Setahun
yang lalu…
PERUTNYA sudah menggebu kelaparan.
Hampir semalaman dia menahan lapar dan dahaga.
Berkali-kali dia merayu pada anggota polis yang bertugas di situ supaya dia
diberi sedikit makanan untuk menggalas perutnya, namun wanita berbadan gempal
itu hanya memandangnya acuh tak acuh.
“Semalam
bila diberi makanan, kamu lempar dan campak ke dinding. Sekarang baru tahu
nak makan pulak!”Rungut
wanita itu dengan wajah cemberut.
“Apalah
nak jadi dengan kamu ni. Dah elok-elok masuk universiti, ponteng kelas, pergi clubbing, bergaduh lepas tu hisap rokok
dan ambil minuman keras pulak. Lama-lama nanti ecstasy pun kamu ambil.” wanita gempal itu tak habis-habis cuba
menyakitkan hatinya.
Dia
menoleh ke arah wanita itu. Hatinya memanas. Berangnya tiba-tiba hadir tak
diundang tatkala mendengar
kata-kata wanita berbadan gempal itu.
“Yang puan
sibuk-sibuk ni kenapa? Saya jadi macam ni bukan habiskan duit puan pun.”
Herdiknya dengan suara kasar.
Wanita itu membulatkan biji matanya.
“Amboi budak ni menjawab pulak. Bukannya tahu nak berterima kasih dengan aku.
Padanlah bapak kamu pun tak mahu ikat jamin kamu keluar dari lokap ni.” Rungut
wanita itu seraya berlalu pergi.
Berdesing telinganya mendengar
kata-kata anggota polis wanita berpangkat konstabel itu. Kata-kata itu
membuatkan dia terkenangkan lelaki berkumis nipis yang selalu serius wajahnya.
“Jangan harap ayah nak jamin kamu kali ni. Kamu tidurlah
dalam lokap tu malam ni sampai kamu insaf dengan semua kerenah yang kamu dah
buat selama ini.”
Kata-kata lelaki itu kembali
menyesakkan fikirannya. Ah persetankan! Macamlah aku kisah sangat! Dan hampir
semalaman dia tidur beralaskan lantai dan berbantalkan lengan. Kesejukan dalam
bilik sel itu mencengkam sehingga ke tulang belikatnya namun dia hanya
bersabar. Bukankah itu yang selalu dilakukannya? Hanya bersabar!
Ketika
ini dia selalu terkenangkan arwah uminya. Sifat umi yang lembut dan penyayang
membuatkan airmatanya menitis lagi. Dia tidak tahu kenapa airmatanya senang
benar mengalir setiap kali dia teringatkan wanita itu.
“Orked
satu-satunya permata hati umi yang paling umi sayangi. Biar apa pun kata orang, umi percaya pada Orked. Umi tahu
Orked anak umi yang baik!” Bicara umi suatu ketika dahulu tergiang-giang di
telinganya. Kata-kata itulah yang selalu menyejukkan hatinya tatkala dia terjeruk
hati dengan sikap ayahnya sendiri.
“Umi,
kenapa ayah tu macam tak sukakan Orked? Apa salah Orked, Umi?” Pertanyaan itu
berulangkali diutarakan untuk santapan telinga uminya.
Wanita itu hanya terdiam memandangnya.
“Orked
tak salah sayang. Umi yang salah.”
“Umi
salah apa?” Dia terpinga-pinga menangkis kata-kata ibunya.
“Orked
tak perlu tahu sayang. Ini hal orang tua.” Bisik umi perlahan. Bagaikan takut
kata-katanya sampai ke telinga suaminya.
Dengan
wajah bingung, dia diam tak terkata. Dalam usia lima belas tahun, dia sebenarnya langsung tidak
memahami apa-apa. Dia hanya tahu ayah dan uminya kerap bertegang urat sejak
usianya masih kecil sehinggalah uminya meninggal dunia kerana kemalangan jalan
raya.
