SELEPASsehari suntuk berada di homestay arwah ayahnya, barulah Idlan menelefon ibunya petang itu dan
memberitahu di mana mereka berada.Seperti
dijangkakan, ibunya Maria terkejut besar mendengar kata-katanya.
“Kenapa
tak terus balik ke rumah?’ Soal Maria seakan tidak bersetuju dengan tindakan
Idlan kali ini.
“Tak
apalah mama, Id bawa Orked ke chaletkita
di Bukit Tinggi. Biarlah dia tenangkan fikirannya kat sini. Lagipun Mak Tun dan
Pak Man kan ada
kat sini. Mereka boleh tolong tengok-tengokkan Orked.” Ujar Idlan.
“Id
buat mama risau.” Keluh Maria.
“Id dah besar panjang mama.Id boleh
jaga diri sendiri, mama janganlah risau. Cuma satu aje Id minta, mama tolonglah
jelaskan pada Uncle Hamdan tentang tindakan Id ni.” Pinta Idlan.
“Insya ALLAH sayang, nanti mama
bagitahu dia.Tapi bila Id
nak balik ke mari?” Soal Maria.
“Tengoklah
dalam dua tiga hari lagi.” Ujar Idlan.
“Balik
cepat sikit Id, mama belum habis rindu nak tengok Id.” Sayu suara Maria berbisik.
Idlan hanya mampu tersenyum. Kasihan
mama!
“Lepas semuanya selesai, Id baliklah
nanti. Mama jangan risau okey.” Ujarnya sengaja mahu menyedapkan hati wanita
itu.
Usai
dia menamatkan perbualan, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Orked sedang
berdiri di penjuru sudut. Gadis itu pasti sedang memasang telinga mendengar
perbualannya dengan ibunya sebentar tadi.
Dia
tersenyum memandang ke arah Orked yang sedang memerhatikannya.
“Orked
lapar? Nak makan?” Soalnya lembut.
Orked
menggeleng. Mata anak gadis itu terus meratah wajahnya tidak berkelip.
“Kenapa
Orked pandang abang macam tu? Abang handsome
ke?” Seloroh Idlan seraya tersengih.
“Kau
telefon rumah ke tadi?” Soal Orked tanpa mempedulikan kata-kata Idlan yang
berbaur lelucon
Idlan
hanya mengangguk. “Kita kena beritahu mereka. Walau macamana sekalipun, mereka
tetap ibu bapa kita.” Sahut Idlan tenang.
“Kau
ingat mereka ambil peduli?” Herdik Orked dengan wajah merah padam. Hatinya
geram mendengar kata-kata Idlan yang membocorkan rahsia di mana mereka berada pada
ayahnya.
“Abang
tak tahu fasal ayah Orked, tapi mama abang peduli. Dan abang juga peduli fasal
Orked.” Wajah Idlan serius ketika menuturkan kata-katanya.
Orked
mengetap bibir. Wajah pemuda di hadapannya ditenung tajam.“Kau kena
ingat sikit. Kau tu bukan abang aku! Jangan nak berlagak macam kau ni abang
aku!”Teriak Orked,
tiba-tiba naik berang.
“Memang
abang bukan abang kandung Orked. Tapi bila mak ayah kita kahwin, secara lahiriah
Orked sudah jadi adik abang, tanggungjawab abang.” Balas Idlan.
“Aku
tak ingin jadi adik kau. Jadi jangan campur urusan aku lagi. Kalau tak, aku
akan keluar dari rumah ni.” Ugut Orked.
Idlan
terdiam. Kata-kata gadis itu membuatkan dia mengeluh panjang.
“Kenapa
Orked tak mahu percaya pada abang? Abang benar-benar ambil berat fasal Orked.”
Keluh Idlan.
Orked
mendengus kasar. Kata-kata Idlan malas mahu diambil peduli. Selama hidupnya dia
tidak pernah dipedulikan ayahnya sendiri. Hari ini tiba-tiba sahaja seorang
lelaki asing yang tidak pernah dikenali cuba mengambil hatinya. Untuk apa?
Kenapa? Dia sudah muak mendengar kata-kata sebegitu. Hakikatnya selama hidupnya
tidak pernah ada seorang pun yang mahu mengambil berat tentangnya.
“Orked
nak ke mana tu?” Idlan bertanya sebaik melihat gadis itu angkat kaki dari situ.
Orked
berpaling dengan wajah sinis.“Aku nak keluar jalan-jalan kat sini.Takkan itu pun tak boleh.”
“Orked
tak kenal jalan-jalan kat sini. Nanti sesat! Abang temankan ya?”
“Tak
payah susah-susah. Aku takkan ganggu kau dan tolong jangan ganggu aku, boleh
tak?” Herdik Orked lalu melangkah keluar dari situ. Meninggalkan Idlan yang
terpinga-pinga dengan wajah bingung.
