” Saya berasal
dari Kampung Hujung Keton, Perak,” kata Balqis ramah sekali. Tidak seperti tadi
yang dingin seperti ais batu. Luqman Hakim tersenyum. Sekurang-kurangnya mood
gadis pujaan hatinya sudah semakin ceria.
Kereta
Mercedes milik Luqman Hakim terus laju meluncur di jalan raya. Hatinya terus
menyanyi riang dengan perubahan sikap gadis pujaannya itu.
” Oh kat mana
tu?” Tanya Luqman Hakim sambil mengerutkan dahinya.
Balqis tersenyum.
Dia tahu ramai orang yang tidak mengetahui kewujudan kampung halaman Puan
Rafidah yang berada di kawasan pedalaman. Malah tiada kemudahan jalan raya
untuk melalui kawasan tersebut.
” Dekat perak
la. Kawasannya memang pedalaman sedikit. Berhampiran dengan perkampungan orang
asli. Kampung saya ini adventure
sedikit kalau nak ke sana. Encik Luqman kena naik sampan untuk ke sana,”
beritahu Balqis lagi.
” Wah saya
ingat Malaysia dah cukup maju. Tak sangka masih wujud lagi perkampungan
sebegitu,” kata Luqman Hakim.
Teringat
Luqman Hakim kepada kepercayaan Balqis ketika gadis itu datang temuduga dahulu.
Memang tidak dinafikan sesetengah penduduk di kawasan pedalaman seperti Balqis masih
lagi mengamalkan kepercayaan karut sebegitu. Dan dia perlu menghormati
kepercayaan tersebut.
Oleh sebab
itu, tiada sesiapa yang mengetahui nama sebenar Balqis di pejabat kecuali
dirinya. Dia tidak mahu Balqis berasa tertekan apabila rakan-rakan mengetahui
nama sebenarnya apatah lagi gadis itu terlalu percaya bahawa nama sebenarnya
mampu membawa sial kepada seseorang.
” Saya tinggal
di sana sejak dari kecil lagi,” Balqis terus memainkan wataknya.
Selepas dia
sembuh dari kemalangan yang meragut nyawa Irdina sembilan tahun yang lalu, Puan
Rafidah telah membawa Balqis berpindah ke kampung halamannya. Di sana, mereka
telah memulakan hidup baru.
” Saya tidak
pernah ada kampung. Mesti bestkan
tinggal di kampung. Saya sejak dari kecil lagi dibesarkan di bandar,” ulas
Luqman Hakim.
Balqis tersenyum
tawar.
” Memanglah best. Tetapi kami sekeluarga hidup susah.
Saya dan emak mengambil upah menoreh getah di kebun orang. Pada musim hujan
pula kami berdua menangkap ikan sungai untuk dijual kepada peraih. Pendapatan
kami hanya cukup-cukup untuk kami berdua. Hidup kami tak ubah seperti kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang,” cerita Mariam Qistina.
Dia mahu melihat reaksi Luqman Hakim. Adakah
lelaki itu akan menceritakan tentang kesusahannya juga? Adakah lelaki itu masih
mengenang budi yang telah ditaburkan oleh arwah bapanya suatu masa dahulu?
” Tabahnya
awak. Mesti awak cukup rapat dengan mak awak bukan?” Tanya Luqman Hakim.
Sesekali dia
menjeling kepada Balqis tetapi fokusnya masih lagi kepada pemanduannya.
Oh, rupanya
lelaki ini sudah lupa tentang budi keluarganya dahulu. Memang dasar kacang
lupakan kulit! Kutuk Balqis garang sekali.
” Memang kami
berdua rapat. Lebih-lebih lagi setelah arwah ayah meninggal. Demi untuk
memberikan kehidupan yang lebih sempurna kepada emak, saya terpaksa berhijrah
ke Kuala Lumpur,” terang Balqis.
Masih jelas
wajah Puan Rafidah yang kecewa dengan keputusannya itu. Apatah lagi wanita tua
itu kesunyian apabila ditinggalkan sendirian.
” Saya kagum
dengan awak. Bertuah emak awak dapat anak seperti awak,” puji Luqman Hakim yang
semakin terpikat dengan gadis ayu ini.
” Kenapa Encik
Luqman cakap begitu?”
” Iyalah.
Jarang sekali kita jumpa seorang anak yang sanggup berkorban demi ibu bapanya.
Menyusahkan ibu bapa adalah,” luah Luqman Hakim.
” Macamana
dengan Encik Luqman pula? I mean,
kalau tidak keberatan boleh saya tahu siapa Luqman Hakim yang sebenarnya?”
Tanya Balqis cukup berhati-hati.
Luqman Hakim tersenyum
lebar.
” Siapa Luqman
Hakim sebenarnya?” Tanya Luqman Hakim dalam tawanya. Balqis menggangguk. Dia
tidak sabar untuk mengetahuinya.