Ketika
jenazah uminya dibawa pulang ke kampung, ayahnya langsung tidak balik menjenguk
muka.Telinganya sendiri dapat mendengar saudara-mara belah ibunya sibuk
bertanyakan ayahnya ketika itu.
“Mana si Hamdan ni?”
“Dia sibuk agaknya.”
“Hai takkan isteri meninggal dunia
pun sampai tak ada masa nak jenguk.”
“Biarlah, dia orang bisnes. Sibuk dia mengalahkan sibuk
perdana menteri.”
“Jangan-jangan
sibuk hala ke lain.Maklumlah lepas ni dah sah-sah jadi duda rebutan. Duit
ada, rupa pun ada.”
Matanya terpisat-pisat memerhatikan
celoteh sekumpulan wanita yang duduk di pangkin kayu di hadapan rumah datuknya.
Hatinya berang mendengar
kata-kata yang tak sayang mulut itu. Pelik juga dia mengenangkan wanita-wanita
itu yang hanya tahu bergosip. Bukannya datang hendak bersedekah ayat-ayat suci
pada arwah ibunya, sebaliknya datang nak menambahkan dosa kering. Jika
diikutkan hatinya mahu sahaja dia menghambat makcik-makcik itu. Tapi kerana
mengenangkan arwah ibunya, dia memaksa diri bersabar.
Orked
meraba-raba pipi yang terasa hangat.Dia terpinga-pinga. Untuk apa airmata
ini mengalir? Umi sudah lama pergi dari hidupnya.
Tubuhnya dibalikkan. Matanya dengan
lekas terpandang teman satu lokap yang disumbat dalam bilik itu malam semalam.
Gadis itu sudah lama tertidur. Menurut gadis dari Seremban itu, dia ditangkap
kerana mencuri barangan di pasaraya.Dia
pula ditangkap pihak berkuasa kerana bergaduh dengan seorang perempuan di kelab
malam.Semuanya gara-gara gadis itu mencari fasal dengannya terlebih dahulu.
Apabila kelab itu diserbu pihak berkuasa, sedang-sedang elok dia sedang membelasah
gadis yang kurang ajar itu yang menuduhnya merampas teman lelakinya. Entah yang
mana satu dia sendiri tidak ingat!
Tapi inilah bahana akibat
kelalaiannya malam itu. Tak fasal-fasal dia menjadi penginap di lokap ini
sehingga ada yang sudi mengikat jaminnya.Tapi
mengenangkan ayahnya sendiri tidak mempedulikannya, dia sudah tidak menyimpan
harapan apa-apa lagi. Hendak menelefon Arida meminta tolong, dia tidak sanggup.
Teman sekolejnya itu tidak pernah bersetuju dengan kelakuannya yang dianggap
liar dari sehari ke sehari. Hendak menelefon Mira, dia tahu Mira bukannya ada
duit untuk membantunya membebaskan diri dari lokap itu.
Tidurlah
Orked! Hati kecilnya berbisik. Tidurlah sehingga hari-hari esok akan terus
berlalu dan berlalu. Tidurlah sehingga kau hanya akan bermimpikan umi yang
sentiasa kau rindui siang dan malam.
*
* * *
“ORKED
HALINA. Kamu boleh keluar, ada orang datang ikat jamin kamu.” Suara anggota
polis wanita berbadan gempal itu kedengaran.
Dia membalikkan tubuh seraya merungut.
Bising! Langsung tak boleh tengok aku senang sikit! Kedua-dua tangannya ditekup
di cuping telinga.
Namun ketenangannya diganggu lagi.Bunyi
hentakan pada palang besi di selnya membuatkan matanya terbuka luas. Dia
mendengus kasar seraya berpaling ke arah pegawai polis itu.
“Apa?”
Herdiknya kasar.
“Kamu
dengar tak?Saya kata ada
orang dah ikat jamin kamu.” Ulang wanita itu dengan wajah selamba.
