BUNYI riuh rendah di luar rumah itu
membuatkan dia tertarik untuk menjenguk ke luar tingkap. Hatinya tertanya-tanya
apa yang bising sangat di luar sana. Didorong perasaan ingin tahu, dia
terburu-buru menjenguk ke luar lalu terpandang kelibat orang ramai di
gelanggang di belakang rumah itu. Orked tercengang. Apa sebenarnya yang belaku?
Kenapa mereka semua berkumpul di situ? Hatinya tertanya-tanya.
“Orked buat apa tu?” Suara Mak Tun
menyapa dari arah belakang.
Orked
terpanar. Cepat-cepat dia menjarakkan dirinya dari tingkap lalu pura-pura
mencapai majalah di atas almari lalu membeleknya.
Mak Tun tersenyum gelihati. Dia tahu anak gadis itu sedang
mengintai ke luar.
“Orked
tak nak join ke? Mereka semua tengah main bola tampar.” Ujar Mak Tun sekadar
menjelaskan keadaan yang riuh rendah di luar. Dia sendiri ralit menontonnya.
Tengah sedap-sedap memerhatikan perlawanan itu, suaminya pula menggesa dia
menyiapkan minuman.
“Tak
minat.” Jawab Orked sepatah.
“Mak Tun
pun bukan minat sangat, tapi ralit jugak tengok si Idlan melawan budak-budak
muda tu.Tak apalah, Mak
Tun nak ke dapur siapkan minuman untuk mereka. Orked turunlah tengok.” Suruh
wanita itu sebelum menghilang ke arah dapur.
Sepeninggalan
Mak Tun, Orked terpisat-pisat di situ. Tergerak jua hatinya mahu menonton
perlawanan itu. Namun entah kenapa hatinya terasa segan. Setelah dia terbabit
dalam kekecohan yang memalukan itu, tak sanggup rasanya dia mahu memandang muka
orang-orang lain di situ. Segan!
Tiba-tiba,
telinganya menangkap bunyi kaca pecah dari arah dapur. Orked tersentak.
Cepat-cepat dia berlari ke arah dapur. Di situ dia terpandang kelibat Mak Tun
sedang terbongkok-bongkok mengutip kaca pecah.
“Kenapa
Mak Tun?” Soal Orked cemas.
Mak
Tun mendongak. Bibir orang tua itu melemparkan senyuman.“Mak Tun yang
cuai, terjatuhkan gelas ni pulak. Orked jangan datang dekat, nanti terbelah
kaki tu baru tahu. Hari tu dah terpijak kaca kat jalan raya.” Larang Mak Tun.
Orked tidak ambil peduli. Dia turut
tunduk lalu ikut sama mengumpulkan serpihan-serpihan kaca yang halus.
“Orked..” Mak Tun ingin melarang. Namun melihat
kesungguhan anak gadis itu membantunya, dia hanya mampu tersenyum. Wajah anak
gadis itu ditatap ralit. Meskipun tanpa mekap, wajahanak gadis itu
manis sekali.Kulitnya
putih licin dengan bibir yang merah meskipun tanpa olesan lipstick. Gadis itu
terlihat lebih cantik tanpa mekap berbanding kali pertama dia melihat Orked
sewaktu gadis itu mula-mula sampai ke situ.
Jika diletakkan Orked di sisi Idlan,
wajah mereka hampir seiras. Idlan yang tinggi lampai itu sering mencuri
perhatian sesiapa sahaja baik lelaki mahupun wanita.Anak muda itu
mempunyai karisma dan aura yang segak seperti arwah ayahnya. Entah kenapa Mak
Tun sempat melamun panjang.
“Kaca ni
nak buang di mana?”Soal
Orked seraya mematikan khayalan singkat Mak Tun. Orang tua itu kini
terpisat-pisat memandang ke arah Orked. Melihat gadis itu sudah mengumpulkan
kaca-kaca yang pecah itu setempat, Mak Tun menarik nafas panjang.
“Tak apalah Orked, biar Mak Tun yang
uruskan kerja selebihnya. Kalau Orked tak keberatan, Mak Tun nak minta tolong.”
Ujar wanita itu.
“Tolong
apa?” Dahi Orked berkerut. Hairan mendengar kata-kata wanita itu. Pertolongan
apakah yang diharapkan wanita itu terhadapnya?
