Makluman : Mulai hari ini tajuk ini akan ditukar kepada Lelaki Itu Untukku berdasarkan perbincangan dengan editor dan Insya ALLAH akan menemui anda Mei ini..KETIKA dia melihat kelibat dua gadis itu
memasuki pintu restoran, dia segera bingkas bangun lalu mengangkat tangannya.
Salah seorang gadis itu berpaling lalu tersenyum lebar memandangnya, sebelum
gadis kedua pula menoleh. Gadis yang mula-mula tersenyum tadi terus meluru ke
arahnya lalu memeluknya.
“Orked,
gembiranya dapat jumpa kau.” Bicara Mira menusuk ke hati. Dia hanya tersenyum
mendengarnya. Ketika dia berpaling ke arah Arida. Gadis itu hanya berdiam diri.
Ketawa tidak, tersenyum jauh sekali. Dia faham dan mengerti. Arida masih marah
terhadapnya.
“Duduklah,
kita berbual-bual.” Suruh Orked.
Mira segera memgambil tempat duduk di
hadapannya, hanya Arida yang tidak berganjak. Orked segera menoleh ke arah gadis
itu.
“Ari..”
tegur Orked.
“Kau
suruh kami datang ke mari kenapa? Hendak apa? Hendak suruh kami ikut jalan kau
yang sesat tu?” Sindir Arida dengan suara meninggi.
“Ari,
kenapa cakap macam tu? Orked kan kawan kita.” Mira menegur separuh kesal.
“Salah
ke apa aku kata? Dia bukan Orked yang kita kenal dulu. Dia buat sesuka hati
dia, mabuk sana sini, bergaduh sampai masuk lokap satu hal. Dah tu ponteng
kelas pulak. Ini ke kawan yang kita nak?”Arida terus lancang menuturkan
kata-katanya.
Orked
hanya tenang. Kata-kata Arida memang menggoncang lubuk hati, namun dia cuba
bersabar. Sejak dia banyak menghabiskan masanya dengan berpeleseran,
hubungannya dengan Arida semakin renggang. Sedangkan dia kenal Arida lebih lama
sebelum dia mengenali Mira.
“Ari,
aku tahu aku salah. Tak boleh ke kau maafkan aku?” Tanya Orked.
“Kenapa
sekarang kau cari kami balik? Mana perginya kawan-kawan kelab kau yang bersepah
yang boleh beri kau kesenangan dunia tu?” Sekali lagi sindiran Arida menjadi
racun berbisa di hati Orked. Dia menarik nafas panjang. Marah Arida padanya tak
pernah surut sejak dahulu. Lalu apa gunanya dia berharap untuk menemui
kawan-kawannya kalau hanya kebencian sahaja yang diterimanya?
Dengan
wajah muram, Orked menarik tas tangannya, bersedia mahu beredar dari situ.
Menyedari apa yang mahu dilakukannya, Mira dengan pantas menahan. Gadis itu memandangnya sambil
menggelengkan kepala, enggan membenarkan dia pergi dari situ. Orked berpaling
ke arah Mira. Mata mereka saling berlaga dan dia akhirnya tersenyum. Sekurang-kurangnya
dia masih ada Mira yang sentiasa sudi membuka pintu hati untuknya biar apa pun
salahnya. Namun begitu, dia juga masih memerlukan Arida dalam hidupnya. Mereka
pernah sama-sama membesar, sama-sama bersekolah di tempat yang sama dan
akhirnya sama-sama melanjutkan pelajaran di kolej. Dia kenal Arida sepertimana
Arida mengenalinya. Cuma entah sejak bila Arida sudah berputus asa terhadapnya!
Malah sering menyelar hatinya dengan kata-kata kasar dan kesat.