Matanya
terbuka luas. Ikat jamin? Siapa? Ayahkah? Mengenangkan dia akan bebas dari
bilik besi itu, dia memaksa dirinya bangkit dan membetulkan pakaian yang
membalut tubuhnya sejak dua hari yang lalu.
Sebaik dia dibawa masuk ke dalam
sebuah bilik sederhana luas, matanya dengan cepat menangkap sesusuk tubuh yang
sedang membelakanginya. Matanya mula mengecil. Siapa pulak ni?
“Hah ini dia. Saya harap lain kali, awak
nasihatkanlah dia baik-baik agar dia tak terjerumus ke dalam salah laku yang
tak sepatutnya. Budak macam dia, kalau tak diberi didikan yang baik dan
sempurna, lain kali dia akan jadi bertambah liar. Dah banyak sangat saya berhadapan
dengan kes-kes macam ni.” Ujar anggota polis di hadapannya.
“Baik tuan, Insya ALLAH kami akan didik dia
sebaik-baiknya.Saya jamin perkara seperti ini takkan berulang lagi.”Ujar lelaki itu tanpa menoleh ke
arahnya.
Wajah Orked berkerut. Seingatnya dia
langsung tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Suara lelaki itu juga
kedengaran asing di telinganya.
Belum
sempat dia mahu melempiaskan rasa ingin tahu yang bersarang di fikirannya,
lelaki itu tiba-tiba menoleh. Secebis senyuman menyulam di wajah itu membuatkan
dia terpegun. Wajah bersih, tampan dan berkulit cerah itu ternyata benar-benar asing
dari kelopak pandangannya.
“Orked?”
Lelaki itu menyebut namanya.Lancar dan fasih. Tanpa disedari dia mengangguk. Matanya
masih ralit menatap wajah di hadapannya. Hatinya tertanya-tanya. Siapa lelaki
itu? Apakah lelaki itu tersilap menjamin orang?
“Mari kita balik sayang,” Ujar
lelaki itu seraya menghampirinya.
Dia terus terkedu dan bingung. Sayang?
Panggilan apakah itu? Memang sah, lelaki ini tersalah menjamin orang. Tapi
percuma sahaja jika dia menidakkannya. Mahukah dia kembali ke tempat kurungan
itu lagi? Of course not!
Bibirnya terus mengorak senyuman ke
arah lelaki itu sambil mengangguk. Berpura-pura seolah-olah dia mengenali lelaki
itu. Ah! Lantaklah! Asal dia boleh lepas dari kurungan itu, dia akan berbuat
apa sahaja yang perlu.
Sesudah meminta diri dari polis yang
membantu urusan ikat jamin, lelaki itu terus meluru keluar tanpa memandangnya.
Orked terkedu! Tidak tahu apa sebenarnya yang harus dilakukannya. Mahu tak mahu
dia terpaksa berlari keluar mengejar lelaki yang tak dikenali itu. Langkah
lelaki itu yang deras cuba disaingi.
“Kau
siapa? Kenapa kau ikat jamin aku?” Soalnya ingin tahu. Jika mengikut perangai
biasanya, tak kuasa dia mahu mengambil tahu hal lelaki yang tak dikenali itu.
Tapi kali ini berbeza. Hatinya benar-benar ingin tahu apakah memang benar
lelaki itu tersilap menjamin atau sememangnya lelaki itu mengenalinya? Selagi
persoalan itu terus berlegar di fikirannya, selagi itulah dia tidak senang
duduk.
Lelaki
itu tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya dia menghela langkah ke arah
sebuah kereta yang diparkir di luar pagar balai polis.
Orked mengetap bibir. Mulai berang kerana
soalannya tidak dijawab. Tak semena-mena dia menarik lengan lelaki itu sehingga
langkah lelaki itu terhenti mendadak.
“Kau
pekak ke ni? Aku tanya kenapa kau ikat jamin aku?” Soalnya dengan nada menengking.
Hatinya mula cuak dengan sikap lelaki itu.
