PAGI
itu juga Anna dan
kawan-kawannya keluar dari chalet itu. Idlan dan yang lain-lain memahami kemungkinan
besar gadis itu malu dengan perlakuannya, jadi dia tidak ambil kisah. Peristiwa
itu masih diperbualkan oleh Mak Tun,
Pak Man, Maira dan Rezal di meja
makan pagi itu. Rata-rata merasa kesal kerana Orked nyaris-nyaris dianiayai
Anna. Jika bukan kerana Idlan, mana mungkin semuanya selesai secara aman
begini.
“Selamat
pagi Idlan.” Sapa Rezal dan Maira serentak
apabila melihat Idlan keluar dari biliknya dengan berpakaian joging.
Idlan
menoleh lantas melemparkan senyuman buat semua orang di meja makan. “Selamat pagi Kak Maira,
abang Rezal.” Sapa Idlan pula. Melihat Mak Tun dan Pak Man, Idlan turut menegur
kedua orang tua itu.
“Nak
joging ke?” Tanya Rezal ingin tahu.
“Ya
abang Rezal, Id nak joging kat laluan sebelah tepi tasik tu. Kenapa? Abang Rezal nak ikut ke?”
“Tak
boleh Id, abang dan kak Maira kamu nak bawa anak-anak keluar berjalan sekejap
lagi. Mungkin kami nak naik ke Bukit Tinggi.” Ujar Rizal tersengih.
“Tak
apalah kalau macam tu. Id joging seorang diri saja.” Idlan ketawa kecil lalu
menarik kerusi dan duduk di sebelah Pak Man yang sedang enak mengunyah nasi
goreng. Mak Tun segera menyenduk nasi goreng ke pinggan Idlan.
“Terima
kasih Mak Tun.” Idlan tersenyum.
“Orked
belum bangun?” Tanya Mak Tun.
Idlan
memerhatikan di sekelilingnya. Baru dia perasan anak gadis itu tidak ada di
meja makan pagi itu.
“Dia
belum makan lagi?” Soal Idlan pula.
Serentak
setiap orang di meja makan menggelengkan kepala. Idlan menarik nafas panjang.
Dia menolak kerusi lalu bingkas bangun. Tempat yang ditujunya ialah kamar
Orked. Daun pintu bilik itu diketuk bertalu-talu sambil berteriak memanggil
anak gadis itu. Namun tidak ada balasan diterimanya. Dahinya berkerut.
Tertanya-tanya ke mana perginya anak gadis itu. Akhirnya dia nekad memulas
tombol pintu di hadapannya lalu menguak daun pintu. Sejurus apabila matanya
beredar ke dalam, dia jadi bingung. Ternyata Orked tidak ada di dalam biliknya!
*
* * *
SUASANA di tempat itu sungguh mendamaikan.
Sejak dia datang ke situ, dia tidak pernah bersiar-siar sejauh kakinya
melangkah kali ini. Selalunya dia hanya pergi setakat melewati tasik itu
sahaja. Tapi kali ini, entah kenapa dia membulatkan tekad untuk berjalan lebih
jauh. Menurut cerita Mak Tun yang diperdengarkan kepada Maira dan Rezal
beberapa hari yang lalu, kawasan persendirian yang dimiliki oleh ayah Idlan bukan
sekadar rumah dan kawasan tasik itu sahaja, tapi juga sehingga ke pekan
terdekat. Hatinya sedikit sebanyak kagum dengan Idlan yang mewarisi harta-harta
ayahnya, tapi tidak lokek dan sombong. Ya, mungkin dari dulu lagi sikap lelaki
itu begitu. Hanya dia yang enggan menerima keluhuran hati lelaki itu, sekaligus
mempamerkan kedegilannya sendiri.
Mengenangkan
Idlan dan apa yang telah dilakukan lelaki itu terhadapnya, Orked tersenyum
sendiri. Ada rasa riang dan gembira rentetan peristiwa malam semalam yang
sungguh bermakna buat dirinya. Untuk pertama kali dia merasa dirinya dihargai.
Idlan tidak membabi buta memarahinya ekoran tuduhan Anna yang sengaja mahu
menganiayainya, sebaliknya lelaki itu menyelamatkannya pula.
