DIA baru selesai menunaikan solat Maghrib
apabila mendengar bunyi ketukan pada pintu biliknya. Dia tidak mempedulikan
ketukan tersebut sebaliknya meneruskan doanya. Selesai doanya diaminkan, dia
bingkas bangun lalu membuka telekung sembahyangnya. Ketika itu ketukan pada
daun pintu biliknya terus berulang. Dia menarik nafas panjang. Siapa pulak ni?
Dengan
perasaan malas dia segera melangkah ke muka pintu lalu menguaknya. Namun
melihat seraut wajah sedang tercegat memandangnya dia terkedu. Idlan turut
tergaman melihatnya seolah-olah ada sesuatu yang aneh pada wajahnya.
“Kenapa?”
Soal Orked acuh tak acuh.
“Err..makan.
Mama ajak Orked turun makan.” Ujar Idlan.
“Aku
tak lapar.” Jawab Orked lalu bersedia mahu menutup pintu kamarnya. Namun
tindakan Idlan lebih pantas, menghalang pintu tersebut dari ditutup.
“Tak
lapar pun kena makan sikit. Orked tentu tak mahu ayah Orked marah-marah lagi
kan?” Pujuk Idlan lembut.
Orked
terdiam. Agak lama memikirkan kata-kata Idlan. Betul juga kata-kata lelaki itu.
Dengan kehadiran Idlan malam ini, pasti ibu tirinya sudah menyiapkan makan
malam yang istimewa untuk anak kesayangannya. Dia patut berada di meja makan,
sama-sama meraikannya. Bukan kerana dia suka mahu menghadap wajah ayah dan ibu
tirinya, tapi semuanya dilakukan kerana Idlan. Selain itu dia tidak mahu Idlan
melihat sisi gelapnya di rumah itu lagi.
Sejurus kemudian dia mengangguk. Idlan
hanya tersenyum melihat Orked terburu-buru melipat telekung sembahyangnya.
Sebenarnya ketika gadis itu membuka pintu biliknya, memang dia terkejut melihat
wajah Orked yang kelihatan tenang. Dia juga nampak telekung di tangan anak
gadis itu, menandakan Orked baharu sahaja selesai menunaikan solat Maghrib.
Dalam hatinya dia benar-benar bersyukur
kerana gadis itu sudah mula menunaikan kewajipan utama setiap hamba di dunia
ini. Entah sejak bila gadis itu solat, dia sendiri tidak pernah tahu. Mungkin Orked
terpengaruh dengan Mak Tun dan Pak Man agaknya! Fikir Idlan seraya memerhatikan
setiap gerak-geri Orked dengan teliti.
Apabila
gadis itu keluar dan menutup pintu biliknya, dia tetap jua menanti di situ.
Pandangan matanya tidak berganjak dari wajah Orked yang kelihatan polos dan
suci. Malah lebih comel pada pandangan matanya berbanding mekap tebal yang
selalu tertampal di wajah gadis itu beberapa minggu yang lalu.
Melihat
Idlan tetap sahaja berdiri di situ dan memerhatikannya, wajah Orked segera
berkerut. Kenapa dengan dia ni?
“What?”
Idlan
tetap sahaja tersenyum.
“Kenapa?”
Suara Orked mula meninggi. Hairan melihat wajahnya terus ditatap bagaikan dia
makhluk asing dari planet Mars.
“Abang
suka tengok Orked dah mula solat. Adik abang semakin cantik luar dan dalam.”
Bisik Idlan tenang.
Orked
terpaku. Bicara Idlan membuatkan dia kehilangan kata-kata. Cantik? Idlan
mengatakan aku cantik? Perlahan-lahan dia memandang ke arah Idlan.
“Tapi
Orked akan semakin cantik kalau Orked boleh ubah cara percakapan Orked. Tolong
jangan beraku kau lagi dengan abang. Nanti apa kata mama abang dan ayah Orked.
Boleh kan?” Pinta Idlan.
Orked
menarik nafas panjang. Inilah yang susahnya! Dia sudah biasa bercakap begitu
dengan Idlan. Jadi bagaimana dia mahu mengubah cara panggilannya dalam sekelip
mata?
“Susah..”
Orked mengakuinya tanpa disedari.
Idlan
mengerutkan dahinya. Susah?
