EMPAT belas jam menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Milan,
memang perjalanan yang memenatkan.Ditambah
pula kapal terbang yang dinaikinya singgah di Thailand. Dari Thailand, barulah dia meneruskan perjalanan ke Milan menaiki pesawat Thai
Airways.
Dalam perut Thai Airways, lelaki yang
duduk disampingnya tidak lagi kelihatan. Dan dia pula sengaja menahan diri dari
mencari lelaki itu, meskipun separuh dari hatinya menghendaki dia berbuat
demikian. Apa gunanya Orked? Dia bukan orang yang kau cari. Hanya wajah mereka
yang mirip tapi lelaki itu bukan Idlan. Sepanjang penerbangan dia asyik berbisik
begitu.
Dia seperti seorang buta yang berjalan tanpa
tongkat di tengah-tengah keributan manusia yang tersadai di Milan Malpensa
International Airport.
Dia tidak tahu ke mana harus ditujuinya. Tidak ada sesiapa pun yang menantinya
di situ, dan tidak ada sesiapa pun yang mengenalinya. Di tempat asing itu dia
hanya bersendirian. Sengaja dia tidak menghubungi agensi pelancongan ketika di Kuala Lumpur. Malah ketika
Arida bertanya, dia hanya mengatakan dirinya akan dijemput orang dari agensi
pelancongan. Ketika itu dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbohong dengan
kawan baiknya sendiri.
Dia
melabuh diri di salah sebuah bangku di kawasan lapangan terbang. Matanya ralit
memerhatikan ragam-ragam manusia pelbagai bangsa di hadapannya. Kadang-kala dia
juga terserempak dengan beberapa pelancong dari Malaysia. Ketika rombongan itu
melewatinya, dia hanya mampu tersenyum. Seusai itu dia kembali termenung. Tidak
pasti apa yang harus dilakukannya atau ke mana hala tujuannya.
“Adik…” suatu
suara menyapa dari arah belakang. Orked berpaling. Melihat orang yang
menegurnya ialah perempuan yang ditolongnya di dalam kapal terbang tadi, dia tergaman.
“Ya kak?” Tanya Orked lembut. Sangkanya perempuan itu
perlukan bantuan.
“Adik
datang sini sorang-sorang ke?” Tanya perempuan itu. Anak kecil yang
dikendongnya merengek-rengek di pangkuan.
Orked
terpanar. Tidak tahu jawapan bagaimana harus diberikan pada wanita itu. Tapi
memandangkan orang yang bertanya kelihatan ikhlas dengannya, hendak tak hendak
dia mengangguk. Sekadar mengiyakan apa yang benar.
Dahi
wanita itu berkerut mendengar jawapannya.
“Datang
ke mari untuk apa? Berjalan-jalan? Bisnes?” Tanya wanita itu bertalu-talu.
Sekali
lagi Orked terkedu. Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan wanita itu
membuatkan dia langsung bungkam. Melihat perubahan pada riak wajah Orked,
wanita itu tiba-tiba tersenyum.
“Maaf,
kakak cuma hairan tengok adik ni duduk sorang-sorang kat situ. Dah dekat sejam
lepas flightkita landing. Kakak
ingatkan adik ni ikut trip tour dari Malaysia.”
Jelas wanita itu beserta senyuman ramah yang tidak lekang-lekang dari bibirnya.
“Kenalkan
nama kakak Sarah.” Wanita itu menghulurkan tangan.
Orked
teragak-agak mahu menyambutnya. “Orked. Orked Harlina.” Ujarnya perlahan. Matanya
merayap pada anak kecil di pangkuan Sarah.
“Oh
ya, ini pula anak kakak.Iman Rayyan.”
“Berapa tahun ni kak?”
“Dah nak masuk dua tahun, buasnya Tuhan
saja tahu.”Sarah ketawa
kecil.
Orked
turut ketawa. Dia asyik menyentuh-yentuh pipi Iman yang agak tembam dan bulat.
Comel sekali anak Sarah. Kulitnya putih mulus. Sekali pandang anak itu bukan
seperti anak melayu lain. Kacukan barangkali!
“Boleh
kakak tahu Orked nak ke mana?” Tanya Sarah semula. Kembali pada pokok persoalan
pertama yang belum terungkap.