” Seperti yang
saya katakan tadi saya dilahirkan di sini
dan membesar juga di sini. Selepas tamat SPM ayah saya telah menghantar saya ke
luar negara untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Saya
suka tinggal di sana. Suasananya tenang dan taraf hidupnya tidaklah terlalu tinggi. Jadi saya
mengambil keputusan untuk terus tinggal di sana sehinggalah saya menamatkan
pengajian saya di peringkat PHD. Bayangkan hampir sepuluh tahun saya tidak
pulang ke Malaysia,” terang Luqman Hakim panjang lebar.
Balqis tersenyum
sedangkan hatinya mengutuk dan mempersendakan cerita Luqman Hakim yang tidak
tahu mengenang budi itu. Sedikit pun lelaki itu tidak menceritakan tentang budi
yang telah arwah ayahnya curahkan kepada lelaki itu. Ternyata Luqman Hakim sama
sahaja sifatnya dengan keluarganya yang lain.
” Awak tak
pernah pulang ke Malaysia eventime
cuti? Kenapa?” Tanya Balqis masih lagi cuba mendapatkan sesuatu.
Luqman Hakim
tersenyum. Teringat dia kepada pesanan bapanya suatu masa dahulu yang
menghalangnya pulang ke Malaysia kerana keadaan ekonomi mereka yang tidak
menentu disebabkan bapanya terpaksa menyara kos pengajian Luqman Hakim yang
sepatutnya di sara oleh arwah Pak Cik Jamil. Disebabkan itu juga Luqman Hakim
berjimat cermat dan menahan kerinduannya untuk pulang bertemu ahli keluarganya.
” Saja. Saya
terlalu sukakan kehidupan di sana. Lagi pun keluarga saya sering datang melawat
saya di sana. Selepas saya dapat PHD barulah saya pulang ke sini. Itu pun
setelah dipaksa oleh ayah saya yang mahukan saya menguruskan syarikatnya,” tipu
Luqman Hakim.
Dia rasa tidak
elok untuk memburukkan arwah Pak Cik Jamil yang tidak pandai mengotakan
janjinya itu.
Ah sebenarnya
syarikat itu adalah milikku! Tetapi keluarga kau yang merampasnya!
” Untung Encik
Luqman sebab ayah Encik Luqman mempunyai perniagaan sendiri. Tak payah Encik
Luqman susah-susah mencari kerja. Syarikat ini sememangnya diasaskan oleh ayah
Encik Luqman ke?” Tanya Mariam Qistina masih mahu menguji sejauh mana kejujuran
Luqman Hakim.
” Ya, ayah
saya yang membagunkan syarikat ini sehingga berkembang pesat begini. Ayah saya
adalah pemegang syer terbesar iaitu sebanyak 40%, ibu saya sebanyak 30%, saya
21% dan Sarah sebanyak 9%. So
syarikat ini sebenarnya 100% adalah milik kami sekeluarga,” terang Luqman Hakim
cukup yakin sekali.
Ternyata
lelaki ini memang tidak boleh dipercayai. Tidak malukah dia bercerita tentang
kekayaan yang sebenarnya dirampas dengan cara yang jijik sekali.
” Oh
rupa-rupanya mak Encik Luqman juga bekerja di sini ye. Mesti hebatkan keluarga
Encik Luqman ini?” Soal Balqis yang tidak sabar mengetahui tentang cerita Esah
pula.
Luqman Hakim
tersenyum lebar. Hatinya mula berasa bangga dengan pujian yang ditaburkan oleh
gadis disebelahnya ini. Lebih-lebih lagi gadis ini telah mendapat tempat yang
cukup istimewa di dalam hatinya yang suci ini.
” Mak saya
hanyalah sleeping partner di dalam
syarikat ini. Begitu juga dengan Sarah. Hanya saya dan abah yang menguruskan
syarikat. Sebenarnya mak saya aktif dengan persatuan kebajikan kanak-kanak,”
cerita Luqman Hakim lagi.
Balqis mengangguk
dengan cerita Luqman Hakim itu. Sudah acapkali dia terbaca tentang kebaikan
Esah yang dipaparkan di dada akhbar yang banyak membela nasib kanak-kanak
malang di negara ini. Malah Esah banyak mengutuk tentang penderaan kanak-kanak
yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Ah pandai benar Esah berlakon di
hadapan khalayak ramai sedangkan dia sebenarnya adalah syaitan yang
bertopengkan manusia.
” Wah baiknya
hati mak awak. Saya begitu kagum dengannya. Tak sabar saya ingin berjumpa
dengan seorang wanita yang mempunyai hati yang cukup mulia,” perli Balqis dengan
senyuman lebar.
Ya memang dia
tidak sabar untuk menemui Esah. Dia mahu menelanjangkan setiap kejahatan yang
telah dilakukan oleh Esah kepada keluarganya. Biar semua orang tahu tentang
siapa Esah yang sebenarnya.