Lelaki
itu berpaling seraya menatapnya. “Kenapa? Salah? Atau Orked lebih rela tidur
kat sel tu semalam lagi?” Lelaki itu memulangkan pertanyaan. Renungan lelaki
itu lembut menikam wajahnya. Dia terkedu!
“Kau
siapa sebenarnya?” Matanya meneliti lelaki itu dari atas ke bawah.
Lelaki
itu membuka pintu keretanya seluas-luasnya. “Kalau Orked nak tahu, naik dulu
kereta ni. Kita balik rumah.” Ujar lelaki itu tenang.
Orked
tiba-tiba ketawa kecil.
“Kau
nak aku naik kereta tu? Semata-mata sebab kau dah ikat jamin aku? Kau ingat aku
akan terhutang budi dan ikut kau?”
Si
lelaki terkelip-kelip memerhatikan Orked yang naik radang. Tapi sejurus kemudian,
senyuman lelaki itu bermain lagi di bibir. Seolah-olah, kata-kata anak gadis tidak
langsung menjejaskan dirinya.
“Jangan
senyum macam tu dengan aku. Aku menyampah. Aku benci cara kau senyum begitu.”
Getus Orked keras.
Lelaki
itu langsung tidak mempedulikan larangannya. Sebaliknya senyuman itu berganti gelak ketawa yang semakin
menyakitkan hati. Dia menjeling lelaki di hadapannya dengan wajah menyinga.
“Uniknya
perangai Orked ni. Patutlah mama bimbang bila abang offer nak pergi ikat jamin Orked. Rupa-rupanya ini yang dia
bimbangkan.” Ujar lelaki itu. Selamba dan bersahaja.
Orked
terpempan. Mama? Biar betul! Takkanlah lelaki itu anak isteri baru ayahnya, Maria.
Tapi bukankah lelaki itu sedang belajar di luar negara?
“Nama
abang Idlan. Idlan Riyaz. Waktu mama abang kahwin dengan ayah Orked setahun
yang lalu, abang tak sempat nak balik. Mungkin Orked tak kenal abang, tapi
abang kenal Orked.” Ujar Idlan lembut. Wajah anak gadis yang kelihatan kaget
itu direnung dengan riak bersahaja.
Wajah
Orked berubah sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Betul tekaannya! Lelaki
itu anak tunggal ibu tirinya. Baru dia perasan kereta yang diparkir berhampiran
lelaki itu ialah milik ibu tirinya. Dengan dengus kasar, dia hendak beredar
dari situ. Tapi Idlan bagaikan mengerti lenggok langkahnya lalu segera
menghalang.
“Orked
nak ke mana ni? Kita kena balik rumah. Mama dan ayah Orked dah tunggu tu.”
Ujarnya cuba
memujuk anak gadis itu.
Orked
berpaling dengan wajah berang. “Mama? Dia bukan mama aku! Jadi kau tak perlu
berangan nak jadi abang aku pulak. Kau dan mama kau hanya buat aku menyampah!”
Getus Orked kasar.
Idlan
terdiam. Kasarnya tutur kata anak gadis itu.
“Orked, abang tahu Orked susah nak
terima abang dan mama abang di dalam rumah tu. Tapi walau bagaimana pun, kita
sekarang sudah jadi satu keluarga.” Pujuk lelaki itu.
Orked
ketawa kecil. Wajah Idlan yang serius ditatap dengan pandangan sinis. “Jangan
nak bersyarah dengan aku fasal keluarga. Kau langsung tak tahu apa-apa pun
fasal aku. Dan jangan berlagak macam kau tahu semuanya.” Gumam Orked lalu
segera meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga memerhatikan kelibat anak gadis
itu.
Idlan
hanya mampu mengeluh. Kelibat Orked yang sedang melintas jalan diperhatikan
dengan perasaan bercelaru. Degilnya budak tu! Keluh Idlan. Mahu tak mahu dia
masuk ke dalam perut
kereta lalu mula menghidupkan enjin keretanya. Jika dalam seharian ini dia
harus menjadi pengintip tak bertauliah, nampaknya
dia terpaksa melakukannya!