PUAN Hajjah Salamah duduk berteleku di ruang
tamu sendirian. Dia begitu bimbang dengan perbuatan ganas Rayyan kepada Hannah.
Ternyata Rayyan tidak dapat menerima perkahwinan mendadak ini. Malah disuruhnya
Hannah tidur berasingan dengannya. Mana ada suami isteri yang tidur berasingan
bilik. Rayyan ni memang sudah gila!
Puan Hajjah Salamah semakin bimbangkan
keselamatan Hannah. Dia takut Hannah akan diperlakukan sesuka hati oleh Rayyan
yang membenci Hannah dan lebih buruk lagi jika Hannah membuat laporan polis.
Pasti hidup anaknya akan bertambah menderita. Puan Hajjah Salamah tidak boleh
membiarkan semua ini berlaku kepada anaknya. Dia begitu sayangkan Rayyan.
Begitu juga dengan Hannah.
“ Kenapa ibu panggil Rayyan?” Tanya Rayyan
sambil duduk di hadapan Puan Hajjah Salamah.
Puan Hajjah Salamah memberikan sekeping cek
berjumlah RM200 ribu kepada Rayyan.
“ Ambil cek ini. Guna duit itu untuk buka
perniagaan Rayyan sendiri,” kata Puan Hajjah Salamah.
“ Terima kasih, ibu,” kata Rayyan yang masih
belum memikirkan tentang hala tuju hidupnya selepas ini. Perkara yang berlaku
ini terlalu mendadak membuatkan Rayyan begitu tertekan.
“ Jangan kecewakan ibu lagi,” kata Puan
Hajjah Salamah.
Rayyan segera mendongak memandang ke dasar
mata Puan Hajjah Salamah. Bicara ibunya begitu menusuk hatinya. Adakah Puan
Hajjah Salamah kecewa dengan dirinya? Ah ibu, kalau tidak kerana Rayyan di
perangkap oleh Hannah pasti Rayyan tidak akan mengecewakan ibu, desis Rayyan di
dalam hati.
“ Maksud ibu?”
Puan Hajjah Salamah mengeluh lemah. Dipandang
Rayyan yang sedang memberi tumpuan kepadanya.
“ Ibu begitu kecewa dengan perbuatan Rayyan
yang mengasari Hannah petang tadi. Begitukah sikap yang ibu didik selama ini?”
“ Ibu, dia memang patut pun diberi pengajaran
begitu!” Kata Rayyan sambil menggelengkan kepalanya. Dia begitu marah kerana
Puan Hajjah Salamah yang masih mahu membela Hannah setelah apa yang berlaku
kepadanya.
“ Salah atau tak Hannah, bukan kau yang
menghukumnya. Kau ni tak de hati dan perasaan ke Rayyan? Sanggup kau pukul
isteri kau begitu!”
“ Dia bukan isteri Rayyan. Rayyan tak pernah
inginkan dia menjadi isteri Rayyan!”
“ Mahu atau tidak dia dah jadi isteri kau dan
kau harus terima takdir ini.”
Rayyan mendenggus kasar.
“ Rayyan tak akan tunduk dengan takdir ini.
Ini bukan kemahuan Rayyan dan Rayyan tak akan kalah untuk membuktikan yang
Rayyan tidak bersalah,” kata Rayyan.
“ Bagaimana kau nak buktikan yang kau tak
bersalah? Adakah dengan terus memukul Hannah? Sebanyak itukah kebencian kau
kepada Hannah?”
“ Ya, Rayyan bencikan dia dan Rayyan tak
boleh terima dia sebagai isteri Rayyan. Dia tu pelacur! Dia tu khadam kita je!”
Puan Hajjah Salamah menggeleng lemah.
Ternyata bicara Rayyan atas dasar emosi semata-mata.
“ Jadi kau rasa kau lebih baik daripada dia
dan dia tak layak untuk kau?”
“ Memanglah ibu! Rayyan ni dari keturunan orang baik-baik dan siapa pula
dia? Sememangnya bekas pelacur seperti dia tak layak menjadi isteri Rayyan. Rayyan
dah ada Irene dan dia yang layak menjadi isteri Rayyan,” lemah benar suara
Rayyan di hujung bicaranya. Sebenarnya dia begitu kecewa. Apatah lagi peristiwa
ini akan memberikan impak yang besar terhadap perhubungannya dengan Irene.
Bagaimana dengan perkahwinan yang telah dirancang oleh mereka?
“ Dengan mengasari Hannah adakah membuktikan
yang kau lebih baik daripada dia?”
Terkedu Rayyan dengan soalan yang diberikan
oleh Puan Hajjah Salamah kepadanya.
“ Sudahlah Rayyan jangan asyik nak
menyalahkan orang. Kau memang berhak untuk cari kebenaran untuk diri kau tetapi
kau juga harus menerima takdir yang telah ditentukan untuk kau. Tentang
pertunangan kau dengan Irene, ibu rasa kau perlu memutuskannya. Anggaplah yang
dia bukan jodoh kau,” kata Puan Hajjah Salamah lagi.
“ Mana boleh! Rayyan tak akan putuskannya.
Rayyan sayangkan Irene dan tiada siapa yang dapat pisahkan Irene daripada
Rayyan!” Bangkang Rayyan kasar sekali.
“ Tetapi keluarga Irene mahu memutuskannya.
Mereka datang ke rumah atuk semalam dan Irene akan sambung belajar ke luar negara.”
Tersandar Rayyan apabila mendengarkan berita
yang disampaikan oleh ibunya. Rayyan semakin kecewa. Sungguh dia tidak
menyangka takdir untuknya begitu perit sekali. Segala istana cinta yang
diangankan musnah dipertengahan jalan.
“ Tak mungkin. Semua ini tidak mungkin
berlaku. Rayyan nak jumpa Irene. Rayyan nak terangkan semuanya kepada Irene.”
“ Tak perlulah.”
“ Mana boleh ibu. Rayyan mahu pujuk Irene.
Rayyan tahu Irene akan percaya dengan bicara Rayyan.”
“ Semua sudah terlambat Rayyan. Irene sudah
ke luar negara petang tadi. Irene begitu kecewa dengan apa yang sudah terjadi.”
Rayyan mengeluh lemah. Tanpa sedar kelopak
matanya sudah bergenang. Hatinya semakin lara. Kenapa cintanya sering diuji begini?
“ Ibu, semuanya tidak adil buat Rayyan.
Rayyan di perangkap!” Kata Rayyan menunduk. Dia mula berperang dengan kesebakan
yang padu.
“ Sabarlah Rayyan, pasti ada hikmah disebalik
kejadian ini. Kau mesti redha dengan takdir ini. Terimalah Hannah sebagai
isteri kau.”
“ Tak boleh, ibu. Tak boleh. Rayyan tak dapat
terimanya!”