PANAS yang membahang di wajahnya membuatkan
dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Namun cahaya matahari yang mencelah
masuk dari arah hadapan menganggu penglihatannya. Dia segera melarikan wajahnya
dari terus diganggu sinar matahari itu. Ketika dia berpaling, bebola matanya tiba-tiba
terpandang seseorang sedang tidur di sebelahnya. Melihat lelaki itu, serta-merta
dia terkejut. Kaget!
Tangannya diangkat tinggi mahu memukul
lelaki di sampingnya. Tapi sejurus kemudian, dia menjatuhkan tangannya kembali.
Wajah lelaki itu direnung lama. Baru dia teringat siapa lelaki itu. Idlan! Idlan
Riyaz! Dia menyebut nama itu berulangkali seraya merenung wajah lelaki itu
lebih dekat. Hmm..boleh tahan juga dia ni! Bisik hati kecilnya. Padanlah Mira
boleh angau dalam tempoh beberapa jam sahaja!
Wajah lelaki itu bersih dan kelihatan
tenang. Alis matanya teratur, tidak nipis dan tidak juga terlalu tebal.
Sedang-sedang elok! Bibir lelaki itu merah menandakan lelaki itu bukan perokok
tegar. Jika diraut dengan teliti, lelaki di sampingnya itu memang terkategori
lelaki kacak. Sedap mata memandang. Mempunyai penampilan yang segak meskipun
hanya berpakaian santai sahaja.
Sedang
dia asyik mengulit wajah itu, lelaki itu tiba-tiba membuka matanya seraya
menguap. Orked terkejut, lalu cepat-cepat membalikkan tubuhnya.Pura-pura tidur.
Tapi dia dapat mendengar keluhan lelaki itu meniti dari bibir. Dalam keadaan
mata masih terpejam rapat, dia dapat merasakan seseorang sedang membuka pintu
kereta di sebelah tempat duduknya. Sejurus sepasang tangan kekar tiba-tiba menyentuh
pinggangnya. Orked sudah tidak mampu berpura-pura lagi.Dia membuka mata serentak menjerit
nyaring! Tangannya sudah kucar-kacir memukul sana sini.
“Orked,
ini abanglah. Aduh!” Suara Idlan kedengaran.
Orked
berpaling. Melihat wajah Idlan yang merah padam, dia segera menutup mulutnya.
Alamak! Wajahnya pucat memandang ke arah Idlan yang asyik mengosok-gosok
dadanya.
“Kuatnya
Orked pukul. Kalau macam ni, CM Punk dengan The Ogre pun boleh kalah.” Gurau
Idlan dengan wajah berkerut. Senak dadanya kena tumbukan gadis itu.
“Siapa
suruh kau ambil kesempatan?”Orked
pura-pura membela diri.
Idlan
tercengang. Kata-kata gadis itu membuatkan dia separuh bingung. Tiba-tiba ketawanya
meletus kuat. Terasa lucu dengan salah faham kali ini.
“Maaf
dik kalau abang spoilimaginasi Orked
yang tinggi melangit tu. Tadi tu abang cuma nak tolong angkat Orked masuk rumah
aje. Takkan nak biarkan Orked tidur kat sini sampai tengahari nanti.” Ujar
Idlan bersama sisa-sisa tawanya.
Wajah
Orked mula membiru mendengar penjelasan Idlan yang bersahaja. Malunya! Dia
mengigit bawah bibir kerana terasa malu dengan kelakuannya sebentar tadi.
Bodoh! Buat kesimpulan tak kena tempat! Tak fasal-fasal diketawakan orang!
Rungut hati kecilnya.
“Dah
lah tu, jom kita keluar. Mujur Orked dah sedar, tak payahlah abang angkat Orked
lagi ke dalam.” Pelawa Idlan.
Orked
mengalihkan pandangan. Baru dia perasan di hadapannya kini terdapat sebuah
rumah besar yang agak cantik dengan landskap taman dan air terjun di bahagian
laman rumah. Rumah ala-ala tropika itu dibina dengan gabungan konsep moden dan
tradisional. Cantik! Bisik hati kecil Orked tanpa disedari.
“Kita
kat mana ni?” Soal Orked bingung. Dia inginkan penjelasan yang rasional dari
Idlan. Matanya tak habis-habis menyorot suasana di sekeliling rumah itu yang
kelihatan sunyi sepi.
“Orked
yang kata nak pergi jauh dari rumah kan?
Jadi abang bawa Orked ke sini. Betul-betul jauh dari rumah. Kita sekarang kat
Bukit Tinggi,” Bisik Idlan di tepi telinganya.
