BUNYI deruan motosikal yang masuk ke
perkarangan rumah membuatkan Hannah ketakutan. Dia memandang kepada Adam, teman
sepermainannya dengan wajah panik. Adam berusia sembilan tahun manakala Hannah
berusia tujuh tahun. Adam tinggal di sebelah rumah Hannah yang di sewa oleh
bapanya.
“ Papa Hannah dah pulang la. Macamana ni?”
Tanya Adam juga takut dengan kehadiran Kamal di situ.
“ Hannah takutlah abang Adam. Hannah takut
papa pukul Hannah,” kata Hannah dalam debaran di dada. Acapkali kalau papanya
pulang, Hannah akan menjadi bahan amukan Kamal. Dia dipukul dan dibelasah tanpa
simpati. Kudrat Hannah yang baru berusia tujuh tahun tidak mampu melawan setiap
tindakan ganas yang dipersembahkan kepadanya.
“ Hannah jangan bimbang, kalau abang Adam
dengar bunyi bising kat rumah Hannah, abang Adam ajak mak abang datang sini,”
kata Adam cuba menenangkan Hannah. Hannah mengangguk. Sudah acapkali Mak cik
Norsiah datang menyelamatkannya daripada menjadi mangsa amukan Kamal.
Pintu rumah di kuak dengan kasar. Wajah Kamal
tersembul di hadapan pintu dengan muka menyinga membuatkan Adamazs dan Hannah
menelan liur. Masing-masing takut dengan wajah menyinga Kamal itu.
“ Adam, kau pergi balik ke rumah kau,” kata
Kamal kasar.
Dengan sepantas kilat, Adam berlari ke rumahnya. Dia juga takut menjadi
mangsa amukan Kamal.
Sebaik sahaja Adam pulang, Kamal duduk di
kerusi sambil memandang Hannah dengan wajah menyinga. Hannah yang ketakutan
hanya menunduk memandang lantai. Dia tidak berani bertentang mata dengan Kamal.
Dadanya pula sudah berdegup kencang.
“ Hei anak haram, mari sini,” kata Kamal
dengan kasar.
Tersentak hebat bahu Hannah apabila
mendengarkan panggilan Kamal itu. Dia tidak berani untuk pergi ke arah Kamal.
Dia tahu Kamal akan menyakitinya jika dia pergi ke arah Kamal. Tetapi kalau dia
ingkar juga akan menaikkan kemarahan Kamal dan nasibnya akan tetap sama yakni
dibelasah oleh Kamal.
“ Kau dengar tak cakap aku ni hah? Mari sini!
Kalau tak, siap kau aku kerjakan kau!” Tengking Kamal kuat sekali.
Hannah semakin takut. Ketakutan yang sering
dirasainya apabila bersama dengan Kamal. Lelaki itu tidak pernah bersikap baik
terhadapnya. Sering sahaja tubuh badannya menjadi mangsa amukan Kamal.
Dalam debaran di dada, Hannah melangkah
menuju ke arah Kamal. Namun begitu matanya hanya memandang lantai. Tidak
sedikit pun dia memandang ke arah Kamal yang seperti singa kelaparan itu.
Apabila dia berada hampir dengan Kamal terus sahaja Kamal mencengkam rambut
Hannah membuatkan Hannah terdongak ke belakang.
“ Aku benci dengan kau. Kau ni anak haram!”
Kata Kamal. Kemudian dia menempeleng wajah Hannah sehingga anak kecil itu
terjatuh ke lantai. Tidak cukup dengan itu dia memijak belakang Hannah dengan
kuat.
“ Papa, sakit… papa…sakit….” Tangis Hannah
penuh sendu.
Namun Kamal tidak pernah bersimpati dengan
anak kecil itu. Kehadiran Hannah dalam
hidupnya umpama duri dalam daging.
Pantas
sahaja Kamal menyepak perut Hannah sehingga tubuh anak kecil itu terpelanting
ke dinding. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Hannah mengerang kesakitan
sambil tangannya memegang perut yang terasa senak. Senak terasa hingga ke ulu
hati. Dia menangis tersedu-sedu.
Kamal ketawa kuat apabila melihat Hannah yang
sedang mengerang kesakitan. Dia berasa puas sekali kerana dapat menyakiti zuriat Hanita itu. Segala dendam
kesumatnya selama ini dilepaskan kepada Hannah yang tidak tahu apa-apa.
