BADANNYA bergerak-gerak sedikit, sebelum dia
membuka matanya. Cahaya yang menerjah masuk melalui celah-celah jendela yang
renggang membuatkan dia menghalang mukanya dari disinari cahaya matahari yang
menyilaukan. Jari-jemarinya tiba-tiba tersentuh kain basah di atas kepalanya.
Orked mengerutkan dahinya.
Dia
cuba
membuang kain tersebut dari atas dahi, namun suatu suara melarang. Orked segera
menoleh. Mak Tun tersenyum memandangnya.
“Orked
dah sedar pun. Baguslah, risau Mak Tun tengok Orked demam sepanjang malam.
Ingat pagi ni kalau demam Orked tak kebah-kebah juga, kami nak bawa Orked ke
klinik. Alhamdullillah panas tubuh tu dah surut.” Ujar wanita itu.
Orked
tidak membalas. Dia masih kaget melihat Mak Tun berada di situ. Matanya membelingas
ke kanan dan ke kiri. Entah kenapa susun atur di bilik itu kelihatan berbeza.
Dia mengalihkan matanya ke arah bilik tersebut. Memang tidak sama dengan
biliknya sendiri. Aku kat mana?
“Orked
sekarang kat bilik Idlan. Idlan yang angkat Orked ke sini.” Ujar Mak Tun
bagaikan tahu apa yang sedang bermain di fikiran anak gadis itu.
Mendengar nama Idlan disebut, Orked cepat-cepat bangun.
Perasaan terluka kerana peristiwa semalam masih menyengat di dalam fikiran. Dia
menolak selimut yang membaluti tubuhnya lalu cuba bangun dari katil. Namun
tubuhnya terlalu lemah untuk bergerak. Mak Tun yang melihat gerak-geri gadis itu terkejut sedikit.
“Orked
nak ke mana ni?Tidur ajelah kat sini, tak apa.Idlan dah tak marah lagi. Mak Tun pun
tak marahkan Orked. Kami semua ambil berat fasal Orked.” Mak Tun cuba
berlembut. Dia tahu dalam keadaan sekarang, sikap gadis itu sukar dijangka.
Separuh hatinya juga bimbang kalau-kalau gadis itu bertindak melarikan diri dari rumah.
Orked
tidak membantah apabila orang
tua itu membetulkan selimut yang berselerak tadi.Dia memandang Mak
Tun dengan ekor matanya. Bibirnya digigit perlahan. Ada perasaan bersalah
menyerangnya kali ini. Dia tahu dia bersalah kerana menengking Mak Tun sehingga
wanita itu mengalirkan airmata. Tapi semua itu berlaku tanpa direncanakan.
Kotak seramik hadiah ibunya terlalu bererti dari apa-apa pun jua barang-barang
lain di dunia ini. Kerana kotak itu, dia hilang pertimbangan diri. Tapi itu
tidak memberi hak pada Idlan untuk merosakkan kotak kesayangannya.
Orked menekup mukanya. Perasaan sedih dan pilu kini
menguasai diri. Sepanjang malam dia menangis di bilik stor kerana terkenangkan kotak kepunyaannya yang
dilempar Idlan ke arah dinding sehingga pecah. Hatinya remuk rendam dengan
perbuatan Idlan kali ini.
Mak
Tun mengeluh melihat esakan gadis itu yang jelas kedengaran. Meskipun pada
zahirnya Orked kelihatan keras hati dan suka melawan, tapi Mak Tun tahu jauh di
sudut hati, gadis itu sebenarnya lembut hati.
Perlahan-lahan
Mak Tun duduk di birai katil seraya menepuk bahu si gadis.Cuba menenangkan perasaan Orked yang
ternyata masih merajuk hati.
“Jangan
nangis Orked, Mak Tun tak marahkan Orked. Abang
Idlan kamu pun dah sejuk hatinya. Nanti jumpa
dia dan minta maaf pada dia. Insya ALLAH tak ada apa-apa lah tu.” Pujuk Mak
Tun.
Orked
tidak menjawab. Hanya tubuhnya sahaja yang tersengguk-sengguk menahan tangis.
Mak Tun menarik nafas panjang. Apa
ikhtiarnya mahu memujuk anak gadis itu? Mungkinkah
Orked masih bersedih dengan tindakan Idlan semalam? Tiba-tiba Mak Tun
teringatkan sesuatu.Cepat-cepat dia berjalan ke arah meja tulis tidak jauh
dari situ. Sebuah bungkusan sederhana besar diambil lalu dibawa ke arah katil.
