Assalammualaikum dan
salam sejahtera. Saat ini Qaisy tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian
atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri ini dapat
istiqamah dengan penghijrahan diri.
Beberapa
tahun yang lalu, Qaisy adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup
sekadar bertudung (kadang-kadang) walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak
menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat, bukan menutup aurat.
Pada
masa yang sama, solat juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah
kadang-kadang tertinggal. Bukan Qaisy tidak sedar semua itu adalah salah,
tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin
menyesatkan hamba Allah.
Benar,
ketika itu setiap kali Qaisy keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang
liar memandang. Pernah juga Qaisy diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai
gangguan lagi yang Qaisy hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan
sesungguhnya Qaisy tidak tenang dengan
situasi begitu.
Namun,
pada suatu ketika, Qaisy mula terfikir sejenak, apakah cara hidup Qaisy seperti
ini akan memberi kebahagiaan kepadaku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan,
pada saat itu, Qaisy mula bersahabat baik dengan seorang rakan Qaisy yang
tinggal di kawasan perumahan baru Qaisy. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya
agak sempurna, auratnya tertutup rapi.
Qaisy
berasa sangat tenang melihat beliau. Secara perlahan-lahan tanpa disedari,
Qaisy mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang
labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai
kasut yang bertutup.
Sememangnya
diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu… pakaian yang longgar
memudahkan Qaisy untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.
Sesuatu
yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri Qaisy tidak
menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! Ke mana sahaja
yang Qaisy pergi, tiada lagi gangguan!
Selain
itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat Qaisy semakin terjaga.
Walaupun Qaisy tidak tahu adakah sempurna solat, namun ia tidak lagi sering
tertinggal seperti sebelum ini.
Alhamdulillah,
kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam
kehidupan Qaisy. Selain itu, Qaisy juga turut membiasakan diri dengan berniqab
supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada
sesiapa.
Dan
yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi
tatapan buat suami tercinta kelak. Namun, belum dapat diistiqamahkan, kerana
faktor tempat yang dituju dan pandangan keluarga.
Apa
yang pasti, setiap yang berlaku dengan izinNya itu telah banyak mengubah
kehidupanku. Qaisy berasa amat bahagia dan tenang dengan diri Qaisy yang baru.
Semoga
penghijrahan ini diredhai Allah dan mampu istiqamah selamanya. Walau asbabnya
adalah teman perumahan Qaisy, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu
hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata keranaNya. Semoga kamu sama-sama
dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insyaAllah.
Adik-adik
dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti Qaisy dahulu, ayuhlah kamu berhijrah!
InsyaAllah, kehidupan kamu akan menjadi lebih baik.
Ingatlah,
harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara... kecantikan dan
keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna.
Adakah
mereka perlu jadi baik dulu sebelum menutup aurat dengan memakai tudung? Apakah
terdapat syarat mempunyai akhlak yang baik baru memakai pakaian seperti yang
digariskan syarak? Berdating malah
berzina, maka tudung itu yang salah? Adakah tudung yang salah dan purdah yang
salah? Ataukah perbuatan berdating
atau berzina itu yang salah? Adakah dalam Islam ni, bila kamu nak mengamalkan
sesuatu perintah Allah, mesti sudah sempurna perintah yang lain baru boleh
lakukan perintah seterusnya?
Semoga
sesiapa yang nak tanya Qaisy kali ini, dapat memahami keadaan Qaisy… janganlah
lagi mengatakan, memakai purdah perlu
tinggi ilmunya, baik imannya. Kerna Qaisy juga sedang berusaha ke arah
itu.
Berpurdah?
Ia pilihan Qaisy sekarang. Memakai purdah adalah menjadi cita-cita Qaisy sejak
melihat ramai kawan-kawan Qaisy yang mula berubah ke haluan masing-masing.
Namun untuk melaksanakannya pada masa itu… belum kuat lagi.
Sekarang
setelah memakai purdah, bermacam-macam yang Qaisy tempuhi. Walaupun baru lebih 8 bulan memakainya.
Sehinggalah
hari ini, ada yang menanyakan, “hai… kenapa berpurdah? Dah taubat nasuha ke?.”
Sakitnya perasaan ini bila disinis begitu.
