Hanita memandang Kamal yang tidak berputus
asa merayu padanya. Sejak seminggu yang lalu lelaki itu tidak habis-habis
merayunya tentang perkara yang sama.
“ Abang, jangan buat saya begini,” kata
Hanita kepada Kamal.
“ Ala, bukannya susah pun. Nita layan je Tuan
Robert tu,” kata Kamal cuba memujuk isterinya.
Wajah Hanita masam mencuka. Dia berjauh hati
dengan suaminya yang sanggup memperlakukannya begitu.
“ Nita tak naklah. Biar Nita cari kerja bantu
abang nak tak?” Cadang Hanita.
Kamal mendenggus kasar.
“ Kau nak buat kerja apa, Nita? Kau tu pun
belajar sampai darjah enam sahaja. Berapa sangat gaji yang kau boleh dapat
kalau setakat kelulusan kau begitu. Kau dengar cakap aku, kau layan je Tuan
Robert tu. Kerjanya mudah. Tak perlu penat pun. Pendapatannya pun lumayan. Kau
tak nak hidup senang ke Nita?” Panjang benar syarahan Kamal kali ini. Dia mahu
menyedarkan Hanita tentang hakikat sebenar kehidupan di muka bumi ini.
“ Memanglah Nita nak hidup senang tapi tak
naklah dengan cara menjual diri begitu,” kata Hanita dengan lemah. Dia berasa
tertekan dengan arahan suaminya itu. Walaupun ilmu agamanya cetek, namun dia
masih ingat tentang hukum bagi orang yang berzina.
“ Kau jangan tolak tuahlah Nita. Tuan Robert
tu dah tergila-gilakan kau, apa salahnya kau layan dia. Masa muda inilah kau
gunakan kesempatan untuk mencari duit sebanyak mungkin, sementara ada orang nak
kan kau. Nanti apabila kau dah tua, kulit pun dah berkedut seribu tiada siapa
yang dah nak kan kau. Masa tu baru kau tahu betapa ruginya kau tak ikut cakap
aku!”
Sedaya upaya Kamal cuba memujuk Hanita supaya
melayan Robert, majikan Kamal. Baru dua bulan dia bekerja dengan Robert sebagai
pemandu peribadi Robert. Robert yang berjumpa dengan isterinya buat pertama
kali ketika dia membawa Hanita ke rumah Robert sempena majlis hari jadi anak
Robert, mula jatuh hati dengan kecantikan yang dimiliki oleh isterinya.
Permintaan berani Robert untuk keluar dengan isterinya membuka peluang kepada
Kamal untuk meraih kekayaan dengan cara tidak halal. Namun Kamal tidak peduli
asalkan dia mendapat kesenangan hidup walaupun maruah isterinya perlu
dikorbankan.
“ Nanti apa kata jiran-jiran. Nita tak naklah
abang. Nita malu.”
Hanita masih mempertahankan keputusannya.
Malah dia tidak sanggup memperdagangkan maruahnya demi untuk kesenangan hidup.
“ Ah peduli apa dengan kata orang. Bukan
diaorang yang bagi kita makan. Nita, aku buat begini sebab aku sayangkan kau.
Aku sayangkan keluarga kita. Aku tak nak kau dan keluarga kita hidup dalam
kesusahan. Aku tahu aku tak mampu beri kemewahan kepada kau sebab tu aku minta
kau berkorban sedikit demi untuk kesenangan keluarga kita. Kau nak ke kalau
kita ada anak kelak, anak-anak kita kelaparan sebab tak cukup duit. Kau tak
kasihan ke kepada mereka? Sebab aku sayangkan kau dan keluarga kitalah yang aku
buat begini,” kata Kamal. Dia arif benar akan kelemahan seorang wanita yang
akan menjadi lemah apabila diberikan kata-kata cinta.
Hanita pandang kepada Kamal dengan wajah yang
sayu. Sebenarnya hatinya sakit kerana Kamal sanggup memperlakukannya sebegini.
Sepatutnya Kamal yang menjaga maruahnya bukannya memperdagangkan maruahnya
begini. Adakah benar Kamal melakukan semua ini demi untuk kebahagian keluarga
mereka atau Kamal hanya mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya?
“ Kalau abang sayang Nita, abang tak akan
buat begini kepada Nita,” kata Hanita dengan lemah. Di pandang kepada baju yang
dihadiahkan Kamal kepadanya sebentar tadi. Harganya melebihi gaji Kamal sebulan
tetapi demi untuk memastikan Hanita kelihatan cantik di hadapan Robert, Kamal
sanggup membelinya.
Kamal mendenggus lemah. Di ambil telapak
tangan Hanita lalu di usapnya dengan lembut.
“ Abang sayang Nita sebab itu abang buat
begini. Nita seorang perempuan dan abang lelaki. Abang di anggap sedang duduk
di atas pokok kelapa sambil melihat ke hadapan manakala Nita pula sedang duduk
di bawah pokok kelapa dan melihat ke hadapan. Memang benar kita sama-sama
melihat tetapi pandangan kita berbeza kerana Nita hanya tengok apa yang ada di
hadapan Nita manakala abang memandang jauh memikirkan kemungkinan yang akan
datang. Sebab itu Allah jadikan lelaki dengan sembilan akal manakala perempuan
hanya satu akal,” kata Kamal dengan mengeluarkan fakta agama demi untuk mengukuhkan
hujahnya sedangkan ilmu agama yang cetek itu tidak pernah diamalkannya.
Hanita hanya mendiamkan diri. Dia malas
bertekak dengan Kamal yang sememangnya kaki kelentong. Ada sahaja fakta yang
akan diputar-belitkannya.
Kamal tersenyum apabila melihat isterinya
yang hanya mendiamkan diri itu. Diam bermakna setuju.
“ Nita pergi ye?” Tanya Kamal sambil meramas
jari-jemari isterinya.
Hanita menarik telapak tangannya daripada
terus berada di dalam pegangan Kamal. Dia berasa rimas berkeadaan begitu. Rimas
dengan desakan Kamal.
“ Tengoklah nanti,” kata Hanita lemah.