Dalam
leka tersenyum, dia tidak sedar kakinya menapak ke tengah jalan. Serentak
cuping telinganya mendengar bunyi hon muncul bertalu-talu dari arah hadapan.
Orked terkejut besar, lantas cepat-cepat meminggir ke tepi. Sebuah kereta
bercermin hitam melewatinya. Orked mengerutkan dahinya. Kereta itu menuju ke
arah chalet Idlan. Siapa agaknya? Hatinya tertanya-tanya.
Ah!
barangkali mereka penginap baru yang sudah menempah chalet Idlan dan mahu
menghayati keindahan di tempat ini. Hati kecil Orked berbisik. Dia segera
meneruskan langkahnya, mahu berjalan-jalan di sekitar tempat itu puas-puas!
Sebuah
gerai menjual buah-buahan segar dan bunga-bungaan di tepi jalan menarik
minatnya untuk singgah. Orked ralit memerhatikan bunga-bunga kekwa, ros dan
orked yang dijual di gerai milik seorang wanita bersama anak lelakinya berusia
dalam belasan tahun.
Wanita
itu sekadar tersenyum memandang ke arahnya. Dia turut melemparkan senyuman yang
jarang-jarang dihadiahkan kepada orang lain. Kalau dulu jangan katakan hendak
tersenyum, ketawa pun jauh sekali. Tapi entah kenapa, kali ini dia bermurah
hati menghadiahi wanita itu dengan senyuman.
“Adik
ni bukan penduduk di sini kan?” Tegur wanita itu.
Dia
mengangguk. “Bukan kak, saya cuma datang bercuti. Saya tinggal di chalet di
atas bukit tu.” Dia menunjukkan ke suatu arah, meskipun dia sudah sedia maklum,
tidak mungkin mereka di tempat itu tidak kenal dengan chalet kepunyaan ayah
Idlan.
“Oh
chalet Tuan Ikhmal….” Suara wanita itu meletus.
“Tuan
Ikhmal?” Dahi Orked berkerut.
Wanita
itu sekadar mengangguk. “Orangnya dah lama meninggal dunia. Tapi baik hati dan
murah dengan seyuman. Walaupun Tuan Ikhmal tu kaya raya, tapi dia tak lokek
dengan penduduk-penduduk di sini. Apa sahaja kenduri-kendara, pasti dia orang
pertama yang datang membantu.” Cerita wanita itu tanpa dipinta.
Orked
terdiam sejenak. Dia tidak pernah mendengar nama itu, tapi dia pasti itu nama
ayah Idlan. Dia sendiri tidak pernah bertanyakan nama penuh Idlan.
“Anaknya
pun baik hati macam arwah ayahnya. Idlan tu mesra dengan sesiapa sahaja. Adik
tentu kenal dengan Idlan kan?” Bicara wanita itu lagi.
Orked
terpisat-pisat. Tidak pasti apakah dia harus menjawab pertanyaan wanita itu atau, haruskah dia memberitahu
wanita itu hubungan antara dia dan Idlan?
“Err
kak, bunga orkid ni kakak jual berapa?” Soal Orked sengaja mengubah tajuk
perbualan. Matanya sengaja dilarikan ke arah sepohon orkid liar berwarna merah
hati yang sedang kembang mekar di dalam pasu gantung di hadapannya.
“Yang
ini murah aje dik. Kalau adik nak, kakak jual RM15 je satu pasu.” Ujar wanita
itu.
“RM15?
Murahnya kak.” Orked mula tertarik. Bunga orkid merah itu terus dihidu penuh
asyik. Hmm..wangi, bisik hati kecilnya.
*
* * *
KETIKA dia sampai ke kawasan rumah itu,
matanya dengan segera terpandang sebuah kereta yang tidak dikenali diletakkan
di laman chalet itu. Wajah Orked segera membangkitkan rasa hairan. Cermin gelap
pada kereta BMW berwarna hitam metalik itulah yang nyaris-nyaris melanggarnya
sebentar tadi. Siapa pemilik kereta itu sebenarnya? Takkan ayah! Hati kecil
Orked mula gundah-gulana. Memikirkan ayahnya mungkin menghantar seseorang untuk
mencarinya di situ.
