ORKED meminggir diri di suatu sudut. Memerhatikan suara riuh
rendah yang sedang menyanyikan lagu ucap selamat buat Idlan yang menyambut
harijadinya yang ke 25 tahun. Dari jauh dia melihat Idlan tersenyum hambar
dikelilingi orang ramai. Lelaki itu seperti sengaja memaksa untuk senyum,
walhal dia tahu hati Idlan sengsara. Kalau dia jatuh ke tempat Idlan sekalipun,
mana mungkin dia sanggup menyambut harijadinya pada tarikh yang sama dia
kehilangan orang tersayang. Namun walaupun begitu, lelaki itu cuba berlagak
selamba. Menghargai susah payah orang-orang yang mempersiapkan kek harijadinya
pada majlis ringkas dan barbeque yang diadakan di laman rumah.
“Ayah
abang meninggal sebab abang, Orked. Semuanya sebab abang.”
Dia
masih ingat kata-kata Idlan petang tadi. Kata-kata yang menjemput simpatinya
pada lelaki itu, sekaligus melontarkan ego dalam dirinya ke dalam jurang yang
dalam.
“Ayah
adalah segala-galanya bagi abang. Idola, mentor dan seorang teman. Sebab itu
abang tak sanggup tinggalkan dia dan mama abang. Tapi hasratnya besar nak lihat
abang berjaya dan bergelar arkitek macam dia. Dia nak abang belajar di luar
negara, jadi dia uruskan
segala-galanya tanpa pengetahuan abang. Bila abang dapat tahu, abang marah
sangat. Abang
merajuk hati dengan ayah, mula fikir yang dia langsung tak sayangkan abang
selama ini.” Cerita Idlan sebak.
“Suatu
hari dia rancangkan sambutan harijadi untuk abang. Tapi abang hilangkan diri
dari rumah dan diam-diam tidur di rumah kawan. Abang protes kerana tidak mahu dihantar ke
luar negara. Ayah bimbang dan cari abang di merata-rata tempat tapi gagal temui
abang. Selepas seminggu abang dapat tahu ayah ada kat hospital. Bila abang ke
hospital, keadaan ayah abang dah nazak. Abang dapat tahu rupa-rupanya ayah
abang dah lama mengidap kanser. Patutlah dia beria-ia nak abang ke luar negara
sebab dia tak mahu abang jadi lemah sebab dia. Abang sempat bercakap-cakap
dengan ayah buat kali terakhir, pegang tangan ayah dan kucup dahinya. Semalaman
abang duduk di sisi ayah, temani dia. Tapi keesokan harinya, ayah abang dah tak
ada di dunia ni. Semuanya salah abang Orked. Kalaulah abang tak degil, dan ikut
sahaja kehendak dia lebih awal, tentu dia masih hidup untuk beberapa tahun
lagi.” Bisik Idlan sebak.
Kasihan
Idlan! Tentu hati lelaki itu menderita kerana kehilangan orang tersayang dalam hidup, sama sepertinya
yang sepi tanpa kehadiran seorang ibu. Tapi sekurang-kurangnya ayah Idlan
menyayangi lelaki itu. Lain pula halnya dengan ayahnya sendiri yang jelas-jelas
membencinya!
Suara
jeritan Maira berteriak pada suaminya mengejutkan dirinya dari lamunan. Orked
mengangkat wajahnya lalu menoleh ke suatu arah.
Laman
rumah itu kini diterangi dengan api jamung yang meliuk-liuk. Sengaja
Pak Man memasang jamung tersebut berbanding dengan menerangi tempat itu dengan
lampu kalimantan. Lebih klasik! Gurau orang tua itu. Di hadapan laman rumah itu
juga kini terdapat sebuah meja besar yang memuatkan pelbagai jens makanan
pembuka selera. Hasil gotong-royong pada sepanjang hari itu membuahkan suasana
yang ringkas tetapi meriah.
Orked sahaja yang mematung diri di
majlis itu. Sekadar menjadi pemerhati tidak bergaji majlis sambutan harijadi
lelaki itu. Hendak sama-sama bergembira, dia tidak pernah tahu bagaimana
caranya. Sesekali matanya melontar pandangan sebal ke arah Anna yang asyik
berkepit di sisi Idlan. Berbulu matanya
melihat lentok manja Anna yang asyik mahu rapat ke dada bidang Idlan. Melihat
wajah Idlan yang serba tidak kena, dia mula merasa kasihan. Bodoh! Perempuan
macam tu pun tak reti nak urus! Getus Orked sambil mencebik bibir.
