KAKINYA melangkah turun dari sebuah teksi.
Medan hentiannya adalah rumah banglo dua tingkat yang mempunyai pintu pagar
setinggi paras kepala. Dia membayar tambang teksi namun tidak berganjak dari
situ. Matanya asyik memerhatikan rumah yang sudah lama ditinggalkannya. Dia
tidak nampak kereta ayahnya, malah kereta Idlan juga tidak ada di petak garaj.
Ke mana lelaki itu sebenarnya? Kalau bertemu ibunya juga tidak, ke mana lagi
arah tujuan Idlan? Orked semakin bingung dibuatnya.
Bunyi
hon dari arah belakang membuatkan lamunannya menghilang. Dia segera berpaling.
Ketika melihat kereta yang cukup dikenali sedang melewatinya lalu masuk ke
dalam kawasan rumah, darahnya serta-merta berderau. Satu kelibat tubuh keluar
dari perut kereta seraya mencerlung tajam ke arahnya. Dia hanya mampu menelan
liur. Bersedia menunggu hamburan yang mungkin datang. Namun lelaki itu tidak
berkata apa-apa, hanya mendengus dan masuk ke dalam rumah.
Dari
dalam kereta yang sama, keluar pula seorang wanita separuh umur yang masih
cantik dan begaya. Wanita itu turut berpaling dan terpempan melihat dia hanya
sekadar berdiri di hadapan pintu pagar.
“Orked?”
Maria segera meluru ke arah anak gadis
itu.
“Bila
Orked balik? Mana Idlan? Dia tak balik sekali?” Mata wanita itu mencari-cari
sesuatu. Pasti kehadiran anak lelakinya paling dinanti-nantikan, bukan
kehadirannya. Orked menyedari semua itu.
“Dia
tak balik ke mari?” Tanya Orked ingin tahu.
Maria
terpegun. Hairan melihat anak gadis yang jarang-jarang mahu bercakap dengannya
tiba-tiba membuka mulut.
“Tak
ada pulak, auntie sangka Idlan masih di Bukit Tinggi bersama Orked. Kenapa
Orked? Kenapa dengan Idlan?” Maria bertanya agak risau. Sejak dia bercakap-cakap
dalam telefon dengan Sulaiman, kenalan rapat arwah suaminya yang menjaga chalet
di Bukit Tinggi itu, entah kenapa hatinya sudah tidak sedap. Lagi-lagi dia
sering gagal bercakap dengan Idlan sendiri yang menyepi diri.
Orked
menarik nafas panjang. Dia perasan kegelisahan yang mula bersarang di wajah ibu
tirinya. Menyesal pula dia bertanyakan perihal lelaki itu sudah pulang atau
belum. Kalau dia tahu begini reaksi ibu tirinya, tak mungkin dia akan
bertanyakan soalan seperti itu.
“Tak
ada apa-apa. Katanya dia nak balik ke mari, tapi mungkin dia masih seronok
tinggal kat Bukit Tinggi tu.” Jelas Orked acuh tak acuh.
Maria terkelip-kelip memandang anak
gadis itu. Entah mahu percaya atau pun tidak, naluri keibuannya bagaikan dapat
menghidu ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya
nak ke dalam dulu.” Ujar Orked meminta diri lalu mengangkat beg pakaiannya.
Maria mengangguk. Dia masih mahu
bertanyakan perihal Idlan sebenarnya. Tapi mengenangkan raut wajah Orked
kelihatan letih, dia hanya mampu menanam kebimbangan itu di pelusuk hati.
*
* * *
KERUT di wajah Maria berlanjutan sehingga ke
meja makan. Hatinya tiba-tiba rasa kurang senang melihat Orked pulang
bersendirian tanpa Idlan. Perubahan wajah Maria kini ketara di mata Hamdan.
Dahinya berkerut memerhatikan gelagat isterinya itu.
