Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,171
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 26

Nama aku Mat. Aku adalah watak yang tidak signifikan dalam novel. Watak antagonis dalam pementasan drama dan filem. Watak picisan dalam dunia yang luas terbentang ini. Kewujudan yang bagiku tidak penting.

Seumur hidupku, aku berbuat jahat. Alasanku, aku tidak berayah, aku tidak beribu sejak kecil. Aku tidak pernah diajar untuk berkelakuan baik. Aku melakukan jenayah untuk melindungi diriku. Daripada terus-terusan ditindas, aku memilih untuk bersekongkol dengan mereka yang menindas. Tetapi, hakikatnya berbuat jahat itu adalah pilihan diriku sendiri. Bukan kerna kisah ayah dan ibuku. Manusia diberi pilihan untuk memilih jalan hidup sendiri.

Mungkin ada yang merasakan aku hebat kerana perilaku gangsterku. Mungkin budak-budak naïf menyangkakan aku hebat apabila memandang lagakku yang cool. Hebatkah? Sebenarnya aku hanya si tolol yang mengikut telunjuk orang. Orang suruh ke kanan, aku ke kanan. Orang suruh ke kiri, aku ke kiri. Tetapi, lama kelamaan, aku mulai bosan, rasa renyah dengan hidupku sekarang.

Tak ada guna berlagak cool dengan tattoo tengkorak di lengan padahal selalu dimaki dan diteranjang bos apabila aku tersilap semasa menjalankan misinya. Maruahku sebenarnya sudah lama tercalar. Egoku mati. Harapkan badan yang besar dan tegap tetapi jadi tikus di hadapan Irman.

Untuk apa bergaji ribuan ringgit padahal tempatku dalam hutan, menyorok, takut dijejak pihak berkuasa?

Aku tak punyai kesempatan untuk menghabiskan wang yang aku ada sekarang. Aku tak mempunyai keluarga. Tidak mempunyai isteri dan anak-anak yang boleh aku manjakan. Apabila usiaku sudah merangkak senja seperti sekarang, barulah aku terfikir, apa sebenarnya makna hidup?

Aku membunuh untuk bos. Aku menculik untuk bos. Aku melakukan segalanya untuk bos. Dia seakan-akan berhala yang kusembah, patung semata-mata yang kononnya berkuasa sama seperti Tuhan.

Kuasanya kuasa veto dan aku hanya pecacai yang dipergunakan sehabis-habisnya untuk mencapai matlamatnya. Dia tak pernah peduli kalau aku sakit atau cedera. Aku hanya diperlukan selagi aku mampu berkhidmat.

Mungkin tak lama lagi, apabila dia merasakan aku tak lagi berguna, aku akan disingkirkan. Namun, aku tak pernah peduli. Tak ada bezanya bagiku. Aku fikir perasaan peduliku sudah lama mati.

Tetapi, sejak aku menatap wajah naïf itu, hatiku berubah. Persepsiku menyimpang dari haluan yang selama ini kupilih. Aku mula persoalkan itu dan ini. Benarkah begitu? Benarkah begini?

Ya. Memang aku akui, aku sendiri jahat. Aku sendiri selalu terlanjur. Aku pernah melakukan banyak dosa. Tetapi untuk mencemarkan gadis yang masih suci tanpa kerelaannya, aku rasa perbuatan itu terlalu keji, tidak dapat dimaafkan, sadis. Untuk menjadikan mayat wanita itu bagaikan sampah, menghapuskan jejaknya seakan-akan dia tidak pernah wujud di muka dunia ini apatah lagi.

Ya, aku takkan lupakan malam itu. Malam kejam, malam yang jelek dengan sifat manusia yang lupa diri. Malam wanita itu memandang keluar tingkap, memandangku, seolah-olah sedang menjerit kepadaku, meminta aku menyelamatkan dia. Malam dia rela melompat dari bilik di atas sana untuk menyelamatkan mahkota kesuciannya. Sehingga detik ini, aku tidak dapat melupakannya.

Sungguh, aku tidak kenal wanita itu. Aku tidak tahu mengapa wajah itu begitu signifikan dalam hidupku. Aku tak mampu melupakan dia sehingga ke detik ini. Sedangkan aku hanya tahu sebaris namanya. Elina. Menurut Aneeta, dia anak salah seorang dari pekerja Irman.

