Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
220,954
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
bab 6

BUNYI deruan motosikal yang masuk ke perkarangan rumah membuatkan Hannah ketakutan. Dia memandang kepada Adam, teman sepermainannya dengan wajah panik. Adam berusia sembilan tahun manakala Hannah berusia tujuh tahun. Adam tinggal di sebelah rumah Hannah yang di sewa oleh bapanya.

“ Papa Hannah dah pulang la. Macamana ni?” Tanya Adam juga takut dengan kehadiran Kamal di situ.

“ Hannah takutlah abang Adam. Hannah takut papa pukul Hannah,” kata Hannah dalam debaran di dada. Acapkali kalau papanya pulang, Hannah akan menjadi bahan amukan Kamal. Dia dipukul dan dibelasah tanpa simpati. Kudrat Hannah yang baru berusia tujuh tahun tidak mampu melawan setiap tindakan ganas yang dipersembahkan kepadanya.

“ Hannah jangan bimbang, kalau abang Adam dengar bunyi bising kat rumah Hannah, abang Adam ajak mak abang datang sini,” kata Adam cuba menenangkan Hannah. Hannah mengangguk. Sudah acapkali Mak cik Norsiah datang menyelamatkannya daripada menjadi mangsa amukan Kamal.

Pintu rumah di kuak dengan kasar. Wajah Kamal tersembul di hadapan pintu dengan muka menyinga membuatkan Adamazs dan Hannah menelan liur. Masing-masing takut dengan wajah menyinga Kamal itu.

“ Adam, kau pergi balik ke rumah kau,” kata Kamal kasar.

Dengan sepantas kilat, Adam berlari ke rumahnya. Dia juga takut menjadi mangsa amukan Kamal.

Sebaik sahaja Adam pulang, Kamal duduk di kerusi sambil memandang Hannah dengan wajah menyinga. Hannah yang ketakutan hanya menunduk memandang lantai. Dia tidak berani bertentang mata dengan Kamal. Dadanya pula sudah berdegup kencang.

“ Hei anak haram, mari sini,” kata Kamal dengan kasar.

Tersentak hebat bahu Hannah apabila mendengarkan panggilan Kamal itu. Dia tidak berani untuk pergi ke arah Kamal. Dia tahu Kamal akan menyakitinya jika dia pergi ke arah Kamal. Tetapi kalau dia ingkar juga akan menaikkan kemarahan Kamal dan nasibnya akan tetap sama yakni dibelasah oleh Kamal.

“ Kau dengar tak cakap aku ni hah? Mari sini! Kalau tak, siap kau aku kerjakan kau!” Tengking Kamal kuat sekali.

Hannah semakin takut. Ketakutan yang sering dirasainya apabila bersama dengan Kamal. Lelaki itu tidak pernah bersikap baik terhadapnya. Sering sahaja tubuh badannya menjadi mangsa amukan Kamal.

Dalam debaran di dada, Hannah melangkah menuju ke arah Kamal. Namun begitu matanya hanya memandang lantai. Tidak sedikit pun dia memandang ke arah Kamal yang seperti singa kelaparan itu. Apabila dia berada hampir dengan Kamal terus sahaja Kamal mencengkam rambut Hannah membuatkan Hannah terdongak ke belakang.

“ Aku benci dengan kau. Kau ni anak haram!” Kata Kamal. Kemudian dia menempeleng wajah Hannah sehingga anak kecil itu terjatuh ke lantai. Tidak cukup dengan itu dia memijak belakang Hannah dengan kuat.

“ Papa, sakit… papa…sakit….” Tangis Hannah penuh sendu.

Namun Kamal tidak pernah bersimpati dengan anak kecil itu. Kehadiran Hannah dalam hidupnya umpama duri dalam daging.

Pantas sahaja Kamal menyepak perut Hannah sehingga tubuh anak kecil itu terpelanting ke dinding. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Hannah mengerang kesakitan sambil tangannya memegang perut yang terasa senak. Senak terasa hingga ke ulu hati. Dia menangis tersedu-sedu.

Kamal ketawa kuat apabila melihat Hannah yang sedang mengerang kesakitan. Dia berasa puas sekali kerana dapat menyakiti zuriat Hanita itu. Segala dendam kesumatnya selama ini dilepaskan kepada Hannah yang tidak tahu apa-apa.