*
* * *
DIA hanya mengikut arus kaki tanpa tahu ke
mana hala tujuannya. Dia sebenarnya masih bingung dengan tempat ini. Tempat
yang sedang dikunjunginya sekarang tidak ubah seperti sebuah desa yang sepi
dari hiruk-pikuk kota.
Tapi dia benci dengan kesunyian yang dirasakannya. Dia benci dengan suasana di
tempat ini yang seperti berkabung. Sepi ini membuatkan hatinya lebih pedih.
Jiwanya lebih kusut.
Meskipun
ini yang dimahukannya, lari jauh dari rumah, anehnya kenapa dia gembira?
Mungkin tempat yang terlalu sunyi tidak sesuai untuknya. Tempat yang sunyi
hanya membuatkan fikirannya menjadi kosong. Dan fikiran yang kosong hanya akan
membuatkan ianya terisi dengan pelbagai kenangan yang menyakitkan. Dia lebih
menyenangi suasana riuh rendah dan rancak. Kerana itu dia sering mengunjungi
kelab malam bersama teman-temannya. Entah kenapa bunyi muzik yang rancak dan
kuat lebih menyenangkan dari suasana yang sunyi sepi seperti ini!
Lama
berjalan, kakinya sampai di sebuah tasik yang cukup indah. Di tebing tasik, terdapat banyak
pohon-pohon Zubaidah yang menjadi penyeri tebing. Dia duduk berlunjur kaki di
situ. Sesekali dia menggerakkan kakinya dan memercikkan air tasik sehingga
membentuk beberapa pusaran kecil. Sejuk! Hati kecilnya bertingkah. Mula
menyenangi apa yang sedang dilakukannya.
Entah
kenapa, tiba-tiba hatinya tergerak untuk mandi-manda di situ. Pandangannya
dilontar di sekelilingnya. Setelah pasti tidak ada yang melihatnya di situ, Orked
perlahan-lahan turun ke tepi tebing. Dia meranduk air ke tengah-tengah tasik,
lalu menyelam buat beberapa saat. Ketika dia timbul semula, wajahnya terasa
benar-benar segar. Kedinginan air tasik itu mampu menghalau hangat tubuhnya
yang dirasakan berbahang.
Dia
berenang dengan senang hati. Aneh juga! Baru sebentar tadi dia menggumam
suasana desa itu yang dirasakan membosankan. Kini dalam sekelip mata air tasik
itu mampu membuahkan kegembiraannya.
Ketika
sekali lagi dia timbul di permukaan air, tiba-tiba telinga Orked mendengar bunyi teriakan,
sayup-sayup kedengaran. Dia segera berpaling. Sejauh hampir 50 meter, dia
terpandang sesusuk tubuh sedang tenggelam timbul tidak jauh dari tempat dia berada.
Ada orang lemas! Hati kecil Orked berbisik.
Tanpa
memikirkan keselamatan dirinya, dia segera berenang ke arah lembaga yang
terkapai-kapai itu. Tapi baru beberapa meter berenang, kakinya tiba-tiba kejang.
Dia terkejut. Pergerakannya di dalam air sudah terumbang-ambing. Kegagalan
menguak dengan kakinya menyebabkan tubuhnya sedikit demi sedikit gagal
diapungkan. Dia cuba
menggunakan kedua-dua tangannya. Tapi kedua-dua tangannya juga seperti lemah
dan tidak mampu menolak arus air tasik itu. Akibatnya sedikit demi sedikit, dia
mula tenggelam.
Orked
mahu menjerit. Tapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dia tidak
mampu bersuara. Dadanya berdebar-debar. Matanya dipejamkan. Apakah aku akan
mati? Dia semakin ketakutan. Melihat daratan yang hanya separas hidungnya, dia
kian pasrah.
“Kematian
itu pasti akan berlaku Orked.Mati itu pasti!” Bisikan suatu suara menerpa ke
telinganya. Dia terus memejamkan matanya. Tubuhnya terasa kaku tidak berupaya.
Wajah uminya tiba-tiba muncul di fikiran. Wanita itu datang dengan senyuman
seindah bidadari.Ketika
wanita itu menghulurkan kedua-dua tangannya, dia seperti terpukau.
“Datang
pada umi Orked. Umi akan selamatkan Orked.” Ujar wanita itu.
Dia
tersenyum. Tiba-tiba sahaja ketakutannya menghilang. Huluran tangan wanita itu
disambut. Hatinya pasrah dan rela mahu mengikut wanita itu.
*
* * *
IDLAN
segera mencempung
gadis itu naik ke tebing. Sesudah itu dia membaringkan Orked beralaskan
rumput-rumput hijau. Melihat gadis itu tidak sedarkan diri, Idlan semakin
cemas. Dia memeriksa nadi di pergelangan tangan gadis itu. Masih ada tapi lemah!
“Dia
dah banyak telan air.Buat CPR bang.” Suruh suatu suara.
