Home Novel Cinta LELAKI ITU UNTUKKU (adaptasi drama)
Bab 13

SEORANG doktor sengaja dipanggil untuk merawat luka di kaki Orked. Meskipun terkena kaca hanya perkara biasa, tapi kerana kaca yang dipijak gadis itu sudah berkarat, Idlan sengaja memanggil seorang doktor kerana bimbang luka di kaki anak gadis itu boleh mengalami jangkitan dan melarat.

“Adik kena banyak berehat. Jangan banyak berjalan ke sana ke mari.Nanti kaki tu lambat sembuh. Jangan lupa makan antibiotik ni dua kali sehari.”Pesan doktor lelaki bercermin mata bulat itu.

Orked hanya acuh tak acuh mendengar pesanan doktor itu.

“Orked dengar tak apa yang doktor pesan tadi?” Soal Idlan lembut.

Dia menjeling lelaki itu.Kau ingat aku ni pekak ke?Hati kecil Orked menggerutu geram. Dia membiarkan Idlan keluar menghantar doktor tersebut sementara dia mendesis kesakitan apabila lukanya dicuci dan dibubuh ubat pembasmi kuman oleh doktor lelaki separuh umur itu.

“Macamana? Sakit lagi?” Entah sejak bila lelaki itu muncul semula di dalam biliknya. Nada suara itu kedengaran sedikit risau.

Dia menggeleng. “Dah tak sakit sangat.” Jawabnya perlahan. Sengaja berlagak tabah meskipun masih terasa denyutan yang menikam kulit kakinya.

Sorry, macam-macam benda jadi kat Orked masa kat sini. Abang tak sepatutnya bawa Orked ke tempat ni. Maaf.” Ujar Idlan seolah-olah kesal dengan apa yang berlaku.

Dia tersenyum sinis. Hmm tahu pun! Dia dengan tempat ni memang tak ada chemistry langsung! Dahlah hutan sana sini, asyik-asyik bunyi cengkerik sahaja yang kerap kedengaran. Bosan!

“Kalau Orked nak balik rumah, abang boleh hantarkan.” Pelawa Idlan.

Mendengar perkataan rumah disebut, cepat-cepat dia menggelengkan kepala. Idlan memandangnya dengan dahi berkerut.

“Tak nak balik?”

“Belum rasa nak baliklah.Lagipun aku tak habis lagi melawat kat tempat ni. Tunggulah dulu.” Jawabnya. Sengaja dia mencanang begitu agar Idlan melupakan hasrat untuk menghantarnya pulang.Padahal dia bukannya teringin sangat nak makan angin di tempat sunyi sepi seperti ini.

Idlan terdiam seketika. “Sudahlah kalau Orked tak nak balik lagi. Sekurang-kurangnya kat sini Orked boleh berehat. Nanti abang suruh Mak Tun siapkan makanan untuk Orked. Tak payah keluar selagi kaki tu tak baik, Mak Tun akan hantarkan makanan nanti.” Ujar Idlan.

Ketika Idlan mahu bangun, matanya terpandang sesuatu terletak di atas meja di sisi katil. Tangannya segera mencapai kotak berwarna pink itu lalu membelek-beleknya dengan penuh minat.

“Cantik kotak ni. Orked punya?” Tanya Idlan.

Orked berpaling. Sebaik melihat kotak kesayangannya sudah berada di tangan Idlan, tubuhnya menggeletar. Darahnya menyerbu naik ke muka. Cepat-cepat dia merampas kotak itu dari tangan Idlan. Gerak geri Orked membuatkan Idlan tergaman.

“Aku nak tidur. Tolong keluar boleh?” Ujar Orked tanpa memandangnya. Kotak seramik berwarna pink itu masih melekat di genggaman tangannya. Enggan dilepaskan!

Idlan mengeluh. Selimut tebal yang membalut kaki Orked ditarik sehingga ke atas. Matanya melirik ke arah kotak seramik yang berada di dalam pelukan anak gadis itu. Orked kelihatan sayang benar pada kotak kecil itu!

* * * *

SEPENINGGALAN Idlan, Orked bingkas bangun. Selimut yang membalut tubuhnya dilempar ke tepi. Dia menyandarkan diri di kepala katil sambil membelek-belek kotak di tangannya. Penutup kotak yang mempunyai ukiran bunga ros kecil itu dibuka dan diletakkan di tepi. Di dalamnya berisi beberapa kertas kecil.

“Kotak ni untuk Orked. Anggaplah ianya kotak ajaib hadiah dari umi untuk Orked.Ini restu dan doa umi agar anak umi sentiasa mendapat apa jua yang dihajatinya.”

Orked menahan perasaan.Pelupuk matanya mula digenangi air jernih.

“Sekarang umi mahu Orked letakkan hasrat Orked yang pertama dalam kotak ni. Biarkan kotak ini menunaikan apa sahaja yang Orked mahukan.”

“Orked tak mahu apa-apa umi. Orked cuma mahu umi sembuh.” Dia memeluk wanita itu. Esakannya kedengaran.

Wanita itu tersenyum hambar. Wajah yang pucat tak berseri itu menatap sayu ke arahnya. “Umi tahu yang umi tak boleh hidup lama lagi. Tapi Orked berbeza. Orked masih kecil dan ada banyak peluang untuk capai apa yang Orked hajati. Umi cuma nak Orked bahagia.”

“Orked akan bahagia kalau umi ada di samping Orked.”Airmatanya semakin banyak yang gugur dari birai mata.