“Boleh
tak Orked hantarkan minuman untuk mereka kat gelanggang tu? Mak Tun dah siapkan
air oren. Orked cuma tolong hantar aje.Nanti haus pulak budak-budak tu kalau
minuman ni lambat dihantar.”Pinta
Mak Tun.
Orked
keberatan. Namun melihat kesungguhan Mak Tun memandangnya dengan penuh
berharap, dia mengeluh panjang. Tak sampai pula hatinya mahu menghampakan
wanita itu.
Di
gelanggang tenis yang kini diubahsuai menjadi gelanggang pertempuran bola
tampar, menyaksikan pasukan Idlan yang terdiri dari Pak Man dan Rezal melawan
pasukan yang lebih muda yang terdiri dari Fikri, Halil dan Irfan. Anna dan Ira
pula menjadi penyokong di tepi gelanggang. Mara pula hanya tersengih di tepi
gelanggang sambil sesekali bersorak untuk suaminya.
Orked yang memerhatikan gelagat Anna
yang terkinja-kinja dengan wajah teruja, hanya mampu mencebik. Entah kenapa dia
benar-benar tidak menyukai anak gadis itu. Umur mereka tidak jauh berbeza,
namun dia tidak fikir dia mampu bersahabat dengan anak gadis itu. Sebaliknya
Ira yang lebih peramah dan mudah ketawa lebih disenanginya.
Idlan
yang baru selesai membuat hantaran bola ke sebelah gelanggang, segera
terpandang kelibat Orked yang sedang menatang dulang berisi minuman. Bibirnya
segera menguntum senyuman. Dia tahu Orked juga sedang memandangnya. Namun
senyuman ikhlasnya langsung tidak dibalas anak gadis itu. Tapi dia tidak kisah
langsung, sebaliknya ketawanya meletus keluar. Santai dan selamba.
“Guys, kita berhenti minum dulu. Nanti
lenguh pulak tangan tuan puteri tu pegang dulang minuman.”Jerit Idlan
tiba-tiba.
Wajah
Orked berubah. Telinganya dapat mendengar kata-kata Idlan itu. Dia tahu lelaki
itu sengaja mengusiknya. Malah kehadirannya kini mula disedari orang-orang di
gelanggang itu.
“Wah,
hari ni Orked yang buat minuman untuk kita.” Laung Rezal pula seraya mengesat
peluhnya.
Orked
menggeleng. Ingin sahaja dia menjelaskan bahawa dia hanya menghantar minuman
yang disiapkan Mak Tun. Namun melihat dirinya didekati Idlan, bibirnya terus
kelu. Lelaki itu orang pertama yang mengambil gelas dari dulang di tangannya.
“Terima
kasih Orked.” Ungkap Idlan seraya mengenyitkan matanya. Gelas berisi oren sejuk
itu segera diteguk sehingga habis.
Melihat tingkah laku Idlan yang selamba,
Orked menarik nafas panjang. Dia ni memang sengaja nak kenakan aku! Gumam Orked
dengan wajah cemberut. Namun kemarahannya tak mampu dilontarkan tatkala dia
mula didekati Rezal, Pak Man dan anak-anak muda yang menjadi penginap di rumah itu.Malah Mara dan Ira
turut menghampirinya. Hanya Anna yang tak berganjak dari tempat duduknyaWajah anak gadis itu sudah
menjeling-jeling ke arahnya bagaikan tidak berpuas hati.
Orked sempat menghadiahkan senyuman
sinis buat anak gadis yang kini menjadi seterunya di rumah itu. Namun sebaik
dia mengalihkan bebola matanya, pandangannya bertembung dengan renungan Idlan
yang sedang menjamah wajahnya. Dia menelan liur. Gugup! Apakah Idlan perasan
dengan tingkah lakunya yang keanak-anakan melayan sikap Anna yang kerek itu? Ah
lantak! Siapa yang mulakan dahulu semua ini?
*
* * *
BUNYI riuh-rendah perbualan Mara dan
suaminya Rezal dengan Mak Tun suami isteri di ruang tamu itu langsung tidak
dipedulikan. Dia lebih berminat membelek buku-buku di dalam bilik bacaan yang
baharu ditemuinya. Ada banyak jenis bahan bacaan di dalam ruangan sederhana besar
itu. Sekali dipandang, ia menyerupai sebuah perpustakaan mini. Di dinding bilik
itu terdapat beberapa bingkai gambar lama berwarna hitam putih, sengaja disusun
berderet di atas almari sederhana besar di sudut bilik.
