MAK
TUN melangkah masuk ke
beranda rumah di tingkat dua sambil menatang sedulang minuman. Di penjuru pintu
langkahnya terhenti tatkala melihat Idlan sedang memicit-micit kepalanya di
kerusi rehat dengan wajah berkerut.
“Id,
kenapa ni?” Soal Mak Tun separuh gusar. Wajah Idlan kelihatan pucat.
Idlan
menoleh. Bibirnya segera mengukir senyuman buat orang tua itu. Mak Tun segera
meletakkan dulang yang dipegangnya lantas meletakkan tapak tangannya di dahi
Idlan.
“Panas ni, kamu demam?” Soal Mak
Tun.
Idlan menggeleng. “Tak adalah Mak
Tun, malam ni panas agaknya.” Idlan berdalih.
Mak Tun ketawa kecil. “Mengarut kamu
ni Id, Mak Tun dah berkelubung dengan kain ni kamu boleh kata panas?” Tempelak
wanita itu.
Idlan ketawa kecil. Dia segera mencapai
cawan teh yang dibawa wanita itu lalu dihirupnya penuh asyik.Mak Tun pula tekun memerhatikan gerak-geri anak muda itu
di sampingnya. Entah kenapa, ada sesuatu yang mahu diperkatakannya pada Idlan.
Tapi hatinya terbit risau. Bimbang Idlan tidak mahu mendengar kata-katanya kali
ini.
“Id..”Panggil Mak Tun
perlahan.
Idlan
menoleh. Mengangkat sedikit keningnya.
“Mak
Tun tak sedap hatilah.” Ujar Mak Tun dengan wajah resah.
“Maksud
Mak Tun?” Soal Idlan, hairan.
“Fasal
Orked.”
Idlan
meletakkan cawan tehnya. Kata-kata Mak Tun memancing perhatiannya kini. Dia
menanti dengan sabar butir bicara yang mahu diluahkan wanita itu.
“Mak Tun rasa serba salah. Disebabkan Mak Tun, kamu dan
Orked bergaduh. Mak Tun kalau boleh nak minta Id lepaskanlah Orked tu. Biar dia
tidur kat bilik dia, malam-malam macam ni bilik stor tu sejuk.” Ujar wanita
itu, cuba
memujuk.
Idlan
mengeluh panjang. Dia tahu dan faham maksud kata-kata wanita itu. Jika
diikutkan hatinya, dia juga tidak sampai hati melakukannya. Tapi tindakan dan
sikap Orked hari ini benar-benar melampau.
“Dia
dah makan Mak Tun?” Tanya Idlan ingin tahu.
“Entahlah,
tadi Mak Tun dengan Mara ada datang bawakan makanan untuk dia. Tapi dia diam
aje. Pandang kami pun tak mahu.” Keluh Mak Tun.
“Biarlah
Mak Tun. Kalau dia lapar nanti, tahulah dia makan makanan tu. Orked tu tak
boleh diberi muka sangat, nanti naik lemak dia. Saya tak suka dia biadap dengan
Mak Tun.” Ujar Idlan
“Sebenarnya
hal tadi tu salah Mak Tun jugak. Mak Tun yang tak hati-hati jatuhkan barang
Orked. Mak Tun tengok dia sayang sangat dengan kotak tu. Tempohari masa Mak Tun masuk bilik
dia nak kemaskan cadar, Mak Tun tengok dia dah tertidur sambil peluk kotak tu.”
Cerita Mak Tun panjang lebar.
Idlan
terdiam sejenak. Kotak?
Tiba-tiba dia teringatkan kotak
yang dilihatnya kali pertama di bilik gadis itu. Bagaimana Orked dengan pantas
merampas kotak
itu dari tangannya beberapa hari yang lalu. Dari gaya dan sikap gadis itu, dia mula mengerti
betapa kata-kata Mak Tun ada benarnya. Kotak
itu tentunya sangat bererti buat Orked. Jika tidak masakan gadis itu mengamuk
kerana barang itu dijatuhkan Mak Tun tanpa sengaja.
Idlan
tiba-tiba bingkas bangun.
“Id,
nak ke mana?” Tanya Mak Tun. Terpinga-pinga sebaik melihat anak muda itu
bergegas. Idlan menoleh. Tapi pertanyaan wanita itu tidak disahut. Hatinya
meronta-ronta mahu ke bilik Orked. Langkahnya diatur deras ke arah sebuah
bilik. Daun pintu di
hadapannya ditolak perlahan. Tangannya meraba-raba suis di tepi pintu pintu.
Sebaik bertemu apa yang dicari, dia menarik suis itu ke bawah. Sebentar
kemudian, bilik itu sudah terang benderang. Idlan melangkah masuk. Perhatiannya
kini tertumpu pada keadaan bilik itu yang agak bersepah.Sengaja dia tidak membenarkan Mak Tun
mengemas bilik itu petang tadi kerana terlalu geram dan marah dengan sikap Orked.