“Aku
takkan marah kalau kau tak nak jumpa aku lagi Ari. Aku minta maaf sebab buang
masa kau begitu sahaja sedangkan kau tentu sibuk dengan urusan sendiri. Aku
cuma minta kau berdua datang sebab aku rindukan kau dan Mira. Aku harap kita
boleh bertemu dan berbual-bual. Tapi kalau ini menyusahkan kau, aku janji lepas
ni aku takkan ganggu kau lagi.” Ujar Orked.
“Orked,
kenapa cakap macam ni? Kau tetap kawan kami.” Pujuk Mira sebak. Suara anak
gadis itu tersekat-sekat cuba menahan tangis.
Orked memegang bahu Mira lalu
melemparkan senyuman. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk perlahan.
“Kau
pun pergilah ikut Ari balik, Mira. Aku pun nak pergi dah ni.” Ujar Orked
tenang. Dia mengemaskan tas tangannya, bersedia untuk beredar meninggalkan
tempat itu.
“Kau
nak ke mana? Cakap sikit pun nak marah? Sejak bila kau sensitif sangat ni?”
Herdik Arida tiba-tiba.
Orked berpaling, terkejut melihat gadis
itu sudah melangkah ke arahnya. Sepasang mata Arida meratah wajahnya
dalam-dalam. Dia hanya terlongo. Dan bila tubuhnya diraih dan didakap anak
gadis itu, Orked tidak mampu lagi menyembunyikan rasa terkejut.
“Ari…”
Bisik Orked tergaman.
“Jangan
nak cakap apa-apa. Kau sendiri tak tahu bagaimana rindunya aku pada kau selama
ini. Kau tak pergi kolej, diam-diam kau menghilangkan diri macam tu aje tanpa
beritahu aku apa-apa. Kau ingat aku suka semua ni?” Tutur Arida kesal.
Kelopak
mata Orked bergenang air jernih. Tahulah dia yang selama ini Arida tidak pernah
membencinya, mahupun membuangnya sebagai kawan.
“Aku
sayang kau Orked. Aku cuma benci tengok kau musnahkan masa depan kau sendiri
sedangkan kau ada masa depan yang cerah. Tolong jangan lakukan perkara-perkara macam
tu lagi. Tolong jangan hampakan hati aku kali ini.” Bisik Arida.
Hati
Orked sebak. Dia mengerti maksud kata-kata Arida. Gadis itu sememangnya seorang
teman yang baik, yang mahu dia menuju ke jalan kebaikan bukannya terus terhumban
dalam dosa. Selama ini dia terlalu mengikut emosi dan bergelumang dengan
perkara-perkara tidak sepatutnya. Tapi mengenangkan kata-kata Arida hari ini,
dia tiba-tiba teringatkan Idlan sendiri. Lelaki itu seperti Arida, mahukan dia
jadi gadis yang baik. Aneh! Sedar atau tidak, sebenarnya dia sedang merindui
Idlan. Dia benar-benar mahu menatap wajah lelaki itu semula.
*
* * *
“MIRA
cakap kau ikut seorang lelaki pergi tempohari. Siapa dia?” Tanya Arida yang
sedang memandu. Mereka baru sahaja selesai menghantar Mira pulang ke asrama,
dan kini destinasi Arida adalah rumah Orked pula.
Orked
mengigit bibit. Haruskah dia berterus-terang pada Arida tentang Idlan?
“Teman
lelaki?” Teka Arida seraya mengerling gadis di sebelahnya.
“Tak
adalah. Dia anak mak tiri aku.” Ujarnya pantas.
“Abang
tiri kau? Yang belajar kat oversea
tu?”
Orked
sekadar mengangguk.
“Jadi
dalam tempoh dua minggu ni kau tinggal dengan dia?” Arida seakan keliru
sedikit.
“Dia bawa aku ke vila arwah ayahnya di Bukit
Tinggi. Tapi bukan kami berdua aje. Ada orang lain juga tinggal di rumah tu.”
Jelas Orked, merasa perlu menjelaskannya pada Arida agar gadis itu tidak
tersalah sangka.