“Err..saya
nak cari hotel dulu untuk bermalam.”
“Lepas tu?”
“Hmm.. mungkin jalan-jalan di sini.”
Lancar Orked menjawab. Dia
tidak mahu gerak-gerinya menimbulkan rasa curiga di hati Sarah.
“Macam
ni lah, apa kata kalau Orked ikut kakak balik. Lepas ni kakak nak naik Malpensa
Express Train ke Cadorna Staziorne Nor di pusat bandar. Kalau Orked tak kisah,
kakak boleh tumpangkan Orked kat rumah kakak sepanjang Orked ada di Milan.” Usul Sarah.
Orked
memandang wanita di hadapannya agak lama. Dia sebenarnya berasa serba-salah.
Dia tidak ingin menyusahkan Sarah sebenarnya. Lagipun tujuannya ke Milan kerana tidak mahu
membazirkan tiket yang diserahkan oleh Arida tempohari. Jika bukan kerana
kemunculan tiket itu dan wang sebanyak RM20,000 yang diserahkan Idlan padanya,
tak mungkin dia akan memberanikan diri menjejakkan kakinya ke tempat yang
digelar New Paris oleh setiap pelusuk dunia itu.
“Saya
tak nak susahkan kakak.” Dia berterus-terang.
Sarah
ketawa kecil mendengar kata-katanya. “Susah
apa pulak. Kalau Orked nak tahu, kakak tinggal berdua aje dengan anak dekat Bizzore.
Suami kakak orang Itali, selalu sibuk dengan urusan kerja. Kakak nak bekerja
dia tak bagi. Terpaksa duduk di rumah sahaja jaga si Iman ni. Kalau Orked sudi,
kakak boleh bawa Orked jalan-jalan di Milan ni. Free of charge je, kakak tak kenakan bayaran.” Ujar Sarah separuh
bergurau.
Orked
tersenyum kecil. Pujukan Sarah sedikit sebanyak termakan jua di fikirannya. Akhirnya
dia mengangguk tanda setuju.
Dia
segera mengikut Sarah ke stesyen keretapi laju Malpensa Express Train yang
terletak di dalam bangunan lapangan terbang itu. Sementara menanti Sarah
membeli tiket, Orked mendukung Iman Rayyan yang sudah tertidur. Bibirnya
menguntum senyuman ketka asyik menatap Iman Rayyan yang sedang terlentok di
bahunya. Comelnya Iman, bila besar nanti tentu handsomedan ramai peminat, Orked tersenyum sendiri.
Bila
Sarah kembali, mata wanita itu terkelip-kelip melihat Iman Rayyan yang sudah
tertidur.
“La tidur
pulak budak ni. Selalunya kalau dengan orang lain, dia susah sikit nak tidur.
Agaknya dia suka kat kakak Orked dia yang comel ni agaknya.” Sarah mengusik
seraya mengambil anaknya dari Orked. Sebelah tangannya menghulurkan sekeping tiket
pada Orked.
“Berapa harga tiket ni kak?” Tanya
Orked seraya mengambil dompetnya, mahu membayar duit tiket keretapi yang dibeli
oleh Sarah.
“Alah tak payahlah, simpan aje duit Orked tu.Bukan mahal
pun, 9 Euro aje.” Ujar Sarah sambil tersenyum.
Orked
tidak jadi membayar. Di dalam hati dia rasa bersyukur dipertemukan dengan Sarah
yang baik hati.
Tidak sampai sepuluh minit menanti,
keretapi ekspress itu tiba di hentiannya. Sarah melompat naik sambil dibantu
oleh Orked. Dia turut membantu memindahkan bagasi-bagasi Sarah dari troli.
Seorang lelaki berbangsa Itali mahu menawarkan bantuan, namun Orked menolak.
Usai mengangkat bagasi-bagasi wanita
itu, Orked turun pula untuk mendapatkan bagasinya sendiri yang masih tertinggal
di dalam troli. Namun ketika dia mahu mencapai bagasinya, telinganya tiba-tiba menangkap
bunyi kanak-kanak menangis. Dia segera berpaling. Seorang kanak-kanak berbangsa
Inggeris sedang menangis di sisi ibunya yang sedang berbual-bual menggunakan
telefon. Namun perhatian Orked bukan tertumpu pada kanak-kanak itu. Sebaliknya
matanya terpaku pada seraut wajah yang berteleku di hadapan kanak-kanak itu
sambil menunjukkan mimik wajah lucu untuk memujuk anak kecil itu. Lelaki itu
lagi!
