Hannah yang sedang sibuk menghidangkan
makanan di meja makan di pandang Irene dengan tekun.
“ Siapa dia tu?” Tanya Irene. Wajahnya cantik
sekali. Timbul rasa cemburu di hatinya apabila melihat kecantikan Hannah itu.
Bimbang Rayyan akan berubah hati hanya kerana kecantikan wanita itu. Siapakah
dia? Kenapa dia boleh berada di rumah Rayyan?
“ Khadam keluarga I. You tak perlu berkenalanlah dengan dia. Dia bukan sama taraf dengan
kita,” kata Rayyan selamba.
“ Iskh Rayyan, tak baik cakap begitu. Ini
Hannah, Hannah ini Irene tunang Rayyan. Maaf lah Hannah, jangan terasa hati
dengan kata-kata Rayyan itu,” kata Puan Hajjah Salamah apabila melihat Hannah
yang bagaikan terasa dengan bicara anaknya itu. Hannah hanya mengagguk lemah
manakala Irene hanya tersenyum lebar. Gembira hatinya apabila Rayyan berkata
begitu. Sedikit sebanyak hatinya mula tenang. Ah khadam itu bukannya
pesaingnya!
“ Hai Hannah, how are you?” Tanya Irene berlagak mesra.
“ Hah?” Tanya Hannah kurang jelas dengan
pertanyaan Irene itu. Dia begitu kagum dengan kecantikan yang dimiliki oleh
Irene. Sayangnya Irene jatuh hati dengan Rayyan yang perasan bagus itu!
“ Oh, you
tak pandai Englishke? Sorry,” kata Irene sambil menutup
mulutnya.
“ Muka cantik, tapi lembab,” kutuk Irene di
dalam hatinya. Namun senyuman tetap meniti di bibirnya. Manakala Hannah
membisu. Tidak guna dia membetulkan salah tanggapan Irene itu.
“ You
ni kalau nak cakap bahasa Inggeris pun, agak-agaklah. Tak kan nak cakap dengan
khadam I yang SPM pun tak lepas,” kata Rayyan manakala Puan Hajjah Salamah
hanya menggeleng lemah.
Hannah menjeling geram.
“ Ingat aku bimbo sangat macam kau, hello,” balas Hannah di dalam hatinya. Namun
dia beriak selamba. Malas mahu mengambil pusing dengan bicara Rayyan yang
sentiasa berbisa itu.
“ Hannah, tuangkan air,” arah Puan Hajjah
Salamah dengan lembut sekaligus mengubah topik perbualan antara mereka. Tidak
mahu Hannah terus-terusan menjadi mangsa kutukan Rayyan.
“ Baik mak cik,” kata Hannah akur. Kemudian
Irene, Rayyan dan Puan Hajjah Salamah mula menjamah makanan yang terhidang di
atas meja.
“ Oh mee goreng ni siapa yang masak?” Tanya
Irene sambil menyeduk mee goreng ke dalam pinggannya. Manakala Rayyan terus sahaja
menjamah mee goreng yang sudah terhidang di pinggannya.
“ Hannah yang masak, Irene. Sedap tak?” Tanya
Puan Hajjah Salamah.
“ Patutlah tak sedap pun! Air! Mana air aku?”
Kata Rayyan kasar sekali sambil menolak pinggannya.
Puan Hajjah Salamah hanya menggeleng. Dia
cukup kesal dengan sikap Rayyan itu. Malu dia dengan sikap Rayyan itu.
Seolah-olah dia yang tidak pandai mendidik anak tunggalnya itu.
Cepat-cepat Hannah menuangkan air ke dalam
gelas Rayyan. Meluat dia melihat perangai kebudak-budakan Rayyan itu. Ah
kenapalah dia diberikan seorang majikan yang kerek seperti Rayyan ini? Namun
Hannah sedar, dia perlu berbaik sangka dengan perkara yang dibencinya kerana
ianya jauh lebih baik daripada perkara yang dia suka. Itulah ajaran Mak Cik
Norsiah yang sentiasa diamalkannya hingga kini. Menurut Mak Cik Norsiah lagi, apabila
kita mendapat perkara yang dibenci sebaliknya kita berbaik sangka dengan Allah,
kita akan berasa tenang dengan ujian Allah ini.
Malang sekali, air batu yang jatuh ke dalam
gelas membuatkan air itu terpercik ke muka Rayyan. Hanya sedikit sahaja percikan
itu tetapi menimbulkan kemarahan yang begitu dasyat sekali di hati lelaki angin
itu.
“ Apa ni? Macamana kau buat kerja ni hah?”
Marah Rayyan kasar sekali.
“ Maafkan saya Tuan Rayyan,” kata Hannah
panik manakala Irene tersenyum sumbing apabila melihat Hannah di marahi oleh
tunangnya itu.
“ Rayyan, air terpercik sikit sahaja, tak kan
nak mengamuk sampai macam tu. Sudahlah Hannah, ambilkan tisu kepada Rayyan,”
kata Puan Hajjah Salamah sambil menggeleng sesal.
Cepat-cepat Hannah mengambil tisu kepada
Rayyan.
“ Cepat sikit! This is not funny! Kau nak kerja ke tak hah?” Marah Rayyan.
“ Nah tisunya Tuan Rayyan. Maafkan saya,”
kata Hannah sambil tangannya menyuakan sekotak tisu kepada Rayyan.
“ Apa lagi? Lap la muka aku ni!” Arah Rayyan.
Hannah mendenggus. Geram benar dia dengan
sikap angkuh Rayyan itu. Hanya sedikit sahaja air terpercik ke mukanya, itu pun
di suruh Hannah mengelapnya. Ada juga orang macam ni kat dalam dunia ini. Aku buat muka kau macam mop lantai baru kau
tahu! Desis Hannah di dalam hatinya. Tanpa disedari sememangnya dia telah
menzahirkan apa yang ada di hatinya itu. Muka Rayyan di lapnya dengan kasar!
“ Woiii! Kau ingat muka aku ni lantai ke?”
Marah Rayyan sambil menolak tangan Hannah yang sedang mengelap mukanya. Puan
Hajjah Salamah pula sudah tersenyum lebar. Pandai juga Hannah melawan anaknya
dalam diam.
“ Hah, padanlah muka! Macamlah tak de tangan nak
lap muka kau tu!” Perli Puan Hajjah Salamah manakala Irene mula terbakar hati
dengan adegan sebabak itu. Entah kenapa dia rasa terancam dengan kehadiran
khadam kekasih hatinya itu.