“Aku
masih tak faham Orked, kenapa dia bawa kau ke sana?”
“Bukan
salah dia Ari. Aku yang tak nak balik ke rumah, jadi dia bawa aku ke situ. Ada
ramai orang tinggal kat sana, kau tak perlu risau. Lagipun Idlan bukan jenis
lelaki yang selalu aku temui selama ini.” Ujar Orked.
“Namanya
Idlan?” Arida tersenyum sedikit.
“Kenapa?”
“Entahlah.
Cara kau sebut nama dia …I don’t know.
Kau suka dia ya?” Teka Arida. Ada sekelumit senyuman nakal bermain di bibir
Arida.
“Tak
adalah. Dia kan anak ibu tiri aku. Lagipun..”
“Lagipun
kau sendiri tak suka dengan ibu tiri kau kan?” Pintas gadis itu.
Orked
terdiam. Dia tahu Arida paling mengerti apa yang dirasakannya saat ayahnya
mengambil keputusan mahu mengahwini Maria, janda anak satu itu. Memang dia
menentang kehendak lelaki itu, tapi tentangannya hanya bersifat diam-diam. Mahu
mengutarakan bangkangannya secara terang-terangan hanya akan memburukkan
keadaan. Kerana itu dia memprotes dengan cara yang memusnahkan dirinya sendiri.
Tapi apa gunanya dia berseronok di luar, bergaul dengan teman-teman yang tidak
senonoh sedangkan ayahnya sedikit pun tidak ambil peduli.
“Bagaimana
dia?”
Orked
terpinga-pinga tidak mengerti. “Maksud kau?”
“Lelaki
yang nama Idlan tu, bagaimana orangnya?” Tanya Arida ingin tahu.
“Err..dia
baik.”
“Kacak?”
“Not bad.” Balas Orked ringkas.
“Dia
dah ada teman wanita?”
“Ari!”
Orked terjerit kecil.
Arida terkeheh-keheh ketawa. Dia juga
ikut ketawa. Mula memahami ulah Arida yang hanya bercanda dengannya. Melihat
Arida di sampingnya, entah kenapa dia senang hati. Sudah lama mereka tidak berbual-bual
begini.
“Aku
gembira kau tak marah aku lagi Ari.” Ujar Orked.
Arida
mengerling dengan ekor matanya. “Kau kawan aku Orked. Selama-lamanya kita tetap
kawan, asalkan kau jangan mabuk-mabuk lagi dan ke kelab malam tu. Semua masalah
ada penyelesaiannya. Jangan rumitkan lagi hidup kau dengan hal-hal yang tidak
elok.” Nasihat Arida.
“Aku
janji Ari. Aku takkan buat hal-hal macam itu lagi. Kalau dulu, aku terlalu
terdesak mahu merebut kasih sayang ayah. Tapi sekarang, aku tidak akan menagih
lagi apa yang bukan menjadi hak aku.” Bisik Orked muram.
Arida
berpaling sejenak. Dia nampak kilasan cahaya di penjuru mata Orked, menandakan
kata-kata itu disulami kesedihan yang berlarutan. Sebagai teman, dia memahami
apa yang Orked rasakan. Mengerti kepedihan yang dilalui gadis itu sejak kecil.
“Sabarlah
Orked. Aku percaya suatu hari nanti ayah kau akan sedar. Jangan cepat putus
asa. Berdoa pada ALLAH sebaik-baik jalan yang harus kau lakukan, moga-moga ALLAH
akan buka pintu hati ayah kau agar dia menyedari kewujudan kau selama ini.” Nasihat
Arida.
Orked
hanya mampu mengangguk. Dia tidak yakin apakah hasrat itu akan tertunai. Tapi
sekurang-kurangnya dia masih ada sahabat seperti Arida dan Mira yang memahami
perasaannya.