“Awak
ni kenapa Mar?” Soal Hamdan ingin tahu. Dari tadi dia melihat isterinya seperti
sedang memikirkan sesuatu. Renungan mata Maria seakan tenggelam jauh.
“Apa
yang dibuat oleh budak tu sampai awak jadi macam ni?” Pertanyaan Hamdan berbaur
tuduhan.
Maria menoleh. Keluhan kesal meniti di
bibirnya.
“Bukan
sebab Orked bang.” Jawab Maria.
“Habis
kalau bukan dia, sebab siapa pulak?”
“Idlan..”
Kerut
di wajah Hamdan semakin lebar. Idlan? Apa yang tidak kena dengan anak lelaki
isterinya itu?
“Saya
risau fasal Idlan bang.” Keluh Maria.
“Kenapa
dengan Idlan? Dia tak balik ke mari dengan Orked?” Soal Hamdan ingin tahu. Dia
sendiri jarang-jarang berjumpa dengan anak muda itu sejak Idlan balik dari
London hampir dua minggu yang lalu.
Maria
menggeleng. “Kata Orked dia masih di Bukit Tinggi.”
“Kan
saya dah cakap hari tu. Idlan tu takkan tahan dengan perangai budak Orked tu.
Saya melarang tapi awak kata biarkan aje dia bawa budak tu ke Bukit Tinggi.
Sekarang entah apa dibuat anak tak sedar diri tu.” Rungut Hamdan dengan wajah
merah padam. Lagi-lagi soal Orked yang membawa masalah diungkitnya, padahal
isterinya membicarakan tentang Idlan.
“Abang,
perlahankanlah suara tu. Dengar dek Orked nanti terguris hati dia nanti.” Keluh
Maria, kesal dengan sikap si suami yang langsung tidak ada tanda-tanda mahu
berbaik-baik dengan anak gadisnya sendiri.
“Biar
dia dengar. Saya kalau dia tak balik langsung ke rumah ni lagi bagus. Tak
menyemakkan mata saya.” Rungut Hamdan lagi.
Maria
beristighfar panjang. Terkejut mendengar percakapan sebegitu boleh meniti dari
mulut suaminya. Ingin dia menegur, namun matanya tiba-tiba terpandang sesusuk
tubuh baru turun dari tingkat atas. Dia terpempan. Wajah Orked seperti dibara,
merah padam kelihatan. Maria sedar anak gadis itu mungkin sudah menangkap
setiap patah perkataan yang agak kasar dari mulut ayahnya.
Diam-diam
Orked berpatah balik. Mendaki tangga ke atas lalu hilang begitu sahaja. Maria
mengeluh kesal. Dia memandang wajah suaminya yang sedang enak mengunyah makan malam.
Lelaki itu baik terhadap dirinya dan anaknya Idlan, tapi kenapa Hamdan tidak
boleh melakukan hal yang sama terhadap Orked? Itu yang Maria benar-benar tidak
mengerti. Kenapa?
*
* * *
ORKED menutup pintu biliknya rapat-rapat.
Dia naik ke atas katil lalu berbaring. Kepalanya mendongak ke atas siling
bilik, memandang kosong pada hamparan siling yang putih bagaikan kapas. Jiwanya
entah kenapa terasa kosong.
Kata-kata
ayahnya ibarat racun berbisa. Dia mengakui kepedihan itu tidak pernah sembuh di
lubuk hati. Mengetahui kepulangannya tidak dialu-alukan, lantas kenapa dia
kembali dengan rela? Ayahnya ternyata tidak menyenangi kepulangannya. Samaada
dia kembali atau tidak, langsung tidak memberi apa-apa makna kepada lelaki itu.
Kenapa kau masih di sini Orked? Untuk apa?
Orked
memejamkan matanya. Terbayang wajah Idlan dan senyuman lelaki itu yang
menggetarkan perasaan. Sesaat dia menyakini bahawa dia kembali kerana lelaki
itu. Dia pulang dengan harapan Idlan juga berada di sini, tapi dia tersilap.