Angkara sakit mata memerhatikan
gelagat gadis itu dan Idlan, membuatkan Orked mengambil keputusan mahu masuk
tidur sahaja. Tapi belum sempat dia hendak berganjak, Idlan tiba-tiba
memanggilnya. Dia berpaling ke arah lelaki itu. Dari jauh, Idlan tak
sudah-sudah melambai ke arahnya. Anna di sisi lelaki ituturut memandang ke arahnya dengan wajah
mencuka.
Hendak
tak hendak dia terpaksa melangkah ke arah Idlan.
“Orked
dah makan? Nak makan kek?” Tanya Idlan tersenyum.
Dia
hanya mengeluh. Itu sahaja ke yang mahu ditanyakan lelaki itu? Buang masa
sungguh! Dia berpaling, dengan hasrat mahu meneruskan niatnya sebentar tadi,
namun pegangan tangan Idlan tiba-tiba melekat di penjuru lengannya. Orked
terkesima dibuatnya.
“Jangan
pergi, temankan abang kat sini.” Pinta Idlan.
Wajah
Orked berkerut. Matanya berbalas pandangan dengan Idlan. Anehnya seperti ada
isyarat tertentu di wajah lelaki itu. Beberapa ketika kemudian, barulah dia
memahaminya. Ternyata Idlan benar-benar tidak selesa berada bersama Anna.
Mata
Orked berlari pula ke arah Anna. Jelingan tajam anak gadis itu membuatkan dia
seperti mahu ketawa besar. Dasar minah tak sedar diri! Tak sedar-sedar ke yang
Idlan tak suka, kenapa asyik terhegeh-hegeh di sisi Idlan?
“Orked
nak cakap sesuatu dengan abang.” Suara Orked keluar, membahasakan Idlan abang
seperti yang diminta Idlan sebelumnya. Dia dapat melihat wajah Idlan berubah mendengar panggilannya.
“Orked
nak cakap apa?” Tanya Idlan, menumpukan sepenuh perhatian ke arah Orked yang
kelihatan serius.
Orked
tidak meneruskan bicara, sebaliknya matanya beredar ke wajah Anna yang
cemberut. “Do you mind?” Soal Orked
sinis.
“Nak
cakap, cakap ajelah. Bukan luak pun aku ada kat sini.” Tak disangka-sangka Anna
berdegil tidak mahu pergi.
Telinga Orked berdesing. Diikutkan
hatinya hendak sahaja dia mencepuk muka anak gadis kerek itu. Tak faham bahasa
langsung! Nama
aje pelajar universiti tapi otak bingai, rungut Orked.
“Memang tak luak pun. Masalahnya aku
nak cakap hal peribadi dengan abang Idlan. Tak reti bahasa ke?” Cebik Orked.
“Apa yang peribadi sangat? Nak luah
perasaan ke?” Soal Anna separuh menyindir.
Wajah Orked semakin tegang. Pulak dah!
Nampak sangat Anna cemburu dengan hubungannya dengan Idlan yang tak ada apa-apa
benda tu.
“Kalau ya kenapa? Kau iri ke?” Balas
Orked tidak mahu kalah.
“Tolong sikit. Abang Idlan mana suka
perempuan kasar dan biadap macam kau ni. Lainlah macam aku.” Bentak Anna.
Orked ketawa kecil. Dasar minah
perasan! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Kau memang tak pernah simpan cermin
ya? Ke kau nak pinjam cermin aku? Tolonglah suluh sikit muka kau tu, banyak
cantik.” Getus Orked seraya menjuihkan mulutnya.
“Memang aku cantik.” Pintas Anna seraya
memegang lengan Idlan lebih erat.
“Eiii..perempuan ni memang nak kena
ni.” Orked semakin hilang sabar. Anna sempat mencebik ke arahnya, menambahkan
lagi panas di hatinya.
“Anna,
abang nak cakap dengan Orked. Alone.
Boleh tak Anna tinggalkan kami berdua?” Pinta Idlan mulai masuk campur apabila
bunga-bunga pertengkaran seakan mahu bermula antara kedua-dua gadis itu.
“Tapi
bang..” Anna bersuara.
“Please..abang ada hal penting nak cakap
dengan Orked. Anna pergi tolong Mak Tun tambahkan air di meja tu lagi baik.”
Pintas Idlan sebelum sempat Anna meneruskan kata-katanya. Mendengar kata-kata Idlan, wajah gadis itu
semakin mencuka. Dalam keadaan terpaksa, gadis itu beredar jua akhirnya.
Orked hanya tersengih memerhatikan
wajah empat belas gadis itu. Ketika dia mengalihkan pandangan, mata Idlan sudah
menikam wajahnya.