Di sudut
yang lain terdapat gramofon yang kelihatan berkilat. Di tepinya tersusun rak
bertingkat setinggi dirinya yang menyimpan banyak piring hitam nyanyian
penyanyi-penyanyi lama.Dia
menarik sekeping piring hitam tersebut lalu membeleknya.
“Under
The Lion Rock.” Orked membaca apa yang tertulis pada salah satu piring hitam
itu. Dia membelek-belek pula yang lain. Kebanyakannya piring hitam dari
penyanyi-penyanyi tempatan seperti P. Ramlee, Saloma, Rosmaria, D.J Dave. Dan
ramai lagi. Ada
juga piring hitam dari soundtrack
filem seperti Saturday Night Fever, Sound of Music dan Gone With The Wind.
Hatinya serta-merta disinggahi rasa kagum. Kebanyakan piring-piring hitam itu
kini agak sukar diperolehi.
“Semua
piring hitam tu milik ayah abang. Dia pengumpul piring hitam.” Ujar suatu
suara.
Orked terkejut besar. Piring hitam yang
ada di tangannya segera terlepas dari tangan. Wajahnya dengan segera berubah.
Kehadiran Idlan secara tiba-tiba begitu sering membuatkan dia putus semangat.
Idlan ketawa kecil melihat reaksi anak
gadis itu. Perlahan-lahan dia mendekati Orked yang jelas gugup memandangnya.
Dia melihat ke arah piring hitam yang terdampar di atas lantai. Keluhannya
meniti keluar. Matanya beralih ke wajah Orked yang kelihatan kekok. Salahnya
juga kerana mengejutkan anak gadis itu. Idlan segera tunduk lalu mengutip
piring hitam tersebut. Dia membelek-belek piring hitam tersebut sebelum menarik
nafas lega. Mujurlah piring hitam kesayangan arwah ayahnya itu tidak rosak.
“Orked
nak dengar gramofon?” Tanya Idlan lembut. Pandangannya melata di wajah anak
gadis di hadapannya.
Gadis itu turut menatapnya. Renungan
anak gadis itu kelihatan lebih lembut kali ini. Namun melihat gadis itu
menggelengkan kepala, dia hanya tersenyum.
“Abang
lupa, Orked tak mungkin suka mendengar lagu-lagu lama macam ni. Orked kan suka
lagu-lagu yang lebih bising.” Ujar Idlan.
Telinga
Orked berdesing. Entah kenapa dia merasakan lelaki itu seperti sengaja menyindirnya.
Dengan wajah masam mencuka, dia angkat kaki mahu beredar dari situ. Namun tangan
Idlan lebih pantas memaut lengannya lalu menarik tubuhnya lebih hampir.
Tindakan Idlan membuatkan dia terkedu.
“Orked sensitif sangat. Bila nak buang
perasaan negatif tu? Abang bukan nak menyindir tapi Orked memang lebih suka
dengar bunyi muzik yang rancak. Salah ke abang cakap macam tu?” Bisik Idlan
perlahan.
Orked
terdiam. Memang tak salah! Dan tekaan Idlan memang betul. Raut wajah Idlan
begitu dekat dengan wajahnya kini. Hatinya semakin bergetar. Aneh! Kenapa dia
begini setiap kali Idlan mendekatinya? Apakah aku mula menyukai lelaki yang
menyebalkan itu? Ah! Tak mungkin! Cepat-cepat dia meleraikan tangan Idlan yang
melekat di lengannya.
Idlan
menarik nafas panjang. Sukar sungguh dia mahu melenturkan hati anak gadis itu.
Berbual dengan Orked mungkin menjadi perkara paling menyukarkan buat dirinya.
Berkomunikasi dengan Mr. Sumpthon, tuan rumah tempat dia menyewa di London yang
sangat cengil dan cerewet orangnya mungkin lebih mudah berbanding gadis itu.
“Kalau
Orked nak baca buku, ambil sahajalah buku-buku kat dalam rak tu. Semuanya milik
ayah abang. Dia memang suka membaca semasa hayatnya.” Ujar Idlan.
