ORKED
menggerutu dengan
wajah berang. Mak Tun yang sedang merawat bunga di laman rumah langsung tidak
ditegur. Dia menonong masuk membuatkan orang
tua itu tercengang. Hairan melihat gelagat
anak gadis itu yang terburu-buru masuk tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri.
“Apahal
pulak budak ni? Kena sampuk ke?” Keluh Mak Tun. Namun dia tidak berhasrat mahu
menjaga tepi kain orang
lain. Kerjanya diteruskan merawat bunga-bunganya yang tumbuh subur di
sekeliling rumah itu.
Orked
menghempas pintu biliknya sekuat hati. Dia benar-benar berang kini. Apa yang
dilakukan oleh Idlan padanya benar-benar tak masuk akal. Perlukah sampai
begitu?
Dia
mengetap bibir. Sebaik teringatkan bibirnya saling bersentuhan dengan bibir
Idlan, entah kenapa wajahnya merona merah.Pipinya terasa
hangat. Cepat-cepat dia menekup pipinya dengan kedua-dua jari jemarinya.
Malunya! Mana dia nak sorokkan mukanya dari lelaki itu lagi?Bodoh! Bangang! Orked tak sudah-sudah
mengeluarkan kata-kata kesat.
Tiba-tiba
daun pintu biliknya diketuk dari luar. Orked menoleh. Ini mesti lelaki bangang
tu! Gumam Orked sakit hati.
“Orked..”
Panggil Idlan dari luar bilik.
Orked mengetap bibir. Geram! Dugaannya benar-benar tepat.
Idlan pasti cuba
menjelaskan tindak-tanduknya sebentar tadi. Kau ingat aku akan percaya dengan
alasan CPR tu?
“Orked
ini abang, please buka pintu ni. Abang nak jelaskan pada
Orked fasal tadi?” Pujuk Idlan. Dia tidak mahu salah faham gadis itu berlarutan
terhadapnya. Lagi-lagi mereka akan tinggal serumah selepas ini.
“Tadi
tu memang betul Orked lemas. Abang
cuma nak selamatkan Orked. Tapi bila tengok Orked tak sedar-sedar, abang jadi
bimbang. Sebab tu abang buat macam tu.” Jelas Idlan lagi.
Orked
enggan ambil peduli. Kedua-dua belah telinganya ditekup sekuat hati. Dia sudah
berikrar takkan mengambil peduli apa jua penjelasan lelaki itu. Huh lelaki
semua sama! Tahu nak ambil kesempatan aje! Dia sempat mengutuk Idlan dengan
wajah mencemik.
“Orked
janganlah marah lagi. Jom kita keluar makan. Sejak pagi tadi, Orked tak makan
apa-apa kan?”
Pujuk Idlan lagi. Kali ini dia cuba
menggunakan psikologi pula untuk memujuk gadis itu.
Dia
melekap telinganya pada permukaan pintu. Aik? Takkan senyap aje? Idlan mengeluh
panjang. Tak laparkah gadis itu sedangkan sepanjang pagi ini sehingga ke tengahari
Orked belum menjamah apa-apa makanan? Aduh! Apa patut dia buat untuk memujuk
gadis berhati batu itu? Sedangkan
cara paling lembut tidak berkesan, apa lagi ikhtiar yang boleh dipakai?
Mata
Idlan tiba-tiba membulat. Dia tersenyum simpul. Idea cantik sudah datang!Dia segera
mengetuk pintu bilik gadis itu lebih kuat dari tadi.
“Orked, keluar sekejap. Abang nak cakap sesuatu ni.”
Diam.
“Orked,
abang tahu Orked malu dengan peristiwa tadi. Kalau Orked nak tahu, abang pun
malu jugak. Selama hidup abang, ini first
time abang cium perempuan. Abang
cuma nak cakap yang….”
Pintu
di hadapannya tiba-tiba dikuak kasar menyerlahkan wajah Orked yang merah padam.
Idlan mengeluh lega. Menjadi juga idea
dia meskipun agak otai. Namun
renungan tajam Orked di wajahnya membuatkan dia jadi kecut perut. Wajah
itu kini seakan-akan sedang bersedia mahu membahamnya! Dia tersengih seraya
mengangkat tangan.