“Orked
nak cakap apa?” Soal Idlan lembut.
Orked
merenung lelaki itu sambil tersenyum sinis. “Tak ada apa-apa.”
“Habis
Orked kata tadi nak cakap dengan abang.”
“Itu
taktiklah, takkan itu pun aku nak kena ajar. Itu aje caranya kalau nak suruh minah
sengal tu pergi. Takdelah dia asyik nak menempel aje kat kau. Rimas aku
tengok.” Rungut Orked membebel tanpa disedari.
“Rimas?’
Idlan sudah tersenyum-senyum.
“Yalah
rimas tengok dia asyik berkepit aje dengan kau 24 jam kat rumah ni. Macamlah
tak ada lelaki lain kat dunia ni.” Orked terus merungut-rungut.
Idlan
tiba-tiba melempiaskan tawanya. Ketawanya bergema kuat sehinggakan Maira dan
Mak Tun yang duduk berhampiran menoleh.
Orked mengigit bibir dengan dahi
berkerut seribu. Kenapa ni? Buang tebiat ke?
“Betul
ke Orked rimas tengok abang dengan Anna? Atau jangan-jangan Orked cemburu tak?”
Idlan sengaja mengusik.
Kata-kata
Idlan membuatkan Orked tergaman. Serentak biji matanya menjegil tajam ke arah
lelaki itu. Memang tak sayang mulut!
“Cemburu?
Please…lainlah kalau kau tu boyfriendaku.” Selar Orked sambil
memasamkan mukanya. Dia tidak suka mendengar kata-kata Idlan itu.
“Then kita jadi pasangan kekasihlah.
Mulai sekarang!” Cadang Idlan selamba.
Orked
menelan liur. Kata-kata Idlan membuatkan dia tercengang-cengang. What?
“Lagipun siapa yang nak halang? Antara kita pun bukan adik
beradik kandung pun. Jadi tak salah kalau kita bercinta kan? Macamana? Mahu?”
Renungan Idlan menikam tepat ke arah gadis itu.
Orked
menarik nafas panjang. Gila! Apa punya cadangan tu? Idlan benar-benar bercakap
sesuatu yang tidak masuk akal kali ini. Bulat biji matanya memerhatikan ke arah
Idlan yang sudah tersenyum-senyum memandang ke arahnya.
Sejenak
ketawa Idlan meletus keluar. Orked terpinga-pinga jadinya. Dia langsung tidak
mengerti apa sebenarnya yang sudah merasuk fikiran lelaki itu?
“Orked
ni memang kelakar la. Abang baru gertak sikit terus muka tu jadi macam tu.
Abang buat joke aje lah. Macam tu pun
dah takut.”gelak Idlan.
Orked
menarik nafas panjang. Cis! Ingatkan lelaki itu betul-betul serius tadi. Tapi
anehnya kata-kata lelaki itu sebentar tadi membuatkan hatinya berdebar saling
tidak keruan. Aduh! Kenapa dengan hatinya saat ini? PleaseOrked, ingat sikit siapa Idlan Riyaz itu.
“Dahlah
tu, jom kita pergi makan kek. Orked belum rasa lagi kek abang kan? Sedap kek
tu. Kak Mara dengan Mak Tun memang superb
kali ini.” Ujar lelaki tu seraya tiba-tiba menarik tangannya.
Orked
terkedu. Hendak membantah dia tidak berdaya. Mahu tak mahu dia terpaksa
mengikut sahaja lelaki itu ke arah meja kek.
*
* * *
DIA masuk ke dalam rumah sambil mulutnya
membebel-bebel. Ising kek yang comot
di mulutnya juga dikesat-kesat dengan hujung jari. Tak semena-mena Idlan
menolak kek tersebut masuk ke dalam mulutnya. Mulanya dia enggan mahu menyentuh
kek harijadi Idlan, tapi Idlan lebih pintar memaksanya sehingga dia tidak
berupaya menolak suapan kek tersebut.
Dari jauh Maira dan suaminya Rezal
asyik tersenyum-senyum memerhatikan gelagat mereka. Mak Tun ikut menyaksikan
adegan lucu itu sambil ketawa kecil. Begitu juga dengan yang lain-lain. Hanya
Anna sahaja yang mencerlung tajam ke arahnya seperti hendak ditelannya. Malu
dengan situasi tersebut, cepat-cepat dia angkat kaki masuk ke dalam rumah.