Tak
cukup dengan itu ada yang mengatakan bahawa berpurdah Qaisy perlu mengikut
keadaan masa dan tempat. Dan meminta Qaisy mengeluarkan kitab yang mewajibkan
berpurdah ini. Qaisy hanya mampu berdiam diri. Namun sekali lagi Qaisy
ditegur mengatakan di Malaysia ini,
tidak perlu berpurdah begini, lainlah jika di negara Arab sana. Negara Arab
Negara yang penuh dengan padang pasir, maka mereka tidak nampak pelik
berpurdah. Dan sangat sedih mereka juga menyatakan rimas melihat Qaisy bertutup seperti itu, menambah kesedihan Qaisy, apabila ia
ditegur secara terbuka dan nada suara yang agak lantang.
Apa
yang menjadi soal sekarang, adakah Qaisy melakukan perkara yang haram disisi
agama ISLAM? Qaisy sudah merasai zaman-zaman kealpaan Qaisy. Tidak menutup
aurat, namun ketika itu hanya segelintir sahaja yang menegur.
“Ya
Allah, andai ini yang harus hamba terima di atas kealpaan hamba dulu, hamba
terima. Kuatkanlah imanku, bulatkanlah hatiku supaya terus istiqamah memilih
jalan yang telah ku pilih. Andai ianya salah maka kamu tunjukkanlah padaku agar
aku tidak jauh dalam mendekatiMu.”
Di
sini tujuan Qaisy menulis isu purdah ini
adalah supaya golongan seperti kami tidak dipertikaikan. Andai kami salah
tegurlah dengan cara yang lebih baik. Bertudung labuh dan berpurdah tak
semestinya kami tidak boleh ditegur dan sentiasa benar, berjubah bertutup semua
tak bererti kami tinggi ilmu dan tidak memerlukan nasihat kamu semua. Kami juga
manusia biasa, mahukan kebahagiaan dunia akhirat.
Bila
berpurdah Qaisy begitu selesa. Ianya membuat Qaisy berasa lebih selamat,
dilindungi. Maksud Qaisy, jika Qaisy dan adik beradik lain hendak pergi makan di luar, Qaisy akan
pikirkan 2 atau 3 kali, ialah makan di luar Qaisy perlu menghadap ramai orang,
dan perlu memilih tempat yang tidak ramai lelaki. Dan Qaisy sudah kurangkan
maksiat mata insyaAllah.
Firman
Allah: “dan katakanlah kepada muslimah tundukkanlah pandanganmu dan peliharalah
kemaluanmu.”
DALIL
YANG TIDAK MEWAJIBKAN
1.
Firman Allah: “dan janganlah kamu pamerkan perhiasan kamu kecuali apa yang
zahir daripadanya.” Ibnu Abbas berkata di sini yang dimaksudkan dengan apa yang
zahir ialah muka dan tapak tangan tetapi pendapat ini disangkal oleh Syeikh
Musthafa Al-Adhawi dlm kitab Jami' Ahkamin Nisa'
2.
Firman Allah: “dan katakanlah kepada orang mu'min tundukkan pandangan mereka
dan peliharalah kemaluan mereka.” Ayat ini menunjukkan bahawa ada sesuatu pada
wanita yang mungkin dibolehkan untuk dibuka yang pada masa yang sama dilarang
dilihat oleh lelaki. Ia juga dikuatkan dengan beberapa hadis antaranya:
“Wahai
Ali, janganlah kamu ikutkan pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, kerana
engkau berhak pada pandangan pertama tetapi tidak pada pandangan kedua.”
3.
Hadis nabi: Dari Aisyah R.A bahwa Asma' bintu Abu bakar telah menemui
Rasulullah dengan memakai pakaian yang tipis, maka Rasullah berpaling
daripadanya dan berkata,: “Wahai Asma', jika seseorang wanita itu telah
mendapat haidh (baligh), maka tidak patut terlihat darinya kecuali ini dan ini
( Rasulullah menunjuk kepada tapak tangan dan muka)”
4.Hadis
nabi: Rasulullah berjalan bersama Al-Fadhl bin Abbas, kemudian ia berhenti
untuk memberi periungatan kepada org ramai. Ketika itu datanglah seorang wanita
yang cantik dari suku Khats'am meminta fatwa dari Rasulullah. Maka terlihatlah
Al-Fadhl akan wanita itu dan terpesona ia. Nabi melihat Al-Fadhl dengan
pandangan yang tajam, tetapi dia tetap memandang ke arah wanita tersebut. Maka
Rsulullah pun berundur ke belakang dan memegang dagu Al-Fadhl dan memalingkan
wajah Al-Fadhl. Hadis ini menunjukkan bahawa dibolehkan memperlihatkan muka
kepada orang ramai.
Ini
hanyalah sebahagian hujah daripada 18 hujah sahih daripada ulama'. Baiklah.