“ Sakit ye, hati aku lagi sakit kau tahu tak, anak haram! Mari sini. Aku kata mari sini,” kata Kamal sambil menggerakkan jari telunjuknya, memberi isyarat kepada Hannah supaya datang ke arahnya.

Hannah menggeleng ketakutan.

“ Tak nak, Hannah sakit, tak nak papa,” tangis Hannah penuh sendu.

“ Aku kata mari sini! Kalau tak siap kau aku kerjakan,” tengking Kamal lagi membuatkan Hannah akur. Sampai sahaja Hannah dihadapan Kamal sekali lagi lelaki durjana itu terus menendang Hannah sehingga tubuh anak kecil itu terpelanting ke belakang.

Hannah menangis kesakitan. Badannya sudah lebam sana sini. Mukanya sudah bengkak. Tangisannya sudah tiada penghujungnya. Kali ini dia mengharapkan Mak Cik Norsiah dan Adam datang menyelamatkan dirinya. Sungguh dia sudah tidak tahan untuk menanggung kesakitan ini.

“ Ha ha padan muka kau! Sombong sangat pada aku!” Marah Kamal yang sebenarnya ditujukan kepada Hanita.

Hannah hanya menangis. Dia tidak faham pada bicara bapanya itu. Dia juga tidak faham mengapa Kamal sering memanggilnya anak haram. Kata Adam, anak haram itu adalah anak luar nikah. Adakah Hannah anak luar nikah Kamal?

“ Mari sini,” kata Kamal lagi.

Hannah hanya mampu menggeleng. Dia sudah tidak terdaya untuk bangun lagi. Dia tahu kalau dia ke sana, sekali lagi tubuhnya akan menjadi mangsa terajang Kamal. Namun begitu Hannah sedar, keingkarannya akan mengundang natijah yang lebih besar.

Hannah cuba untuk bangun. Dia takut Kamal akan mengamuk teruk kalau dia tidak pergi ke arah Kamal. Namun gagal. Tubuh Hannah sudah tidak berdaya untuk bangun lagi.

Kamal bertambah meradang apabila Hannah ingkar dengan arahannya itu. Sambil mendenggus kasar, Kamal mengambil teddy bear yang sering dijadikan mainan Hannah lalu dibawanya ke arah Hannah.

“ Hei anak haram, bangun kau,” kata Kamal.

Hannah hanya mampu menangis dan merayu agar Kamal tidak lagi mencederakan dirinya. Namun setiap rayuan Hannah itu hanya dibalas dengan tawa oleh Kamal.

“ Baiklah, aku tak akan tendang kau lagi. Aku tahu kau sakit,” kata Kamal sambil ketawa kuat.

Hannah menarik nafas lega. Cukuplah kesakitan yang ditanggungnya tatkala ini. Tubuhnya yang kerdil sudah tidak mampu menahan tendangan daripada tubuh perkasa Kamal itu.

“ Tetapi aku akan bermain dengan teddy bear kau pula,” kata Kamal.

Tanpa menunggu sesaat, Kamal terus melemaskan Hannah dengan menggunakan teddy bear tersebut. Dia meletakkan teddy bear ke muka Hannah. Hannah yang kelemasan terkapai-kapai cuba mencari nafas. Makin kuat rontaan Hannah, makin kuat juga Kamal menekan teddy bear tersebut di muka Hannah. Sehinggalah Hannah tidak berdaya. Dia sudah sesak nafas. Rontaannya semakin lemah dan Hannah dapat rasakan yang dia akan mati selepas ini.

“ Kamal, apa kau buat ni? Kau nak bunuh dia ke?” Tengkingan daripada Mak Cik Norsiah menyelamatkan Hannah daripada terus di dera oleh Kamal. Mak cik Norsiah menarik teddy bear yang berada di muka Hannah lalu dibuangnya jauh. Tubuh Kamal yang sasa juga di tolaknya. Kemudian Mak cik Norsiah terus mendapatkan Hannah lalu dipeluknya erat. Sungguh dia berasa cukup bersimpati dengan anak kecil ini. Dia juga berasa bersalah kerana sehingga hari ini dia masih tiada kekuatan untuk melaporkan kejahatan Kamal ini kepada pihak berkuasa.