Idlan tidak ada seperti yang diharapkannya. Lelaki itu tidak muncul untuk
menenangkan jiwanya yang ketandusan kasih sayang. Ke mana kau pergi Idlan? Where have you been?
*
* * *
SUDAH satu jam lamanya dia termenung di
hadapan bangku di situ. Menghadap ke arah laluan pejalan kaki yang sedang
rancak diselusuri kaki-kaki yang mahu mendapatkan rawatan mahupun melawat sanak
saudara yang sakit. Dia pula ke situ
hanya dengan satu tujuan. Bertemu dengan Doktor Hadi yang juga pernah
merawat ayahnya suatu ketika dahulu.
Dia
tahu pasti semua orang bimbang dan risau bila dia tidak pulang-pulang. Malah
dia juga risau dengan Orked yang ditinggalkannya bersendirian di Bukit Tinggi.
Sungguh dia tidak bermaksud mahu mengabaikan gadis itu. Hanya dia tidak mahu
Mak Tun, Pak Man dan Orked sendiri tahu apa yang sedang dideritainya. Dia tidak
mahu simpati sesiapa, jauh sekali mahu memberitahu semua orang tentang penyakit
yang dihadapinya, terdiagnosis sewaktu dia mengalami kemalangan di London
hampir enam bulan yang lalu.
Orked!
Gadis itu membuatkan dia lupa sebentar bahawa dia sedang sakit. Kerana Orked
dia menyibukkan dirinya untuk sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan
dirinya. Sehinggalah kehadiran Nadya memadamkan saat-saat indah itu di
ingatannya. Melontar dirinya ke dalam jurang yang paling dalam seumur hidupnya!
Sekujur
tubuh tiba-tiba mengambil tempat di sampingnya. Idlan menoleh. Menyedari
kelibat Doktor Hadi yang entah sejak bila terpacul di situ, dia segera
mengalihkan pandangan.
“Jauh
termenung, ingatkan siapa?” Tanya Doktor Hadi, lelaki berusia 40an yang punya
dua isteri dan lima orang anak.
Dia
hanya tersenyum. “Tak ada siapa-siapa pun. Saja duduk termenung habiskan masa.”
Jawab Idlan.
Lelaki
itu terdiam seketika. Hembusan nafas Doktor Hadi berat, seperti sedang
memikirkan sesuatu.
“Kamu
bosan?” Soal Doktor Hadi seolah-olah memahami apa yang sedang dirasakannya.
Dia
tetap jua tersenyum. Beberapa hari menghabiskan masanya di katil hospital,
orang normal manakah yang akan gembira dan menikmati hidup sebegini?
“Id
nak keluar dari hospital hari ni Uncle Hadi.” Ujar Idlan.
Doktor
Hadi tergaman. Terkejut bercampur risau. Bukan kerja mudah untuknya memujuk
Idlan tinggal di hospital menjalankan rawatan. Kini baru beberapa hari berada
di tempat ini, Idlan sudah tidak sabar mahu keluar. Sebolehnya dia mahu Idlan
tinggal lebih lama supaya penyakit Idlan dapat disusul.
“Please Id, kita dah berbincang fasal hal
ni.” Pujuk Doktor Hadi.
“Tempat
ni hanya ambil banyak masa Id uncle. Sedangkan uncle pun tahu, Id sudah tidak
punya banyak masa.”
“Itu
cakap orang yang sudah putus asa Id. Jangan fikir negatif, banyak bersabar dan
ingatkan ALLAH. Walaupun uncle ni doktor, tetapi uncle cukup sedar, ajal maut
itu urusan ALLAH. Tak ada manusia dalam dunia ini boleh meramal jangka hayat
seseorang. Tak ada Id!” Nasihat Doktor Hadi.
Idlan
terdiam. Dia tersenyum memandang lelaki itu. Pandai lelaki itu menenangkan
hatinya.