Mari kamu lihat kepada hujah yang mewajibkannya.
HUJAH-HUJAH YANG MEWAJIBKAN PEMAKAIAN PURDAH.
1.Firman
Allah: “dan katakanlah kepada muslimah tundukkanlah pandanganmu dan peliharalah
kemaluanmu.” Di sini disuruh supaya menjaga kemaluan, ia juga termasuk menjaga
segala yang mendorong ke arah rosaknya kemaluan/kehormatan. Ini kerana
memperlihatkan muka kepada orang ramai sudah tentunya mendorong nafsu syahwat
lelaki dan akhirnya akan pergi kepada kejadian yang lebih jauh. Na'uzubillah...
2.Firman
Allah: “dan janganlah pamerkan hiasan mereka kecuali apa yang zahir
daripadanya.” Ibnu Mas'ud berkata bahwa apa yang zahir daripada mereka ialah
pakaian. Ia disahihkan oleh Syaikh Mustafa Al-Adawi dalam kitab Jami' Ahkamin
Nisa'. Ini bermaksud wanita itu wajib menutup mukanya sekali.
3.
Firman Allah: “dan hendaklah mereka melabuhkan pakaian mereka hingga ke leher
dan dada mereka.” Berdasarkan ayat ini, wanita itu wajib menutupi dada dan
leher mereka, maka, menutup muka adalah lebih wajib kerana wajah adalah tempat
kecantikan dan godaan. Bagaimana mungkin agama yang bijaksana ini memerintahkan
menutup dada dan leher tetapi membiarkan muka terbuka.
4.Firman
Allah: “dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka agar diketahui
perhiasan yang mereka sembunyikan.” Allah melarang muslimah menghentakkan
kaki-kaki mereka kerana khuatir akan terdengar perhiasan-perhiasan mereka
seperti gelang kaki dan sebagainya. Hal ini kerana risau akan laki-laki yang
terdengar gelang-gelang kaki akan tergoda, maka godaan yang ditimbulkan kerana
terlihat muka adalah lebih besar lagi. Apatah lagi dengan solekan-solekan yang
berlebihan, pastinya ia lebih berhak ditutup untuk mengelakkan fitnah yang
besar.
5.Firman
Allah: “apabila kamu meminta sesuatu keperluan daripada mereka, maka mintalah dari
belakang tabir. Cara itu lebih menyucikan bagi hatimu dan hati mereka.”
Al-Ahzab:53. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa wanita wajib menutup diri mereka
dari laki-laki termasuk menutup wajah. Hikmahnya ialah untuk menjaga kesucian
hati-hati orang yang beriman.
6.
Ummu Athiyah berkata: “Pada dua hari raya, kami diperintahkan untuk
mengeluarkan wanita-wanita haidh untuk menghadiri jemaah kaum muslimin dan doa'
mereka. Seorang wanita bertanya, “wahai rasulullah, seorang di antara kami
tidak memiliki jilbab (tutup muka) bolehkah dia keluar..? Maka Rasulullah
menjawab “hendaklah kawan-kawannya meminjamkan jilbab mereka”
7.
Aisyah berkata: “jika Rasulullah melihat wanita-wanita di zaman ini apa yang
kamu lihat, nescaya beliau melarang wanita ke masjid.” Perkataan Aisyah ini
adalah setelah beliau wafat, dan ketika itu para wanita sudah tidak terlalu
menjaga adab-adab mereka. Antaranya tidak memakai jilbab (purdah). Ini
menjelaskann bahawa jika seseorang muslimah itu tidak memakai jilbab, ia
dilarang untuk keluar rumah. Ini adalah sebahagian hujah daripada 26 hujah yang
Qaisy dapati daripada para ulama' dan mereka-mereka yang ahli dn layak dalam
bidang ini.
Antara
ulama yang berpendapat bahawa purdah itu wajib ialah:
1. Syaikh
Muhammad Al-Shinqithi.
2. Syaikh
Abdul Aziz bin Baz.
3. Syaikh
Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin.
4. Syaik
Abdullah bin Ibrahim Al Jarullah.
5. Syaikh
Bakar Abu Zaid.
6. Syaikh
Musthafa Al-Adhawi dan lain2 lagi.
Kesimpulanya.
Menutup muka bukanlah suatu yang asing ketika zaman Rasulullah. Ia dilakukan
hampir seluruh muslimah ketika itu sehingga ianya dijadikan keutamaan dan
dijatuhkan hukum wajib oleh sebahagian ulama. Namun sekarang ia sudah jadi
tidak biasa dan jadilah ia hanya satu tuntutan dan bukan kewajipan walaupun
terdapat hujah-hujah yang mantap serta kuat untuk mewajibkannya.
