Hannah menangisi nasib yang telah menimpa
dirinya. Sepanjang dua minggu ini dia tidak mampu tidur dengan tenang. Mimpi
buruk sentiasa menemani tidurnya.
“ Suami adalah pakaian kepada isteri dan
isteri adalah pakaian kepada suami. Jadi peranan suami isteri adalah saling
lengkap melengkapi,” kata Puan Hajjah Salamah sambil memegang telapak tangan
Hannah.
Hannah hanya mengangguk. Sisa airmatanya
masih lagi basah di pipinya namun dibiarkannya sahaja.
“ Hannah sebagai seorang isteri hendaklah selalu bersabar dengan karenah
Rayyan. Hannah tahu bukan yang Rayyan tak boleh terima lagi kenyataan ini jadi
ibu harap Hannah banyak-banyak bersabar. Mohon petunjuk dari Allah. Disebalik
kelukaan dan kesedihan kita pasti ada hikmahnya,” nasihat Puan Hajjah Salamah
lagi.
“ Entahlah ibu, Hannah sendiri buntu dengan
perkahwinan yang mendadak ini. Hannah sendiri macam Rayyan juga tidak boleh
menerima dugaan ini tetapi Hannah tak de lah macam dia, nak mengamuk je
memanjang,” kata Hannah meluahkan perasaannya.
“ Ibu faham perasaan Hannah ditambah lagi
perkahwinan Hannah ini bukannya atas dasar suka sama suka. Ibu dulu pun pernah
mengalami perasaan yang sama seperti Hannah. Kekadang hati kita sebagai seorang
isteri sakit bagai dihiris-hiris tetapi apabila ibu kenangkan yang semua
manusia bukan sempurna membuatkan ibu terima suami ibu seadanya. Buruk ke,
malas ke sakit hati dengan dia ke ibu rela. Kekadang kebahagian melupakan
kelukaan di hati. Hannah, tak baik sakiti hati suami, apatah lagi mendendami
suami. Berdoalah kepada Allah agar Hannah dan Rayyan perolehi kebahagian.”
Hannah hanya menyepi. Pandangannya jauh
melayan perasaannya. Hatinya kuat mengatakan yang rumahtangganya dengan Rayyan
bagaikan sudah tiada harapan. Lagipun mereka berdua tiada persefahaman dan
untuk apa lagi dipertahankannya.
“ Ibu, kalau Hannah kata Hannah mahu bercerai
dengan Rayyan, ibu marah tak?” Tanya Hannah tergagap-gagap. Bimbang bicaranya
ini akan menyakiti hati ibu mertuanya.
Puan Hajjah Salamah menggeleng apabila
mendengarkan bicara Hannah itu. Ternyata Hannah dan Rayyan berfikiran cetek dan
masih tidak matang dalam menangani isu rumah tangga.
“ Kenapa perlu bercerai? Tahu tak Hannah
perkara yang halal di sisi Allah tetapi yang tidak disukai Allah adalah
perceraian. Dan mana-mana wanita meminta talak daripada suaminya tanpa sebab
yang sepatutnya maka haram ke atasnya bau syurga. Hannah mahukah begitu?”
“ Tetapi Hannah dah tak tahan dengan perangai
Rayyan. Kami bukannya saling mencintai dan buat apa kami perlu bersama lagi,”
kata Hannah cuba mempertahankan hujahnya.
“ Sebab itulah Hannah perlu belajar mengenali
Rayyan. Walaupun ego lelaki tinggi tetapi ia akan lemah dengan wanita kalau
kena dengan caranya. Sebagai seorang isteri Hannah kena faham dengan perangai
Rayyan. Kena pandai ambil hatinya. Kalau Rayyan tengah marah, jangan melawan.
Kalau tidak pergaduhan antara kauorang berdua akan jadi lebih teruk lagi. Sebenarnya
Hannah, lelaki ini akan berlembut kalau perempuan berlembut dengannya,” nasihat
Puan Hajjah Salamah.
Hannah mengangguk. Satu persatu nasihat Puan
Hajjah Salamah di sematnya di dalam hati. Memang benar setiap kali Rayyan naik
angin, Hannah bagaikan sengaja menyimbah minyak menyebabkan pergaduhan mereka
semakin meleret.
“ Kalau berlaku pergaduhan tak salah kalau
kita sebagai isteri mengalah. Mengalah tidak bererti kita kalah.”
“ Rayyan sebenarnya baik orangnya mungkin
disebabkan dia tidak dapat menerima perkahwinan ini membuatkan dia bersikap
kasar dengan Hannah. Tetapi percayalah, Hannah, semua ini tidak lama. Lama
kelamaan Rayyan akan sedar akan kesalahan dirinya cuma Hannah perlu bersabar.
Sekali sekala cubalah puji Rayyan sebab lelaki memang suka dipuji apatah lagi
yang memujinya adalah isterinya sendiri,” kata Puan Hajjah Salamah.
Hannah tersenyum. Puji? Bolehkah dia memuji
Rayyan? Tidak fasal-fasal Rayyan katakan yang dia buang tebiat pula.
Entah-entah Rayyan perasan yang pujiannya tidak ikhlas.
“ Iskh bolehkah ibu? Nanti tak fasal-fasal
Rayyan marahkan Hannah lagi,” kata Hannah.
“ Pernahkah ada orang marah sebab dapat
pujian? Hannah, bahagia atau tidak sesuatu rumah tangga itu bergantung kepada
diri kita sendiri. Justeru Hannah mesti selalu fikir yang apa jua yang berlaku
dalam rumah tangga pasti ada hikmahnya. Dan cara yang mudah Hannah sejukkan
hati ialah dengan menganggap Rayyan sedang cuba menyesuaikan dirinya dan jangan
sesekali mencabar dirinya.”
“ Sebagai hamba Allah kita kena muhasabah
diri dan menilai serta memikirkan tujuan kita hidup di dunia dan bekalan untuk
akhirat. Setiap manusia yang lahir tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan
dan tak akan terlepas dari mendapat ujian dan dugaan. Bersabarlah dan berdoalah
banyak-banyak dengan apa yang telah Allah uji kepada kita kerana disebalik
ujian itu tersimpan bermacam kebaikan bagi orang-orang yang berfikir. Ingatlah
Hannah, janji Allah amatlah besar. Kasih sayang manusia hanyalah sementara
tetapi kasih sayang Allah untuk selama-lamanya. Senyumlah sayang kerana Allah
masih sayangkan kita,” kata Puan Hajjah Salamah sambil mencuit pipi Hannah.