Ketika
dia menghela langkah ke arah dapur, telinganya tiba-tiba menangkap bunyi
deringan telefon. Orked mengerutkan dahinya lantas tercari-cari. Siapa punya
telefon ni? Beberapa saat kemudian, matanya mengesan sebuah telefon bimbit
terdampar di atas meja kopi di ruang tamu. Dia segera mengutip telefon
tersebut. Ini telefon Idlan! Bisik hati kecil Orked. Dia mengecam telefon itu
kerana sudah beberapa kali Idlan menggunakannya di hadapannya.
Matanya
terus mengerling ke arah paparan skrin. Nadya! Dahi Orked terus berkerut. Nama itu agak
asing baginya. Siapa Nadya? Teman wanitanyakah?
Gagang
di tangannya tiba-tiba disentap seseorang. Serentak, deringan telefon itu terus
berhenti. Orked mengalihkan pandangan. Terpacak di hadapannya Anna dengan wajah
masam mencuka.
“Kau
nak apa?” Soal Orked acuh tak acuh.
“Aku
nak kau jauhkan diri kau dari abang Id.
Aku tahu kau dan abang Id bukan adik beradik betul pun, so stay away from him.” Getus Anna dengan suara meninggi.
Amaran
gadis itu membuatkan Orked ketawa besar. Mak oii, macamlah aku takut dengar
amaran tahap amatur tu. Dia merenung tajam wajah Anna yang cemberut.
Memerhatikan dengan teliti raut wajah
gadis itu yang bermekap tebal dengan rambut sedikit ikal mayang yang diwarnakan
sedikit coklat di hujungnya. Macam badut sarkas! Hati Orked terus menggerutu.
“Yang
kau ni mengada-ngada sangat kenapa? Kau ingat Idlan tu sukakan kau ke kalau aku
tak ada? Welljangan harap.”
Mata
Anna terbeliak mendengar
sindirannya. Merah padam wajah itu menahan marah.
“Kalau
aku tak duduk sini pun, aku boleh jumpa dia hari-hari di rumah. Kau lupa ke mak
dia dengan ayah aku dah kahwin, so
secara teknikal hubungan aku dengan dia lebih rapat dari hubungan kau dengan
dia.” Getus Orked lagi sengaja mahu memprovok.
“Gosh,
kau memang tak tau malu.” Bentak Anna.
“Gosh,
kau memang tak tau malu.” Ajuk Orked dengan sengaja.
Berang
dengan ajukan Orked, Anna terus meluru ke arah gadis itu. Kedua-duanya jatuh ke
arah sofa. Rambut Orked ditarik kasar. Orked menjerit kesakitan, lalu cuba
menolak tubuh Anna yang menghimpitnya. Tak cukup dengan itu, wajah Orked
ditampar beberapa kali. Orked sedaya upaya cuba mempertahankan dirinya. Dia
menendang tubuh Anna sehingga gadis itu terjatuh ke belakang lalu melanggar
bucu almari.
“Astaghfirullahalazim,
apa kena dengan kamu berdua ni?” Suara
Pak Man tiba-tiba muncul
mengejutkan kedua-dua gadis itu.
Orked terpanar. Di muka pintu kelihatan
wajah Pak Man dan yang lain-lain tercengang-cengang memerhatikan ke arah
mereka. Tak semena-mena, Anna tiba-tiba melontarkan tangisan yang agak kuat.
Dari belakang Pak Man, muncul kelibat Idlan yang turut tergaman melihat apa
yang sudah berlaku.
Melihat
kehadiran Idlan, Anna tiba-tiba meluru ke arah lelaki itu bersama esakan dan
aimata.
“Abang Id, tengoklah apa
yang Orked dah buat pada Anna. Dia pukul Anna, Abang Id.”
Adu Anna.
Orked mengeluh panjang. Budak ni memang
pandai bermuka-muka! Patutnya aku tampar
sahaja muka tak tau malu itu! Getus Orked sebal.
Mata
Idlan beralih arah. Menatap ke arah Orked dengan wajah yang sukar
dimengertikan.
Orked membalas tatapan itu dengan wajah
tenang. Dia tahu tidak ada gunanya dia membela dirinya jika ruang untuk membela
diri seakan tertutup terus melihat renungan lelaki itu terhadapnya. Baru
sebentar tadi mereka berbaik-baik, kini segalanya musnah dalam sekelip mata.
Malah setiap pasang mata kini merenung ke arahnya bagaikan dia objek prasejarah
yang bakal dilupuskan.
“Orked,
betul ke apa yang Anna kata tu? Betul Orked pukul dia?” Soal Idlan dengan wajah
serius.
Orked tersenyum sinis. Cakap apa pun
tak guna! Tuduhlah apa sahaja! Orked sudah nekad untuk hanya berdiam diri.