Orked
melemparkan pandangan ke arah rak-rak yang tersusun di setiap sudut. Semuanya
dipenuhi dengan pelbagai jenis bahan bacaan. Tadi dia sempat membelek-belek.
Kebanyakannya buku-buku tentang seni bina dan hiasan dalaman. Malah di setiap
sudut dinding bilik itu dipenuhi dengan gambar-gambar binaan bangunan yang amat
cantik sekali. Dipotret dengan baik dari tangan seorang jurugambar profesional.
“Arwah
ayah abang seorang arkitek. Gambar-gambar yang Orked nampak kat dinding tu
ialah gambar-gambar bangunan bersejarah di Itali, waktu kami sekeluarga
berkunjung ke sana. Ayah abang memang suka ambil gambar bangunan-bangunan tu
semua.” Ujar Idlan tersenyum. Dia turut menghayati gambar-gambar itu bersama
Orked sambil asyik bercerita tentang setiap dari gambar-gambar itu.
Orked
hanya mendengar tanpa menyampuk. Sesekali dia merenung Idlan dari tepi. Mata
lelaki itu bercahaya setiap kali bercerita. Dia mengerti, Idlan tentu
terkenang-kenangkan kenangan lamanya bersama arwah ayahnya. Hatinya tergerak
jua ingin bertanya apa punca kematian ayah lelaki itu? Tapi entah kenapa dia
membatalkan hasrat hatinya. Tak tergamak pula dia mahu mengugat suasana ceria
di bilik itu ketika ini.
“Abang
teringin nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa kecil dulu abang dah
pernah datang dengan arwah ayah. Tapi sekarang rasa rindu nak tengok
semula.Entah sempat atau tidak.” Renungan Idlan tenggelam seperti memikirkan
sesuatu.
Dia
mengulit wajah lelaki itu dalam-dalam. Kenapa tak sempat pula? Kalau nak pergi,
pergi ajelah! Gumam hati kecilnya. Mustahil lelaki sekaya Idlan perlu berfikir
panjang sekadar mahu menjejaki Milan.
“Manalah
tahu suatu hari nanti kita ada peluang datang sama-sama ke sana. Orked mesti
suka kalau dapat tengok Duomo tu.” Idlan tiba-tiba tersenyum memandangnya.
Dia
tercengang-cengang mendengar kata-kata Idlan. Impian lelaki itu mahu ke sana,
apa kena mengena dengan dirinya pula?
“Err..Orked
nak ikut abang memancing tak kejap lagi? Kita memancing dekat tasik yang Orked
pernah lemas tu.” Tanya Idlan tak melepaskan peluang, cuba memujuk gadis itu
lagi.
Orked menelan liur. Grr…dia benar-benar
tak mampu berhadapan dengan Idlan walaupun sesaat. Ada sahaja kata-kata Idlan yang membuatkan
dia sakit hati. Jika Idlan tidak menyinggung hatinya dalam sehari tak boleh ke?
Kenapa lelaki itu suka benar memperingatkan dia perihal peristiwa dia lemas di
tasik tempohari? Aduh malunya!
“Aku
tak nak pergi.” Balas Orked dengan wajah muncung sedepa.
“Betul
tak nak pergi ni?”
“Tak
nak. Tak faham bahasa ke?”
“Kalau
tak nak tak apa. Tapi abang dengar Kak Mara dengan Mak Tun nak ajak semua orang
perempuan siapkan barbeque untuk jamuan malam nanti. Orked boleh tolong Mak Tun
dan Kak Mara nanti. Anna dengan Ira pun ada. Orked mungkin boleh berbaik-baik
dengan Anna nanti.” Ujar Idlan seraya mengangkat keningnya.
Mendengar
kata-kata Idlan, wajah Orked segera berubah. Anna? No way! Dia takkan berbaik-baik dengan perempuan mengada-ngada tu.
Tak mungkin!
Melihat
Idlan seperti mahu meninggalkan bilik itu, Orked cepat-cepat memanggil lelaki
itu semula. Sungguh dia tak kuasa mahu berada di rumah itu dengan segala macam
kerja rumah yang tak biasa dilakukannya. Paling penting dia tidak mahu duduk
bersama-sama Anna dalam satu ruangan. Noktah!
“Kejap,
aku nak ikut.” Putus Orked serba tidak kena.