“Apa
yang susahnya? Panggil aje abang ni abang dan bahasakan diri Orked tu Orked.
Susah ke buat benda tu?” Soal Idlan.
Orked
menggaru keningnya. Kedua-dua ulas bibir diketap rapat.
“Dahlah
tu, jom kita turun makan. Nanti apa kata mereka kalau kita berdua tak
turun-turun.” Ajak Idlan. Namun belum sempat Idlan mahu menghela langkah, suara
Orked kedengaran.
“Abang..”
Panggil gadis itu.
Idlan
berpaling. Keningnya terangkat sedikit, teruja mendengar panggilan ‘abang’ yang
diucapkan dari bibir gadis itu. Matanya terus meratah wajah Orked yang
kelihatan canggung mahu memandangnya. Hendak ketawa pulak dia melihat gelagat
Orked kali ini.
“Panggil
lagi sekali.” Usik Idlan.
Orked
semakin tidak keruan. Wajahnya sudah merah padam menahan malu. Tanpa melayan
kehendak Idlan, dia segera melangkah turun meninggalkan lelaki itu. Namun
telinganya dapat mendengar bunyi ketawa Idlan berderai Wajahnya sudah bera,
malah menyesal kerana menuruti kehendak lelaki itu.
Di
meja makan, untuk kali pertama dia dapat duduk bersama-sama ayahnya, ibu
tirinya Maria dan Idlan sendiri. Mereka seperti sebuah keluarga bahagia sedang
makan malam bersama-sama. Malah makan malam itu rancak disulami perbualan.
Hanya perbualan itu tidak melibatkan dirinya. Ayahnya tak sudah-sudah berbual
dan bertanyakan pelbagai soalan pada Idlan, seolah-olah lelaki itu anak
kandungnya. Sebaliknya pula dirinya
langsung tidak diambil kisah. Dia seolah-olah tidak diperlukan di situ.
“Bila
Id rancang nak balik ke London?” Tanya Hamdan memandang anak tirinya.
“Abang
ni ke situ pulak tanyanya. Kan Id baru balik ni.” Rungut Maria seraya
mengerling suaminya.
“Uncle
tanya bukan apa Id. Bukan tidak suka Id balik ke mari. Tapi uncle nak ajak Id
ke syarikat uncle. Kalau boleh suatu hari nanti kalau Id dah habis belajar, uncle
nak Id kerja dengan uncle.” Ujar Hamdan berterus-terang sekaligus cuba
melenyapkan syak wasangka isterinya.
Idlan
hanya tersenyum mendengar kata-kata Hamdan. “Bukan ke uncle dah ada Orked? Dia
pun boleh tolong uncle di pejabat nanti.” Ujar Idlan selamba.
Hamdan
terdiam. Pantas bebola matanya dilarikan ke arah Orked. Gadis itu hanya berdiam
diri sambil menyuap makanan.
“Anak
perempuan tak boleh banyak membantu. Uncle perlukan seorang anak lelaki untuk
mewarisi perniagaan uncle.” Ujar Hamdan beralasan.
Orked
terkedu. Bicara ayahnya benar-benar melukakan hatinya. Dia perasan anak mata
Idlan sedang merenung dirinya. Wajah Idlan seolah-olah mengharapkan agar dia
tabah, biarpun kata-kata ayahnya benar-benar mencarik perasaan.
“Orked
kan ambil kursus perniagaan di kolej, tentu dia lebih mahir dengan selok belok
perniagaan. Id rasa dia akan jadi pembantu uncle yang lebih cekap. Kalau nak
harapkan Id, apalah yang Id tahu fasal perniagaan uncle.” Ujar Idlan beralasan.
“Tak
tahu boleh belajar Id.” Pintas Hamdan.
“Tapi
uncle kan tahu yang Id ambil kursus architecture
di sana. Id takut Id tak mampu nak tolong uncle.” ujar Idlan lagi.
“Uncle
yakin dengan Id. Tak apa, nanti kita ke pejabat uncle. Uncle akan tunjukkan
semua selok belok perniagaan uncle selama ini pada Id. Kalau tak pandai, uncle
akan ajar kamu perlahan-lahan.” Ujar Hamdan teruja. Dia memang sudah lama menghendaki
kehadiran seorang anak lelaki di dalam hidupnya. Mujurlah Idlan ada.
