ORKED membuka matanya perlahan-lahan.
Terjaga oleh bunyi alunan merdu suara Mak Tun mengaji di bilik sebelah. Dia
menguap beberapa kali, lalu mengerling ke arah jam loceng di tepi katilnya.
Baru pukul 6 pagi. Masih awal! Bisik hati kecilnya. Dia mahu menyambung tidur,
tapi terdengar pula bunyi suara Pak Man sedang melaung-laung nama Idlan. Orked bingkas
bangun lalu memasang telinga. Kenapa Pak Man menjerit-jerit sampai begitu?
Didorong
perasaan ingin tahu, dia segera keluar dari biliknya lalu bertembung dengan Mak
Tun yang bertelekung sembahyang.
“Kenapa
Mak Tun?” Tanya Orked hairan.
Mak
Tun tidak menjawab, sebaliknya terus melangkah deras ke bilik Idlan. Orked
turut mengekori langkah wanita itu. Di situ mereka menemukan kelibat Pak Man
sedang mengetuk-getuk pintu bilik Idlan dengan wajah cemas.
“Kenapa
bising-bising ni bang?” Tanya Mak Tun ingin tahu. Hairan melihat si suami
berteriak-teriak begitu.
Pak Man berpaling dengan wajah gelisah.
“Saya
nak kejutkan Idlan, nak ajak sembahyang berjemaah sekali. Tapi puas saya
panggil, langsung dia tak sahut. Selalunya tak sempat saya panggil dia dah
keluar berjemaah subuh dengan kita.” Ujar Pak Man.
“Dia
tidur lagi agaknya tak?” Duga Mak Tun.
Pak
Man hanya senyap. Wajah orang tua itu berkerut-kerut. “Awak ada simpan kunci pendua
bilik si Idlan ni?” Soal Pak Man.
Bagaikan
memahami kehendak suaminya, Mak Tun segera bergegas ke suatu arah. Tidak lama
kemudian dia menghulurkan sebatang anak kunci ke arah Pak Man. Orked yang
berada di situ turut berdebar-debar menanti Pak Man membuka pintu bilik lelaki
itu.
Sebaik
daun pintu bilik itu dikuak, wajah Pak Man dan Mak Tun segera berubah. Terkejut
melihat kelibat Idlan yang tidak kelihatan di dalam bilik. Orked turut
menjengah dan terpempan melihat alas cadar katil Idlan yang seperti tidak
terusik. Kemas sahaja seperti tidak pernah digunakan.
“Bang,
mana Idlan pergi ni?” Suara Mak Tun jadi cemas.
Pak
Man menggeleng. Dia sendiri tidak tahu ke mana Idlan menghilangkan diri
subuh-subuh begini. Kakinya beredar pantas ke arah almari pakaian Idlan lalu
membukanya. Pakaian Idlan masih ada, tapi Pak Man segera menyedari ada beberapa
pakaian milik anak muda itu yang hilang dari dalam almari.
Pak
Man keluar dari bilik lalu mengintai keluar dari sebuah tingkap di situ. Kereta
Idlan juga tidak ada di tempat parkir.
Mak
Tun sudah teresak-esak sedikit. Orked memandang wanita itu dengan rasa simpati
sekaligus tertanya-tanya ke mana perginya Idlan.
Sehingga
pukul 9 pagi, Idlan masih belum menampakkan batang hidungnya. Pagi itu sarapan
mereka hanya dengan roti dan mentega. Mak Tun lebih banyak termenung dan
bersusah hati sehingga tidak mahu menyediakan sarapan berat seperti biasa. Itu pun
Orked yang sukarela mengambil alih tugas menyediakan roti bakar untuk pasangan
suami isteri itu yang jelas sedang bersusah hati.
“Baik
Maria, nanti kami khabarkan pada Idlan.” Pak Man meletakkan gagang telefon
seraya memandang isterinya.
“Maria
nampaknya tak jumpa dengan Idlan. Saya tak fikir Idlan balik ke rumah ibunya.”
Ujar Pak Man. Dia baharu sahaja berbual di dalam telefon dengan ibu Idlan,
tetapi dari gaya wanita itu bercakap seperti tidak tahu apa-apa langsung mengenai
Idlan.
“Maria ada tanya abang fasal Idlan?”
Pak Man mengangguk.