Matanya
mendarat pada permukaan lantai.Sisa-sisa
pecahan seramik berwarna pink itu dipandang agak lama. Hatinya entah kenapa
kesal. Sekalipun dia marah, dia tidak sepatutnya melemparkan barang kesayangan
Orked sehingga pecah. Tentu gadis itu sedih dengan tindakannya.
Idlan
melutut lalu mengutip sisa-sisa seramik itu. Setiap pecahan meski sekecil mana
pun akan dikutip sehingga tidak meninggalkan sisa. Dia membawa sepihan-serpihan
kotak itu ke atas
meja kecil di tepi katil. Ketika itu juga dia melihat salah satu pecahan
bahagian kotak
itu terperosok agak jauh. Idlan tunduk lalu mengutip serpihan terakhir. Saat
itu matanya mula perasan akan kertas-kertas kecil pelbagai warna bersepah di atas
lantai berdekatannya.
Dia
lantas mengutip sekeping kertas.Lipatan kertas itu dibuka lalu dibaca.
Semalam
harijadi Orked, umi. Tapi seperti biasa ayah tidak pernah ingat.Alangkah
baiknya kalau Orked boleh menyambut setiap hari jadi Orked bersama ayah!
Dahi
Idlan berkerut. Sejurus dia mengutip pula kertas-kertas lain lalu membacanya
satu persatu.
Umi, Orked dapat tempat pertama
dalam kelas, tapi ayah tak pernah kisah pun dengan keputusan peperiksaan Orked.
Kalau begini apa gunanya Orked belajar rajin-rajin?
Orked nak sangat ayah pandang betul-betul
wajah Orked dan katakan yang dia sayangkan Orked. Tapi semua itu seperti
terlalu susah untuk ayah buat. Besar sangatkah hasrat Orked ni Umi?
Idlan
terkedu. Catatan-catatan itu membuatkan dia terbayangkan wajah gadis itu.Tulisan berdakwat hitam itu membuatkan
dia termenung panjang.
Umi, hari ni ayah lempang Orked sebab Orked
hisap rokok di rumah. Peritnya pipi ni kena lempang. Tapi anehnya buat pertama
kali Orked rasa seronok. Sekurang-kurangnya ayah masih ingat yang dia masih ada
seorang anak perempuan di rumah ni.
Ayah kata dia tak mahu ada anak
perempuan liar macvam Orked ni. Dia suruh Orked jangan buat benda-benda
memalukan dia. Pelikkan umi, selama ini Orked berusaha jadi anak yang baik
untuk ayah, tapi dia juga tidak mahukan Orked! Kenapa Orked ni hina sangat ke bagi
ayah?
Betulkah kotak ni boleh menunaikan hasrat Orked, umi?
Dah bertahun Orked menyimpan setiap hasrat dan harapan Orked di sini seperti
yang umi katakan, tapi kenapa semuanya tidak pernah tertunai? Dari hari ke
sehari Orked semakin putus asa.
Kenapa
umi pergi tinggalkan Orked sendirian? Bukankah lebih baik kalau umi bawa sahaja
Orked pergi. Kalau hidup Orked tidak bererti, mungkin mati lebih baik untuk
Orked, umi.
Idlan meramas kertas-kertas di
tangannya tanpa disedari. Kerutan di dahinya semakin melebar. Membaca
catatan-catatan ringkas itu membuatkan dia lebih memahami rentak sikap Orked
selama ini. Ternyata gadis itu bukan sejahat dan seliar seperti yang diberitahu
padanya oleh ibunya selama ini. Gadis itu hanya kekurangan kasih sayang dari
seorang insan yang dipanggil ayah.
Ya ALLAH! Kasihan Orked! Memang dia
tidak pernah faham kenapa hubungan ayah tirinya dengan Orked menjadi seburuk
ini. Malah mungkin dia takkan faham sampai bila-bila pun. Meskipun dia tidak
pernah melihat sendiri perbuatan Hamdan pada
Orked, namun dari riak wajah lelaki itu ketika menerima panggilan telefon
dari balai polis tempohari, hati kecilnya sudah boleh menduga.
Maafkan abang Orked! Abang tak patut
layan Orked begini! Bisik Idlan kesal. Dia tidak pernah menduga, gadis yang
terlihat keras itu rupa-rupanya sedang menderita. Jiwa yang kelihatan kental
itu sebenarnya sedang rapuh di dalam. Kalaulah dia tahu dari awal betapa
berertinya kotak seramik itu buat Orked, tak mungkin dia akan sengaja melempar
kotak itu ke arah dinding sehingga pecah berderai.
* *
* *
DIA memulas tombol pintu di hadapannya perlahan-lahan. Daun
pintu dikuak menyerlahkan cahaya terang dari dalam bilik kecil berbentuk
segiempat tepat itu. Matanya segera terpandang sesusuk tubuh kecil sedang
terbaring di atas lantai dalam keadaan membongkok.