“Sorry,abang terpaksa cakap macam tu
sebab nak suruh Orked keluar. Demi ALLAH, abang sebenarnya memang berniat nak
buat CPR tadi, bukannya ada niat lain.” Dia mengakuinya. Cuba menyakinkan gadis itu akan
perkara sebenarnya.
Orked
mendengus. Ikut
hatinya mahu sahaja dia lancarkan satu penumbuk padu ke wajah Idlan. Biar
bengkal-bengkil muka lelaki itu, supaya lelaki itu tahu balasan kerana telah
membuatkan airmukanya jatuh.
“Kenapa
tak cakap kuat lagi biar semua orang
dalam rumah ni tahu?” Herdik Orked kasar. Bengang betul dia dengan kata-kata
Idlan tadi.
Idlan
ketawa kecil. “Dahlah tu, jangan nak marah-marah lagi. Dah sehari suntuk Orked
marah-marah, takkan tak tahu penat. Jom kita pergi makan nak?” pelawa lelaki
itu lalu menarik tangannya.
Orked terkesima. Hendak dilepaskan
tangannya, Idlan semakin mengemaskan pegangan. Sudahnya dia hanya mampu
membiarkan dirinya dihela sesuka hati. Lagipun dia sudah tidak larat mahu
membantah atau bertengkar dengan Idlan, apatah lagi perutnya sudah berkeroncong minta
diisi.
*
* * *
IDLAN termenung panjang di beranda rumah.
Menghadap ke arah langit kirmizi yang kemerah-merahan di ufuk barat. Matanya
asyik meneliti setiap pelusuk kawasan rumah dua tingkat yang bersambung dengan
beberapa buah rumah di bahagian belakang. Ianya sengaja dibina begitu oleh
ayahnya kerana niat lelaki itu mahu menjadikan rumah itu homestay.Malah rekaan rumah itu dihasilkan sendiri oleh ayahnya
berkonsepkan moden tropika. Hanya sayang sebelum sempat rumah itu siap sepenuhnya,
ayahnya pergi dijemput Ilahi.
Sebelum
dia ke luar negara, dia sempat menyatakan hasrat hatinya pada ibunya untuk
menguruskan perniagaan homestay. Tapi
entah kenapa wanita itu melarang. Malah sebaik dia pulang dari luar negara, hatinya ingin sekali menetap di rumah tumpangan
milik ayahnya. Tapi ibunya sejak awal-awal lagi menjemputnya di lapangan
terbang dan membawanya pulang ke rumah suami barunya Hamdan. Hendak tak hendak
dia terpaksa akur, sekadar untuk menjaga airmuka ibunya di hadapan lelaki itu.
Bunyi
desiran air di bilik sebelah membuatkan Idlan berpaling dan memasang telinga.
Dahinya berkerut. Sudah hampir satu jam Orked berada di dalam bilik air itu.
Lamanya! Takkan tak siap-siap mandi dari tadi?
Mengenangkan
gadis itu, entah kenapa dia tersenyum sendiri. Orked Harlina, anak kepada ayah
tirinya itu memang keras kepala. Tapi sepanjang dia meluangkan masa
bersama-sama gadis itu, entah kenapa dia yakin, hati nurani gadis itu tidak
sekeras rupa luar yang ditunjukkannya. Jauh di sudut hati dia tahu, masih ada sifat
luhur dan murni di jiwa Orked. Jika tidak masakan Orked bergegas mahu
menyelamatkan anak muda belasan tahun yang disangkakannya lemas siang tadi.
Mujur dia
sempat sampai tepat pada masanya. Jika tidak, entah apa yang mungkin berlaku
pada gadis itu. Mulanya dia agak terkejut apabila mendengar jeritan dua anak
muda itu yang menjerit meminta tolong. Apabila dia sampai ke tebing tasik,
dilihatnya kepala Orked sudah tenggelam timbul.
Melihat situasi mencemaskan itu,
tanpa membuang masa dia segera terjun ke dalam tasik lalu berenang menghampiri
Orked. Mujur dia sempat mencapai tubuh gadis itu lalu ditariknya ke tebing
dengan bantuan dua anak muda yang tinggal di kampung berhampiran.
