IDLAN tidak keluar-keluar dari biliknya
sejak peristiwa siang tadi. Kedatangan gadis itu benar-benar membuatkan suasana
rumah itu sunyi sepi. Apatah lagi tanpa bunyi riuh rendah suara anak-anak
pasangan Mara dan Rezal.
Orked duduk meminggir di suatu sudut. Matanya
asyik mengerling ke arah bilik Idlan yang tertutup rapat. Baru sebentar tadi
dia mendengar Mak Tun melaung mengajak anak muda itu makan malam, tapi
panggilan Mak Tun langsung tidak disahut Idlan. Sudahnya Mak Tun terpaksa
mengalah lalu beredar dari situ. Dia perasan ada keresahan bermukim di wajah
Mak Tun. Pasti wanita itu risau dengan keadaan Idlan.
“Orked..” panggilan Mak Tun mengejutkan
Orked. Dia pantas menoleh, menghadap ke arah Mak Tun yang sedang memandangnya.
“Ya Mak Tun?”
“Mak Tun risaulah Orked. Orked
tolonglah pujuk abang Idlan kamu keluar dari bilik dia. Dia tak pernah macam ni
sebelum ini.” Pinta Mak Tun resah seraya duduk di sampingnya.
Orked terkedu. Pujuk? Dia bukanlah
orangnya yang pandai hal pujuk-memujuk ini. Bahkan untuk bergaul dengan orang
lain juga dia tidak pandai, inikan pula mahu memujuk lelaki itu seperti
kehendak Mak Tun.
“Nanti okeylah dia tu.” Jawabnya ambil
mudah. Jangan harap dia pergi memujuk Idlan kerana dia paling tidak pandai
melakukannya.
“Kalau dia tetap berkurung diri macam
tu, nampak gaya Mak Tun kena telefon mamanya.” Keluh Mak Tun.
Mendengar kata-kata Mak Tun, mata Orked
terbuntang lus. Kalau Mak Tun menelefon
ibu tirinya Maria, pasti bukan sahaja wanita itu yang datang, malah ayahnya
juga akan datang ke situ. Tak boleh jadi ni! Seboleh-bolehnya dia tidak mahu
terserempak dengan ayahnya buat masa sekarang.
“Err..Mak Tun, tak apalah. Nanti Orked cuba
cakap dengan Idlan.” Ujar Orked. Dia menawar dirinya bukan kerana dia ikhlas
mahu memujuk lelaki itu tapi kerana dia tidak mahu ayah dan ibu tirinya datang
ke tempat itu dan meragut semua ketenangan yang dirasainya ketika ini.
“Alhamdulillah,
syukur. Terima kasih ya Orked.” Mak Tun kelihatan gembira.
“Err..tapi Mak Tun, perempuan yang
datang tadi tu siapa?” Soal Orked ingin tahu. Sejak siang tadi dia menyimpan semua
persoalan ini, tapi tidak ada sesiapa pun yang mahu menjelaskan apa-apa padanya.
Mak Tun terdiam seketika. Barangkali
sedang mencerna ayat yang sesuai untuk dipertuturkan kepadanya.
“Tadi tu Nadya, teman wanita Idlan.
Mereka berkawan sejak kecil. Tuan Rustam, ayah Nadya tu teman baik Tuan Ikhmal
ayah Idlan.” Ujar Mak Tun.
Orked terdiam. Betul seperti apa yang
diduga, gadis cantik itu memang teman wanita Idlan, tapi apa maksud
pertengkaran kedua-duanya siang tadi?
“Kenapa Nadya cakap Idlan tinggalkan
dia?” Tanya Orked lagi.
“Entahlah Orked, Mak Tun pun tak tahu.