Idlan mengeluh panjang. Selimut tebal yang ada di
tangannya segera menutup tubuh Orked. Matanya tak putus-putus merenung wajah
gadis itu yang kelihatan lena. Di pipi gadis itu, masih ada bekas-bekas airmata
yang belum kering. Apakah gadis itu menangis sepanjang malam? Hati Idlan diruntun
kesal. Dia tahu dirinya tidak sepatutnya mengasari Orked seperti itu.
Mata
Idlan menoleh ke arah dulang makanan yang tidak terusik tidak jauh dari situ.
Dia sedikit sebanyak mula mengerti kedegilan Orked. Maafkan abang Orked! Abang sangka abang tahu
apa yang ada di dalam hati Orked. Rupa-rupanya abang langsung tidak tahu
apa-apa! Keluh Idlan.
Dia
menyeka sisa airmata yang berbekas di wajah gadis itu. Tiba-tiba tindakan Idlan
terhenti.Dahinya berkerut. Pantas jari-jemarinya beralih ke dahi
gadis itu.Panas! Idlan
mulai gelisah. Suhu badan Orked benar-benar berbahang. Tanpa berfikir panjang
dia segera mencempung tubuh gadis itu lalu menuju ke suatu arah. Tapi sebaik
sampai di hadapan bilik itu, dia berubah fikiran. Bilik gadis itu masih
berantakan. Dia lalu membawa Orked ke biliknya. Sesudah meletakkan gadis itu di
atas katil, Idlan segera berlari ke bilik Mak Tun dan Pak Man yang hanya
bersebelahan dengan biliknya.
“Kenapa Id?” Pak Man yang membuka pintu terpinga-pinga. Mak
Tun juga terkedu di samping suaminya.
“Pak
Man, Mak Tun, Orked demam panas.” Ujar Idlan dengan nafas tersekat-sekat.
“Hah
demam? Mana dia?” Mak Tun menyampuk sebelum sempat Pak Man bersuara.
“Saya
dah angkat dia masuk dalam bilik saya.”
“Hah
masuk bilik kamu?” Sekali lagi Mak Tun terkejut.
Idlan
terpisat-pisat serba salah.“Saya
tak tahu nak bawa dia ke mana. Bilik dia masih bersepah.” Jelas Idlan berterus
terang.
Pak
Man tersengih-sengih seraya menepuk bahu Idlan.“Bagus apa yang
kamu buat tu Id.Pak Man
sokong.” Ujar orang
tua itu, seolah-olah mengusik.
“Hishh
abang ni, ke situ pulak.”Mak
Tun sempat mencubit lengan suaminya. Pak Man ketawa besar. Hanya Idlan yang
kelihatan termangu-mangu. Di dalam keadaan sekarang dia langsung tidak ada mood
untuk bergurau senda.
“Tak
apalah Id, nanti Mak Tun tengok-tengokkan Orked tu.Hari pun dah jauh
malam ni, elok kamu tidur kat bilik tetamu. Ada satu lagi bilik kosong kat
sebelah bilik Mara dan Rezal.”Cadang
Mak Tun.
“Perlu
ke kita bawa dia ke klinik Mak Tun?” Tanya Idlan resah.
“Nanti Mak
Tun tengok dulu.”Ujar Mak
Tun lantas melangkah masuk ke bilik Idlan. Di atas katil, Orked terbaring
dengan wajah lesu. Idlan dan Pak Man mengekori dari belakang.
Mak
Tun meletakkan tapak tangannya di atas dahi Orked lalu merasa dengan tangannya.
“Eh! Panas sangat ni Id, memang betul budak ni demam.” Komen Mak Tun.
“Nak
bawa ke klinik ke Tun?” Giliran
Pak Man pula bertanya.
“Hmm..
tak payahlah, nanti Tun rawat dia.Kita kena turunkan suhu badan dia
malam ni.Kalau tak
turun-turun jugak baru kita bawa Orked ke hospital.” Ujar Mak Tun. Pak Man dan
Idlan mengangguk-angguk tanda mengerti.
“Id,
pergi dapur ambil ais dengan kain bersih.”Suruh Mak Tun.
“Saya Tun?”Pak Man pula bertanya.
Mak
Tun terkelip-kelip memandang suaminya.“Abang pergi tidur ajelah. Kalau
abang kat sini nanti, satu apa pun tak jadi.”Jawab Mak Tun tersengih.
Pak
Man ketawa besar. Lucu mendengar
bicara isterinya. “Sampai hati awak Tun. Tak apalah, saya duduk luar ajelah. Nanti
kalau nak apa-apa panggil saya.” Ujar
Pak Man lalu keluar mengekori
Idlan yang sudah beredar entah ke mana.