Idlan
sudah mati kutu mahu membalas cakap-cakap lelaki itu. Setiap kali dia menyebut
nama Orked, lelaki itu berlagak seolah-olah tidak mendengar apa-apa. Kehadiran
Orked angsung tidak diambil kisah oleh lelaki itu.
Ingin sekali hatinya bertanya kenapa
lelaki itu seperti memusuhi anak sendiri. Tapi setiap kali dia mahu mengajukan
pertanyaan itu, wajah ibunya seakan memberi isyarat agar dia tidak masuk
campur.
“Orked nak ke kelas semula esok kan?”
Tak disangka-sangka Idlan melencongkan pertanyaan. Sengaja dia menembak gadis
itu untuk memastikan Orked turut serta di dalam perbualan mereka di meja makan
ketika itu.
Seperti
yang diduga, Orked menunjukkan wajah bingung. Hamdan pula tak sudah-sudah
menjeling anak gadisnya. Raut wajahnya jelas tidak senang mendengar Idlan
berbicara tentang Orked. Namun dia buat-buat tidak mengerti.
“Hari
tu Orked ada cakap dengan abang fasal nak sambung study. Dah lupa?” Jolok Idlan.
Orked tercengang-cengang jadinya. Bila
pula aku cakap begitu?
“Betul
Orked nak sambung semula pengajian Orked kat kolej tu?” Maria kelihatan gembira
mendengar kata-kata Idlan. Malah dia juga merasa lega melihat anak tirinya itu
kelihatan mahu berbaik-baik dengan Idlan.
Orked
hanya mampu menjeling tajam ke arah lelaki itu. Geram benar hatinya kerana
Idlan seperti sengaja mahu memperolok-olokkan dirinya.
“Betul
mama, Orked sendiri yang cakap dengan Id masa kami kat Bukit Tinggi tempohari.
Katanya tahun ni dia nak belajarrajin-rajin
biar dapat keputusan cemerlang.” Sambung Idlan rancak bercerita dengan ibunya.
Maria tersenyum-senyum mendengar
kata-kata Idlan. Hanya Hamdan yang masih acuh tak acuh. Soal tentang Orked
benar-benar tidak masuk ke dalam kepalanya.
“Bagus
tu. Mama harap sepanjang Id kat sini, Id boleh bantu Orked belajar. Lagipun Id
kan pernah jadi tutor sambilan untuk anak kawan mama masa Id balik dua tahun
lepas. Seronok sangat mama tengok Id dan Orked berbaik-baik macam ni.” Maria
melahirkan kegembiraannya.
“Id
bukan setakat akan jadi tutor Orked. Id juga akan hantar dan ambil Orked di
kampus mulai esok. Uncle tak kisah kan?” Idlan melirik ke arah Hamdan.
Lelaki itu memandangnya sejenak sebelum
melontarkan pandangan ke arah Orked. Hamdan menarik nafas panjang sebelum
mengangguk.
Idlan tersenyum lebar. Dia memandang ke
arah Orked, namun mata anak gadis itu sedang memandang ayahnya. Wajah Orked
muram dan sebak. Idlan mengeluh, mengerti apa yang sedang dirasakan anak gadis
itu. Dia tahu hati Orked terluka dengan ayahnya. Masih segar dalam ingatannya
setiap bait-bait harapan dan impian yang disimpan oleh anak gadis itu dalam
kotak seramik pemberian ibunya. Itulah saatnya di mana dia merasa hatinya lebih dekat pada Orked. Lebih
mengerti isi hati anak gadis itu.
* *
* *
MELIHAT gadis itu sedang termenung jauh, perlahan-lahan
Idlan menapak ke arah Orked. Ketika dia melintasi ruang tamu tadi, dia dapat
mendengar suara ibunya sedang asyik berbual-bual dengan ayah tirinya sambil
menonton televisyen. Kedua-duanya asyik memperkatakan tentang sesuatu. Namun
dia tidak berminat mahu menyertai kedua-duanya berbual, sebaliknya dia lebih
berminat mahu berbual-bual dengan Orked.
Gadis
itu sedang menghadap ke arah kolam renang kecil di belakang rumah yang
bersambung dengan beranda di bilik tamu. Sejak tadi dia nampak Orked
bersendirian di situ. Mulanya dia mahu terus mendapatkan Orked. Namun sejurus
kemudian dia membatalkan hasratnya lalu berpatah balik ke arah dapur dan
meminta dua mug coklat panas dari pembantu rumah. Selepas itu barulah dia
kembali mendapatkan gadis itu.