“ Sakit ye, hati aku lagi sakit kau tahu tak,
anak haram! Mari sini. Aku kata mari sini,” kata Kamal sambil menggerakkan jari
telunjuknya, memberi isyarat kepada Hannah supaya datang ke arahnya.
Hannah menggeleng ketakutan.
“ Tak nak, Hannah sakit, tak nak papa,”
tangis Hannah penuh sendu.
“ Aku kata mari sini! Kalau tak siap kau aku
kerjakan,” tengking Kamal lagi membuatkan Hannah akur. Sampai sahaja Hannah
dihadapan Kamal sekali lagi lelaki durjana itu terus menendang Hannah sehingga
tubuh anak kecil itu terpelanting ke belakang.
Hannah menangis kesakitan. Badannya sudah
lebam sana sini. Mukanya sudah bengkak. Tangisannya sudah tiada penghujungnya.
Kali ini dia mengharapkan Mak Cik Norsiah dan Adam datang menyelamatkan dirinya.
Sungguh dia sudah tidak tahan untuk menanggung kesakitan ini.
“ Ha ha padan muka kau! Sombong sangat pada
aku!” Marah Kamal yang sebenarnya ditujukan kepada Hanita.
Hannah hanya menangis. Dia tidak faham pada
bicara bapanya itu. Dia juga tidak faham mengapa Kamal sering memanggilnya anak
haram. Kata Adam, anak haram itu adalah anak luar nikah. Adakah Hannah anak
luar nikah Kamal?
“ Mari sini,” kata Kamal lagi.
Hannah hanya mampu menggeleng. Dia sudah
tidak terdaya untuk bangun lagi. Dia tahu kalau dia ke sana, sekali lagi
tubuhnya akan menjadi mangsa terajang Kamal. Namun begitu Hannah sedar,
keingkarannya akan mengundang natijah yang lebih besar.
Hannah cuba untuk bangun. Dia takut Kamal
akan mengamuk teruk kalau dia tidak pergi ke arah Kamal. Namun gagal. Tubuh
Hannah sudah tidak berdaya untuk bangun lagi.
Kamal bertambah meradang apabila Hannah
ingkar dengan arahannya itu. Sambil mendenggus kasar, Kamal mengambil teddy bear yang sering dijadikan mainan
Hannah lalu dibawanya ke arah Hannah.
“ Hei anak haram, bangun kau,” kata Kamal.
Hannah hanya mampu menangis dan merayu agar
Kamal tidak lagi mencederakan dirinya. Namun setiap rayuan Hannah itu hanya
dibalas dengan tawa oleh Kamal.
“ Baiklah, aku tak akan tendang kau lagi. Aku
tahu kau sakit,” kata Kamal sambil ketawa kuat.
Hannah menarik nafas lega. Cukuplah kesakitan
yang ditanggungnya tatkala ini. Tubuhnya yang kerdil sudah tidak mampu menahan
tendangan daripada tubuh perkasa Kamal itu.
“ Tetapi aku akan bermain dengan teddy bear kau pula,” kata Kamal.
Tanpa menunggu sesaat, Kamal terus melemaskan
Hannah dengan menggunakan teddy bear tersebut. Dia meletakkan teddy bear ke muka Hannah. Hannah yang kelemasan terkapai-kapai cuba
mencari nafas. Makin kuat rontaan Hannah, makin kuat juga Kamal menekan teddy bear tersebut di muka Hannah. Sehinggalah Hannah tidak berdaya. Dia
sudah sesak nafas. Rontaannya semakin lemah dan Hannah dapat rasakan yang dia
akan mati selepas ini.
“ Kamal, apa kau buat ni? Kau nak bunuh dia
ke?” Tengkingan daripada Mak Cik Norsiah menyelamatkan Hannah daripada terus di
dera oleh Kamal. Mak cik Norsiah menarik teddy
bear yang berada di muka Hannah lalu
dibuangnya jauh. Tubuh Kamal yang sasa juga di tolaknya. Kemudian Mak cik
Norsiah terus mendapatkan Hannah lalu dipeluknya erat. Sungguh dia berasa cukup
bersimpati dengan anak kecil ini. Dia juga berasa bersalah kerana sehingga hari
ini dia masih tiada kekuatan untuk melaporkan kejahatan Kamal ini kepada pihak
berkuasa.
“ Kau ni dah gila ke Kamal?” Marah Mak cik
Norsiah. Dia pandang kepada Hannah yang sudah lebam sana sini. Hannah tidak
berhenti menangis dan mengadu tentang kesakitan yang dialaminya membuatkan Mak
cik Norsiah semakin sayu hatinya.
