CAHAYA terang menyuluh masuk melalui celah-celah
tirai jendela yang tersingkap. Orked masih terpisat-pisat di atas katil.
Perasaan keliru dan bingung saling bercambah dalam dirinya. Dia merenung
persekitaran bilik tidur yang dilengkapi perabut mewah bergaya ala Inggeris
itu. Cuba
mengingati semula bagaimana dia boleh terperosok di atas katil mewah yang asing
dari kamar tidurnya sendiri.
Sejauh
yang masih diingatinya, dia mengikut wanita bernama Sarah yang ditemuinya di
dalam kapal terbang. Menaiki keretapi ekspress dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Malpensa sehingga ke Stesyen Cadorna. Di Stesyen Cadorna, mereka dijemput
seorang lelaki berbangsa Itali. Tapi siapa lelaki itu dia tidak sempat mahu ambil
tahu lantaran matanya yang bengkak-bengkak kelmarin.
Bunyi
daun pintu berkeriut membuatkan Orked berpaling.Di muka pintu,
Sarah berdiri sambil tersenyum memandangnya.
“Orked dah bangun?” Sapa Sarah lalu
menghampirinya.
Dia mengangguk.
“Kak,
saya di rumah kakak ya?” Soalnya inginkan kepastian.
Sarah
ketawa besar mendengar kata-kata gadis itu. “Yalah kita kat rumah kakak, takkan
kat hotel kut. Orked tak ingat semalam Orked ikut kakak?”
Dia
menggeleng sambil memegang kepalanya yang berdenyut-denyut sedari tadi.
Sakitnya mencucuk ditambah lagi sinaran matahari yang mencelah masuk dari tirai
langsir yang tersingkap, tepat menghujani iris matanya.
“Besar
bilik ni.” Komen Orked. Dia tidak berniat mahu mengatakannya, tapi entah kenapa
semua itu meluncur laju dari mulutnya tanpa disedari.
“Rumah ni
sengaja dibina dengan senibina Inggeris dan digabungkan dengan senibina di
zaman Renaissance Itali sewaktu era Florence dulu.Suami kakak yang bina rumah ni. Dia
seorang arkitek. Nama Islamnya Daud Callisto Abdullah.” Terang Sarah.
Orked
mengangguk, mula mengerti kedudukan sebenarnya. Rupa-rupanya Sarah berkahwin
dengan warga Itali dan menetap di Milan.
Patutlah wajah Iman Rayyan tidak seperti kanak-kanak melayu yang lain.
“Kakak
bekerja?” Tanya Orked ingin tahu.
Sarah
menggeleng. “Dulu kakak belajar di Bristol,
kemudian sewaktu bercuti ke Europe dengan kawan-kawan
universiti, kakak jumpa dengan suami kakak. Kami jatuh cinta dan ambil
keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Keputusan yang agak drastik kan?” Sarah ketawa lagi.
Orked hanya mampu tersenyum. Cinta
boleh hadir walau hanya dalam sesaat! Apa yang dipelikkan?
“Mulanya
ingat nak kerja, tapi suami kakak tak
bagi. Dia minta kakak jaga dia aje dan jaga rumahtangga kami. Kakak pun tak
kisah, lagipun kakak suka memasak dan mengemas untuk suami dan anak kakak. Dah
dekat lima tahun kami kahwin dan sejak tiga
tahun yang lalu kakak pindah dan menetap di Milan. Setiap tiga bulan sekali, kakak akan
bawa Iman balik ke Malaysia
untuk bertemu keluarga kakak kat sana.”
Cerita Sarah panjang lebar.
Orked terdiam. Di dalam hatinya, singgah rasa kagum pada Sarah yang berani
berkahwin dengan warga asing dan hidup di rantau orang. Kalau jatuh di
tempatnya, belum tentu dia akan berani melakukannya.
“Keluarga
kakak macamana? Mereka tak kisah?”
Sarah
tersenyum kecil. “Mula-mula dulu mereka memang menghalang hubungan kakak dan
Daud. Tapi Daud sanggup ikut kakak balik ke Malaysia jumpa keluarga kakak.
Sebelum tu dia belajar cakap bahasa melayu selama beberapa bulan, supaya senang
dia nak berkomunikasi dengan keluarga kakak. Dekat berbulan-bulan jugaklah dia
tinggal di kampung kakak. Lama-kelamaan keluarga kakak mampu terima Daud
sebagai sebahagian dari keluarga kami. Kami kahwin dan bahagia sehingga
sekarang. Iman satu-satunya pengikat cinta kami.”