“Apa
Orked? Abang tak dengar?” Wajah Idlan berkerut.
Orked
mengigit bawah bibirnya. Pekak ke?
“Aku
kata aku nak ikut?”
“Orked
nak ikut abang ya?” Idlan tersenyum lebar. Kemenangan pertama di pihaknya hari
ini. Dia lega kerana Orked mahu mengalah. Itupun dia sengaja menggunakan nama
Anna untuk menjerat anak gadis itu. Dia tahu Orked dan Anna tidak sebulu.
Matanya masih belum buta melihat reaksi kedua-dua gadis itu sebentar tadi.
Macam musuh di medan perang!
“Ya
aku ikut.” Getus Orked kasar.
“No, betulkan ayat tu. Cakap semula
dengan abang yang Orked akan ikut abang. Jangan gunakan lagi kata kau aku tu.
Kasar sangat bunyinya untuk adik abang yang cantik ni.” Ujar Idlan.
Wajah
Orked berkerut. Geli-geleman dia mahu mengikut suruhan Idlan.
“Kalau
tak abang tinggalkan sahaja Orked nanti.” Ugut Idlan. Dia semakin mahir meneka
kelemahan anak gadis di hadapannya.
Orked
mengeluh panjang. Kalau dibandingkan dia harus bersama-sama dengan Anna, dia
lebih rela berpura-pura di hadapan Idlan.
“Ya
abang Idlan, saya akan ikut. Puas hati?” Orked mencebik.
“Yup,
much better.” Balas Idlan seraya
tersenyum lebar. Kelakar pula dia mendengar gadis itu membahasakan dirinya
abang. Nampak sangat Orked terpaksa melakukannya. Tapi sekurang-kurangnya ini
langkah pertamanya untuk mendekati gadis itu. Entah kenapa, setelah dia tahu
apa yang Orked rasai selama ini, apa yang dihadapi gadis itu bersama ayahnya,
hatinya begitu kuat mahu melindungi anak gadis itu. Dia tidak pernah punya adik
perempuan. Malah dia tidak tahu bagaimana mahu melayan seorang ‘adik’ seperti
Orked yang keras kepala dan sukar mendengar kata. Namun dia akan belajar. Dia
akan mendekati gadis itu sedikit demi sedikit. Bukankah itu sudah menjadi
tanggungjawabnya? Lagipun Orked bukan siapa-siapa lagi baginya setelah ibunya
Maria mengahwini Hamdan, ayah Orked.
*
* * *
JARAK
duduknya dengan Idlan
agak jauh. Idlan di kanan, dia pula di kiri. Masing-masing menghadap ke arah
air tasik yang membiru. Idlan dengan pancingnya, dia pula sibuk mengipas tubuh
dengan topi yang asalnya tertenggek di atas kepalanya. Sesekali dia mengerling
ke arah Idlan yang kelihatan tidak terganggu dengan suasana di kawasan tasik
itu yang sunyi sepi. Bibirnya mencebik tanpa disedari. Entah ada ke entah tidak
ikan dalam tasik ini! Sudah satu jam berlalu, tapi baldi kecil yang dibawa
lelaki itu masih belum berisi apa-apa ikan. Berudu ada la kut! Ejek Orked dalam
hati.
Lima belas minit terus
berlalu, Orked semakin bosan. Dia bingkas bangun lalu mengibas-gipas rumput
yang melekat pada jeans yang dipakainya. Ketika itu juga Idlan tiba-tiba
menoleh. Dahi lelaki itu berkerut memandangnya.
“Nak
ke mana? Kata nak temankan abang memancing.” Idlan bersuara.
“Ini
namanya memancing? Apa yang kau nak pancing sebenarnya? Anak berudu? Itik?”
Perli Orked seraya menjuih ke arah Idlan.
“Oh
ya? Berudu boleh dipancing ya?” Idlan ketawa kecil.
Wajah
Orked membara.Sindirannya dihujah Idlan dengan sindiran juga. Dia
menarik nafas panjang. Tak guna dia terus berlawan bercakap dengan Idlan, buat
penat dirinya saja. Baik dia balik aje!
“Memancing perlukan kesabaran. Orked tak sabar sebab Orked
tak pegang pancing ni macam abang.” Tutur Idlan lagi apabila dilihatnya Orked
seperti sudah bersedia untuk beredar dari situ.
