KETIKA keretanya menghampiri sebuah rumah dua
tingkat yang agak jauh di kawasan pinggir bandar, Idlan segera memberhentikan enjin
kenderaanya. Dia berpaling ke arah Orked. Tapi melihat gadis itu sudah
tertidur, dia hanya mampu menarik nafas panjang.
Matanya berpaling ke arah jarum jam digital di
dalam keretanya. Patutlah! Dah hampir pukul 3 pagi. Tak sangka sudah berjam-jam
dia memandu ke tempat itu.
Hasrat
hati mahu mengejutkan Orked tak kesampaian apabila dilihatnya tidur gadis itu
begitu lena. Sesekali hela nafas Orked menjamah gegendang telinganya. Gadis itu
mengerengkot sedikit seperti sedang cuba menahan kedinginan dari
penghawa dingin keretanya yang sudah ditutup. Melihat keadaan gadis itu, dia
segera meraba-raba sesuatu dari belakang tempat duduk. Mujurlah ada sehelai jaket
di dalam keretanya. Jaket itu digunakan buat menutup tubuh Orked yang
kedinginan.
Sesudah
itu dia menganjak tempat duduknya ke belakang sedikit. Memberi ruang untuknya
berehat. Kepenatan yang dirasainya saat ini membuatkan dia ingin segera tidur.
Kelopak
matanya beralih ke arah Orked. Anak gadis itu seperti tidak kisah tidur begini.
Sedikit pun wajah itu tidak menyeringai lenguh atau berusaha membetulkan
posisinya.Wajah itu tampak tenang kini, bukan seperti mula-mula dia
melihat gadis itu di balai polis. Wajah Orked Halina ketika itu kelihatan
angkuh dan sombong. Sedangkan wajah yang ini pula kelihatan begitu polos dan
comel.
Sejak dia di luar negara, ibunya sering bercerita tentang
Orked. Tapi biasanya dia hanya mendengar cerita-cerita tentang Orked yang tidak
enak didengar. Contohnya tentang kelakuan liar gadis itu yang sukar dikawal
sesiapa. Pernah dia meminta ibunya menghantar sekeping gambar Orked tetapi
wanita itu hanya ketawa mendengarnya. Sangka ibunya, dia hanya bersenda.
Memang
dia tidak pernah melihat gadis itu sejak ibunya berkahwin lain. Mulanya dia
ragu-ragu dengan keputusan ibunya mahu mengahwini duda beranak satu seperti
Hamdan. Tapi mengenangkan kebahagiaan wanita itu, dia merelakan perkahwinan itu
meskipun dia jauh di kota London.
Ketika itu dia tidak sempat pulang untuk meraikan perkahwinan ibunya kerana sedang
menduduki peperiksaan akhir. Tapi ibunya dan ayah tirinya Hamdan pernah
mengunjunginya di London.
Sudah beberapa
hari sejak dia pulang ke Malaysia. Tak disangka-sangka, pertemuan pertamanya
dengan Orked berlaku di balai polis. Ketika itu dia sengaja menawarkan diri
untuk menjamin gadis itu. Itupun dia terdengar secara tak sengaja ibunya
berbual dengan Hamdan tentang Orked. Dia memang terkejut bila mengetahui anak
gadis itu ditahan pihak polis kerana bergaduh di kelab malam. Dan kedegilan
ayah tirinya untuk tidak menjamin Orked bukan sesuatu yang harus dihairankan.
Mana-mana ayah pun pasti akan bertegas dengan anak yang melakukan kesalahan. Kerana
itu dia sanggup mengambil tempat Hamdan mengikat jamin anak gadis itu di balai
polis.
“Tempat yang romantik!” Bisik Idlan bersama tawa kecilnya.
Suaranya
seakan menganggu ketenangan yang bermain di wajah Orked. Gadis itu membalikkan
wajah. Idlan terus diam. Dia tidak ingin mengejutkan gadis itu lagi. Biarlah
Orked tidur dengan tenang!
Idlan
meletakkan tangannya ke atas dahi. Matanya cuba dipejamkan. Tapi entah kenapa
otaknya yang mahukan dia tidur dan matanya seakan tidak seiring. Entah kenapa,
peristiwa di Zouk awal malam tadi terhimbau-himbau dalam fikirannya.
Dia
sebenarnya tidak pernah merancang apa-apa. Segala tindakannya drastik dan
dilakukannya tanpa berfikir panjang. Mujurlah Orked tidak melarikan diri dan
menganggap dia lelaki miang. Jika tidak, entah apa patut dijawabnya pada ayah
tirinya.
Melihat
gadis itu keluar dari Zouk dengan wajah muram, dia segera mengekori anak gadis
itu. Anak-anak muda yang ditemuinya bersama Orked sebelumnya sesekali menjeling
tajam ke arahnya, seolah-olah dia penjenayah yang mahu membawa lari anak gadis
itu. Memang dia mahu melarikan Orked malam ini. Dia sudah nekad setelah
berfikir panjang. Orked akan dilarikan dari tempat penuh maksiat itu. Orked
akan dilarikan dari kehidupannya yang sekarang.
“Orked
tak mahu tanya abang kita nak ke mana?” Dia menjeling anak gadis yang tidak
mahu bercakap dengannya sepanjang perjalanan.
Gadis
itu terus membisu.
“Orked
tak takut abang larikan Orked?” Dia cuba berseloroh. Sengaja mahu
memprovok gadis itu membuka mulutnya. Kali ini pandangan tajam gadis itu sudah
melata ke wajahnya. Dia tersenyum. Riang kerana kehendaknya tertunai.
Sekurang-kurangnya dia tahu Orked masih tidak apa-apa setelah menghadiahkannya
sekelumit renungan yang paling tajam pernah dilihatnya.
“Mana-mana
pun tak apa, asalkan bukan rumah.” Balas gadis itu.
Idlan
terkedu. Bukan rumah? Kenapa? Apakah rumah itu neraka buat gadis itu? Kata-kata
aneh Orked mempunyai seribu persoalan yang tidak terjawab di fikirannya.
“Umi…” bisikan itu perlahan kedengaran.
Suara rengekan gadis itu membuatkan khayalan singkatnya segera menghilang bagai
debu. Dia berpaling lalu memandang wajah Orked yang berkerut-kerut. Gerak-geri
Orked seperti orang
mengigau. Siapa umi yang meniti dari bibir itu? Ibunya kah? Idlan
tertanya-tanya dalam hati.
Dia
ingin membetulkan selimut di tubuh Orked yang hampir melorot. Tapi tindakannya
tiba-tiba terhenti sebaik terpandang sesuatu. Setitis airmata gugur di pelupuk
mata anak gadis itu yang terpejam rapat.
Idlan terkesima. Dia tidak jadi
membetulkan selimut itu, sebaliknya dia melarikan anak matanya. Enggan menatap
airmata di wajah gadis itu kerana dengan tiba-tiba sahaja airmata itu
mengingatkan dia pada Nadya. Gadis yang terpaksa ditinggalkannya di Kota London
tanpa kerelaannya.