Selama ni mereka berdua elok aje, malah Idlan pernah cakap dengan Mak Tun dan
ibunya sebelum ke London dulu yang dia hanya akan bertunang dan kahwin dengan
Nadya. Mak Tun ingatkan dia balik ke mari untuk bercuti, tapi tak sangka Idlan
tangguhkan pengajian dia kat sana. Mak Tun rasa ibunya si Maria tu pun tak tahu
hal ni.” Keluh Mak Tun susah hati.
Orked terdiam. Wajahnya berkerut
memikirkan kata-kata Mak Tun itu.
“Dulu Idlan tak pernah berahsia apa-apa
dengan kami. Tapi sekarang, dia dah banyak berubah. Mak Tun risau Orked. Kami semua
sayangkan dia, macam anak kami sendiri. Tapi entah apa yang tak kena dengan
dia.” Mata Mak Tun berair.
Orked menarik nafas panjang mendengar
luahan hati wanita itu.
Sebaik ditinggalkan Mak Tun, sekali
lagi dia mengerling ke arah pintu bilik Idlan yang masih terkatup rapat.
Perlahan-lahan dia bingkas bangun dari sofa lalu menuju ke bilik lelaki itu.
Tangannya diangkat tinggi separas muka pintu, namun ada sesuatu yang
menghalangnya dari mengetuk pintu bilik lelaki itu. Ah! Lupakan sahaja. Mungkin
juga Idlan sepertinya, perlukan waktu untuk bersendirian. Dia tidak jadi mahu
memanggil lelaki itu lalu kembali ke ruang tamu.
Detik demi detik berjalan, mata Orked
mula layu. Filem Inggeris yang menjadi tontonannya sebentar tadi mulai kabur
sedikir demi sedikit. Rasa kantuk mulai menyerangnya di setiap penjuru.
Tanpa disedari satu kelibat tubuh
membuka pintu bilik lalu keluar. Derap langkahnya perlahan. Namun bunyi
televisyen yang masih terpasang kuat menggamit perhatiannya.
Idlan menoleh lalu terpandang sesusuk
tubuh yang hampir terlena di atas sofa. Melihat Orked sedang
tersengguk-sengguk, dia hanya mampu mengeluh. Kenapa tidak tidur di bilik
sahaja? Perlahan-lahan anak gadis itu dirapati.
Posisi tidur Orked mula berubah. Kepala
anak gadis itu terkulai layu hampir rebah. Idlan cepat-cepat duduk di sisi anak
gadis itu, membiarkan kepala itu terlentok di bahunya. Saat kepala itu jatuh di
bahunya, tiba-tiba sahaja dia terkedu, tidak percaya dengan apa yang sedang
dilakukannya.
Dia menoleh. Sepasang matanya mula memerhati
wajah Orked yang polos dengan kelopak mata yang terpejam rapat. Gadis itu
memiliki dua ulas bibir yang indah dan sepasang kelopak mata yang bundar.
Cantik! Bisik hati kecil Idlan, sekaligus merasa berdebar-debar tidak keruan.
YA ALLAH! Idlan beristigfar beberapa
kali. Dia mengalihkan pandangan dari wajah itu, mengharapkan debaran itu segera
lenyap. Orked adiknya, anak ayah tirinya, maka tidak sepatutnya dia merasa
seperti ini pada anak gadis itu. Ini hanya perkara biasa, malah mana-mana
lelaki pasti akan merasa sepertinya bila berada dekat dengan seorang gadis.
Debaran di dadanya sebentar tadi hanya sementara, ia tak bermakna apa-apa.
Begitulah Idlan cuba menyakinkan dirinya.
Sekali lagi dia menoleh ke arah wajah
anak gadis itu yang berada di dadanya. Sesekali nafas Orked turun naik. Wajah
anak gadis itu kemerah-merahan. Idlan terpegun lagi. Dia menarik nafas panjang.
Kenapa dengan diriku Ya ALLAH? Aku baru sahaja membereskan hal tentang Nadya,
mengapa pula perasaan ini yang KAU anugerahkan kepadaku? Dan kenapa Orked?