Melihat
kebahagiaan yang terpancar pada raut wajah Sarah ketika bercerita, Orked
tiba-tiba dilanda perasaan sedih. Pilu hatinya melihat cinta murni antara Sarah
dan suaminya mampu berakhir ke jinjang pelamin. Sedangkan cintanya musnah di
tengah jalan. Sebelum sempat ia mekar dan berkembang.
“Orked..”
panggil Sarah.
Orked
berpaling Terpinga-pinga dia melihat Sarah begitu asyik memerhatikannya.
“Kalau
kakak tanya sesuatu, Orked jangan marah ya.” Ujar Sarah.
Orked
terdiam.
“Kakak
bukan nak menyibuk. Tapi kejadian semalam buat kakak tertanya-tanya. Kenapa
dengan Orked sebenarnya? Siapa lelaki yang Orked panggil waktu kita kat stesyen
keretapi tu?” Soal Sarah ingin tahu.
Orked
terpempan. Tiba-tiba sahaja ingatannya tumpah pada wajah lelaki seiras Idlan
yang ditemuinya kelmarin. Semalaman dia menangis kerana teringatkan lelaki itu.
Entah sejak bila dia terlena dengan sisa-sisa airmata masih di pipinya.
“Kalau
Orked tak nak jawab pun tak mengapa. Kakak tak paksa.” Ujar Sarah apabila
melihat gadis di hadapannya diam sahaja.
Timbul perasaan serba-salah di hatinya kerana sibuk mahu mengambil tahu hal
yang bukan menjadi urusannya.
“Kakak
keluar dulu ya. Orked mandi dan bersiap, lepas tu keluar tau. Kakak dah
sediakan breakfast untuk Orked. Nanti
kita breakfast sama-sama.” Ujar Sarah
lalu tersenyum. Dia segera menuju ke arah pintu. Namun belum sempat dia menghilang,
suara Orked kedengaran memanggilnya. Sarah berpaling. Mata anak gadis itu
kelihatan basah membuatkan dia serta-merta bungkam.
“Orked?
Kenapa ni?”
“Maafkan
Orked sebab tak mampu nak berterus-terang dengan kakak. Mungkin Orked sudah
gila, masih terkenang-kenangkan orang yang sudah tak ada. Orked ke mari sebab
nak cuba
lupakan dia. Tapi tak sangka, sehingga ke mari pun, bayang-bayangnya masih
wujud di hadapan mata Orked.” Ujar gadis itu.
Sarah
terkedu. Kata-kata gadis itu membuatkan dia menarik nafas panjang. Jadi itu
tujuannya kenapa gadis semuda Orked berani memijakkan kakinya ke sebuah negara
asing? Hanya kerana mahu melupakan seseorang? Kasihan Orked! Tentu cintanya
terhadap lelaki itu begitu mendalam. Jika tidak masakan gadis itu
menjerit-jerit seperti orang gila semalam. Mujur dia berjaya menenangkan gadis
itu sebelum pihak berkuasa tempatan campur tangan.
*
* * *
SELEPAS bersarapan, Orked mengikut Sarah
keluar. Dia sendiri tidak tahu ke mana hala tuju wanita itu sebenarnya. Dia
hanya akur apabila Sarah mengajaknya keluar bersiar-siar. Iman Rayyan yang
sedang tidur ditinggalkan di rumah pengasuh kanak-kanak itu yang kebetulan
tinggal berjiran dengan Sarah tidak jauh dari Corvetto Residence.
Madam
Allegra yang berbadan gempal dan bermulut becok itu tak sudah-sudah menegur
Orked di samping Sarah, meskipun Orked tidak mampu memahami bahasa Itali yang
digunakan wanita itu.
Selepas
mereka meninggalkan kawasan rumah Madam Allegra, dia mengambil kesempatan
bertanya pada Sarah apa yang diperkatakan wanita itu sebentar tadi. Sarah hanya
ketawa kecil mendengar pertanyaan Orked.
“Madam
Allegra tu memang peramah orangnya. Dia tak fasih berbahasa Inggeris tak
seperti suaminya Christiano. Tadi tu dia sebut ‘bello’. Maksudnya cantik. Kata Madam Allegra, Orked ni cantik
orangnya.” Jelas Sarah lalu tersenyum.