“Aku
bosan tau tak. Dah sejam lebih tapi mana ikan yang makan umpan kau? Tak ada kan? So dari membuang masa kat sini, baik aku
balik tidur aje.” Balas Orked.
Namun
belum sempat dia mahu pergi dari situ, Idlan tiba-tiba bingkas bangun lalu
menghalangnya.
“Kalau
Orked bosan, kita boleh berbual-bual.Orked duduk jauh sangat dari abang
tadi, memanglah bosan. Cuba duduk dekat sikit, barulah kita boleh berkongsi
cerita, saling kenal-mengenali. Lagipun Orked tak nak kenal ke dengan abang?”Umpan Idlan seraya tersengih.
Orked
mengguman perlahan. Perasannya dia ni! Kelopak matanya berkelip-kelip
memerhatikan Idlan yang kelihatan tampan walau hanya mengenakan t-shirt warna biru muda dan jeans denim yang
hampir menyerupai jeans yang dipakainya. Rambut lelaki itu kelihatan kusut masai
sedikit namun ia langsung tidak menjejaskan perawakan Idlan yang mencuri
perhatian.
“Kalau
Orked balik sekarang, abang akan sendirian. Abang tak suka sendirian sewaktu
hari jadi abang.” Ungkap Idlan tiba-tiba. Wajah itu bertukar serius!
Orked
tergaman. Wajahnya berkerut. Harijadi Idlan? Hari ni? Apakah itu sebabnya Mak
Tun dan yang lain-lainnya mempersiapkan jamuan untuk malam ini?Dan apa
sumbangannya selain dari melarikan diri dari ikut membantu? Entah kenapa Orked
tiba-tiba merasa bersalah. Agaknya hanya dia seorang sahaja di rumah itu yang
tak tahu apa-apa langsung mengenai hal ini.
“Kenapa Orked tiba-tiba diam aje ni?” Tanya Idlan, hairan
melihat wajah gadis itu berubah riak. Orked nampak benar-benar muram kali ini.
Kenapa agaknya? Aku salah cakapkah? Fikir Idlan bingung.
“Kenapa
kau tak cakap awal-awal yang hari ni hari jadi kau?” Soal Orked tidak puas
hati.
“Sebab
Orked tak pernah tanya pun.” Jawab Idlan tersenyum.
“Sebenarnya
kau sengaja ajak aku ke sini sebab kau nak malukan aku kan? Kau nak aku nampak
bodoh depan mereka semua tu kan?”
Tuduh Orked geram. Pelbagai prasangka buruk melulu di kepalanya.
Idlan
dilihatnya terdiam. Senyuman Idlan jelas pudar kali ini.
“Itu
bukan maksud abang Orked. Ya ALLAH, kenapa dengan Orked ni? Kenapa setiap kali
abang bercakap sesuatu, Orked akan sentiasa gagal mentafsir maksud abang?”
Keluh Idlan kesal.
“Then don’t talk to me.” Getus Orked
kasar.
“Ya,
abang akan buat begitu kalau itu yang Orked nak. Maaf abang lupa, Orked
sentiasa perlukan perhatian orang. Maaf sebab untuk seketika abang sangka,
Orked boleh menjadi teman abang berbual-bual. Abang sangka Orked boleh
mendengar isi hati abang because I need
that now.” Getus Idlan juga dengan suara meninggi.
Orked
terdiam. Idlan tunduk merenung gigi air. Wajah lelaki itu benar-benar muram
kali ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba, kakinya berat mahu
meninggalkan Idlan sendirian, sedangkan itulah niat asalnya.
“Bukan
hanya Orked yang ada masalah dalam dunia ni.” Bisik Idlan seraya memandangnya.
Dia hanya berdiam diri di samping lelaki itu.
“Hari ni harijadi abang, tapi abang tak
gembira langsung.Majlis malam nanti, idea Kak Mara dan Abang Rezal bila
mereka tahu hari ni harijadi abang.Macamana
abang nak bagitahu mereka yang abang tak ingin menyambutnya? Bagaimana abang sanggup
sambut hari jadi pada hari yang sama ayah abang meninggal?”
Orked terpempan. Kata-kata Idlan
membuatkan nafasnya berlagu kencang. Apa sebenarnya maksud Idlan? Sungguh
kata-kata lelaki itu berjaya membuatkan dia bingung seketika.