Dia
jadi ragu-ragu mahu meneruskan langkah. Bimbang apa yang disyakinya menjadi
kenyataan. Mungkin ada baiknya jika dia tidak masuk ke dalam. Tetapi belum
sempat dia mahu melangkah pergi, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Idlan dari
suatu arah. Lelaki itu terhenti ketika terpandangnya.
“Orked?
Kenapa Orked ada kat sini?” soal Idlan seraya mengerutkan dahi. Hairan melihat
gadis itu termangu-mangu di hadapan rumah.
Orked
menggeleng. Suaranya tidak mampu keluar. Mata Idlan kini beralih ke arah sebuah
BMW berwarna hitam metalik yang diparkir bersebelahan kereta miliknya Rezal dan
Maira.
“Siapa
yang datang?” Tanya Idlan hairan. Sekali lagi dia mengharapkan Orked bersuara,
namun gadis itu seakan panik. Setahunya, tidak ada tempahan baru dari orang
yang ingin menginap di chaletnya. Dia segera menghampiri gadis itu lalu menarik
tangan Orked, menghela si gadis untuk sama-sama melangkah masuk ke dalam. Tapi
Orked seakan berat hati.
“Kenapa?”
Dahi Idlan berkerut.
Orked
menggelengkan kepala.
Idlan
merenung anak gadis itu tidak berkelip. Jangan-jangan Orked risau takut-takut
ayahnya yang datang! Fikir Idlan.
“Bukan
ayah Orked. Jangan risau.”Pujuk Idlan seraya menuntun tangan anak gadis itu ke
arah rumah. Mahu tak mahu Orked terpaksa akur.
Ketika mereka melangkah masuk ke ruang
tamu, dua kelibat tubuh yang asing muncul di hadapan mata. Orked terpegun
melihat seorang gadis cantik dan seorang lelaki separuh umur sedang
bercakap-cakap dengan Pak Man dan Mak Tun. Dia tidak kenal kedua-duanya, namun
dia lega bukan ayahnya yang datang ke situ. Ketika dia berpaling ke arah Idlan,
dilihatnya wajah Idlan berubah. Muka lelaki itu pucat lesi. Dia perasan anak
mata Idlan tertumpu pada gadis yang berada di ruang tamu itu.
Menyedari kepulangan Idlan, gadis itu
segera meluru ke arah Idlan. Tubuh Idlan dirangkul erat bersama cucuran
airmata. Melihat situasi itu, Orked tercengang-cengang. Muncul tanda tanya
dalam dirinya. Siapa gadis itu? Dan apa hubungan gadis itu dengan Idlan?
“I’ve missed you so much. Kenapa Id
sampai hati tinggalkan Nad macam tu aje kat sana?” Suara gadis itu kian sebak.
Orked
tercegat seperti patung. Keliru sekaligus cemburu dengan apa yang baharu
dilihatnya. Bunyinya seperti gadis itu teman wanita Idlan. Nad? Tiba-tiba dia
teringat pada nama Nadya yang terpapar pada skrin telefon Idlan malam semalam. Orang
yang samakah?
Idlan
segera meleraikan tangan Nadya di bahunya. Apatah lagi dia segan dengan Mak Tun
dan Pak Man yang sedang memerhati ke arah mereka.
“Bila
Nad sampai dari London?” Tanya Idlan dengan suara sengaja ditenangkan.
“Dua
hari lepas. Nad yang minta papa hantar Nad ke mari jumpa Id.”
“Siapa
yang bagitahu Nad yang Id ada kat sini? Mama?” Teka Idlan.
“Jangan
salahkan dia, Nad yang rayu Auntie Mar. We
need to talk Id. Nad langsung tak faham kenapa Id tiba-tiba balik ke
Malaysia tak beritahu Nad.” Ujar Nadya bingung.
Idlan
tidak segera menjawab. Matanya kini beralih arah. Memandang lelaki di samping
Pak Man.
“Uncle…”
sapa Idlan seraya tunduk hormat pada Tuan Rustam, ayah Nadya.