“Tak sayang. Kalau pun umi tak ada di samping Orked. Ayah masih ada.” Pujuk wanita itu.

“Tapi ayah tak sayangkan Orked, umi.”

Wanita itu terdiam. Kata-katanya membuatkan riak wajah uminya berubah. Sejurus wanita itu tersenyum.

“Orked nak ayah sayangkan Orked?” Tanya ibunya.

Dia menggangguk.

Wanita itu mengambil sekeping kertas dari atas meja lalu dihulurkan padanya. “Kalau Orked mahu ayah sayangkan Orked, Orked ambil kertas ni dan tuliskan hasrat hati Orked tu. Simpan hasrat tu dalam kotak yang umi beri. Insya ALLAH suatu hari nanti, ayah akan nampak kewujudan Orked. Ayah akan sayangkan Orked seperti yang Orked harapkan.” Ujar wanita itu.

Dia mengesat airmata yang bertakung di pelupuk mata. Kertas kecil yang baru sahaja dikeluarkan dari dalam kotak itu ditatap dengan perasaan sedih. Sudah lama kertas itu tersimpan di dalamnya. Malah warna kertas itu sudah kekuning-kuningan dan usang. Menandakan betapa lamanya penantian yang harus dilaluinya untuk merebut hati sang ayah yang tidak pernah mahu menghargai kehadirannya. Sampai bila umi? Sampai bila Orked harus menanti?

* * * *

MACAMANA budak tu?” Tegur Pak Man pada Idlan yang sedang mengambil angin malam di kerusi rehat di halaman rumah.

Idlan menoleh. Melihat kehadiran lelaki tua itu, dia segera bergerak sedikit ke kanan. Sengaja memberi peluang pada Pak Man menempati kerusi di sisinya.

“Luka dia dalam juga. Tapi doktor kata tak perlu dijahit. Insya ALLAH, dalam sehari dua lagi okeylah dia.” Jelas Idlan.

“Hari tu Mak Tun kamu kata adik kamu tu lemas.Hari ni dia cedera pulak.Macam-macam hal dengan dia.” Selar Pak Man dengan wajah berkerut.

Idlan hanya ketawa mendengar ucapan lelaki itu. Itu belum dikira kalau Orked ditangkap polis dan disumbat ke dalam lokap beberapa hari yang lalu! Idlan tersenyum-senyum mengenangkan semua itu. Gadis itu memang hebat!

“Yang kamu ni tersengih-sengih ni kenapa?” Pak Man melirik lelaki di sampingnya dengan wajah bingung.

“Tak ada apa-apa Pak Man.” Cepat-cepat Idlan menggelengkan kepala. Cuba mengusir sangkaan yang bukan-bukan di kepala lelaki itu. Orang tua itu kemudiannya ketawa kecil. Idlan terpanar. Entah apa yang melucukan lelaki itu, dia pun tidak tahu.

“Berapa lama kamu balik kali ni?”Tanya Pak Man ingin tahu.

Idlan termenung seketika.

“Dalam 4 atau 5 bulan.” Jawab Idlan.

“Selepas tu kamu nak balik semula ke negara orang putih tu?”

Idlan ketawa kecil mendengar istilah yang disebut lelaki itu. Tapi dia mengangguk jua.

“Id tak habis lagi Pak Man.Masih tinggal satu semester lagi. Sengaja Id tangguhkan pengajian buat sementara waktu.” Jawab Idlan sejujurnya.

“Kenapa?”

Kali ini pertanyaan orang tua itu tidak dijawab. Matanya terbayang-bayang wajah wajah Nadya yang tersenyum manis. Buat seketika perasaannya berkocak kembali.Tapi dia cepat-cepat menyingkirkan perasaan itu sebelum ianya melarat.

“Sebab Id rindu dengan Pak Man dan Mak Tun lah.” Jawabnya seraya tersenyum.

Pak Man mencebik. Akhirnya dia turut ketawa mendengar alasan itu. Lucu mendengar kata-kata anak muda yang tidak ubah seperti darah dagingnya sendiri.

“Baliklah Id bila-bila kamu suka. Rumah ni hak kamu.Kami ni menjaganya aje.” Seru Pak Man seraya mengeluh.

Idlan terdiam.

“Kalau ayah kamu masih hidup, tentu dia suka tengok rumah besar dia ni dah jadi rumah tumpangan untuk pengunjung. Bukankah ini hasratnya selama ini?”

Idlan mengangguk. “Sayangnya ayah tak sempat nak tengok impiannya termakbul.”Keluh Idlan. Nada suaranya berbaur kecewa.

“Dia bina tempat ni untuk kamu sekeluarga berehat. Untuk lari dari kebisingan kota. Lepas tu dia dapat idea untuk bina rumah tumpangan ni supaya tempat ni boleh dibuka untuk kunjungan ramai.Air tasik dengan hutan kat belakang sana sengaja dikekalkan dengan ciri-ciri alam semulajadi. Katanya hadiah untuk anak cucunya nanti.”Ujar Pak Man.

“Ayah lelaki yang hebat Pak Man.”

“Dia juga kawan yang baik untuk Pak Man.” Lelaki itu menepuk-nepuk bahunya.

Dia mengangguk. Menyetujui pendapat lelaki itu. Suasana jadi hening seketika. Baik dia atau Pak Man, masih-masing bagai tenggelam melayan perasaan. Mengenangkan seorang lelaki hebat yang sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.