Zaman
ini juga telah masuk sebagai apa yang dikatakan dalam hadis rasulullah: “islam
itu bermula dengan ganjil (dari pandangan orang ramai), dan ia akan kambali
dipandang ganjil (akhir zaman), maka beruntunglah orang-orang yang ganjil (pada
waktu itu).” Apabila tiba zaman fitnah, maka apa salahnya Qaisy dan yang lain
memilih untuk memakai purdah? Moga kamu semua dihindari dari segala fitnah.
Amin Ya Rabb.
Semasa
Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam
ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang
gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah. Masakan tidak.
Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada
manusia.
Biar
pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa
untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram
sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak
yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan
minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.
Riba
yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara
hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak
mempunyai masa depan. Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba
dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia,
itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan
perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah
tersebut.
Itulah
nasib Islam di awal zamannya. Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan
maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam
yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan
dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada
Baginda SAW dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar
perubahan, berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka salah. Mereka
ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.
Firman
Allah SWT: “Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu
daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang
kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada
yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah
selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah
menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah
mereka orang-orang yang berdosa.” .Hud 11: 116. Ayat ini bercerita tentang
sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika
manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup,
kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan
mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka
adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru
kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.
Mereka
inilah GHURABA! Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: “Islam bermula sebagai
sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti
permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira
kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini.” Riwayat ibn Asaakir dan
dinilaikan Sahih oleh al-Albani.
Baginda
ditanya,
“Siapakah
orang-orang yang asing itu?”
Baginda
menjawab,
“Iaitulah
mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi
rosak.” Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih
oleh al-Albani.
Di
dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Iaitu mereka yang
menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”
Juga
dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Mereka adalah kumpulan kecil
di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil
ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya.”
Pernahkah
kamu berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan
perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, kamu yang memilih untuk
tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa
terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah kamu berasa seperti itu?
Ketika
kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna
menuju malam, kamu yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan,
lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah kamu mengalami pengalaman
seperti itu?
Semasa
ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan
sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, kamu memilih untuk terus
mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan
besarnya
kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah kamu berasa tertekan dengan pilihan
yang tidak popular itu?
Ketika
orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu
diambil kira halal haramnya, kamu memilih untuk bersusah payah mencari yang
halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu kamu dianggap
berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah kamu berasa jauh dan
terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?
Tatkala
orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat,
bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri,
tiba-tiba kamu yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota
yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah kamu dicemuh kerana memilih
untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?
Jika
kamu pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau
diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu,
terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Tooba
lil Ghurabaa’!
Firman
Allah SWT: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi,
nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut
melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Al-An’aam 6: 116.
Allah
SWT juga menyebut: “Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau
terlalu ingin (supaya mereka beriman)”, Yusuf 12: 103.
Allah
‘Azza wa Jalla berpesan lagi: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara
mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu
dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika
mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya
Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan
sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”,
al-Maa’idah 5: 49.
Allah
SWT memberikan peringatan di dalam al-Quran: “Akan tetapi kebanyakan manusia
tidak bersyukur”, Yusuf 12: 38.
Bersabarlah
jika kamu dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada kamu memilih
Islam di zaman yang penuh cabaran ini. Keganjilan yang pertama, adalah
keganjilan kerana memilih kebenaran. Keganjilan ini tidak menjadikan kaum
minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di
dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak
bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.
Di
Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara
hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “Apakah kamu tidak pergi
menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami
sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka
berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami
abdikan diri kepada-Nya selama ini”. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Namun,
Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan
kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi
asing. Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan
terasing kerana memilih Islam. Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun
diberitakan.
Suatu
ketika, Rasulullah SAW ditanya tentang maksud firman Allah SWT:
“Wahai
orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang
dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat
kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat
mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah
tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu
(balasan) apa yang kamu telah lakukan”. al-Maa’idah 5: 105.
Baginda
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Bahkan sesungguhnya serulah
manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat
satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan
dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan
masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai.
Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut
kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara
api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan
mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama”
Sahabat
bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?”
Baginda
menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”. Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu
Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain.
Syukran
Kasir kepada ustaz Zamzuri atas ilmu yang diberikan..
“Islam itu bermula sebagai sesuatu
yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia
bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya
mereka)” – Abu Hurairah