Orked ketawa kecil mendengarnya.
Cantik? Orang Itali puji aku cantik? Rabun agaknya Madam Allegra tu.
“Kenapa Orked ketawa? Tak percaya?”
Sarah turut sama tergelak.
“Mana ada Orked ni cantik kak. Madam
Allegra tu salah tengok kut.”
Sarah ketawa lebih kuat. “Ada pulak macam tu. Madam
Allegra tu memang rabun pun. Tapi rabun dia kali ni kakak pun setuju. Siapa
kata Orked tak cantik? Kakak suka tengok muka Orked. Comel! Kalau kakak ada
anak perempuan, kakak nak muka anak kakak tu macam muka Orked. Sejuk mata
memandang.” Sahut Sarah.
“Kalau macam tu, kakak kena pandang
muka Orked ni tiap-tiap hari. Baru melekat ‘comel’ Orked ni pada baby kakak nanti. Ada-ada ajelah Kak
Sarah ni.” Orked menggeleng-gelengkan kepalanya seraya tersengih. Lucu mendengar
kata-kata Sarah yang dua kali lima
dengan Madam Allegra.
“Kalau
nak pandang Orked tiap-tiap hari, nampak gaya
Orked kena tinggal kat sinilah. Manalah tahu suatu hari nanti jodoh Orked dengan
mamat Italian macam kakak.” Usik Sarah penuh bermakna.
Orked
hanya tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia tidak berhasrat sehingga begitu.
Meskipun jodoh dan maut di tangan Tuhan, namun dia masih belum sanggup untuk
bersuamikan lelaki Itali dan tinggal jauh dari tanahairnya sendiri.
“Kita
sebenarnya nak ke mana ni kak?” Orked tiba-tiba melencongkan pertanyaan. Dia
sudah tidak berminat mahu meneruskan perbualan terakhirnya dengan Sarah,
bimbang perbualan itu terus melarat.
“Hmm..hari ni kakak nak bawa Orked jalan-jalan
kat tempat ni. Hari ni kakak jadi orang bujang sekejap semata-mata untuk
Orked.” Ujar wanita itu.
“Jalan-jalan?
Kat mana?”
“Apa
kata Orked yang beritahu kakak? Di sini, tempat apa yang Orked rasa teringin
nak melawat?” Soal Sarah lagi.
Orked
terdiam sebentar. Seketika dia menarik nafas panjang seraya melontarkan
pandangan ke arah Sarah yang masih menanti jawapannya.
“Boleh
kita ke Duomo Square?”
Sarah
tersenyum. “Pandai Orked teka. Memang kat situlah kakak cadang nak bawa Orked
pergi. Sesiapa yang datang ke Milan
kalau tak pergi melawat Piazza del Duomo, memang tak sah!” Canang Sarah dengan
wajah gembira. Hanya Orked yang tidak terkesan dengan kata-kata itu. Kerana ada
suara lain yang sedang meniti di kepalanya saat ini.
“Abang
teringin nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa kecil dulu abang dah
pernah datang dengan arwah ayah. Tapi sekarang rasa rindu nak tengok semula.
Entah sempat atau tidak.” Cerita Idlan masih disimpannya satu persatu di dalam
kepalanya. Ketika itu dia ralit sendiri medengar cerita-cerita Idlan tentang patung
St. Bartholomew Santa Maria delle Grazie, Castello Sforzesco dan macam-macam
lagi. Semuanya gara-gara dia terjumpa gambar-gambar lama percutian antara
Idlan, ibunya Maria dan arwah ayahnya Ikhmal di Itali di chalet Idlan di Bukit
Tinggi.
“Manalah
tahu suatu hari nanti kita ada peluang datang sama-sama ke sana. Orked mesti
suka kalau dapat tengok Duomo tu.”
Matanya dipejam rapat. Ada air hangat bertakung
di kelopak matanya. Peluang yang Idlan
katakan itu, tak mungkin akan tertunai. Kerana saat ini dia hanya sendirian di
sini tanpa Idlan.
Dia memalingkan wajah ke luar tingkap
kereta yang sedang dipandu oleh Sarah. Dia tidak ingin wanita itu menjadi saksi
pada sebuah kelukaan yang dirasakannya saat ini. Kehilangan! Dia sudah
kehilangan Idlan. Apa lagi yang tinggal untuk dirinya?