Melihat
gadis itu acuh tak acuh memandangnya, tumpuan Idlan beralih ke arah Anna pula
di sampingnya.
“Betul
Orked pukul Anna?” Soal Idlan pada gadis itu pula.
Anna
segera mengangguk sambil berpeluk tubuh, bagaikan baru sahaja mengalami trauma
pahit. Idlan memandang kedua-dua gadis itu silih berganti.
“Takkan
abang Id tak percayakan Anna. Memang perempuan tu yang pukul Anna. Dia
marah-marah sebab Anna rapat dengan abang Id. Tengok lengan Anna ni lebam-lebam.” Ujar
Anna sambil menunjukkan lengannya yang kemerah-merahan pada Idlan.
Idlan merenung lengan anak gadis itu
sambil mengerutkan dahinya. Ada
sesuatu melekat di lengan itu. Sejurus mata Idlan berlari pula ke wajah Orked.
Pipi Orked yang kemerah-merahan turut ditatap teliti. Idlan menarik nafas
panjang. Masya ALLAH! Orked! Bisik Idlan kesal.
“Anna,
selama ini abang layan Anna dengan baik. Abang
anggap Anna macam adik abang sendiri. Tapi abang tak sangka yang Anna sanggup
berbohong pada abang.” Getus Idlan seraya merenung gadis di sampingnya.
Wajah
Anna berubah. Kata-kata Idlan membuatkan semua orang kini menumpukan perhatian kepada lelaki
itu tidak terkecuali Orked sendiri.
Anak
mata Idlan kembali ke wajah Orked. Wajah itu kelihatan serius.
“Abang
tak sangka Orked begini. Orang
buat begini pada Orked, tapi Orked nak biarkan sahaja? Kalau orang fitnah Orked, stand up for yourself. Claim what is right for you. Bukan berdiam
diri macam patung, dengar apa sahaja tuduhan orang pada Orked.” Marah Idlan pada gadis
itu.
Orked
terkedu. Dia tidak mengerti maksud Idlan, juga tidak memahami apa sebenarnya
yang sedang berlaku. Sangkanya Idlan mahu memarahinya kerana memukul Anna. Tapi
sebaliknya pula kelihatan berlaku.
“Anna,
abang tahu Anna fitnah Orked. Kalau betullah Orked yang pukul Anna, sepatutnya
kecederaan Anna lebih teruk dari Orked. Tapi kenapa muka Orked yang lebam-lebam
seperti kena tempeleng?”
Soal Idlan seraya merenung tajam ke arah gadis itu.
Orked
terpempan. Serentak baru dia menyedari kesan perit yang berbahang di pipinya
angkara Anna yang menamparnya berkali-kali sebentar tadi.
Wajah
Anna pucat lesi. Dia tidak sangka tembelangnya pecah sepantas ini. Dia mulai
gelisah dan tidak senang duduk apabila setiap pasang mata di situ mula beralih
ke wajahnya.
“Abang, Anna….”
“Dan
lagi satu, ada beberapa helai rambut di lengan Anna. Rambut Anna panjang, tidak
seperti rambut Orked. Jadi abang rasa Anna yang mulakan pertengkaran, tampar Orked dan tarik rambut Orked kan? Lepas tu Anna berpura-pura seolah-olah Anna
mangsa di sini untuk mengelabui mata kami. Itu sebenarnya yang berlaku kan?” Tekan Idlan.
Mak
Tun dan Pak Man saling berpandangan. Maira dan suaminya Rezal sudah
menggeleng-gelengkan kepala. Ira dan yang lain-lain turut kesal mendengar kata-kata Idlan.
Hanya Orked sahaja yang terlongo. Dia tidak kisah langsung dengan situasi yang
berlaku, namun dia masih tidak percaya melihat Idlan sedang mempertahankan
dirinya. Betulkah lelaki itu mempercayainya kali ini?
Anna
tiba-tiba melempiaskan tangisnya. Malunya menebal kali ini kerana semua orang menganggap dia
bersalah. Ira segera menuju ke arahnya lalu memujuknya.
Keluhan
Idlan meniti di bibir. Apabila dia mengalihkan pandangan, matanya bertembung
dengan Orked yang sedang memerhatikannya. Pandangan gadis itu dibalas dengan
senyuman. Dan entah kenapa dia melihat ada sekelumit senyuman singgah di bibir
gadis itu untuknya. Hati Idlan terhibur. Manis senyuman itu bagaikan memberi
petanda permulaan baru buat mereka. Dan dia benar-benar mengharapkan
hubungannya dengan Orked akan lebih baik selepas ini.