Gadis manis yang mempunyai impian yang tak kesampaian. Gadis yang kehilangan
kasih sayang ayahnya sendiri. Mengapa semua ini harus berlaku pada aku?
Idlan tiba-tiba merasa sesak nafas. Dia
memegang permukaan dadanya. Wajahnya berkerut. Dia mahu beredar, tapi kepala
anak gadis itu masih di bahunya. Tapi dia tidak boleh menunggu lagi, tubuh anak
gadis itu segera dikalihkan menyebabkan mata Orked tiba-tiba terbuka.
Terkelip-kelip mata gadis itu memerhatikannya.
“Jangan tidur kat sini. Kalau nak tidur
pergi tidur di bilik.” Idlan bersuara dengan wajah merah padam.
Muncul keringat halus di dahi Idlan,
membuatkan wajah Orked berkerut. Hairan melihat lelaki itu seperti tidak sihat.
Idlan segera melangkah deras ke
biliknya.Daun pintu dikatup rapat. Dia meluru ke arah laci biliknya,
mencari-cari sesuatu dalam keadaan kelam kabut. Sebaik tangannya menemukan
botol sederhana besar, dia segera membuka botol tersebut lalu menumpahkan
isinya di atas meja. Sebiji pil diambil lalu dimasukkan ke dalam mulut.
Tubuhnya menggigil, namun dia memaksa dirinya rebah ke atas katil dengan mata
terpejam rapat.
Dia harus bertenang dan membiarkan ubat
itu mengalir ke setiap urat sarafnya. Wajah arwah ayahnya mendadak muncul di
ruang mata
Ayah! Id tahu, Id tidak berhak untuk
meminta apa-apa pun. Tapi jika hanya ada satu perkara yang boleh Id impikan, Id
hanya mahu satu sahaja. Id mahu hidup ayah! Id mahu hidup! Bisik Idlan dengan
mata berkaca.
*
* * *
RUANG legar di Mount Vernon Hospital bagai
sudah tidak asing. Dia menanti di sebuah ruang menunggu. Duduk di situ hampir
satu jam yang lalu meskipun dia sudah bertemu dengan John Hatchback atau lebih
dikenali sebagai Dr. Hatchback, lelaki Inggeris yang merawat dirinya hampir tiga
bulan yang lalu. Ketika itu dia dan Nadya mengalami kemalangan kereta ketika
dalam perjalanan pulang ke kampus mereka. Kedua-dua mereka penuntut di London
Southbank University dalam bidang architecture.
Kereta yang dipandunya dilanggar sebuah
kereta lain di persimpangan jalan Gladstone Street. Nadya tercampak dari kereta
dan terhumban ke hadapan cermin kereta yang pecah. Keadaan gadis itu agak
parah, begitu juga dengan dirinya. Dia pula cedera di kepala dan tidak sedarkan
diri tiga hari lamanya di katil hospital. Semua itu berlaku tanpa pengetahuan
ibunya Maria. Malah tidak ada sesiapapun yang tahu apa yang sudah berlaku pada
dirinya ketika itu kecuali Tuan Rustam, ayah Nadya. Dia yang meminta lelaki itu
merahsiakannya dari pengetahuan ibunya dengan alasan tidak mahu ibunya risau.
Dalam tempoh dirawat, dia sering
menghabiskan masanya melawat Nadya yang masih tidak sedarkan diri. Hatinya
benar-benar merasa bersalah kerana menyebabkan anak gadis itu cedera. Kerana
kelalaiannya, Nadya menerima padah. Mujurlah Tuan Rustam tidak menyalahkannya.
Kepada lelaki itu dia berjanji mahu menjaga Nadya seumur hidupnya. Itu janji
dan tekadnya untuk terus setia. Tapi itu janji tiga bulan yang lalu. Hakikatnya
manusia boleh berubah. Dirinya juga boleh berubah. Dan Nadya orang pertama yang
menyedarinya.
