang ustaz.

“ Hai, termenung jauh nampak,” kata Hanif sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan Hannah. Hannah yang nyata terkejut hanya tersenyum manis.

“ Nak buat apa lagi, semua kerja dibereskan oleh pihak katerer. Untungkan jadi orang kaya ni. Tak payah penat buat kerja. Upah je,” kata Hannah sambil melebarkan lagi senyumannya.

Senyuman Hannah itu nyata membuatkan Hanif semakin terpukau. Nyata gadis dihadapannya ini begitu cantik persis bidadari. Sayang sekali dia hanyalah seorang pembantu rumah yang tidak setaraf dengan kedudukannya. Kalau tidak sudah lama disunting gadis ini menjadi miliknya.

“ Kalau ada duit semua kerja dapat dibereskan dengan mudah,” kata Hanif sambil menyuakan segelas air sirap bandung kepada Hannah.

“ Untuk aku ke?” Tanya Hannah yang nyata kaget apabila Hanif melayannya sebegitu. Hanif memang begitu. Tidak pernah memandang rendah dengan kedudukannya sebagai seorang pembantu rumah. Jujur Hannah katakan yang dia begitu senang dengan Hanif berbanding dengan Rayyan. Lelaki itu baginya terlalu angkuh dan begitu memandang rendah terhadap dirinya.

Hanif menganggukkan kepalanya.

“ Ya lah untuk kau lah. Tak kan aku nak bagi dekat monyet pula,” kata Hanif seraya berjenaka.

Hannah tersenyum lagi.

“ Ooo kau nak kata aku monyetlah tu! Memang nak kena ni!” Kata Hannah sengaja menjengelkan matanya.

Sebaliknya Hanif hanya mengenyitkan matanya membuatkan Hannah semakin tidak keruan. Untuk meredakan rasa gugup dia terus membasahkan tekaknya dengan minuman yang diberikan oleh Hanif kepadanya. Dengan sekali teguk sahaja habis segelas air masuk ke dalam perutnya.

“ Wah rakusnya minum….” Usik Hanif lagi.

Hannah hanya tersenyum.

“ Dahaga sangat,” kata Hannah.

“ Pergilah luar. Banyak makanan yang kau boleh makan dari terperuk di dapur sahaja.”

“ Tak naklah. Malulah. Aku ni orang gaji sahaja. Nanti apa kata Tan Sri.”

“ Tan Sri dah habis baca tahlil. So dia tak akan marah kalau kau keluar nak makan.”

“ Aku respect dengan Tan Sri, dia bukannya ustaz tapi boleh mengetuai bacaan tahlil ini. Memang Tan Sri seorang yang alim dan taat pada perintah agama.”

Hanif hanya mengangguk. Memang datuknya seorang yang begitu warak membuatkan mereka berlainan pendapat. Hanif lebih suka dengan kehidupan sosial sedangkan datuknya lebih suka dia melekat di masjid 24 jam.

“ Untungkan jadi Tan Sri, kaya di dunia dan juga akhirat,” kata Hannah. Dia memicit kepalanya. Entah kenapa kepalanya berasa pening dengan tiba-tiba.

“ Untung?” Tanya Hanif kembali. Bagi Hanif kehidupan seperti Tan Sri Ghazali begitu membosankan. Mempunyai banyak duit tetapi tidak pandai dihabiskan untuk keseronokan diri sendiri. Sebaliknya dihabiskan dengan memberikan kepada rumah-rumah anak yatim dan mangsa-mangsa peperangan terutama sekali di Palestin.

Hannah hanya mengangguk. Dia sudah tidak dapat memberi fokus kepada bicara Hanif. Kepalanya yang berdenyut ini menganggu konsentrasinya. Pelik kenapa sakit kepala ini datang menyerangnya dengan tiba-tiba.

“ Kau kenapa ni?” Tanya Hanif yang kelihatan bimbang apabila melihat Hannah yang asyik memicit kepalanya sejak dari tadi.

“ Entahlah, kepala aku ni sakit semacam je,” adu Hannah. Tatkala ini pandangannya sudah berbalam. Imej Hanif di hadapannya sudah menjadi dua.

“ Pergilah masuk bilik. Aku tolong kau ye,” cadang Hanif.

“ Tak naklah. Nanti Tan Sri marah,” kata Hannah. Bimbang perbuatannya ini akan menimbulkan kemarahan Tan Sri Ghazali. Lelaki bengis itu tidak pernah tahu sikap bertoleransi. Apatah lagi dia tidak mahu digelar mencuri tulang pula.

“ Dah sakit. Nak buat macamana. Jomlah masuk bilik nanti aku panggil mak long tengokkan kau.”

Mendengarkan nama Puan Hajjah Salamah disebut oleh Hanif membuatkan Hannah akur. Dia tahu perempuan berhati mulia itu amat memahami keadaan dirinya ini.

Previous: bab 15
Next: bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.