“Orked, Mak Tun nak bagi sesuatu kat Orked. Ini Idlan yang
tinggalkan untuk Orked pagi tadi. Dia minta Mak Tun serahkan pada Orked.” Ujar
Mak Tun.
Orked
membuang tangan dari mukanya.Dia memandang bungkusan di tangan Mak Tun berkali-kali. Sebaik
bungkusan itu bertukar tangan, dahinya berkerut seribu. Meskipun dia tidak tahu
apakah isi bungkusan tersebut, tapi dia segera merungkai bungkusan tersebut
agak berhati-hati. Sesekali dia mengerling ke arah Mak Tun yang hanya tersenyum
memandangnya.
Sebaik matanya menjamah isi
bungkusan tersebut, wajah Orked segera berubah. Nafasnya berderu kencang sebaik
dia melihat kotak tersebut. Macamana kotak yang sudah pecah berderai dilempar
Idlan kini nampak elok pula?
“Sepanjang malam abang Idlan kamu
berjaga sebab nak baiki kotak ni. Habis
kotak peralatan Pak Man kamu diselongkarnya.” Jelas Mak Tun berterus-terang. Melihat
Orked diam sahaja, Mak Tun mengeluh sedikit. Perlahan-lahan dia mengatur
langkah mahu beredar dari situ.
Namun belum sempat dia menyusun langkahnya, namanya
diseru. Mak Tun berpaling.
“Maaf
Mak Tun. Orked..Orked tak sengaja.”Bisik anak gadis itu seraya tunduk.
Mak Tun
terpaku mendengar kata-kata maaf itu terlontar dari mulut anak gadis yang
kelihatan keras hati itu. Dia terharu kali ini. Tak sangka, dalam kekasaran
perilaku Orked, ada kekesalan yang masih bertapak di hati gadis itu. Itu
petanda anak gadis itu masih punya harapan untuk diperbetulkan jalan hidupnya,
bisik Mak Tun amat berharap.
“Bukan Mak Tun orangnya yang patut Orked minta maaf. Orked
patut minta maaf dengan Idlan. Dia dah sepanjang malam bekerja keras membaiki
kotak Orked tu.” Mak Tun tersenyum.
“Dia
kat mana?” Tanya Orked ingin tahu.
“Ada
kat bilik tetamu, masih tidur agaknya.” Ujar Mak Tun seraya berlalu pergi
meninggalkan Orked sendirian.
Usai
pemergian wanita itu, mata Orked beralih arah. Dia merenung lama ke arah kotak
seramik berwarna pink yang mempunyai kesan-kesan cantuman. Meskipun rupanya
sudah cacat, namun hatinya menjadi tidak keruan apabila mendengar kata-kata Mak
Tun tentang Idlan yang membaiki kotaknya. Kenapa? Kenapa lelaki itu mesti
melakukannya? Bukankah Idlan yang merosakkan kotak peninggalan arwah ibunya?
Jadi untuk apa lelaki itu bermurah hati sudi membaikinya semula?
Melihat
cantuman-cantuman seramik itu, hatinya sayu. Kotak itu tidak serupa lagi dengan
yang dahulu. Serpihan-serpihan kotak itu meskipun sudah tercantum namun masih
menjadi serpihan-serpihan di hatinya. Kali ini dia benar-benar terluka dengan
apa yang sudah berlaku. Selama ini Idlan tidak pernah meninggikan suara
terhadapnya walau pelbagai kerenah dilakukannya.Tapi semalam, di
khalayak ramai dia dimarahi seperti dia tidak punya harga diri. Hari ini lelaki
itu membaiki pula kotak kesayangannya. Sungguh dia benar-benar tidak faham
langsung dengan Idlan Riyaz !
* *
* *
DAUN pintu yang sedikit renggang di hadapannya diintai dari
luar. Namun dia gagal melihat apa-apa pun di dalam. Hasrat hati mahu menjenguk
Idlan berganti dengan keraguan.Hampir
setengah jam dia terkemut-kemut di hadapan bilik itu, serba-salah apa yang
harus dilakukannya.
Sebenarnya
untuk apa aku ke sini? Untuk meminta maaf? Tapi salah dia pada aku lagi teruk
berbanding dengan apa yang telah aku lakukan, bisik Orked tidak keruan.
Tiba-tiba
telinganya mendengar suatu bunyi. Wajahnya segera berubah. Bunyi tapak kaki itu
semakin jelas kedengaran menandakan kehadiran orang tersebut semakin hampir. Dia
segera kalut mencari-cari tempat berlindung. Sebolehnya dia tidak mahu
kehadirannya di hadapan bilik itu menimbulkan syak wasangka dan keraguan
orang-orang di rumah itu. Nanti apa pulak kata mereka jika melihatnya
terhendap-hendap di hadapan bilik tetamu yang ditempati Idlan ketika ini.