“Saya cakap Idlan ke rumah kawannya. Mujur
dia percaya.” Ujar Pak Man.
“Kenapa
dengan Idlan bang? Sebab Nadya ke dia buat macam ni?” Keluh Mak Tun. Dia tahu
sejak kedatangan Nadya, perwatakan Idlan berubah sedikit. Anak muda itu lebih
banyak termenung dan kelihatan susah hati.
“Saya
tak fikir macam tu Tun. Saya rasa Idlan tentu ada sebab lain. Kita tunggu
ajelah dia balik. Saya tahu dia akan balik juga ke mari. Lagipun ini
satu-satunya tempat yang dia selesa.” Pujuk Pak Man.
Orked
terdiam. Perbualan kedua-dua suami isteri itu mencelah satu-persatu ke
telinganya. Dia sendiri tidak tahu apa yang tidak kena dengan lelaki itu, tapi
perbuatan Idlan meninggalkannya begitu sahaja di tempat ini sedikit sebanyak
membuatkan dia rasa marah. Tak guna! Kalau nak pergi pun bagitahulah aku! Ini
tak, main blah macam tu aje! Rengus Orked menyesali perbuatan Idlan. Tanpa
kehadiran Idlan, dia rasa dirinya tidak patut terus berada di rumah ini.
*
* * *
SUDAH masuk hari kedua, namun kelibat Idlan
tidak juga muncul-muncul. Apabila hari ketiga dan keempat menyusul, Orked mula
merasa kosong. Kesunyian menebuk dirinya. Seolah-olah tanpa kehadiran Idlan, dia
merasa hidupnya sepi. Jujurnya dia mula merasa rindu mahu mendengar celoteh lelaki
itu, mahu menatap senyuman Idlan yang mendamaikan serta berbual-bual dengan
lelaki itu. Ke mana kau pergi Idlan? Keluh Orked rungsing.
Hari
kelima, Orked sudah bersiap-siap dengan beg sandangnya sambil tercegat di
hadapan Mak Tun dan Pak Man.
“Orked
nak ke mana ni?” Mak Tun terkejut melihat anak gadis itu. Dia bingkas bangun
dari kerusi yang didudukinya sambil menuju ke arah gadis itu. Pak Man turut
menoleh. Hairan melihat gadis itu memegang beg sandangnya.
“Mak
Tun, Pak Man, sebenarnya Orked nak minta izin balik.” Ujar Orked serba salah. Jika
diikutkan, memang tidak patut dia meninggalkan pasangan suami isteri itu dalam
keadaan kedua-duanya sedang risaukan perihal Idlan. Tapi dia sudah tidak betah
berada di rumah itu lagi. Dahulu dia datang kerana Idlan yang membawanya. Kini
lelaki itu pergi meninggalkannya senyap-senyap di situ, jadi dia juga sudah
sepatutnya beredar.
“Orked
nak balik ke mana?” Tanya Mak Tun.
“Orked
ingat nak balik rumah. Lagipun dah dekat dua minggu Orked duduk makan minum kat
sini. Sudah sepatutnya Orked balik ke rumah.” Ujarnya, meski dia sendiri tidak
pasti apakah rumah ayahnya yang akan menjadi destinasi seterusnya selepas ini.
“Tapi
Idlan belum balik lagi. Orked tunggulah dia dulu.” Pujuk Mak Tun.
Orked
terdiam. Menunggu? Apakah Idlan akan pulang sekalipun dia menunggu? Dia tahu
lelaki itu sedang menghadapi masalah berat. Airmuka Idlan cukup dikenalnya. Dia
mahu melihat Idlan seperti seorang mentor yang membimbing, bukan seperti bulan
purnama yang sedang tenggelam.
“Mak
Tun, biarlah Orked balik dulu. Soal Idlan, Mak Tun tak payah risau. Dia lebih
kuat dari Orked. Sebab tu dia bawa Orked ke mari. Orked rasa Mak Tun pun tahu
kenapa.” Ujar Orked tenang.
Mak
Tun mengangguk. Bahu anak gadis dihadapannya diraih lalu dipeluk. Orked
terpempan. Tidak menyangka dirinya diperlakukan semesra itu oleh wanita yang
pernah disakiti hatinya. Hatinya tiba-tiba dirudung sayu. Sebak mengenangkan tanpa pertalian, Mak Tun masih
sudi menghulur kasih sayang pada anak yang tidak ada budi bahasa sepertinya.