Apa? Bukit Tinggi? Dia menelan liur
mendengar kata-kata Idlan. Entah kenapa, kata-kata lelaki itu membuatkan dia
gusar. Matanya menukas tajam ke arah Idlan yang kelihatan selamba. Cuba mencari
segaris kejujuran di wajah lelaki itu. Mungkin lelaki itu adalah anak kepada
ibu tirinya. Tapi siapa boleh menjamin lelaki itu bukan dari kategori psiko
atau pembunuh bersiri?
“Aku
nak balik.” Tiba-tiba sahaja dia nekad menyebut
begitu.
Idlan
ketawa kecil. “Lucu! Sekejap nak pergi jauh dari rumah. Sekejap nak balik
pulak. Ni kalau jawab dalam exam,
cikgu pun pening nak semak jawapan.” Sindir Idlan.
Namun
dia tidak mempedulikan kata-kata Idlan itu. Hatinya tiba-tiba menyangsikan kejujuran lelaki itu. Dia hanya
tahu bercakap sahaja mahu lari jauh dari rumah. Hakikatnya niat Idlan
membawanya ke tempat yang sunyi itu menimbulkan curiganya.
Dia meraba-raba sesuatu dari dalam beg
sandangnya. Ada! Nasib baik pepper stray
itu masih ada di dalam beg sandangnya. Dia sudah berkira, kalau Idlan cuba
melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya, dia akan menyembur serbuk lada
itu ke wajah lelaki itu. Lantaklah nak jadi apa pun!
Namun
belum sempat dia merencanakan rancangannya, tiba-tiba muncul seorang wanita tua
di belakang Idlan.
“Dah
lama sampai Idlan?” Tegur wanita itu.
Idlan
berpaling. Sebaik melihat wanita itu, dia segera berteriak gembira.Tangan
wanita itu segera dicapai lalu dikucup.
“Baru aje Mak Tun. Saya bawa tetamu
ni.” Ujar Idlan seraya melirik ke arah Orked yang tercegat seperti patung.
Wanita itu turut menoleh ke arah anak gadis itu.
“Siapa ni?”
“Ini Orked, adik saya.” Jawab Idlan. Perkataan ‘adik’
sengaja disebut kuat-kuat. Ini kerana dia tahu Orked tentunya berbulu mendengar
kata-katanya. Hampir dia hendak ketawa melihat wajah Orked yang mencuka ketika
memandangnya. Sasarannya mengena!
“Oh
adik..” Wanita itu tersenyum simpul.“Berapa lama kamu bercadang nak menginap
kat sini?” Soal Mak Tun.
“Entahlah
Mak Tun, belum tahu lagi. Cadangnya dalam beberapa hari.” Ujar Idlan.
Wanita
itu mengangguk. “Duduklah selama mana kamu mahu pun Idlan.Rumah ni
pun milik kamu. Mak Tun ni cuma menjaganya saja.”
“Mak Tun sudi menjaga rumah ni pun,
saya sangat berbesar hati Mak Tun. Kalau tidak, rumah arwah ayah ni akan
terbiar begitu aje.”Tukas
Idlan tersenyum.
“Amanat
ayah kamu, kenalah Mak Tun tunaikan. Dia lelaki yang baik, sayangnya arwah
pergi dulu.” Keluh wanita itu.
Orked
yang mendengar perbualan itu hanya mampu terpisat-pisat. Dia langsung tidak
memahami maksud perbualan kedua-duanya. Selebihnya dia malas mahu mengambil
tahu. Namun begitu, hatinya berasa tenang sedikit mendengar wanita tua itu
menetap di rumah itu. Jadi tidaklah dia dan Idlan berdua-duaan seperti yang
terasuk di fikirannya sebentar tadi.
“Bawalah
adik kamu ni masuk dulu. Mak Tun nak ke belakang sekejap kutip sayur-sayuran
buat lauk kita malam ni.” Canang orang tua itu.
“Ada sesiapa menginap kat sini Mak
Tun?” Tanya Idlan.
“Ada satu keluarga dengan sekumpulan
budak-budak kolej yang nak pergi memancing kat tasik. Hari ni tak ramai sangat.
Tapi minggu lepas sampai tak menang tangan Mak Tun dengan Pak Man kamu.” Ujar
wanita itu lalu beredar dari situ.
Idlan berpaling. Melihat tingkah Orked yang sedang
memerhatikannya dengan wajah cemberut, dia hanya mampu tersenyum.
“Tadi tu
Mak Tun, penjaga rumah ni.Dia
tinggal kat sini dengan suami dia, Pak
Man.” Jelas Idlan tanpa dipinta.