Orked terpanar. Dadanya berdebar
kencang. Ya ALLAH! Kenapa wajahnya terlalu mirip dengan Idlan?Kenapa dia mesti muncul di hadapanku
pada saat-saat begini?
“Orked.”
suara Sarah terdengar melaung. Orked segera mencapai bagasinya. Namun matanya
masih mencuri pandang ke arah lelaki itu. Si lelaki tiba-tiba menoleh. Bangun dan
memandang tepat ke arahnya.
“Orked,
cepatlah. Kejap lagi keretapi ni dah nak gerak.” Sarah tiba-tiba muncul di
sampingnya lalu menarik tangannya. Dan seperti orang bodoh, dia hanya menurut.
Tapi ketika dia menoleh sekali lagi ke arah lelaki itu, mata si lelaki masih
meratah wajahnya.
Orked terpaku. Idlan! Renungan itu
milik Idlan. Renungan dan pandangan yang masih sama seperti dulu.
Gerabak
keretapi mula bergerak. Menyedari keretapi itu sedang meninggalkan stesyen,
Orked seperti hilang akal segera berlari ke arah salah sebuah jendela. Entah
kenapa ada sesuatu yang menyuruhnya agar terus mencari lelaki itu. Melihat
kelibat lelaki itu di luar sana, Orked sudah tidak
mampu menahan getar perasaannya.
“Idlan!!!”
Jeritannya bergema kuat. Nyaring dan mengejutkan hampir sebilangan besar
penumpang-penumpang keretapi express itu. Termasuklah Sarah yang tergaman
sambil mendukung Iman Rayyan yang sudah terjaga dari tidurnya.
*
* * *
“COME ERA?” Tanya seorang lelaki
berwajah asing pada Sarah yang baru keluar dari sebuah bilik. Wanita itu
memandang suaminya lalu tersenyum. Iman Rayyan yang berada di pangkuan lelaki
itu diacah-acah menyebabkan anak kecil itu ketawa. Daud Callisto Abdullah turut
ketawa kecil melihat telatah anak kesayangannya.
“Dorme.” Jawab Sarah sepatah. Merujuk
kepada gadis yang sedang tidur di bilik tetamu keluarganya di Corvetto Height yang
terletak 1.8 batu dari pusat bandar Milan.
Sejak mereka sampai ke rumah tadi, dia terus menyiapkan sebuah bilik untuk anak
gadis itu.
“E giusta?” Daud bertanya lagi, ingin
tahu.
Sarah
terdiam. Pertanyaan lelaki itu dibalas dengan keluhan. Dia tahu suaminya hanya
turut sama mengambil berat.
Dia
turut hairan melihat sikap Orked sewaktu di dalam keretapi beberapa jam yang
lalu. Orked menangis seperti kehilangan sesuatu. Tangisan gadis itu begitu sayu
dan meruntun hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Dia juga masih ingat nama
yang dijerit oleh Orked berulangkali di atas keretapi tadi. Idlan! Hati Sarah
tertanya-tanya. Agak risau dengan keadaan anak gadis yang baru dikenalinya itu.
Mulanya
dia mahu menyiapkan sedikit makanan untuk Orked, tapi Orked langsung tertidur
sebaik ditunjukkan biliknya. Hendak mengejutkan gadis itu dia tidak sampai hati
pula. Sudahnya Sarah hanya mampu melemparkan pandangan kosong ke arah suaminya
yang sedang asyik melayan Iman Rayyan.
“Perche?” Daud menoleh. Dahinya berkerut
sedikit.
“Niente.” Sarah menggelengkan kepalanya,
lantas bergegas ke suatu arah, meninggalkan Daud Calisto yang asyik
tertoleh-toleh ke arah isterinya. Hairan melihat Sarah yang serba tidak kena
malam ini. Tak lama kemudian Sarah keluar dari arah wet kitchen sambil menatang dulang berisi bubur dan minuman.
Manalah tahu malam nanti Orked terjaga dan berasa lapar, sekurang-kurangnya
bubur tersebut boleh dijadikan alas perut.