“Dia dah banyak telan air. Buat CPR bang.” Suara remaja
yang menyuruhnya membuat CPR membuatkan dia ketawa lagi. Terasa lucu menyengat
jiwa tatkala niat baiknya disalahertikan. Tak fasal-fasal dia dipanggil Sex
Maniac.
Dia
memang pernah mengikuti kursus bantuan kecemasan anjuran universitinya suatu
ketika dahulu. Tapi inilah kali pertama dia melakukannya. Lebih-lebih lagi dia
melakukannya pada seorang gadis. Memang dia segan juga pada dua anak muda
remaja yang berada di situ ketika itu. Kalau bukan kenangkan keadaan Orked
ketika itu serta gesaan anak muda itu, entah belum tentu dia sanggup
melakukannya.
Tuhan sahaja yang tahu betapa
gementarnya dia ketika bibirnya bertaut dengan bahagian paling lembut pada
seorang gadis. Tipulah dia kalau dia mengatakan tidak merasa apa-apa. Ketika
melakukannya, dadanya bergetar hebat. Jantungnya berdegup lebih kencang
bagaikan remaja yang baru pertama kali mabuk cinta. Tapi sebagai seorang lelaki
yang lebih dewasa dari Orked dan dari dua remaja itu, dia berusaha mengawal
diri. Lantaran dia menyedari bahawa itu semua hanyalah perasaan sementara yang
terbawa-bawa di dalam keadaan darurat.
Dia
melirik lagi ke arah bilik sebelah yang masih belum padam lampunya. Malah bunyi
air di bilik itu masih jelas kedengaran. Dia tahu gadis seperti Orked pasti
berasa malu dengan apa yang telah berlaku petang tadi. Dia pun segan juga
sebenarnya dengan gadis itu. Tapi apa boleh buat, benda dah nak jadi! Terima
sahajalah!
*
* * *
ORKED asyik merenung wajahnya di hadapan
cermin.Air yang terpasang dari pili di sinki sengaja dibiarkan mengalir. Dia tidak
mampu menahan diri dari terkenangkan peristiwa di tasik tadi. Meski dia tahu
itu hanyalah CPR, tapi entah kenapa dia
berasa malu. Lagi-lagi Idlan adalah anak ibu tirinya!
Orked meraba-raba bibirnya yang dibasahi air. Matanya
bulat membayangkan bagaimana bibirnya sudah diterokai seorang lelaki. Gosh
malunya! Cepat-cepat dia menepuk pangkal dahinya. Fikirannya yang bukan-bukan
dengan segera disingkirkan. Fokus Orked! CPR saja, bukan apa-apa pun. Lagipun
kau kena ingat, dia anak ibu tiri kau! Lepas ni dia akan balik semula ke luar
negara dan kau takkan menemuinya lagi! Jadi jangan tunjukkan yang kau ada feel apa-apa dengan apa yang dia dah
buat! Bisik hati kecilnya.
Orked
segera menunduk ke dalam sinki lalu menadah air yang mengalir dari pili. Air
tersebut dibawa ke mulutnya lalu dikumur berkali-kali. Dahinya berkerut. Dia
menggelengkan kepala. Tak boleh jadi ni! Dia mencapai berus gigi pula dan mula
menggosok giginya buat kali ketiga malam ini!
Selesai
melakukannya, dia segera naik ke atas katil lalu mula membungkus seluruh
tubuhnya dengan selimut. Namun matanya terasa berat untuk masuk tidur.
Sebaliknya dia asyik terkulat-kulat serba tidak kena. Peristiwa siang tadi
terhimbau-himbau dalam fikiran tidak mampu disingkirkan. Puas dia berkalih ke
kanan dan ke kiri namun dia tetap tidak mampu melupakan peristiwa itu.
Satu
jam terkebil-kebil di dalam selimut, dia segera bingkas bangun dengan wajah
serabut. Selimut yang membalut dirinya ditolak ke tepi. Hatinya jengkel kerana
mengenangkan lelaki itu, dia tidak dapat tidur langsung. Semuanya kerana Idlan!
Damn it!Aku benci kau Idlan Riyaz!
Bentak hati kecil Orked.