Malangnya
dia terperosok dalam masalah. Ternyata tidak ada tempat berlindung di situ
kecuali pintu bilik yang sedikit renggang. Orked mengetap bibirnya
berkali-kali. Telinganya dapat mendengar dengan jelas suara Anna dan Ira, dua
pelajar universiti yang sedang menetap di rumah itu. Kalau Ira dia mungkin
tidak ambil kisah, kerana gadis itu bersikap ramah tamah dengannya. Tapi kalau
dengan Anna yang bermulut lancang itu, baik dia segera mengelak dari masalah.
Lagipun dia tidak nampak kelibat Idlan di bilik itu. Idlan mungkin sudah keluar
berjoging seperti kebiasaannya. Mungkin tidak apa-apa kalau dia masuk dan
menyembunyikan dirinya buat seketika. Begitulah rentak fikiran Orked ketika
itu.
Tanpa
berlengah dia segera meluru ke arah bilik di hadapannya lalu dikatup
rapat-rapat. Telinganya melekap di permukaan pintu, cuba mendengar rentak
langkah dua anak gadis yang diyakininya sedang menuju ke arah bilik yang
menjadi tempat persembunyiannya.
Dugaannya
ternyata benar. Sebentar kemudian dia dapat mendengar suara Anna terjerit-jerit
memanggil nama Idlan dari luar. Tak cukup dengan itu, pintu bilik itu
digoncang-goncangkan gadis itu dari luar. Orked mengeluh panjang. Mujurlah dia
sempat mengunci pintu bilik itu, jika tidak anak gadis yang sedang kemaruk
dengan Idlan itu mungkin akan menerpa masuk.
Tiba-tiba
mulutnya mencebik. Hatinya entah kenapa meluat dengan Anna. Dia tahu anak gadis
itu tidak menyukainya. Dia juga begitu. Sejak apa yang berlaku malam semalam,
dia sudah nekad mahu mengenakan gadis itu jika Anna dengan sengaja mencari
fasal dengannya lagi. Kau belum kenal aku siapa! Cebik Orked sakit hati.
“Orked
buat apa ni?” Muncul suatu suara.
Orked tersentak. Wajahnya segera berubah. Suara yang
muncul dari arah belakangnya membuatkan dia gementar. Idlan? Tapi bukankah
bilik itu kosong sahaja tadi?
Perlahan-lahan
dia membalikkan tubuhnya. Melihat seraut wajah sedang merenungnya dari pintu
bilik air yang sedang terbuka luas, dia tiba-tiba diterpa perasaan gugup.
Rupa-rupanya lelaki itu berada di dalam bilik air. Macamana dia boleh tak
perasan bunyi air di dalam tandas itu sebentar tadi?Alamak!
Suara Anna terus bergema. Gadis itu
seperti tidak tahu putus asa memanggil nama Idlan dari luar. Sesekali suara Ira
kedengaran, memujuk Anna agar beredar dari situ.
Di luar bilik itu heboh dengan
kekecohan Anna.Tapi di
dalam bilik itu berbeza pula. Keadaan di bilik itu sunyi sepi. Orked terpaku di
hadapan Idlan yang masih menatapnya dengan wajah berkerut.
“Kenapa
Orked ada dalam bilik ni?” Idlan mengulang pertanyaan. Lelaki itu hanya
bertuala dengan rambut separuh basah.
Orked semakin gugup. Seperti ada yang
tak kena dirasakannya saat itu. Malah tiba-tiba sahaja wajahnya merah padam
seperti udang kena bakar. Cepat-cepat dia memusingkan tubuhnya menghadap ke
arah pintu.
Melihat
reaksi Orked, Idlan semakin bingung. Namun sebaik dia menyedari keadaannya yang
tak berbaju, dia cepat-cepat mencapai bajunya lalu disarung. Bunyi teriakan
Anna di luar biliknya hanya dibuat endah tak endah. Saat ini dia lebih berminat
ingin tahu apa yang Orked buat dalam biliknya.
“Pusing
sini Orked.” Suruh Idlan lembut.
Orked
tidak berganjak langsung.
Idlan
mengeluh panjang. Dia segera menghampiri anak gadis itu lalu menarik bahu Orked
menghadap ke arahnya. Wajah anak gadis itu ditatap. Tapi wajah di hadapannya
bukan wajah sombong dan keras kepala yang dilihatnya beberapa hari yang lalu. Sebaliknya
wajah di hadapannya kini kelihatan gelisah dan cemas. Malah tatapan mata Orked
seperti anak-anak gadis lain yang dikenalinya. Malu-malu!