“Sejak kita accident, Id dah tak macam dulu lagi. Kenapa?” Soal gadis itu
inginkan penjelasan. Dia hanya mendiamkan diri. Kata-kata Nadya antara didengar
dengan tidak.
“Id semakin berubah. Apa yang tak kena
Id?” Soal Nadya sedih.
Dia memandang gadis itu. Merenung wajah
bujur sirih Nadya yang pernah menawan hatinya. Sejak kecil mereka berkawan.
Hubungan mereka disatukan kerana ayah-ayah mereka adalah teman sepengajian di
universiti. Dan kini dia dan Nadya juga sama-sama menuntut di universiti yang
sama.
“Id ada assignment nak disiapkan. Can
you leave me alone?” Dia memintanya tanpa memandang ke arah Nadya. Helaian assigment di hadapannya ditilik tanpa
memberi perhatian pada gadis itu.
Menyedari kehadirannya tidak diingini,
diam-diam Nadya beredar dengan wajah resah. Sejurus gadis itu lenyap dari
pandangan, barulah dia mnghamburkan keluh kesah. Kenapa dia asyik menghindari
gadis itu, biarlah dia sahaja yang tahu. Yang nyata, segalanya berubah selepas
mereka mengalami kemalangan tempohari.
“Your
test results came in this morning. I’m afraid the prognosis isn’t good.”
“What
do you mean?”
“The
biopsy shows a higher numbers of abnormal and immature white blood cells,
results in a lack of blood platelets affecting your blood and bone marrow.”
“And
it is supposed to be the bad news?”
“I’m
afraid it is. I’m sorry for telling you this, but it is a blood cancer.”Ujar Dr. John Hatchback dengan wajah
simpati.
Dia terpaku mendengar kata-kata doktor
itu. Langit seolah mahu runtuh di atas kepalanya. Kata-kata itu umpama belati
tajam yang menusuk ke hati.
“What
types of blood cancer? Leukemia? Lypmh?”
“It
is acute myeloid leukemia. And the cells develops very quickly in your bone
marrow. We have several options to discuss but I’m not going to lie to you.”Lelaki itu memandang lama ke arahnya.
Ada sesuatu yang mahu diperkatakan lelaki itu padanya, tetapi Dr.Hatchback
seakan berat hati. Dan tanpa suara, hanya gerak-geri, dia seakan boleh menduga
apa yang mahu dijelaskan lelaki itu padanya.
“Mr. Ikhmal?” Suara seorang wanita
dengan loghat aneh singgah di pendengaran. Dia berpaling lalu bertembung
pandang dengan jururawat berbadan gempal itu.
“Why
are you still here?” Tegur wanita itu sambil tersenyum ramah.
Dia menggeleng. Sempat menghadiahkan
senyuman untuk jururawat yang berada di bilik Dr. Hatchback tadi sebelum
bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.
“Don’t
forget to take your pills okay?” Pesan wanita itu lagi.
Dia sekadar mengangguk lalu pergi
dengan langkah lemah. Dia tahu jururawat bernama Helen itu masih mengawasi
kelibatnya dari jauh. Renungan wanita itu terhadapnya jelas mengandungi
simpati. Dan dia tidak mahu simpati yang sama dari wajah Nadya jika Nadya tahu
tentang penyakitnya. Dia tidak ingin menerima simpati dari sesiapa pun. Tidak!
Simpati itu hanya akan melemahkan dirinya walhal dia benci menjadi lemah dan
tidak berupaya di hadapan sesiapa pun jua!
*
* * *
ORKED merenung sisa malam yang pekat dari
beranda biliknya. Dari beranda itu dia melihat ke arah sebuah beranda lain.
Beranda itu hak persendirian Idlan. Lampu di bilik lelaki itu masih terpasang
meskipun malam semakin larut. Malam ini keadaan benar-benar sunyi sepi. Mara
dan Rezal bersama anak-anak mereka khabarnya telah balik siang tadi. Jadi dia
hanya tinggal berempat bersama-sama Idlan, Mak Tun dan Pak Man.