“Nad
telefon uncle beritahu fasal Id. Kenapa tiba-tiba sahaja balik ke Malaysia dan
tangguhkan pengajian Id kat sana? Kan tinggal setahun lagi?” Soal Tuan Rustam
ingin tahu.
Idlan
tunduk. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ada banyak benda berlegar di
kepalanya saat ini.
“Maaf
uncle. Sebab Id, uncle dan Nad bersusah payah datang ke mari.” Keluh Idlan. Dia
berpaling ke arah Nadya dengan wajah bercelaru.
“Nad.
Id rasa kita patut putuskan hubungan kita.” Ujar Idlan dengan berat hati.
Seperti yang diduga, wajah Nadya berubah. Pucat lesi bagaikan baru bertemu
hantu. Orked yang mendengarnya turut terkesima. Begitu juga dengan yang
lain-lain.
“Apa
Id cakap ni? Kenapa dengan tiba-tiba aje?” Suara Nadya mula meninggi.
“Dahulu
Id memang sayangkan Nad. Tapi sekarang perasaan ini sudah berubah. Id tak boleh
paksa diri Id untuk terus bersama Nad dan menyakitkan hati Nad seperti ini. I’m so sorry.” Bisik Idlan.
Pang!
Pipi Idlan pijar. Tamparan Nadya diterima dengan hati tenang. Dia faham sesiapa
sahaja pasti akan bertindak seperti Nadya bila mendengar ayat-ayat kejam yang
dituturkannya.
Kejadian
itu mengejutkan Tuan Rustam, Pak Man dan Mak Tun sendiri. Tidak terkecuali
Orked yang sedang bingung dengan drama sebabak yang berlaku di hadapan matanya.
Perlahan-lahan
Idlan mengangkat wajahnya lalu merenung Nadya di hadapannya. Kelopak mata gadis
itu kini lencun dengan airmata.
“How could you…” bisik Nadya pilu.
“Maaf,
ini yang terbaik untuk kita berdua Nad.” Ujar Idlan.
“Kenapa?
Sebab hati Id sudah ada orang lain? Begitu?” Tuduh Nadya.
Idlan
hanya mampu diam.
Mata
Nadya tiba-tiba berpaling ke arah Orked yang sejak tadi berdiri di belakang
Idlan. Dia memandang gadis itu dari atas ke bawah. Pandangannya tajam penuh
menyelidik.
“Siapa
dia tu? Itu kekasih baru Id? Sebab dia Id sanggup tinggalkan Nad macam ni?”
Nadya membuat kesimpulan melulu tanpa berfikir panjang. Ketika emosi sedang
bergelodak, apa-apa sahaja boleh keluar dari mulut tanpa kerelaan.
Idlan
menoleh lalu mencari-cari wajah Orked yang bingung. Perlahan-lahan dia
mendekati Orked lalu memegang tangan anak gadis itu. Sepasang matanya berlari
ke wajah Orked yang sedang merenungnya bagaikan meminta penjelasan.
“Nama
dia Orked. And yes, I do love her.” Akui Idlan tenang.
Mata
Orked membulat. Dadanya langsung bergetar mendengar kata-kata Idlan
terhadapnya. YA ALLAH! Apa yang Idlan buat ni?
“Nad
dah agak. Sebab perempuan tu, Id tinggalkan Nad.” Tuduh Nadya separuh menjerit.
Esakannya menghiba di sekitar ruang tamu itu, memaksa Tuan Rustam meluru ke
arah anaknya, cuba menenangkan perasaan Nadya.
“Id,
apa semua ni? Kita kenal bukan sehari dua tapi dah bertahun-tahun. Idlan yang unclekenal bukan begini orangnya.” Ujar
Tuan Rustam cuba masuk campur.
Idlan
tidak menjawab. Keluhannya meniti di bibir. Dia memandang wajah Tuan Rustam dan
Nadya silih berganti. Apa sahaja tuduhan kedua-duanya terhadapnya, dia akan
menerima sahaja tanpa membela diri. Lagipun ini semua salahnya!