Idlan berpaling ke arah dua remaja
lelaki yang turut berada di situ. Kalau bukan kerana kedua-duanya, mana mungkin
dia sedar Orked lemas di tasik itu. Tapi
untuk melakukan bantuan pernafasan, entah kenapa dia jadi serba-salah.
“Tunggu apa lagi bang, buatlah.
Nanti mati pulak dia.” Gesa salah seorang anak muda itu.
Idlan
memandang wajah Orked yang pucat membiru. Rambut gadis itu yang menutup mata
diselak dengan jarinya.Sekali
lagi dia memeriksa nadi Orked. Tidak kedengaran apa-apa. Idlan gugup. Tidak!
Aku tak boleh biarkan dia mati.
Idlan
segera bertindak. Tubuh Orked yang kaku dibetulkan posisinya. Tengkuk anak
gadis itu didongakkan sedikit dengan menolak dagu Orked ke atas. Sesudah itu
dia membuka mulut Orked untuk membuka saluran pernafasan.
Hidung
gadis itu dipicit sebelum dia mula melekapkan mulutnya ke mulut gadis itu lalu
menghembus udara sebanyak dua kali. Dia melakukannya beberapa kali. Melihat
keadaan Orked masih sama, Idlan meneruskan tindakannya. Tapi ketika dia mahu
menghampiri wajah gadis itu, mata Orked tiba-tiba terbuka.
Idlan
terkejut. Dia tidak sempat melarikan wajahnya. Matanya berbalas pandang dengan
Orked yang terkebil-kebil sedang menatapnya.
“Kau buat
apa ni?” Bisikan gadis itu menyentuh telinganya.
“Err..abang…abang cuma..” Tiba-tiba
sahaja Idlan tergagap-gagap. Seolah-olah dia baharu sahaja melakukan kesalahan
besar. Aduh! Yang aku gagap ni kenapa pulak? Itu kan perkara emergency. Yang terpaksa dilakukan atas
dasar untuk menyelamatkan gadis itu. Hati kecilnya cuba memujuk diri sendiri.
“Orked lemas tadi. Abang tak ada
jalan lain. Abang terpaksa buat CPR.” Idlan berterus terang seraya tersengih.
Pang! Habis bercakap, satu tamparan
singgah di pipi kirinya. Idlan terkejut lalu meraba pipinya yang berbekas.Dia melontarkan pandangan ke arah Orked
yang bingkas bangun dengan wajah merah padam.
“Sex Maniac! Lain kali jangan harap aku
nak percaya pada kau lagi.” Usai
mengherdik Idlan, Orked segera berlari ke arah rumah tumpangan itu.
Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.
Suara
ketawa mengalihkan perhatian Idlan dari kelibat tubuh Orked yang semakin jauh.
Dia menoleh. Dua remaja lelaki itu tersengih-sengih memandang ke arahnya.
“Kasihan
abang. Nak buat baik, tak fasal-fasal kena pelempang pulak.Siapa awek
yang garang sangat tu?” Tanya salah seorang darinya.
“Brutal betul. Macam singa!” Ulas yang seorang lagi.
Idlan
tersenyum gelihati. Komen anak-anak muda itu ditelan dengan wajah lucu.
Sesekali singgah perit di pipi kirinya angkara tamparan Orked yang menyengat.Mesti
lepas ni lebam, bisik hati kecilnya seraya meraba pipinya.
“Hebat abang ni. Tiga kali ciuman
aje, dia dah sedar.” Usik anak muda itu lagi.
Idlan menjeling. “CPR…” Idlan
membetulkan panggilan anak muda itu.
Kedua remaja itu ketawa besar. “Ya betul, CPR.” Gelak kedua-duanya seraya
mengenyitkan mata. Mahu tak mahu Idlan turut sama ketawa. Sekadar melayan
kedua-duanya yang begitu ramah tamah dengannya.
“Ingat,
lain kali jangan nak main-main macam tu lagi. Tak fasal-fasal ada orang salah sangka.”
Pesan Idlan sebelum beredar.
“Sorrylah bang, kami memang tak sengaja.
Nak main-main aje, tak sangka pula dia nak cuba tolong sampai diri sendiri
lemas. Ucapkan maaf dari pihak kami ya.” Ungkap salah seorang dari anak muda
itu yang bertubuh kurus runcing.
“Insya
ALLAH.” Idlan mengangguk lalu bersalaman dengan kedua-duanya sebelum mereka
berpisah haluan.
Sebaik
kelibat kedua-duanya menghilang, Idlan menoleh ke arah bumbung rumahnya yang
kelihatan dari kawasan tebing tasik itu. Nafasnya ditarik perlahan. Setelah
insiden sebentar tadi, pasti akan lebih sukar untuknya memujuk anak gadis itu.
Takkan baru satu hari, kau dah mengaku kalah Id! Hati kecilnya memprovok diri
sendiri.