“ Tergamak kau lakukan anak kau begini. Dah
tujuh tahun kau dera dia! Kau tak kasihan ke dekat dia?” Marah Mak cik Norsiah
lagi.
Kamal hanya mendenggus geram.
“ Aku benci dia! Aku benci dia! Dia anak
haram!” Tengking Kamal. Matanya sudah merah. Nafasnya juga turun naik bersama
kemarahannya.
“ Sudahlah Kamal, perkara lama tak perlu kau
ungkit lagi. Hampir tujuh tahun perkara itu berlalu, kenapa kau nak ingat
lagi?”
“ Tapi hati aku sakit, Siah. Sampai mati pun
aku akan ingat perkara ini dan aku tak akan biarkan sama ada anak haram tu,
Hanita mahupun Robert hidup dengan aman! Itu sumpah aku, Siah,” kata Kamal.
Mak Cik Norsiah hanya mengeluh lemah. Dia
tidak menyangka yang Kamal begitu mendendami bekas isterinya itu. Namun begitu
jika difikirkan balik, semuanya berpunca dari Kamal juga. Jikalau Kamal tidak
memperkenalkan Hanita dengan Robert pastinya perkara begini tidak akan berlaku.
“ Polis tangkap dia! Lelaki inilah yang
mencederakan saya tadi,” kata Hanita yang tiba-tiba datang membawa dua orang
pegawai polis bersama. Kamal yang terpinga-pinga terus ditangkap polis tanpa
sempat melarikan diri.
Hanita memandang kepada Hannah yang sudah
lebam mukanya. Namun tiada sedikit pun perasaan simpati yang lahir dari
hatinya.
“ Kamal dera dia juga?” Tanya Hanita kepada
Mak Cik Norsiah. Lambat-lambat Mak Cik Norsiah mengangguk.
“ Dakwa dia juga atas tuduhan mendera,” kata
Hanita kepada dua orang pegawai polis tersebut.
“ Tipu…tipu!!! Aku tak buat semua itu!” Jerit
Kamal sambil cuba melepaskan diri.
Hanita hanya tersenyum sinis mendengarkan
amukan Kamal itu. Dia berasa puas kerana Kamal sudah ditangkap polis.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tiga tahun ini Kamal tidak lagi menganggunya.
“ Nita, aku tak akan biarkan kau hidup dengan
aman! Aku sumpah Nita, selagi aku hidup aku tak akan biarkan kau mahupun
keturunan kau hidup dengan aman,” jerit Kamal sebelum di bawa pergi oleh dua
orang pegawai polis.
Hannah yang berada di dalam pelukan Mak Cik
Norsiah hanya memerhatikan bapanya di bawa pergi. Dia tidak tahu ke mana mereka
mahu membawa bapanya tetapi dia berharap dengan kejadian ini, Kamal tidak dapat
lagi menyakiti dirinya.
Tanpa memperdulikan Hannah yang kesakitan,
Hanita terus berlalu. Namun langkahnya terhenti apabila Mak Cik Norsiah
memanggilnya.
“ Nita, kau tak nak tengok anak kau inikah?
Kau tak nak bawa dia ke hospital? Kau tak kasihan ke pada dia yang teruk di
dera oleh Kamal?”
Dengan wajah sombong, Hanita berpaling ke
arah Mak Cik Norsiah. Sedikit pun dia tidak memandang kepada Hannah yang masih
menangis.
“ Sorrylah,
Siah, aku dah lambat. Lagipun dah lama aku anggap budak tu mati,” kata Hanita.
Kemudian dia melangkah pergi.
Betapa tercalarnya hati Hannah apabila
mendengarkan bicara tersebut. Sakitnya melebihi kesakitan akibat dipukul oleh
Kamal. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia bertemu dengan ibunya tetapi
sungguh tidak disangka Hanita lebih kejam daripada Kamal. Hannah terkedu
sendirian. Kenapa dia perlu dilahirkan di dunia ini sedangkan kedua ibu bapanya
tidak menginginkannya?
“ Mak cik, Hannah sakit,” tangis Hannah dalam
pelukan Mak Cik Norsiah. Sebenarnya dia ingin meluahkan kesakitan hatinya
tatkala ini.
