Rayyan menebarkan pandangannya di dataran
kemerdekaan Shah Alam. Dataran ini
sering digunakan untuk aktiviti riadah seisi keluarga. Kadang-kala dataran ini
juga sering digunakan untuk sambutan perayaan tertentu. Contohnya sambutan
ambang merdeka yang diadakan di dataran kemerdekaan dengan mengubah cara
sambutan yang lebih kepada hiburan kepada majlis ilmu.
“ Apa yang kau nak sebenarnya Hanif?” Tanya
Rayyan.
“ Apa maksud kau?” Tanya Hanif pula. Dia
bersandar di kereta sambil berpeluk tubuh. Seperti Rayyan, Hanif juga
menebarkan pandangannya ke dataran kemerdekaan Shah Alam. Wajah Rayyan sedikit
pun tidak dipandangnya.
“ Aku tahu kau yang perangkap aku malam itu,”
kata Rayyan sambil menjeling tajam kepada Hanif. Hanif pula kelihatan selamba
dan tidak pula terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Rayyan itu.
“ Kau ada bukti?” Tanya Hanif sinis.
“ Kau masukkan ubat dalam minuman aku bukan?”
“ Mana buktinya?”
“ Aku tahu kau yang lakukannya!”
Hanif ketawa mendengarkan tuduhan Rayyan itu.
“ Kau hanya menuduh tanpa ada bukti yang
kukuh. Kau ingat orang percaya cakap kau itu?”
Rayyan mendenggus kasar. Dia berasa marah
dengan Hanif yang tidak mahu mengaku kesalahan dirinya.
“ Aku tak sangka kau mempunyai hati yang
busuk. Sanggup kau buat begini kepada aku. Kau nak apa hah? Kau nak bolot semua
harta atuk? Atau kau dengki kerana atuk kerap memuji aku dari kau?” Marah
Rayyan.
Hanif pandang ke arah Rayyan yang sedang
memakai kaca mata hitam. Wajahnya kelihatan begitu serius sekali. Pasti
sepupunya semakin tertekan dengan masalah yang datang bertalu-talu kepadanya.
“ Aku? Kenapa aku perlu busuk hati kepada
kau? Atuk tak puji aku tak semestinya dia tak sayangkan aku. Cuma kau yang
tidak pandai mengatur strategi dan sebab itu kau kalah!”
“ Jadi betullah kau yang perangkap aku?” Kata
Rayyan sambil jari telunjuknya disuakan ke muka Hanif.
Hanif hanya tersenyum sinis. Dia masih
kelihatan bersahaja.
“ Aku tak sangka kau mempunyai taste yang cukup rendah sekali. Pembantu
rumah pun kau boleh ngap!”
Segera Rayyan mencengkam kolar baju Hanif.
Marah benar Rayyan apabila Hanif merendahkan citarasanya.
“ Kau ingat aku hadap sangat dengan Hannah
tu? Kalau tak kerana kau yang perangkap aku, semua ini tak akan berlaku! Kau
ingat Hanif, suatu hari nanti kau akan terima pembalasannnya!” Kata Rayyan
sambil melepaskan kolar baju Hanif.
Hanif membetulkan bajunya tanpa ada sedikit
pun perasaan takut dengan ancaman yang diberikan oleh Rayyan terhadapnya.
“ Pembalasan? Ok kita tengok nanti,” kata
Hanif berlagak sekali. Kemudian dia membuka pintu keretanya.
“ Oh ya lupa aku nak beritahu, projek
lebuhraya EKKI yang sepatutnya dibawah seliaan kau, aku dah ambil alih. Pasti
kau kecewa bukan. Tetapi padanlah dengan muka kau, siapa suruh kau buat onar!
Aku blah dulu.”
Rayyan mendenggus lemah. Dia semakin kecewa.
Segala usaha dan tenaganya kepada projek lebuhraya EKKI akhirnya sia-sia
apabila projek itu diambil alih oleh Hanif. Pasti Hanif akan mendapat nama atas
segala penat lelah yang sebenarnya dibuat oleh Rayyan.
Ah adilkah semua ini?