“ Kau ni dah gila ke Kamal?” Marah Mak cik Norsiah. Dia pandang kepada Hannah yang sudah lebam sana sini. Hannah tidak berhenti menangis dan mengadu tentang kesakitan yang dialaminya membuatkan Mak cik Norsiah semakin sayu hatinya.

“ Tergamak kau lakukan anak kau begini. Dah tujuh tahun kau dera dia! Kau tak kasihan ke dekat dia?” Marah Mak cik Norsiah lagi.

Kamal hanya mendenggus geram.

“ Aku benci dia! Aku benci dia! Dia anak haram!” Tengking Kamal. Matanya sudah merah. Nafasnya juga turun naik bersama kemarahannya.

“ Sudahlah Kamal, perkara lama tak perlu kau ungkit lagi. Hampir tujuh tahun perkara itu berlalu, kenapa kau nak ingat lagi?”

“ Tapi hati aku sakit, Siah. Sampai mati pun aku akan ingat perkara ini dan aku tak akan biarkan sama ada anak haram tu, Hanita mahupun Robert hidup dengan aman! Itu sumpah aku, Siah,” kata Kamal.

Mak Cik Norsiah hanya mengeluh lemah. Dia tidak menyangka yang Kamal begitu mendendami bekas isterinya itu. Namun begitu jika difikirkan balik, semuanya berpunca dari Kamal juga. Jikalau Kamal tidak memperkenalkan Hanita dengan Robert pastinya perkara begini tidak akan berlaku.

“ Polis tangkap dia! Lelaki inilah yang mencederakan saya tadi,” kata Hanita yang tiba-tiba datang membawa dua orang pegawai polis bersama. Kamal yang terpinga-pinga terus ditangkap polis tanpa sempat melarikan diri.

Hanita memandang kepada Hannah yang sudah lebam mukanya. Namun tiada sedikit pun perasaan simpati yang lahir dari hatinya.

“ Kamal dera dia juga?” Tanya Hanita kepada Mak Cik Norsiah. Lambat-lambat Mak Cik Norsiah mengangguk.

“ Dakwa dia juga atas tuduhan mendera,” kata Hanita kepada dua orang pegawai polis tersebut.

“ Tipu…tipu!!! Aku tak buat semua itu!” Jerit Kamal sambil cuba melepaskan diri.

Hanita hanya tersenyum sinis mendengarkan amukan Kamal itu. Dia berasa puas kerana Kamal sudah ditangkap polis. Sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tiga tahun ini Kamal tidak lagi menganggunya.

“ Nita, aku tak akan biarkan kau hidup dengan aman! Aku sumpah Nita, selagi aku hidup aku tak akan biarkan kau mahupun keturunan kau hidup dengan aman,” jerit Kamal sebelum di bawa pergi oleh dua orang pegawai polis.

Hannah yang berada di dalam pelukan Mak Cik Norsiah hanya memerhatikan bapanya di bawa pergi. Dia tidak tahu ke mana mereka mahu membawa bapanya tetapi dia berharap dengan kejadian ini, Kamal tidak dapat lagi menyakiti dirinya.

Tanpa memperdulikan Hannah yang kesakitan, Hanita terus berlalu. Namun langkahnya terhenti apabila Mak Cik Norsiah memanggilnya.

“ Nita, kau tak nak tengok anak kau inikah? Kau tak nak bawa dia ke hospital? Kau tak kasihan ke pada dia yang teruk di dera oleh Kamal?”

Dengan wajah sombong, Hanita berpaling ke arah Mak Cik Norsiah. Sedikit pun dia tidak memandang kepada Hannah yang masih menangis.

Sorrylah, Siah, aku dah lambat. Lagipun dah lama aku anggap budak tu mati,” kata Hanita. Kemudian dia melangkah pergi.

Betapa tercalarnya hati Hannah apabila mendengarkan bicara tersebut. Sakitnya melebihi kesakitan akibat dipukul oleh Kamal. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia bertemu dengan ibunya tetapi sungguh tidak disangka Hanita lebih kejam daripada Kamal. Hannah terkedu sendirian. Kenapa dia perlu dilahirkan di dunia ini sedangkan kedua ibu bapanya tidak menginginkannya?

“ Mak cik, Hannah sakit,” tangis Hannah dalam pelukan Mak Cik Norsiah. Sebenarnya dia ingin meluahkan kesakitan hatinya tatkala ini.