Mak cik Norsiah mencium ubun-ubun rambut
Hannah. Airmata keibuannya mengalir laju. Dia semakin simpati kepada nasib
Hannah yang sentiasa di rundung malang ini. Kenapa anak kecil ini diberikan
ujian sehebat ini?
“ Jom Hannah, mak bawa Hannah ke hospital,”
kata Mak Cik Norsiah yang sudah bangun dari duduknya.
Hannah yang masih duduk memandang wajah Mak
Cik Norsiah apabila perkataan mak itu terkeluar dari mulut Mak Cik Norsiah.
Adakah mak cik Norsiah tersalah sebut?
“ Mak?” Tanya Hannah
dengan juraian airmata.Hannah semakin pilu menahan gelodak perasaan yang sungguh
menghibakan. Sukarnya untuk menyingkirkan perasaan dendam dan benci. Bahkan
untuk terus-terusan berpura-pura untuk mempercayai setiap harapan dan anganan
yang dijanjikan bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Jangan biarkan dia
terus bermimpi lagi kerana di akhir mimpi indah ini dia tetap menangis seperti
selalunya.
” Ya sayang..ini
mak...mak janji tak akan biarkan sesiapa lagi
pukul Hannah,” kata Mak Cik Norsiah bersungguh-sungguh. Dia cuba
melemparkan senyuman yang nyata tawar sekali.
” Betulkah?” Tanya Hannah
yang seakan-akan mempercayai kata-kata wanita tua itu.
“ Ya mulai hari ini,
panggil sahaja mak cik, mak. Walaupun ibu kandung Hannah buang Hannah tetapi
Hannah masih ada mak dan mak akan jaga Hannah sehingga akhir hayat mak,”Luah Mak Cik Norsiah yang
sudah mendepakan tangannya.
Serentak dengan itu
Hannah terus memeluk Mak Cik Norsiah. Mak Cik Norsiah menangis tatkala anak
kecil itu berada di dalam pelukannya. Hatinya begitu sayu melihatkan keadaan
Hannah. Mengapa Kamal dan Hanita tega memperlakukan anak kecil ini sebegini?
“ Terima kasih mak,” kata Hannah sambil terus
memeluk Mak Cik Norsiah. Inilah kali pertama dalam hidupnya memanggil seseorang
dengan panggilan yang amat dirinduinya itu. Walaupun insan itu bukanlah ibu
kandungnya yang sebenar namun semua itu sudah tidak penting bagi Hannah asalkan
dia mengecapi kebahagian yang sebenar.
Hannah merasakan sesuatu
yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Satu perasaan yang lain apabila dia
sudah berada di dalam pelukan Mak Cik Norsiah. Hannah rasakan seperti ada air dingin yang menyiram
ubun-ubun kepalanya menjadikan jiwanya cukup tenteram dan tenang.
MALAM itu Hannah
mengalami mimpi buruk. Mimpi yang cukup menakutkan kamar hatinya. Dalam
mimpinya dia melihat Kamal datang ke arahnya dengan membawa teddy bear. Wajahnya kelihatan tersenyum manis kepada Hannah sambil
menghulurkan teddy bear kesayangan Hannah kepadanya. Tidak
jauh daripada Hannah dan Kamal, dia melihat Hanita bersama seorang lelaki yang
tidak dikenalinya hanya memerhatikan gelagat Kamal dan Hannah.
Hannah tersenyum riang
apabila Kamal menghulurkan teddy bear kesayangannya itu. Lalu Hannah
menghulurkan tangan dengan senyuman lebar kepada Kamal. Namun tanpa di
sangka-sangka Kamal telah membenamkan teddy
bear tersebut ke muka Hannah membuatkan Hannah
lemas. Nafasnya sesak. Dia cuba meminta pertolongan Hanita tetapi sebaliknya wanita
itu hanya ketawa apabila melihat Hannah yang semakin sesak nafas.
” Jangan...” jerit Hannah
apabila dia tersedar dari mimpi buruknya itu. Dia tercugap-cugap sambil menyapu
wajahnya. Nafasnya sesak seolah-olah mimpi buruk itu benar-benar berlaku kepadanya.
” Ya Allah, kenapa aku
asyik mengalami mimpi buruk ini sahaja?” Rintih Hannah yang sudah tidak berani
untuk tidur kembali. Dia takut kalau-kalau mimpi itu datang semula mengganggu
tidurnya.
Tanpa sedar, rupa-rupanya
mimpi itu telah menemani Hannah sehingga dia meningkat dewasa.