“Rumah
siapa ni?” Tanya Orked ingin tahu.
“Ini
rumah peninggalan arwah ayah abang. Mak Tun dan Pak Man, kenalan lama ayah
abang. Dah lama mereka menetap kat rumah
ni. Abang tak sampai hati nak suruh mereka pindah.” Jelas Idlan.
“Tadi
kau kata ada orang
lain menginap kat sini? Siapa?” Entah mengapa Orked tiba-tiba berminat ingin
tahu.
Idlan
tersenyum lalu mengangkat beg sandang Orked yang tersimpan di belakang kereta.“Sebenarnya
tempat ni homestay. Ayah abang beli
dan bina tempat ni sebab ini satu-satunya impian dia. Dekat kawasan ni ada air
tasik buatan, ada laluan untuk jungle
trekking. Kalau Orked suka, ada kolam renang kat belakang rumah siap dengan
tennis court lagi.Nanti abang bawa Orked jalan-jalan sekitar
kawasan ni.”
Orked
terdiam. Tanpa berkata apa-apa, dia segera mencapai beg sandangnya dari tangan
Idlan lalu menggalas beg tersebut.
“Orked
boleh duduk kat sini bila-bila masa sahaja Orked suka. Tapi kalau Orked tak
suka tinggal kat sini, sekarang juga abang boleh bawa Orked balik.” Getus Idlan
seraya melirik ke arah anak gadis itu.
Tapi
melihat anak gadis itu melangkah masuk ke arah pintu rumah yang sudah terbuka
luas, mahu tak mahu Idlan tersenyum. Dia tahu berbanding tempat ini dengan
rumah gadis itu, Orked pasti akan memilih tinggal di tempat yang sunyi ini.
*
* * *
BULAT
matanya memerhatikan
susun atur bilik yang ditempatinya. Bilik itu cantik sekali, dihias oleh perabot-perabot
moden yang ringkas. Orked melemparkan beg sandangnya ke tepi dinding lalu
menghempas diri ke atas katil. Matanya merayap ke atas siling bilik itu. Terkial-kial
memandang ke suatu titik. Merenung jauh pada sesuatu yang menghambat
perasaannya.
Kelopak
matanya dipejamkan. Wajah ayahnya segera terbayang-bayang di ruang mata. Entah
apa reaksi lelaki itu jika tahu dia enggan pulang ke rumah sebaik keluar dari
lokap? Pasti lelaki itu berang! Malah jika ayahnya ada di hadapannya sekarang,
sudah pasti pelempang lelaki itu akan naik ke pipi licinnya.
Tiba-tiba
sahaja hatinya diulit sayu. Kesedihan berpupuk di jiwa. Bukan niatnya mahu
menyakiti hati lelaki itu. Malah jauh sekali untuk dia menyusahkan ayahnya
seperti ini. Tapi jika ini satu-satunya jalan untuk dia menarik perhatian ayahnya,
maka dia lebih rela dibenci dan dicaci. Sekurang-kurangnya lelaki itu akan memandang
dan mengingatinya meskipun dengan perasaan marah.
Tanpa
disedari setitis airmatanya gugur jua di pipi. Orked cepat-cepat mengesatnya
sambil menggelengkan kepala. Tidak! Aku tak boleh menangis sekarang. Bukan
sekarang! Dia bingkas bangun lalu berpaling ke arah beg sandangnya. Isi beg itu
dikeluarkan satu persatu sehingga tangannya menyentuh sebuah kotak kecil yang diperbuat dari seramik
berwarna pink muda. Kotak itu sentiasa dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi.
Terdapat hiasan bunga ros kecil pada penutup kotak itu. Kotak itu adalah hadiah terakhir umi
untuknya. Di dalam kotak
itulah dia menyimpan setiap hasrat hatinya yang tidak pernah kesampaian.
“Janji dengan umi, apa sahaja yang ayah
buat pada Orked, Orked kena sabar. Orked tak boleh lawan cakap ayah. Orked kena
ingat pesan umi.” Suara uminya menerpa dalam ingatan.
“Maafkan
Orked umi, Orked bukan anak yang baik seperti yang umi harapkan. Orked hanya
gadis biasa yang sentiasa tercalar dengan sikap ayah yang tak pernah mahu
memandang Orked!” Tangisnya pilu.Kenangan manis bersama uminya terlalu
dirindui. Hinggakan pada suatu tahap, dia merasa dirinya lebih baik mati dari
dilayan seperti jasad yang kaku dan hina pada pandangan ayahnya.
Idlan
membatalkan hasrat untuk mengetuk pintu bilik di hadapannya. Perlahan-lahan dia
menjatuhkan tangannya. Suara tangisan yang sayup-sayup di telinganya membuatkan
dia menjarakkan diri dari bilik di hadapannya.
