MILAN
CATHEDRAL atau
dipanggil Piazza Duomo oleh orang-orang tempatan, memang antara objek tumpuan
pelancong yang cukup indah di bandar Milan.
Tidak ada apa yang mampu diungkapkan oleh bibir Orked tatkala dia berdiri tegak
di hadapan gereja gothic berusia hampir 200 tahun itu. Matanya mendongak ke
arah bangunan berwarna putih krim itu.
Di atas bumbung cathedral itu terdapat
beratus-ratus spires berwarna putih yang menambahkan keunikan bangunan
tersebut. Manakala di dinding-dinding luar cathedral itu pula, terdapat banyak
ukiran berupa patung-patung pada era Gothic Italy yang kelihatan cukup unik
setiap satunya. Menurut Sarah, semua scruptures pada dinding cathedral itu berjumlah
hampir 3000 semuanya.
“Cantik kan?” Ujar Sarah yang entah sejak bila
berada di sampingnya.
Dia menoleh ke arah Sarah. Dengan bibir
yang tersenyum, dia mengangguk setuju. Memang cantik! Sama seperti yang Idlan
gambarkan ketika bercerita tentang salah satu gereja tertua di Lombardy itu.
“Duomo ni
merupakan gereja ke empat tertua di dunia.Nak membinanya sahaja kena ambil masa 6 abad.” Sambung
Sarah seraya melemparkan pandangan ke arah cathedral itu.
“Enam abad? Lamanya.” Komen Orked.
Sarah ketawa besar. “Kebanyakan
bangunan-bangunan di Itali ni memang antara bangunan-bangunan tertua di dunia.
Tapi nak bercerita satu-persatu, kakak sendiri tak arif sangat. Kalau abang
Daud tu mungkin boleh jelaskan pada Orked. Dia memang arif dengan semua bangunan-bangunan
bersejarah kat sini.”
Orked tersenyum. Dia sendiri tidak
tergamak mahu menyusahkan Sarah dengan bertanya banyak soalan. Lagipun
tujuannya datang ke situ sekadar mahu melawat tempat-tempat yang pernah Idlan
ceritakan padanya dahulu.
“Orked tak naik ke atas?”
“Ke atas?”
“Kalau nak kita boleh mendaki tangga ke
atas. Dari atas kita boleh tengok pemandangan kawasan sekitar. Tapi kena panjat
banyak anak tangga la kalau nak sampai ke atas.” Ujar Sarah.
“Berapa anak tangga semuanya?”
“Dekat 200 anak tangga kut.” Sarah
tersengih.
Dia terpempan. Banyaknya!
“Tapi kalau tak nak pun tak apa. Kita
boleh naik lift aje ke atas.” Sambung
Sarah lagi seraya ketawa terkeheh-leheh. Orked turut menyimpul tawa lantaran
dia menyedari wanita itu sedang bercanda dengannya.
“Kalau kat atas kita boleh tengok
Madonnina dengan lebih jelas.”
Orked terdiam mendengar kata-kata
Sarah. Madoninna?
“Di atas bangunan Duomo tu ada sebuah
puncak yang paling tinggi. Kat situlah terletaknya patung Madoninna yang
menjadi lambang kemegahan Duomo. Ada orang kata
Madonnina dah jadi ikon iklim kat Lombardy.” Suara Idlan hadir lagi mengusik
kenangan lamanya.
“Kalau
nak tengok bagaimana keadaan cuaca kat tempat tu, tengok aje patung Madoninna
tu. Kalau puncak Madoninna tu tak kelihatan, bermakna cuaca kat situ tengah
lembab.Kalau cuaca elok, puncak tu akan bersinar-sinar dari jauh.” Cerita Idlan
tidak pernah habis. Mata lelaki itu sentiasa bercahaya setiap kali berbicara
tentang sesuatu.Itu yang
paling dirinduinya tentang lelaki itu.
“Kenapa Orked senyum?” Sarah menegur
separuh hairan.
Orked tersentak. Hilang sudah
lamunannya diragut suara Sarah yang agak lantang. Terkelip-kelip dia
memerhatikan wanita itu.
“Err.. tak ada apa-apalah Kak Sarah.
Orked cuma terkenangkan seseorang.” Ujarnya beralasan.
“Siapa? Idlan?” Sarah menduga.
Dia terkedu. Tak menyangka tekaan Sarah
kali ini tepat. Mahu tak mahu dia mengangguk.
“Kalau
Orked tak keberatan, boleh kakak tahu kenapa Idlan meninggal?” Tanya Sarah
ingin tahu. Wajah Orked yang tidak berseri dan muram membuatkan dia berminat
mahu mendengar cerita gadis itu. Hatinya teringin benar mahu tahu bagaimanakah lelaki
yang berjaya membuatkan anak gadis seperti Orked merantau jauh ke mari seorang
diri.
Orked menarik nafas panjang. Permintaan
Sarah itu berat mahu ditunaikan. Pandangannya tenggelam sayu. Wajah lelaki itu
kini melambai-lambai di ingatannya. Ternyata, kenangan lalu tetap
mengecewakannya. Tak sangka dia akan terluka sebegini teruk selepas pemergian
Idlan.