Orked
langsung tidak berkutik sedari tadi. Renungan gadis itu tenggelam jauh seperti
memikirkan sesuatu. Idlan berdiri agak lama di belakang gadis itu. Ketika dia
membetulkan langkah, derap tapak kakinya mengejutkan gadis itu. Orked berpaling
ke arahnya.
Hendak
tak hendak dia terpaksa melemparkan senyuman sambil menghulurkan secawan mug
berisi coklat panas ke arah gadis itu. Orked mengambilnya tanpa banyak soal
lalu menghirupnya sedikit.
Idlan
tersenyum lalu mengambil tempat duduk di samping gadis itu. Dia turut menghirup
dari mugnya sendiri sambil memandang lurus ke hadapan. Permukaan air di kolam
renang itu sekadar ditatap kosong.
“Orked
sedih dengan apa yang ayah Orked cakap tadi?” Tanya Idlan ingin tahu.
“Tak
adalah.” Jawab gadis itu acuh tak acuh.
“Orked
tak perlu tipu sesiapa. Abang faham.”
“Aku
tak…”
Pantas
Idlan berdehem menyebabkan Orked terdiam sejenak. Dia tahu Idlan tidak suka dia
membahasakan dirinya ‘aku’.
“Ayah
berhak cakap apa sahaja. Orked tak kisah.” Ujar anak gadis itu muram.
“Abang
dah cakap Orked tak perlu tipu diri sendiri. Kalau Orked tak suka dengan apa
yang ayah Orked cakap, Orked kena berterus-terang dengan dia. Orked harus
beritahu dia apa yang Orked rasakan.” Ujar Idlan menasihati.
“Abang
tak faham apa-apa. Selama ini abang bukan tinggal di sini. Bukan abang yang
menghadap seorang ayah yang membenci abang seumur hidupnya. Orked yang merasa
semua ini. Orked memang anak sial bagi ayah.” Keluh Orked.
Idlan
terdiam. Matanya meraut teliti wajah gadis itu. Sebenarnya jauh di sudut hati,
dia benar-benar kagum dengan anak gadis itu. Orked seorang gadis yang tabah
baginya. Mungkin cara gadis itu untuk menuntut perhatian ayahnya adalah salah,
tapi dalam usia yang masih muda, dia dapat melihat ada sisi pada gadis tu yang
cekal dan kuat.
“Orked
kena percaya pada ALLAH. Berdoalah lepas solat semoga ALLAH buka pintu hati
ayah Orked untuk menyayangi Orked. Abang percaya suatu hari nanti dia akan
sedar semua kesilapan yang dilakukannya pada Orked.” Bisik Idlan.
Orked
menoleh ke arah Idlan dengan rasa sebak. Idlan turut berpaling. Mata mereka beradu
pandangan. Untuk seketika Idlan langsung tidak mampu mengalihkan wajahnya. Sinar
jernih di mata Orked membuatkan renungannya terpaku tidak mampu berkalih. Dia
tahu risikonya memandang anak gadis itu lama-lama begitu, tapi entah kenapa
kali ini dia tidak mampu menahan diri. Ada sesuatu yang bergetar di sanubari,
menyulam ke setiap pelusuk sarafnya sedikit demi sedikit.
“Kenapa
abang baik sangat dengan Orked?” Tanya Orked tiba-tiba. Inginkan penjelasan.
“Kenapa
Orked tak mahu terima kebaikan orang lain pada Orked?” Soal Idlan pula, cuba
bertenang.
Orked
terdiam. Dia tunduk merenung ke bawah.
“Orked
kena belajar untuk menerima orang lain dalam hidup Orked. Jangan tutup hati
Orked tu semata-mata sebab Orked kecewa dengan ayah Orked. Abang cuma mahu
Orked tahu yang abang ambil berat fasal Orked.” Bisik Idlan.
Orked
mengangkat wajahnya. Merenung seraut wajah yang kelihatan ikhlas menuturkan
kata-kata itu. Demi ALLAH, dia amat menyenangi tutur bicara Idlan itu. Kerana
pada saat ini, soal ayahnya bukan lagi keutamaan dalam hidupnya tapi Idlan!