Dia
tidak menyangka, gadis yang nampak
keras hati itu rupa-rupanya masih tahu menangis. Masalah apakah sebenarnya yang
membelenggu diri gadis seusia Orked? Dia teringatkan airmata yang mengalir di
cerun pipi gadis itu pagi tadi. Apakah tangisan di dalam kereta itu sama
maksudnya dengan tangisan yang ini?
“Dia
tidur agaknya.” Ujar Idlan ketika Mak Tun bertanya.
“Hmm..penat
agaknya tu. Tak apalah, kita makan dulu. Nampaknya hari ni kita berdua
sahajalah. Tetamu-tetamu lain sejak awal-awal pagi dah keluar.” Keluh Mak Tun.
“Pak
Man ke mana Mak Tun?”
“Dia
ke kampung sebelah. Berubat orang sakit kat sana.” Ujar Mak Tun sambil menyenduk nasi lemak
ke pinggan Idlan.
“Tak
sangka Pak Man masih pandai ubatkan orang. Bolehlah dia tolong ubatkan saya
nanti.” Idlan tersenyum.
Mak
Tun menoleh. Wajah orang tua itu berubah mendengar kata-kata Idlan.
“Kamu tak
apa-apa Idlan?” Mak Tun bertanya. Nada suaranya jelas risau.
Idlan tiba-tiba ketawa. “Saya bergurau aje Mak Tun. Cuba
Mak Tun tengok saya ni, saya okey je kan?”
Idlan bercanda dalam gurauan.
“Terkejut
Mak Tun dengar kamu cakap begitu. Kus semangat.” Mak Tun menarik nafas panjang
seraya menggelengkan kepalanya. Untuk seketika, dia benar-benar merasa bimbang
apabila mendengar rentak bicara Idlan.
“Saya
okey je Mak Tun. Cuma ada seorang yang tak okey dalam rumah ni.” Sahut anak
muda itu selamba.
“Siapa?”
Mak Tun tercengang-cengang.
“Yang kat dalam bilik tu.” Idlan menjuihkan
mulutnya ke suatu arah.
Mak Tun mula memahami siapakah yang
dimaksudkan oleh anak muda itu.
“Dia benar-benar adik tiri kamu?”Tanya Mak Tun
sekali lagi.
Idlan mengangguk. “Takkanlah saya nak bawa mana-mana perempuan
sebarangan datang ke mari. Nanti disergah Pak
Man, masak saya nanti.” Gurau Idlan.
Mak
Tun ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar
gurauan Idlan yang masih ceria seperti dulu.
“Sebenarnya
adik kamu tu kenapa?” Tanya Mak Tun sekadar ingin tahu.
Idlan terdiam. Keluhan kecil meniti
dari bibirnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pada wanita
itu tentang Orked. Segala-galanya tentang gadis itu masih samar-samar baginya.
“Dia
baru keluar dari lokap semalam, lepas tu tak nak balik rumah pulak.” Beritahu
Idlan.
“Hah?”
Mak Tun terpempan. Terkejut mendengar kata-kata Idlan yang selamba. Melihat
wajah Mak Tun, Idlan tidak mampu menahan tawa. Terkeheh-keheh dia mengetawakan Mak
Tun yang terlongo sejenak.
“Mak Tun
ni mudah kena tipu la. Dari dulu sampai sekarang sama je.” Idlan ketawa kecil.
Mak Tun terpinga-pinga.
“Oh jadi kamu tipu Mak Tun la ni ya?
Hmm pandai ya.” Tiba-tiba cubitan Mak Tun singgah di lengan Idlan. Idlan
mengaduh sedikit, tapi masih ketawa. Melihat tingkah lelaki itu, mahu tak mahu
Mak Tun turut melempiaskan tawanya.
Bunyi riuh-rendah itu sampai ke
telinga Orked yang baru keluar dari biliknya. Dia merenung ke arah Idlan dan
Mak Tun yang sedang bergelak-ketawa. Langkahnya tidak jadi diteruskan. Seperti
ada yang tidak kena dirasakannya. Saat ini seluruh jiwa dan perasaannya
kacau-bilau. Tapi kedua-dua manusia di hadapannya itu kelihatan riang dan
gembira. Dan kegembiraan yang baharu sahaja disaksikannya itu entah kenapa
menyakitkan hatinya.
Meskipun aroma nasi lemak itu
menarik-narik dirinya untuk ke meja makan menikmati sarapan, namun diam-diam
dia segera melangkah pergi dari situ tanpa disedari sesiapa.