Mak cik Norsiah mencium ubun-ubun rambut Hannah. Airmata keibuannya mengalir laju. Dia semakin simpati kepada nasib Hannah yang sentiasa di rundung malang ini. Kenapa anak kecil ini diberikan ujian sehebat ini?

“ Jom Hannah, mak bawa Hannah ke hospital,” kata Mak Cik Norsiah yang sudah bangun dari duduknya.

Hannah yang masih duduk memandang wajah Mak Cik Norsiah apabila perkataan mak itu terkeluar dari mulut Mak Cik Norsiah. Adakah mak cik Norsiah tersalah sebut?

“ Mak?” Tanya Hannah dengan juraian airmata.Hannah semakin pilu menahan gelodak perasaan yang sungguh menghibakan. Sukarnya untuk menyingkirkan perasaan dendam dan benci. Bahkan untuk terus-terusan berpura-pura untuk mempercayai setiap harapan dan anganan yang dijanjikan bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Jangan biarkan dia terus bermimpi lagi kerana di akhir mimpi indah ini dia tetap menangis seperti selalunya.

” Ya sayang..ini mak...mak janji tak akan biarkan sesiapa lagi pukul Hannah,” kata Mak Cik Norsiah bersungguh-sungguh. Dia cuba melemparkan senyuman yang nyata tawar sekali.

” Betulkah?” Tanya Hannah yang seakan-akan mempercayai kata-kata wanita tua itu.

“ Ya mulai hari ini, panggil sahaja mak cik, mak. Walaupun ibu kandung Hannah buang Hannah tetapi Hannah masih ada mak dan mak akan jaga Hannah sehingga akhir hayat mak,”Luah Mak Cik Norsiah yang sudah mendepakan tangannya.

Serentak dengan itu Hannah terus memeluk Mak Cik Norsiah. Mak Cik Norsiah menangis tatkala anak kecil itu berada di dalam pelukannya. Hatinya begitu sayu melihatkan keadaan Hannah. Mengapa Kamal dan Hanita tega memperlakukan anak kecil ini sebegini?

“ Terima kasih mak,” kata Hannah sambil terus memeluk Mak Cik Norsiah. Inilah kali pertama dalam hidupnya memanggil seseorang dengan panggilan yang amat dirinduinya itu. Walaupun insan itu bukanlah ibu kandungnya yang sebenar namun semua itu sudah tidak penting bagi Hannah asalkan dia mengecapi kebahagian yang sebenar.

Hannah merasakan sesuatu yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Satu perasaan yang lain apabila dia sudah berada di dalam pelukan Mak Cik Norsiah. Hannah rasakan seperti ada air dingin yang menyiram ubun-ubun kepalanya menjadikan jiwanya cukup tenteram dan tenang.

MALAM itu Hannah mengalami mimpi buruk. Mimpi yang cukup menakutkan kamar hatinya. Dalam mimpinya dia melihat Kamal datang ke arahnya dengan membawa teddy bear. Wajahnya kelihatan tersenyum manis kepada Hannah sambil menghulurkan teddy bear kesayangan Hannah kepadanya. Tidak jauh daripada Hannah dan Kamal, dia melihat Hanita bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya hanya memerhatikan gelagat Kamal dan Hannah.

Hannah tersenyum riang apabila Kamal menghulurkan teddy bear kesayangannya itu. Lalu Hannah menghulurkan tangan dengan senyuman lebar kepada Kamal. Namun tanpa di sangka-sangka Kamal telah membenamkan teddy bear tersebut ke muka Hannah membuatkan Hannah lemas. Nafasnya sesak. Dia cuba meminta pertolongan Hanita tetapi sebaliknya wanita itu hanya ketawa apabila melihat Hannah yang semakin sesak nafas.

” Jangan...” jerit Hannah apabila dia tersedar dari mimpi buruknya itu. Dia tercugap-cugap sambil menyapu wajahnya. Nafasnya sesak seolah-olah mimpi buruk itu benar-benar berlaku kepadanya.

” Ya Allah, kenapa aku asyik mengalami mimpi buruk ini sahaja?” Rintih Hannah yang sudah tidak berani untuk tidur kembali. Dia takut kalau-kalau mimpi itu datang semula mengganggu tidurnya.

Tanpa sedar, rupa-rupanya mimpi itu telah menemani Hannah sehingga dia meningkat dewasa.

Previous: bab 5
Next: bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.