Kereta
Arida sudah berhenti di hadapan rumahnya. Dia turun dari perut kereta sambil
melemparkan senyuman ke arah gadis itu. Mereka berbual-bual seketika, saling
berpesan-pesan mahu bertemu di kampus esok sebelum Arida mula memandu pergi.
Matanya ralit memerhatikan kereta yang
dipandu Arida semakin jauh di selekoh sebelum menghilang. Thanks Ari. Aku dah banyak melakukan kesilapan, tapi kau masih
tetap menerima aku yang hina ini sebagai kawan! Keluh Orked terharu.
“Lambat
Orked balik hari ni?” Muncul suatu suara menegurnya dari belakang.
Terpempan oleh suara itu, menyebabkan
tubuhnya menggeletar. Suara itu seperti dikenalinya. Dia mahu berpaling tapi
seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya dari berbual demikian.
“Orked…”
panggil suara itu lagi.
Orked
mengetap bibirnya. Ada pelbagai rasa menjengah dirinya saat ini. Separuh dari
hatinya gembira dapat mendengar suara itu lagi. Namun ada sebahagian yang lain
merasa berang entah kenapa.
“Kenapa
Orked tak nak pandang abang?” Idlan terus bertanya. Hairan melihat gadis itu tidak
berganjak-ganjak sedari tadi.
Mendengar
pertanyaan lelaki itu, Orked perlahan-lahan membalikkan tubuhnya. Sepasang
matanya mencerlung tajam ke arah seraut wajah yang sedang tersenyum
memandangnya. Senyuman lelaki itu menggetarkan hatinya, namun dia cuba berlagak
tenang. Kali ini dia sudah nekad untuk tidak lembut hati lagi terhadap Idlan.
Dia tidak mahu terus ditipu dengan senyuman lelaki itu. Tidak lagi!
“Kenapa
Orked balik seorang diri? Orked buat abang bimbang.” tanya Idlan.
Orked
mendengus keras. “Kenapa tak boleh? Kau nak aku tunggu dekat sana seorang diri?
Tercengang-cengang macam orang bodoh?”
Idlan
terdiam. Tepat seperti yang diduga, Orked sedang memarahinya. Namun dia tidak
akan membela diri untuk sesuatu yang memang salahnya.
“Abang
minta maaf Orked, abang tak bermaksud nak tinggalkan Orked macam tu aje.
Maafkan abang ya!” Pujuk Idlan cuba berlembut.
Orked
mengeluh panjang. Wajah Idlan ditatap lama. Dia menyedari wajah lelaki itu agak
pucat sedikit. Sakitkah Idlan? Kenapa dengan lelaki itu sebenarnya?
“Ke
mana kau pergi selama ini? Kau tahu tak Mak Tun dan Pak Man asyik susah hati
bila kau tak balik-balik. Ke mana kau sebenarnya?” Soal Orked ingin tahu.
“Abang
ada hal sikit. Maaf, kat tempat kawan abang tu susah nak dapat linetelefon, sebab tu abang tak call.” Ujar Idlan.
“Tempat
jin bertendang mana yang kau pergi sampai susah sangat nak callbagitahu kau kat mana?” Herdik Orked dengan suara meninggi.
Entah kenapa alasan Idlan itu sukar mahu dipercayainya.
“Orked,
hari tu kan Orked dah janji tak nak nak cakap kau aku dengan abang lagi. Dah
lupa?” Idlan cuba mengingatkan gadis itu.
Orked
mencebik. Bila entah! Dia terus menonong masuk tanpa mempedulikan lelaki itu lagi.
Namun ada sekelumit senyuman singgah di penjuru bibirnya. Hatinya
bergemerlapan, merasa seronok dengan kemunculan Idlan.
Melihat
kelibat Orked sudah menghilang ke dalam, Idlan hanya mampu mengeluh. Nampak
gayanya dia terpaksa bermula semula dari awal. Elok-elok dia sudah menjinakkan
anak gadis itu, kini Orked berubah lagi!