“Orked
datang sini nak cari abang ke?” Soal Idlan lembut.
Orked
memalingkan wajahnya. “Tak, aku tak sengaja masuk sini.”
“Tak
sengaja?” Idlan mengerutkan dahinya. Terasa kelakar mendengar alasan Orked. Biar
betul!
“Setahu
abang, bilik tetamu ni jauh dari bilik-bilik lain. Begitu juga dengan bilik
Orked sendiri. Sekalipun Orked mahu mencari Mak Tun atau mahu ke dapur,
mustahil Orked akan lalu di sini.” Hujah Idlan tersenyum.
Orked
berpaling. Hatinya berang mendengar kata-kata Idlan. Namun sebaik anak matanya
bersapa dengan wajah Idlan, seluruh anggota tubuhnya tiba-tiba jadi lemah tak
berdaya. Suaranya juga seolah-olah terkunci rapat.
“Kenapa
Orked diam?”
Orked
jadi bingung.Bibirnya diketap rapat.
“Se..sebab kotak tu.”Tergagap-gagap dia menyebutnya.
Idlan
terdiam. Dia mula menangkap maksud gadis itu. Kenapa dengan kotak itu? Apakah
Orked tidak suka dengan hasil kerja tangannya mencantumkan semua
serpihan-serpihan kotak itu sepanjang malam tadi?
“Abang
minta maaf Orked.” Bisik Idlan tiba-tiba.
Orked
tergaman. Maaf? Aku salah dengarkah?
“Abang
tak sepatutnya rosakkan kotak Orked tu. Kalau abang tahu kotak tu begitu
berharga pada Orked, tak mungkin abang sanggup melakukannya.” Ujar Idlan dengan
perasaan bersalah.
“Abang
tak pernah tahu yang selama ini ayah Orked layan Orked macam tu. Abang ingat
abang faham segala-galanya, rupa-rupanya tak. Sudah berapa lama Orked simpan
semua kelukaan itu sendiri selama ini?”
Soal Idlan tenang.
Tubuh
Orked sudah keras kejung. Kata-kata Idlan yang penghabisan terus mematikan
kata-katanya yang mahu diluahkan. Ternyata dia hampir terlupa dengan isi
kandungan kotak miliknya yang dilemparkan Idlan kelmarin. Apakah lelaki itu
telah membaca semua helaian-helaian kesakitan yang dihimpunnya selama ini?
“Aku tak
harap simpati dari kau.” Entah kenapa dia mengeluarkan kata-kata kasar itu
sekali lagi.Mata Idlan
tidak berganjak meratah wajahnya.
“Abang
tak pernah rasa simpati pada Orked.” Bisik Idlan.
“Habis?
Kalau bukan simpati, kenapa kau baiki semula kotak yang kau rosakkan? Untuk
apa? Bukan sebab kau simpati pada aku? Bukan sebab kau rasa kasihan pada aku
anak pungut ni?” Herdik Orked tiba-tiba naik berang.’
Idlan
menarik nafas panjang. Melihat gadis itu mahu beredar, Idlan cepat-cepat
menghalang. Dia sudah bosan menghadapi pertengkaran mereka yang tidak pernah
berakhir. Tidak pernah selesai!
“Tunggu
dulu, abang belum habis cakap dengan Orked.”
“Kau
nak cakap apa lagi? Kau nak aku berterima kasih pada kau sebab baiki kotak tu? Well, apa yang kau buat takkan mengubah
apa-apa pun. Kotak tu dah pecah, dah rosak. Sebaik mana pun kau membaikinya, ia
takkan sama lagi.” Getus Orked.
“Siapa
kata ia tak sama? Ia tetap kotak yang Orked hargai. Ia tetap kotak pemberian
ibu Orked. Semuanya masih sama, hanya kalau Orked berhenti melihat segala-galanya
dengan cara yang sukar.” Tutur Idlan.
“Apa
yang abang buat selama ini bukan sebab abang simpati pada Orked. Tapi abang
lakukannya sebab Orked adik abang. Abang sayangkan Orked.” Sambung Idlan lagi.
Orked
terpaku mendengarnya. Sayang? Mereka bertemu tak sampai seminggu dan lelaki itu
mengaku menyayanginya? Aneh! Idlan benar-benar membuatkan dia hampir percaya
walaupun sesaat yang dirinya begitu bermakna untuk seseorang. Tapi setiap waktu
yang berputar, setiap saat yang berlalu, hanya membuatkan dia menyedari bahawa
hidupnya tidak akan pernah berubah.