Idlan
melangkah naik ke biliknya tanpa sebarang kata. Meninggalkan wajah-wajah yang
bingung dan tertanya-tanya.
Orked
turut mengekori pemergian lelaki itu dengan perasaan bercelaru. Apa sebenarnya
yang berlaku antara Idlan dengan Nadya? Betulkah mereka pasangan kekasih? Tapi
kenapa Idlan meninggalkan gadis itu seperti yang didakwa Nadya? Selama dia
mengenali Idlan, dia tidak fikir Idlan akan melakukan hal-hal seumpama itu
terhadap seorang gadis.
Tuan
Rustam sempat berbicara sepatah dua dengan Mak Tun dan Pak Man sebelum memapah
anaknya ke muka pintu. Tapi sebelum kedua-duanya keluar, Nadya tiba-tiba
menolak tangan ayahnya lalu menghampiri Orked. Sepasang matanya merenung tajam
ke arah gadis di hadapannya.
Orked
telan liur. Gugup bila dipanah sebegitu rupa. Dahulu sewaktu dia bergaduh
dengan Anna, tidak pula dia merasa gentar seperti ini. Tapi dengan gadis itu,
tiba-tiba sahaja dia kalah.
“Sejak
bila awak dengan Idlan berhubungan?” Pertanyaan itu meluncur dari bibir Nadya.
Orked
terpempan. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab tuduhan gadis itu. Dia mengerling
ke arah Mak Tun yang kelihatan gelisah, mengharapkan wanita itu sudi
menjelaskannya bagi pihaknya.
“Sebab
awak, Idlan tinggalkan saya. Awak tentu gembira kan?”
Orked
mati kutu jadinya. Takkanlah dia nak gembira pula walhal dia langsung tak faham
apa-apa. Dia hanya kambing hitam yang Idlan pergunakan. Orang bodoh pun
percaya, takkanlah perempuan itu percaya Idlan sanggup meninggalkan seorang
gadis cantik kerananya! Keluh Orked.
“Cakap
dengan Idlan, kalau ini yang dia mahu, baik. Saya akan balik ke London dan
takkan kembali lagi. Saya harap hubungan awak dan dia bahagia.” Usai mengatakannya, Nadya terus berlalu pergi.
Orked
menarik nafas panjang. Pening! Dia yang langsung tidak ada kaitan apa-apa,
terus dianggap perampas kekasih orang. Wajarkah Idlan mengaku begitu di hadapan
Nadya? Teruk dia dikenakan Idlan kali ini! Keluh Orked gusar. Bibirnya diketap
rapat. Dia mendongak ke tingkat atas. Kali ini dia mesti bersemuka dengan Idlan
dan menuntut lelaki itu bercakap benar tentangnya pada Nadya. Tapi bagaikan
memahami apa yang mahu dilakukannya, Mak Tun tiba-tiba menghalang.
“Jangan
cari Idlan buat masa sekarang Orked. Kita bagi masa Idlan bertenang dulu.”
Pinta Mak Tun.
Langkah
Orked terhenti. Hendak tak hendak terpaksalah dia mengikut sahaja cakap-cakap
orang tua itu.
“Betul
ke Idlan tangguhkan pengajian dia?” Suara Pak Man kedengaran.
“Idlan
beritahu saya dia bercuti.”
“Maria
tahu ke hal ni?”
“Entahlah
bang. Hati saya ni tiba-tiba rasa tak sedap. Tentu ada sebab kenapa Idlan
tangguhkan pengajian dia. Awak tak dengar Tuan Rustam cakap tadi? Katanya Idlan
hanya tinggal setahun sahaja untuk habiskan pelajaran. Idlan yang saya kenal
takkan ambil keputusan melulu begini kalau tak ada apa-apa yang berlaku kat
London tu.” Keluh Mak Tun risau.
Orked
terdiam. Perbualan kedua-duanya diikuti tanpa niat mahu menyampuk. Sepertimana
kedua-dua suami isteri itu, pastilah orang yang lebih bingung ialah dirinya.
Dia baharu sahaja kenal dengan Idlan tak sampai seminggu. Banyak perkara
tentang lelaki itu yang masih jauh melangkaui pengetahuannya.