Bunyi siren kereta peronda polis kedengaran. Perempuan-perempuan dan klien mereka terkocoh-kocoh berlari keluar dari bilik belakang. Macam-macam ragamnya, membuatkan Mat tak mampu menahan gelak.

Mereka terlupa yang mana berpangkat datuk, yang mana Tan Sri, yang mana Tengku, yang mana pekerja sektor awam. Ada yang keluar dengan boxer. Ada tanpa baju. Ada yang lupa membutangkan pakaian. Kesemua mereka lari menuju ke hutan. Mereka takut menjadi tahanan polis.

“Mat, lari, Mat! Polis, Mat!” jerit Rusdi sambil mengisi peluru pistolnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke udara.

“Lari ke mana, Rusdi? Lari dari hukuman dunia? Kalau kita selamat di dunia, di akhirat belum tentu juga,” luah Mat sambil menguntum senyuman.

Mat memandang buah dam atas papan catur atas kotak yang diterbalikkan. Di sebelahnya duduk satu handphone petak berwarna hitam, handphone yang sengaja dihidupkan dengan niat untuk membawa polis ke sana.

Ya, dia sudah berjaya mencapai matlamatnya. Dia mahu menyerahkan diri. Dia mahu dirinya diadili di muka pengadilan. Dalam masa yang sama dia mahu operasi Irman tumbang sekali bersama persaraannya.

“Mat, handphone tu?” soal Rusdi terkejut.

“Aku dah letih, Rusdi. Aku dah letih dengan semua ni. Aku nak tebus silap aku. Aku berdosa, Di,” luah Mat.

Senyum yang dilakarkannya tadi mati. Air matanya merembes dari hujung mata, berjurai ke pipi.

“Kenapa kau bodoh sangat, Mat? Kenapa kau gamak khinati bos kita?” soal Rusdi sambil mengacukan pistol ke arah Rusdi.

Picu di tangannya ditarik. Pelurunya menjunam ke dada Mat, sebagai hadiah pengkhianatannya.

Tetapi, kemudian Rusdi disampuk sesal. Mat umpama abangnya. Sudah berpuluh tahun mereka bekerja bersama di bawah telunjuk Irman. Mengapa dia tergamak membunuh sahabatnya sendiri?

“Mat!” jerit Rusdi.

Rusdi mahu lari ke hutan seperti rakan-rakannya yang lain tetapi entah mengapa kakinya terpaku di situ.

Mat yang sudah terbaring atas tanah masih mampu menguntum senyum buat kali yang terakhir. Wajah Mat tidak terlukis dengan rasa marah. Meskipun dahinya berkerut sakit tetapi dia tidak nampak marah dengan perbuatan Rusdi.

“Ingat ALLAH, Rusdi. Bertaubat kau. Jangan mati macam aku,” luah Mat sebelum nyawanya padam.

“Mat!” jerit Rusdi.

Rusdi berlari ke hutan, berlari selaju-lajunya. Tetapi tak sampai tiga minit, kakinya dibaham peluru polis. Dia terdampar atas pohon kayu. Saat itu, ingatannya pada Mat seakan diflash back dalam otaknya.

Mat yang selalu menyelamatkan dia apabila mereka diserang musuh. Mat yang bijak bertarung tanpa senjata. Mat yang menahan pisau yang mahu ditikam di dadanya sewaktu di Thailand.

Kononnya sebelum ini Mat kawan baiknya. Partner in crime. Sedangkan nama penuh Mat sendiri dia tidak pernah tahu. Baru tadi, dia sendiri yang memuntahkan peluru hidup ke dada Mat.

“ALLAH,” ucap Rusdi.

Perit rasa pergelangan tangannya dimakan gari besi. Dia ditarik kasar, dipaksa mengikut jejak polis ke kereta peronda yang menanti di depan sana. Sekali lagi, dia melalui kawasan di belakang banglo maksiat itu. Sekali lagi juga, dia memandang kawannya yang sedang terbaring di situ, dengan tompokan darah menyirami baju. Mata Mat masih terbuka, memandang ke langit malam. Rusdi sebak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.