“Uncle
cakap begini juga ke pada ayah dulu?” Soal Idlan ingin tahu.
Doktor
Hadi tergaman. Dia menarik nafas panjang.
“Ayah
kamu lelaki yang tabah. Bertahun-tahun dia berjuang merawat penyakitnya. Doktor
ramalkan dia hanya boleh hidup dalam beberapa bulan sahaja. Tapi kamu tahu
berapa lama dia bertahan?” Doktor Hadi memandang Idlan.
Idlan
menggeleng.
“Dua
tahun. Dua tahun Idlan.” Ujar Doktor Hadi muram.
“Kenapa
ayah sembunyikan hal ini dari pengetahuan Id uncle?”
“Sebab
dia tak mahu kamu susah hati kerananya.”
“Ironi
kan? Bersusah payah ayah rahsiakan fasal penyakitnya, tapi akhirnya Id pula
yang mewarisi penyakit ayah.” Bisik Idlan tertawa kecil.
Doktor
Hadi terharu. Meskipun anak muda itu kelihatan selamba, dia tahu hati Idlan
sedang rapuh di dalam. Ketika Idlan bertemunya dua minggu yang lalu membawa
laporan perubatannya dari hospital di London, dia memang tidak menduga Idlan
akan menghidap leukemia akut sama seperti yang pernah arwah Ikhmal hadapi
dahulu. Dan leukemia yang Idlan alami ialah leukemia tahap 4. Bermakna
kemungkinan besar kaedah rawatan biasa seperti kemoterapi dan radioterapi sudah
tidak berkesan ke atas Idlan. Dia sendiri hanya boleh menghentikan kesakitan
yang Idlan alami dengan rawatan paliatif.
Sekadar boleh membekalkan Idlan dengan ubat-ubat penahan sakit dan ubat
antibiotik untuk membantu daya tahan tubuh anak muda itu.
Meskipun
begitu dia tidak ingin menyerah kalah. Dia pernah gagal merawat Ikhmal sahabat
baiknya sendiri. Jadi dia tidak ingin berputus asa merawat Idlan pula. Mungkin
keajaiban boleh berlaku sepertimana Ikhmal yang boleh bertahan lebih lama dari
yang disangkakan.
* * * *
SEBAIK
Doktor Hadi beredar,
Idlan berkira-kira mahu menghubungi Mak Tun di Bukit Tinggi, bertanyakan khabar
tentang Orked. Entah kenapa dia rasa bersalah kerana diam-diam menghilangkan
diri tanpa memberitahu apa-apa. Moga-moga gadis itu masih berada di Bukit
Tinggi! Idlan menyulam harapan besar.
Sebaik
dia balik ke biliknya, perkara pertama yang dilakukannya ialah menghubungi Mak
Tun dan Pak Man. Seperti yang diduga telinganya rancak dileter Mak Tun yang tak
habis-habis bertanya ke mana dia menghilang selama ini.
Dia
hanya memberi alasan ringkas, bermalam di rumah seorang teman kerana didatangi
hal mendadak. Soal pasangan suami isteri itu percaya atau tidak, dia tidak ambil
peduli.
“Mak
Tun, panggilkan Orked sekejap. Saya nak bercakap dengan dia.” Pinta Idlan.
Namun sebaik dia mendengar kata-kata Mak Tun, raut wajahnya segera berubah.
Bicara Mak Tun panjang lebar menjelaskan setiap perincian yang berlaku
sepanjang dia ghaib dari vila itu.
Sebaik dia meletakkan gagang telefon,
keluhan kesal meniti dari bibirnya. Kasihan Orked. Sepatutnya dia mengambil
tindakan menghantar gadis itu pulang ke rumah dahulu. Dari sikap Orked, dia
dapat menjangka anak gadis itu pasti akan mengamuk sebaik melihatnya. Mungkin
juga Orked akan bersedia membelasahnya. Damn
it Idlan! Kenapa kau tak berfikir panjang kali ini?