“Mak
Tun tahu Orked anak baik. Idlan lebih pandai menilai orang dari Mak Tun. Tapi
mengenali Orked dalam tempoh ini, Mak Tun percaya dengan naluri Mak Tun
sepertimana Mak Tun mempercayai Idlan. Kalau boleh Mak Tun nak Orked tinggal
lebih lama di sini. Kenali tempat ini dan kenali diri Orked sendiri seperti
yang Idlan mahukan.”
Orked
terharu. Kata-kata Mak Tun mencetuskan sebak yang sudah lama terhimpun di
rongga dada. Dia tahu kehadirannya dialu-alukan, tapi dia juga tidak boleh
terus menetap di sini. Itu rumah Idlan, bukan rumahnya. Lagipun apa gunanya dia
ada di situ tapi Idlan hilang entah ke mana.
“Mak
Tun, maafkan Orked ya sebab selama ni Orked biadap dengan Mak Tun, dengan semua
orang. Orked tak bermaksud begitu. Selama ini, Orked tak punya sesiapa, jadi
Orked tak pandai nak bergaul dengan orang lain. Maafkan Orked Mak Tun, Pak
Man.” Bisik Orked ikhlas.
Tangan kedua-dua pasangan suami isteri
itu diraih lalu dikucup. Berlinang airmata Mak Tun melihat perilaku Orked yang
semakin berubah. Dia menjeling suaminya yang terkelip-kelip memerhatikan
dirinya. Barangkali Pak Man juga sepertinya, terkedu melihat perlakuan anak
gadis yang keras hati itu.
“Kan
hari tu Mak Tun ada cakap dengan Orked yang Mak Tun sebenarnya dah lama maafkan
Orked. Orked tak salah apa-apa pun sayang.” Ujar Mak Tun seraya terus mengucup
pipi anak gadis itu bertalu-talu.
“Kamu
ni betul ke nak balik ke sana? Tak nak tunggu sehari dua lagi?” Soal Pak Man
yang sudah rimas melihat airmata isterinya yang tidak pernah kering sejak
beberapa hari yang lalu.
Orked
menggeleng. “Tak apalah Pak Man. Dah lama sangat Orked kat sini. Orked kena
balik.” Ujarnya beralasan.
“Kamu
nak balik dengan apa? Tempohari kamu datang ke mari dengan Idlan. Sekarang
Idlan tak ada, kamu sanggup naik bas?” Tanya Pak Man.
Orked
sekadar tersenyum. “Bas pun tak apa Pak Man.”
“Kejap
lagi Pak Man nak ke pekan beli barang sikit. Kalau kamu nak ikut, Pak Man boleh
hantarkan ke stesyen bas. Kalau nak hantar sampai ke Kuala Lumpur, mungkin tak
dapat. Ada tetamu nak datang dari Kuala Lumpur menginap di sini. Lagipun siapa
nak temankan Mak Tun kamu ni? Cengil macam budak-budak aje!” Rungut Pak Man
memerli isterinya.
Kata-kata
Pak Man membuatkan jelingan Mak Tun tambah tajam.
Orked hanya mampu tersenyum melihat
gelagat pasangan suami isteri itu. Kalaulah dia lahir sebagai anak pasangan
suami isteri itu, tentu hidupnya bahagia. Tentu dia tidak menempuhi hidup
seperti ini. Tapi sayangnya dia lahir sebagai anak ayahnya, lelaki yang tidak
ingin mengakui kewujudannya. Lalu kenapa kau mahu balik ke rumah itu lagi?
Untuk apa kembali ke tempat di mana kau tidak diperlukan? Kata hatinya
berbisik.
Idlan!
Hanya lelaki itu satu-satunya sebab kenapa dia mesti balik ke rumah ayahnya
kali ini. Dia mahu menanti lelaki itu di rumahnya. Dia yakin, sejauh mana pun
lelaki itu pergi, pasti lelaki itu akan kembali mencari ibunya. Dan satu alasan
lagi, dia semakin merindui kehadiran Idlan. Lima hari Idlan pergi, dia merasa seluruh
jiwanya sedang kontang dan karam. Semuanya kerana lelaki itu!