Sebenarnya
jika difikirkan, tempat ini sebenarnya agak tenang dan indah. Suasananya juga
mendamaikan. Entah sejak bila dia merasa lebih selesa di sini. Di sini walaupun tidak ada kelab malam, shopping complex dan teman-teman
rapatnya, tapi di sinilah dia menemui kembali dirinya yang pernah hilang. Di
sinilah dia menemui ketenangan tanpa kata makian dan nista dari seorang lelaki
dipanggil ayah. Dan di sinilah juga dia diberi peluang untuk mengenali Idlan
Riyaz, anak kepada seorang wanita yang menjadi isteri ayahnya sendiri.
Mengenangkan
apa yang berlaku di ruang tamu tadi, dirinya diulit pelbagai tanda tanya Ada
rasa aneh menjengah dirinya saat dia membuka mata dan terpandang wajah Idlan di
sampingnya. Mata lelaki itu jelas sedang menatap wajahnya. Ketika lelaki itu
beredar dari situ, barulah dia menyedari dia sebenarnya sedang tertidur di
ruang tamu semasa menonton filem. Tapi apa yang Idlan buat di situ? Menonton
televisyen bersamanyakah? Bila masanya lelaki itu keluar dari bilik?
Aneh! Dia masih yakin yang dia melihat
wajah Idlan seperti kesakitan. Ketika lelaki itu terburu-buru pergi
meninggalkannya, dia tidak dapat berfikir apa-apa selain dari merasa bingung
dan sedikit malu. Pasti Idlan sempat memerhatikan keadaan dirinya yang sedang
lena. Jangan aku tidur dengan mulut ternganga atau berdengkur sudahlah! Keluh
Orked benar-benar merasa segan dan malu. Malah wajahnya merona merah bila
mengingatkan kata-kata lelaki itu terhadapnya siang tadi. Pengakuan Idlan siang
tadi meskipun dia tahu bukannya serius, tapi entah kenapa menjentik rasa
debaran di dadanya.
Aduh! Kenapa malam ini aku terlalu
asyik memikirkan tentang lelaki itu? Sejak bila soal tentang Idlan menjadi
keutamaan? Orked mengeluh panjang. Tiba-tiba dia mendakap permukaan dadanya.
Matanya terpejam rapat. Debaran di dadanya tidak kunjung padam setiap kali dia
membayangkan renungan Idlan yang menggetar sukmanya.
Dingin malam terus mengulit kulitnya,
memaksa dia memeluk tubuh menahan kedinginan yang terus menggasak. Hatinya
tergerak untuk menoleh sekali lagi ke arah beranda di bilik Idlan. Ketika
itulah matanya tiba-tiba terpandang sesuatu.
Kelibat seorang lelaki muncul di
beranda bilik itu, sedang mendongak penuh asyik ke arah langit lepas yang tidak
berbintang. Dia terpaku memandang gerak-geri lelaki itu. Wajah Idlan kelihatan
amat muram, seperti menanggung beban yang amat berat. Ternyata kedatangan Nadya
yang menyebabkan perubahan pada diri Idlan. Selalunya dia melihat lelaki itu
dengan sikap ceria, tenang dan menghiburkan. Tapi kali ini Idlan tidak ubah seperti
dirinya yang lalu.
Dia mengeluh. Serta-merta teringat
janjinya pada Mak Tun mahu memujuk lelaki itu. Aduh! Kenapa kau beria-ia
berjanji begini? Hati sendiri tidak terpujuk, ada hati mahu memujuk Idlan!
Cebik Orked.
Kepalanya segera didongak. Turut merenung
bintang-bintang yang bertebaran di langit. Indah! Dia tersenyum sendiri seraya
menoleh ke beranda sebelah. Renungannya terpaku agak lama ke arah lelaki di
beranda itu.